ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, January 10, 2016

ALAM, KEINDAHAN DAN PEMIKIRAN DALAM LIRIK LAGU. .



Petikan kertas kerja Seminar Sebahtera, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 27.10.2015. kertas ditulis bersama Dr. Tg.Intan Marlina Tengku Mohd Ali dan Dr. Madiawati Mamat @ Mustaffa

 Lirik lagu ialah susunan kata-kata yang disesuaikan pada sebuah melodi atau lagu. Lirik lagu memainkan peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Secara sedar atau tidak, lagu akan cepat dihayati dalam jiwa setiap pendengarnya, malahan turut menyumbang ke arah pembentukan minda sesuatu bangsa.  Walau bagaimanapun ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa lagu-lagu kontemporari tidak mempunyai nilai estetika yang tinggi kepada para pendengar.  Lagu tersebut sekadar menjadi halwa telinga sahaja dan bersifat sementara.  Kamus Besar Bahasa Indonesia (1990: 528), mendefinisikan lirik lagu sebagai karya puisi yang dinyanyikan. Lagu atau seni nyanyian memerlukan media bahasa untuk menyampaikan idea dan gagasan.  Perbincangan dalam kertas kerja ini tertumpu kepada Lirik Lagu sebagai karya kreatif yang memiliki nilai puisi dianalisis dari sudut penggunaan idea dan gagasan dan daripada susunan bahasanya.  Lirik yang baik haruslah ada unsur positif, mempunyai unsur emosi dan menyampaikan pemikiran yang memberi sesuatu kesedaran kepada masyarakat atau mengajak ke arah kebaikan. Seperti dalam puisi, bahasa dalam sebuah lirik yang baik juga bertujuan memberi kesan dan suasana emotif tertentu untuk mempengaruhi perasaan dan fikiran penikmat lagu tersebut.  Seperti puisi, bahasa dalam lirik lagu juga mengekspressi pemikiran dan perasaan, memiliki unsur-unsur berupa emosi, imaginasi, idea, nada, irama, kata-kata yang membawa kesan kepada pancaindera.  Penggunaan struktur puisi dilihat pada strukturnya sama ada mengambil untuk puisi Melayu moden atau puisi Melayu tradisional, misalnya menggunakan rima syair, iaitu “a a a a” dan rima pantun “a b a b”. Seorang penulis lirik seperti seorang penyair akan meringkas dan memadatkan maknanya dengan memilih diksi yang terbaik, ekonomi dan tidak membazir. Penulis lirik juga menggunakan gaya bahasa puitis termasuk metafora atau perlambangan, aliterasi, asonansi, personifikasi dan hiperbola. Akan diperhatikan juga penggunaan unsur alam sebagai simbolisme dan peranan alam dalam membangkitkan emosi. Kesimpulannya, unsur-unsur puisi memainkan peranan penting dalam sesebuah lagu terutama dalam pemilihan diksi terbaik, puitis dan harmoni.

Sering kita mendengar lagu-lagu yang menyebut atau menggambarkan alam seperti laut dan pantai, gunung-ganang, bukit-bukau, padang hijau, sungai mengalir,  ataubunga berkembang. Di samping itu terdapat unsur waktu dan cuaca seperti siang dan malam, pagi dan petang, atau panas dan hujan.Hal ini adalah kesinambungan dari lagu Melayu asli yang sebahagian besarnya merupakan pantun pantun yang sangat kaya dengan unsur alam.Penggunaan ini diteruskan dalam sebahagian lirik kontemporari. Elemen alam membina suasana dan emosi yang sesuai dengan makna. pemikirandalam lirik lagu. Nilai estetika tercapai melalui perlukisan perlambangan dan penyampaian pemikiran yang jitu dan memberi manfaat kepada pendengar menepati nilai sastera yang indah dan berfaedah.

Penggunaan alam sebagai latarbelakang atau sebagai perlambangan dapat  membangkitkan suasana yang sesuai dengan peristiwa yang digambarkan, misalnya hujan turun ketika terjadi sesuatu peristiwa yang menyedihkan. Hujan dikaitkan dengan tangisan, seolah-olah seluruh alam turut sama berduka dan bersimpati, seperti lagu nyanyian Sudirman:  “Hujan yang turun bagaikan airmata/bertambah sedih bertambah pilu”.

