ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Saturday, September 12, 2015

Thursday, September 10, 2015

Monolog "Sehelai Kain" oleh Zefri Ariff Brunei.

"Sebuah ruang kedai dobi tiba-tiba menjadi medan trauma dengan kemunculan si Mati yang mencari pembunuhnya. Tukang dobi yang bekerja di situ telah menjadi tebusan sekaligus menjadi perantara si Mati dengan orang-orang yang dicarinya. Keadaan semakin kecoh apabila si Mati menjumpai beberapa bukti pakaian yang dipakai oleh mereka yang dipercayainya penyebab kepada kematiannya."

Ketahui kisah selanjutnya dalam pementasan monolog "Sehelai Kain" naskah Zefri Ariff Brunei pada malam ini di Auditorium JKKN, Jalan Tun HS Lee.

Monolog "Sehelai Kain" menyusul selepas monolog pembukaan malam ini oleh Noor Hasnah Adam.

Dipaparkan sari kata bahasa Inggeris.

Profil:

Zefri Ariff Brunei

Zefri adalah seorang sarjana, penulis, dramatis, aktivis budaya dan pemimpin belia. Pengalaman beliau hampir tiga dekad dalam dunia media, belia, bahasa, sastera, seni dan budaya tanahair telah banyak kali membawanya mewakili Brunei ke beberapa misi persidangan, festival, pertandingan dan pertemuan seni, budaya, bahasa, sastera, media dan belia di dalam dan luar negara sama ada sebagai aktivis, pemikir, pembengkel, fasilitator, hakim pertandingan atau pembentang kertas kerja.

Zefri merupakan Naib Presiden Asian Youth Council (AYC), Bendahari Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei (MBB), Pengerusi Tetap Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM), Ketua 1 Kumpulan Putra Seni, Ahli Eksekutif Asian Theatre Association (ATA), Ahli Asia Pacific Writers & Translators Association (AP Writers), Ahli Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), Penasihat Teknikal Gabungan Penerbit Drama/Hiburan Tv dan Karyawan Seni (GAPHAR) Brunei, kurator Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) dan panel Jawatankuasa Penilai S.E.A. Write Award (2014-2016).

Bakat beliau merentas dalam pelbagai bidang seperti penulisan kreatif, fotografi, videografi, kewartawanan, editor, deklamator, lakonan dan pengarahan untuk drama radio, televisyen dan pentas sejak zaman remaja lagi. Kepakaran beliau sering dimanfaatkan untuk kegiatan seni pentas, sastera dan budaya di peringkat kebangsaan dan serantau. Sehingga sekarang beliau telah berkolaborasi dalam pelbagai projek yang dianjurkan oleh ASEAN-Committee on Culture and Information, SEAMEO-SPAFA, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), ASEAN University Network (AUN), ASEAN-KOREA Culture & Arts Forum, World Assembly of Youth (WAY). Asian Youth Council (AYC), Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) dan International Youth Centre (IYC) Kuala Lumpur.

Zefri juga sering diundang untuk mendeklamasi puisi, mementaskan seni pertunjukan dan menjadi hakim peraduan dalam pelbagai acara di sekitar Asia. Zefri juga menghasilkan buku-buku akademik seperti Dari Kertas Ke Pentas dan Bingkai Seni Budaya Brunei, dan buku kreatif seperti Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Tik Tik Tik, Kumpulan Sajak Dari Kata ke Kota dan Kumpulan Drama Sukma Nitra.

Buku kumpulan drama beliau berjudul Rapat telah mendapat anugerah Hadiah Sastera MASTERA pada tahun 2003. Sementara pada tahun 2011 Zefri telah dinobatkan sebagai penerima S.E.A. Write Award. Pada tahun 2014, Zefri telah menerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa dan persatuan yang dipimpinnya, Kumpulan PUTRA Seni telah menerima Anugerah Persatuan Belia Cemerlang dan the 9th ASEAN-Ten Accomplished Youth Organisation Award. Terkini beliau telah diiktiraf sebagai Duta Bahasa 2015 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.Sebelum menyertai Universiti Brunei Darussalam sebagai tenaga akademik pada tahun 1996, Zefri pernah bekerja sebagai Penyunting Skrip Drama Kanan di samping menerbitkan program drama tv di Radio Televisyen Brunei selama enam tahun. Zefri juga pernah menjalani latihan penempatan selama tiga bulan di Unit Drama Televisyen Malaysia semasa belajar pada tahun 1988 dan pernah mengikuti kursus singkat penulisan skrip filem di Filipina pada tahun 1991. —