Penggunaan perlambangan dapat dilihat dalam beberapa buah lirik lagu seperti dalam berikut:
Menaruh Harapan.
(Penulis Lirik: Habsah Hassan)

Sepanjang perjalanan ini
Lembah dan lurah kulewati
Ketenangan yang kucari
Belum kutemui
Menghimpun doa bertahun
Mencari pepohon yang rimbun
Bertemu dahan yang rapuh
Tempat kuberteduh
Dulu aku sendiri
Kini aku sendiri
Hadapi hidup ini
Susah senang diriku
Tiada tempat kumengadu
Seperti burung kepatahan sayap
Di hati kecil ku menaruh harapan
Selagi hidup belum sudah
Aku akan terus melangkah
Kuyakin rahmat buatku
Di hadapan menunggu.

Lirik “Menaruh Harapan” menggambarkan perjalanan seseorang yang bersendirian mencari ketenangan dan kebahagiaan yang dikatakan belum ditemui. Perjalanan ditempuh dengan tabah tanpa rasa putus asa.Lirik ini menggunakan perlambangan dari unsur tumbuh tumbuhan. Mencari kasih sayang diumpamakan sebagai mencari pepohon rimbun. Kegagalan untuk menemui apa yang dicari disifatkan sebagai bertemu “dahan yang rapuh”. Penggunaan pepohon yang rimbun untuk kedamaian dan kasih sayang sering ditemui di dalam puisi, malah dalamal-Quran jugamenggunakan pohon subur dan rimbun sebagai misal perbandingan bagi kasih sayang Allah sepertimana maksud ayat: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian”. (Surah Yaasiin, ayat 33-35).Di samping itu terdapat banyak contoh puisi yang menggunakan daun-daun hijau sebagai kasih sayang dan dahan yang rapuh untuk maksud kemusnahan. Sebagai contoh ialah sajak “Segalanya Padamu Ibunda” karya  Dharmawijaya. (Puisi Sepanjang Zaman, 1989:243)
              Kau adalah ladang segala kesabaran
Tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.
Kau tak rela daun-daun harapan
Gugur luruh menampar genggaman.
                                   
Seterusnya terdapat ungkapan“seperti burung kepatahan sayap”.  Ungkapan ini dilihat daripada maksud yang tersirat menggambarkan ketidakupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu tindakan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupannya.  Ini digambarkan melalui simbol “burung”yang kepatahan sayap.  Burung yang sebelum ini bebas terbang ke mana-mana sahaja tidak dapat bergerak dan melakukan apa-apa disebabkan sayapnya yang patah.  Gambaran ini merupakan simile jika dilihat dari sudut gaya bahasa perbandingan.

Nilai estetika lirik ini juga terdapat pada pemikiran yang diajukan bahawa seseorang mesti terus melangkah tanpa rasa putus asa. “Aku akan terus melangkah” menyatakan peribadi yang tabah berikhtiar dengan penuh harapankerana yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan ikhtiar dan doa hamba-Nya. Ketabahan dan keyakinan ini adalah selaras dengan ajaran Islam bahawa setiap manusia wajib berikhtiar dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah, menepati maksud ayat ‘janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah”(Surah Yusuf, ayat 12).

Dedaun Masa
(Penulis Lirik: M.Nasir)

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
pahit getir kehampaan

Tapi itu hanyalah ujian
Esok kan datang kedamaian
Dan sinar mentari
menyerlah hidupmu
Tabahkan hati mu
Oh insan

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
untuk hidup bahagia.


Sebuah lagi lagu yang menggunakan perlambangan dari unsur tumbuhan ialah “Dedaun Masa” (lirik oleh M.Nasir). Tajuk lagu adalah metafora Dedaun Masa. Penulis lirik menggunakan daun bagi menggambarkan masa atau hari hari yang dihadapi oleh setiap manusia. Daun  menghadap tiupan angin dan akan gugur ke bumi. Tiupan angin adalah cabaran yang dihadapi manusia yang dirumuskan sebagai “meniti rangkaian perjuangan”. Daun daun akan gugur begitu juga umur manusia akan semakin berkurangan. Dari segi pemikiran, lirik ini mengutarakan bahawa setiap kehidupan itu adalah perjuangan dan menyarankan tiap insan harus gigih menghadapinya.Saranan yang sama dibawa oleh lirik “Menaruh Harapan”.
           