Wednesday, September 09, 2015

Sutardji Calzoum Bachri dari Indonesia, Kim funan dari Kambodia dan Haji Jawawi Hjr dar Brunei berpadu dlm semangat Asean di PERTEMUAN PEN├ŁAIR ASEAN di Kuala Lumpur 4 dan 5 sept 2015.

Monday, September 07, 2015

 SYAIR MELAYU
- TENTANG MELAGUKAN SYAIR





             SERING JUGA SAYA MENGALUNKAN SUARA DENGAN ROSLAN MADUN


Sebagai sebuah karya sastera, aspek penyampaian makna, maksud atau mesej karya sangat penting.Melagukan syair adalah satu cara untuk menyampaikan sebuah karya kepada khalayak. Jika mesej ini tidak sampai,maka pembacaan itu dianggap gagal. PATAH 

LAGU/JEDA/PEMENGGALAN SEBUTAN.

Patah lagu ialah tempat seorang PENYANYI/pembaca memenggal barisnya, yang juga disebut jeda. Hal ini masuk dalam bahagian intonasi. Intonasi ini amat penting di dalam penyampaian mesej.

Cuba baca syair di bawah dengan lagu Selendang Delima.Lagu Selendang Delima lebih popular kalau dibandingkan dengan yang lain. Sebab utama ialah lagu ini mudah dikenali dan mudah diasingkan daripada lagu yang lain. Lagu narasi dan Dan dan Setia tidak jauh berbeza dan jika tersilap pembawaannya akan mudah terjadi campur aduk di antara kaduanya.

Pesan patik pada tuanku
Ini tunjukkan pada Raden Inu
Kartabangsa menentang belas dan pilu
Bagai dihiris dengan sembilu


Bila dibaca dengan lagu Selendang Delima, maka ia akan menjadi spt di bawah

Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).
I/niii/ un/juk/kannnnn// pa/da/ Raaaa/den /I/nuuuu (11 sukukata)
Kar/ta/bang/sa/ me/nen/tanggggg// be/lasss/ dan/ pi/luuu (13)
Ba/gai/ di/hiii/risss// de/ngannn/ sem/bi/luuu (10)


Biasanya jeda berlaku pada akhir perkataan yang kedua. Hal ini adalah mudah dilakukan untuk baris yang mempunyai lapan sukukata. Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).

Pada baris pertama tiada masalah. Perkataan dipenggal pada sukukata ke empat. Masalah timbul pada baris yang mempunyai lebih drpd 8 sukukata. Baris kedua mengandungi 11 sukukata. Pemenggalan dilakukan selepas kata kedua iaitu sukukata ke empat. Selepas itu tempo dipercepatkan untuk menghabiskan 6 sukukata lagi.

Masalah lebih besar ditemui pada baris ketiga: Kartabangsa menentang. Dua perkataan ini mengandungi 7 sukukata yang mesti dibaca sekali agar dapat menyampaikan maksud dan tidak janggal. Kartabangsa ialah nama orang dan tidak boleh dipenggal. Yang kedua ialah perbuatan yang dilakukan oleh Kartabangsa iaitu menentang. Ini juga perlu dihabiskan. Dengan itu pembaca syair harus pandai mengejar agar dapat menyebut 7 sukukata sebelum berjeda.

Hal ini menunjukkan seorang pembaca syair mesti meneliti teksnya terlebih dahulu sebelum menghadap penonton.

Bandingkan baris-baris ini:
1-Dengarlah tuan ayahnda berperi
2-Dengarlah tuan tuan suatu peri

Walaupun pembacaan syair biasanya dipenggal pada akhir perkataan kedua.