Sebuah lagi lirik yang padat dengan gambaran alam ialah Aku Hanya Pendatangoleh Habsah Hassan mengisahkan harapan dan cinta yang hilang.  Walaupun lagu ini bertemakan percintaan, tetapi penggunaan unsur-unsur perlambangan seperti unsur tumbuhandan sungai yang mengalir merupakan perlambangan terhadap harapan dalam percintaan yang tidak pernah padam.

Aku hanya Pendatang’
(Penulis Lirik: Habsah Hassan)

Aku bagai seorang pendatang
Ke sempadan yang mengasingkan
Sedang dulu di sini aku bermesra denganmu

Kedatangan tiada sambutan
Dan senyuman tiada balasan
Langkah kaki sampai di sini terhenti

(korus )
Ku mencari
Kembali pohon hijau nan rendang
Di situlah kita berteduh
Dan sungainya
Bertali arus air mengalir
Bagai takkan berakhir
Dijadikan perlambangan
Tanda setianya percintaan
Dua insan

Perjalanan di tanah gersang
Tanpa sungai dan pohon rendang
Kau dan aku demikian diibaratkan

Unsur alam digunakan bagi membuat perbandingan antara masa bercinta dan masa berputus cinta. Waktu bercinta adalah daerah yang dipenuhi pohon pohon hijau yang rendang dengan sungai mengalir menandakan kesuburan. Akhirnya apabila perasaan cinta telah berubah daerah yang sama menjadi “tanah gersang tanpa sungai dan pohon rendang”.

Selain tumbuh tumbuhan, penulis lirik juga menggunakan perlambangan dari unsur waktu, peredaran hari (pagi, petang, malam, siang), cuaca (panas, hujan, mendung) peredaran musim (panas sejuk gugur dan musim bunga). Penggunaan ini dapat dilihat jelas dalam lirik Isabela nyanyian kumpulan Search. Penulis lirik dikenali sebagai Bob.

Isabela
(Penulis Lirik: Bob)
Isabella adalah
Kisah cinta dua dunia
Mengapa kita berjumpa
Namun akhirnya terpisah
Siang jadi hilang
Ditelan kegelapan malam
Alam yang terpisah
Melenyapkan sebuah kisah…
Terbayang lambaiannya
Salju terbakar kehangatan
Dunia di penuhi
Warna berseri bunga cinta
Kita yang terlena
Hingga musim berubah
Mentari menyepi
Bernyalalah api cinta
Dia Isabella
Lambang cinta yang lara
Terpisah kerana
Adat yang berbeda
Cinta gugur bersama
Daun daun kekeringan…
Haluan hidupku
Terpisah dengan Isabella
Tapi aku terpaksa
Demi cintaku Isabella
Moga dibukakan
Pintu hatimu untukku
Akan terbentang jalan
Andainya kau setia
Oh! Isabella….
Perlambangan yang dominan dalam lirik ini merupakanunsur peredaran hari dan perubahan musim yang memberi kesan visual dan deria rasa seperti sejuk dan panas.Isabella adalah lirik naratif iaitu lirik yang mengandungi cerita. Cerita yang dikisahkan ialah pertemuan dan percintaan dua insan dari duniayang dikatakan mempunyai “adat yang berbeda”. Pertemuan yang indah digambarkan sebagai “dunia berseri bunga cinta”.  Kehangatan perasaan dimunculkan melalui gambaran yang menimbulkan deria rasa iaitu “salju terbakar kehangatan” yang juga merupakan satu hiperbola.  Perbezaan adat itu telah memisahkan mereka. Kesedihan dan perasaan kehilangan itu diumpamakan seperti “Siang jadi hilang/Ditelan kegelapan malam”.  Tenggelam dalam keasyikan bercinta adalah seperti  “terlenahingga musim berubah”.  Perasaan cinta mengatasi segalanya sehingga mengatasi sinar matahari itu sendiri. “mentari menyepi bernyalalah api cinta”.Apabila cinta menjadi lara kerana perpisahan yang diakibatkan oleh “adat yang berbeda” keadaan ini digambarkan sebagai cinta “gugurbersama daun daun kekeringan”.