( Dengarlah tuan//ayahnda berperi)

Tetapi hal yang sama tidak boleh dilakukan pada contoh kedua di atas. Pemenggalan mesti dilakukan pada akhir perkataan yang ketiga. Dengarlah tuan tuan// suatu peri


Rangkap syair di atas adalah petikan drpd kisah pembunuhan Angerani. Ia membawa maklumat yang menyedihkan, menggambarkan suasana sedih pilu ketika Anggerani hendak dibunuh. Pembaca harus membangkitkan kesedihan dan kerinduan Angerani kepada suaminya Raden Menteri. Suasana sedih (melankolik) dibina dengan memanjangkan getaran dan alunan melodi supaya kedengaran mendayu-dayu.
Di dalam pertandingan, anda akan diberikan satu teks yang mungkin mengandungi lima atau enam rangkap dari sesebuah cerita. Seeloknya anda bacalah syair berkenaan sepenuhnya supaya dapat memahami dan menghayati cerita yang sebenar. SELAMAT MENCUBA




Wednesday, September 02, 2015


KARYA PENULIS WANITA BRUNEI dan MALAYSIA)
TENTANG WANITA YANG DIBISUKAN
Zurinah Hassan, Malaysia.
kertaskerja ini disampaikan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Bandar Seri Begawan, 28,29 Mei 2015







KARYA PENULIS WANITA BRUNEI dan MALAYSIA)
TENTANG WANITA YANG DIBISUKAN
Zurinah Hassan, Malaysia.
kertaskerja ini disampaikan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Bandar Seri Begawan, 28,29 Mei 2015
Abstrak
Makalah ini membicarakan karya penulis wanita dua negara dalam  menyuarakan isi hati dan mengungkap pengalaman hidup wanita sebangsa. Karya terpilih ialah Tsunami di Hatinya (antologi cerpen Norsiah Gapar , Brunei) , Antalas Sukma (novel Sosonjan A.Khan,Brunei) dan Opera Nyonya Cantik (kumpuln drama Amelia Hashim, Malaysia). Analisis memperlihatkan bahawa penulis wanita ini menyuarakan penderitaan wanita sebangsa yang telah dibisukan oleh konvensi adat dan tekanan masyarakat patriaki Nusantara. Mereka menjadi jurucakap dan memberi ruang kepada  suara wanita sebangsa mereka yang terbelenggu di samping memperlihatkan sensitivity  dan pemahaman yang mendalam penulis wanita dua negara akan jiwa dan pengalaman kaum sejenis mereka khasnya di  dua buah negara, Brunei Darussalam dan Malaysia.


            Setiap bangsa di dunia mewarisi sejumlah mitos dan legenda yang diantaranya memaparkan kisah kekejaman dan ketidakadilan terhadap wanita. Sebagai contoh ialah sebuah mitos Greek yang menceritakan kisah puteri Athens, Philomela, yang telah diperkosa oleh abang iparnya, Tereus. Bagi menutup perbuatan terkutuk itu, Tereus telah memotong lidah Philomela dan meninggalkan Philomela di dalam hutan.  Philomela akhirnya berjaya  berkomunikasi dengan kakaknya, Procne, untuk menceritakan segala yang telah berlaku. Kekejaman itu didedahkannya dengan cara melukiskan melalui jahitan ke atas sehelai kain. Sebagai tanda ‘menjatuhkan hukuman’ ke atas suaminya tadi, Procne sanggup membunuh anak lelakinya sendiri hasil perkongsian hidup beliau dengan Tereus.

            Mitos tersebut menceritakan kekejaman dan pengkhianatan terhadap wanita. Paling kejam ialah perbuatan memotong lidah supaya tidak dapat lagi berkata apa-apa khasnya untuk menceritakan kekejaman lelaki. Kisah ini juga memperlihatkan bagaimana wanita itu mencari kakaknya dan kakaknya kemudian bertindak untuk menuntut bela. Walaupun hanya sebuah mitos, kisah ini telah diterapkan sebagai lambang wanita yang dibisukan atau dinafikan hak bersuara (dengan memotong lidah) dan bagaimana wanita mendapat kembali semangat dan kekuatan dengan menyalurkan masalah mereka kepada saudara perempuan (sisterhood).