Lirik lagu Isabela ini dipilih untuk analisis bukan sahaja kerana unsur alam yang digunakan tetapi dikemukakan sebagai contoh sebuah lirik lagu yang mengalami gangguan dari segi plot dan penceritaan. Perjalanan cerita agak mengelirukan. Kisah dimulakan dengan pertemuan dengan seseorang yang bernama Isabella, pertemuan membungakan cinta dan mereka terpaksa berpisah kerana adat yang berbeza. Tetapi setelah dikatakan terjadi perpisahan terdapat pula baris-baris yang mengandungi harapan ”moga dibukakan pintu hatimu untukku” dan ”akan terbentang jalan kiranya kau setia”. Penceritaan terganggu. Selepas menggambarkan perpisahan, lirik menyatakan harapan semoga ”dibukakan pintu hati untukku” dan , seolah-olah cinta itu belum terjadi.
Lagu Senandung Anak Laut adalah contoh yang baik perbezaan antara penulisan kreatif dan penulisan deskriptif. Dalam bentuk tulisan deskriptif, hal ini merupakan sebuah berita mengenai ribut yang berlaku di Laut China Selatan dan seorang nelayan telah hilang.  Namun dalam bentuk penulisan kreatif, iaitu lirik lagu, peristiwa itu diekspressidengan memasukkan gambaran suasana alam. Suasana yang alam yang digunakan ini menceritakan keadaan hidup nelayan yang daif dan berfungsi untuk membina perasaan yang intensif.  .

Lagu dimulakan dengan gambaran seorang nelayan dalam sebuah biduk di laut China Selatan.  Burung camar hinggap di jejarinya yang dikatakan sedang bermimpi.Bermimpi juga berkait dengan  tertidur, keletihan memberi gambaran nelayan sudah berhari-hari berada di laut. Mimpi juga dikaitkan dengan harapan nelayan tentang untung nasibnya. Mimpinya  adalah  tentang duyung, satu unsur fantasi dan tentang untung, satu unsur realiti kehidupan yang dihadapi Bermimpi tentang untung nasib dipadankan dengan biduk yang hanyut satu keadaan yang sering dikaitkan dengan untung yang akan timbul atau tenggelam. Keadaan alam seterusnya ialah langit yang mendung dan laut yang bergoncang bererti ribut telah turun.Dan yang bergoncang adalah biduk dan kehidupan nelayan.Nelayan tidak dapat mengawal biduk lalu dikatakan “biduk sesat haluan”.  Nelayan hanya dapat berserah dan bertawakal dan dia tidak dapat berbuat apa apa kerana Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan. Dari sinilagu ini beralih menceritakan  seorang ibu sedang menyusu bayi yang kehausan dalam pondok kecil beratap rumbia. Segala galanya menekankan kepada kedaan kemiskinan hidup dan harapan untuk anak yang sedang menangis. Baris “Ufuk timur hilang dari pandangan”  adalahgambaran alam yang menutup segala harapan.