KRITIK FEMINIS
            Berabad berlalu namun persoalan wanita dan suara wanita tetap menjadi persoalan utama dalam karya sastera, malah dalam karya-karya seni yang lain termasuk filem. Kecenderungan untuk melihat persoalan wanita dalam karya-karya seni ini telah menimbulkan aliran dan Teori  yang dikenali sebagai Feminisme. Antara definisi yang telah diberikan  terhadap feminisme, ialah aliran yang menyokong  hak asasi dan emansipasi wanita, pembebasan dan hak persamaan wanita  (Mitchel, 1971:65, Rosnah Baharudin dlm Zalila Sharif,2003:12). Ideologi yang mendasari pembebasan wanita ini ialah kepercayaan bahawa wanita menderita dan terkongkong  kerana kejadiannya sebagai wanita. Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebagai manusia, wanita juga memerlukan ruang untuk bergerak bebas bahkan wanita juga turut menyumbang kepada perkembangan negara.  Feminisme berasal daripada bahasa Latin, femina iaitu wanita. Aliran Feminisme bermula di Barat sejak abad ke-18 tetapi mula merebak ke merata pelosok dunia sejak tahun 1960-an dan 1970-an.  Pada peringkat awalnya, Feminisme merupakan gerakan atau fahaman yang menuntut kesamarataan seperti yang dinikmati oleh kaum lelaki. Feminisme melihat wanita sebagai golongan manusia yang tertindas dan dizalimi oleh institusi sosial dan budaya yang semuanya dibina dan diperintah oleh lelaki (Patriarki). Berdasarkan teori-teori yang tersendiri, feminisme membongkar dan menganalisis ketidakadilan di dalam sistem patriarki, mengajukan critique dan memeranginya, di samping memperjuangkan hak dan martabat wanita untuk hidup bebas dan bahagia (Md.Salleh Yaapar, 2002:4-5).

Sistem patriarki secara umumnya ditafsirkan sebagai  satu sistem di mana lelaki berkuasa ke atas  institusi institusi sosial, politik dan ekonomi yang menindas kaum wanita.  Humm, (1989:159) menyimpulkan patriaki sebagai “a system of male authority which oppresses women through its social, political and economical instituitions’’ Petikan ini membawa maksud  lelaki mendominasi dan mengawal semua kehidupan wanita.  Hal ini juga lumrah di Asia, di mana seorang ayah mengawal dan mengatur kehidupan semua ahli keluarga, berkuasa ke atas harta benda dan mempunyai kata pemutus di dalam setiap perkara. Pada keseluruhannya, dapatlah difahami bahawa patriarki membawa maksud segala nilai, adat, kepercayaan dan dan peraturan dalam pelbagai aspek kehidupan yang dirangka oleh lelaki dan dilihat sebagai melebihkan lelaki serta mengenepikan hak kaum wanita.

Dominasi dan kecenderungan patriaki turut mempengaruhi bidang kritikan sastera dan filem.  Peranan wanita sebagai pengarang tenggelam dalam tradisi penguasaan lelaki. Kritik Feminis muncul sebagai satu cabang disiplin dalam ilmu kritikan sastera dan filem untuk mengimbangkan teori dan amalan kritikan yang bersifat patriaki. Kritikan ini bermula dengan kesedaran betapa kebangkitan feminisme semakin mendapat tumpuan kerana kesedaran terhadap tindakan prejudis kaum lelaki yang menjadikan karya sastera sebagai wadah untuk menaburkan pengalaman yang tidak menepati jiwa dan perasaan wanita. Bahkan kedudukan wanita juga sering disalahtafsirkan. Teori ini cuba membantah, membongkar, dan menentang segala kezaliman patriaki dengan memperjuangkan hak, kedudukan, martabat dengan memperkasakan ideologi kuasa feminis untuk sebuah dunia yang sejahtera , bahagia dan bermaruah (Humm,1989:112-113).
Secara kasar Kritik Feminis melihat persoalan wanita dalam karya-karya penulis lelaki. Kritik Feminis diikuti dengan Ginokritik iaitu menganalisis kedudukan wanita dari sudut pandangan penulis wanita. Ginokritisme secara etimologi berasal daripada perkataan Peranchis, la gynocritique, iaitu satu teori yang dirangka khusud untuk menerangkan dan menganalisis karya-karya tentang wanita yang dihasilkan oleh wanita.. Menurut Showalter (1982) the study of women as writers – and its subjects are the history, styles, themes, genres, and structures of writing by women, the psychodynamic co female creativity.