Burung camar hinggap di jejari 
Seorang nelayan sedang bermimpi
 
Mimpi tentang duyung mimpi tentang untung
 
Biduk hanyut dibawa ombak Laut China Selatan
 

Dalam mimpi berkata sang duyung
 
Wahai nelayan kau anak laut
 
Disini tempatmu disini rezekimu
 
Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya
 

Mega mendung laut pun bergoncang
 
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
 
Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan
 
Tawakal jalan akhirnya
 

Dalam pondok kecil beratap rumbia
 
Seorang ibu memandang hari muka
 
Sambil dia menyusukan bayi yang kehausan
 
Ufuk timur hilang dari pandangan
 

Wahai anak yang sedang menangis
 
Mungkin kini kau tak mengerti
 
Bila kau dewasa dan pandai nanti
 
Pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan

Sebuah lagu yang penuh nasihat dan bernada sinis ialah Akar dan Bumi yang dipopularkan oleh Kumpulan Amok.Pada keseluruhannya lagu ini menempelak golongan-golongan tertantu yang tidak mahu berusaha sendiri dan hidup banyak mempergunakan orang lain. Hal ini adalahberbeza dari golongan bawahan yang berusaha sendiri ,dan mereka akhirnyadapat mengecap kejayaan. Maksud inilah yang mahu disampaikan dengan imej kelapa bali yang akarnya mencengkam bumi.   Hal ini dapat dilihat dalam lirik lagu di bawah:
Tinggi-tinggi kelapa bali
Kental berdiri akar di bumi
Walau bermusim di terik mentari
Tidak sekali lupakan diri
Bila menari dongak ke langit
Langkah mu sumbang salahkan bumi
Silap sendiri tak dipeduli
Terbiar sudah membuta tuli
Baru tengadah menyesal diri
Ikutkan rasa kelak binasa
Kerasnya hati membawa mati
Pentingkan dosa sumpah bertakhta
Megah ilusi mejadi mimpi
Panasnya diri bagai dibakar api
Tinggi-tinggi kelapa bali
Walaupun tinggi kental berdiri
Tidak pernah lupa diri
Tidak pernah megah diri
Mencengkam akar di bumi
Rimbun-rimbun daun dedalu
Tinggi di atas sombongkan diri
Pandang langit lupa bumi
Menumpang menunggu mati

Tinggi-tinggi kelapa bali
Kental berdiri
Akar di bumi
Walau bermusim di terik mentari
Tidak sekali lupakan diri

Oleh yang demikian, jelas memperlihatkan penciptaan lirik lagu kontemporari memperlihatkan usaha untuk menerapkan pemikiran dan falsafah hidup melalui metafora dan perlambangan dari unsur alam seperti tumbuh tumbuhan, peredaran hari dan perubahan musim juga laut dan cuaca.

Kesimpulan
Bentuk atau sturtur lagu yang terikat dengan bentuk puisi seperti pantun atau syair memberikan kesan penyampaian dan irama yang lebih menarik. Susunannya yang teratur dan rentaknya lebih halus. Manakala pemilihan gaya bahasa yang sesuai dapat menyampaikan maksud secara berkesan dan tinggi dengan nilai keindahan yang dapat memberi kesan emosi kepada pendengar. Gabungan pemikiran dan perlambangan yang menggunakan unsur-unsur alam dan tempatan dalam lirik lagu kotemporari pula dapat menghasilkan sebuah karya bukan sahaja dapat diamati dengan mata kasar tetapi lebih daripada itu dapat memberi pelbagai tafsiran yang boleh menjelaskan makna sesebuah lagu.

Lirik-lirik lagu kotemporari yang menggunakan unsur-unsur puisi dalam akan memberi nilai tambah kepada sesebuah lagu. Lirik yang digarap dengan struktur, gaya bahasa puitis dengan makna dan perlambangan puisi yang sesuai dapat “nyawa” atau “kehidupan” kepada sesebuah karya. Lagu-lagu seumpama ini bukan sahaja bersifat kontemporari dalam zamannya tetapi juga diminati sepanjang zaman (evergreen). Lagu-lagu kontemporari perlu menyelitkan penggunaan unsur-unsur puisi bagi menghasilkan sebuah karya yang mempunyai keseimbangan dari segi bentuk, susunan bait-bait kata, pemilihan gaya bahasa dan pemikirannya.  Akhirnya jelas bahawa nsur-unsur puisi memainkan peranan penting dalam sesebuah lagu terutama dalam pemilihan diksi terbaik, puitis dan harmoni agar kekal diminati dan diingati sepanjang zaman.
Bibliografi
Aminudin Mansor, 2011. Sajak-Sajak A. Latif Mohidin: Kajian Estetika. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Aripin Said. 1996. Puisi Warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Azman Awang Pawi, 2003. Licentia Poetica Puisi Mutakhir Malaysia. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.

Harun Mat Piah, 1997.  Puisi Melayu Tradisional.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Keraf, Gorys, 2009 (Cetakan ke-19).  Diksi dan Gaya Bahasa.  Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

Mawar Safei dan Norida Kamari, 2006.  “Sastera Melayu dan Muzik: Satu Tinjauan Umum”.  Jurnal Beringin, Jilid 2, 123-135.  Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.

Zurinah Hassan, 2010.  Unsur Alam Dalam Puisi Melayu Moden.  Bangi: Penerbit UKM.

Atar Semi, 1988. Anatomi Sastra. Padang: Angkasa Raya.

Hairul Anwar Harun, 2012.Lirikan Lirik. Kuala Lumpur: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.



No comments:

Post a Comment