Kajian lanjut terhadap Ginokritik dilakukan oleh Norhayati Ab.Rahman dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia Satu Bacaan Ginokritik. Norhayati merumuskan,( 2012:17) bahawa ginokritik merangkumi:
1.      Kajian terhadap wanita sebagai pengarang, pengeluar atau penghasil teks dengan persoalan sejarah,tema , genre dan struktur penulisan dibentuk sepenuhnya oleh wanita.
2.      Penelitian terhadap psikodinamik dalam kreativiti wanita termasuk soal-soal linguistik dan persoalan ‘bahasa wanita’.
3.      Hubungan antara kerjaya seorang pengarang wanitadengan aspirasi wanita secara kolektif.
4.      Perkembangan dalam tradisi sastera wanita.

Wanita Dalam Islam
Pembicaraan ini tidak meninggalkan pandangan daripada sudut Islam. Islam tidak merendahkan kedudukan wanita, malah menyatakan dengan jelas bahawa  seorang wanita memiliki hak-hak tersendiri  dan sepatutnya dimuliakan oleh lelaki. Islam tidak menyatakan bahawa sesuatu jenis jantina itu lebih mulia atau tinggi walaupun mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan yang berlainan mengikut kesesuaian kejadian dari segi fizikal. Allah subhanahuwataala menegaskan bahawa setiap hambanya berhak mendapat balasan atau ganjaran dunia dan akhirat mengikut apa yang mereka usahakan. Ini bermakna, posisi dan status yang diraih oleh kedua jantina adalah setara Pencapaian sebenar kedua-duanya dibezakan oleh tingkat ketakwaan dan amalan masing-masing seperti yang  dijelaskan melalui ayat Al Quran yang bermaksud, “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan dan orang orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan pohonlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan tiap sesuatu. (An nisaa ayat 32.)  Penegasan bahawa Allah tidak merendahkan hambanya dari segi jantina  terdapat di dalam banyak ayat lagi, antaranya “Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan orang-orang yang beramal dari kalangan kami, sama ada lelaki atau perempuan (Ali-Imran: 195).
Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Lelaki dan wanita memiliki hak untuk belajar dan memahami ilmu yang boleh digunakan untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat. Hal ini terdapat di dalam hadis Rasulullah saw yang terkenal bermaksud,  “Menuntut ilmu adalah kewajiban atas setiap muslim, lelaki dan wanita”.Hadis ini menjelaskan tentang perintah menuntut ilmu bagi setiap muslim termasuk wanita di dalamnya. Hal ini menjelaskan bahawa. seorang wanita harus mendapat pendidikan yang sesuai dengan fitrah, kecenderungan dan kudrat kewanitaannya. Keduanya juga memiliki tugas untuk membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Untuk menjalankan tugas ini Maka dengan itu, masing-masing jantina tertakluk kepada prinsip etika dan akhlak yang sama untuk dipatuhi, seterusnya dapat mengangkat darjat mereka tatkala melaksanakan fungsi kekhalifahan tatkala memikul amanah Allah. Isu perbezaan seksualiti biologi dalam Islam tidak dilihat sebagai mendasari sikap untuk mendominasi jenis jantina yang lain sehingga mengakibatkan diskriminasi dan pergeseran gender.
Suara Wanita dalam karya penulis wanita Brunei Malaysia.
            Persoalan Wanita dan Suara dapat dilihat dalam karya sastera Nusantara khasnya Malaysia dan Brunei. Kertas ini memberi tumpuan kepada tiga buah karya, iaitu, novel Antalas Sukma, oleh Sosonjan A.Khan, (dbp Brunei 2007) Drama Wanita Melayu Terawal oleh Amelia Hashim (termuat dlm antologi dramanya Opera Nyonya Cantik, ITBM 2014), cerpen Tsunami Di hatinya,oleh Norsiah Gapar (dari kumpulan cerpen Tsunami Di Hatinya, Dbp Brunei 2009)). Makalah ini bertolak dari hipotesis bahawa suara wanita terutama di dalam masyarakat dua negara itu adalah terkongkong oleh konvensi adat dan peraturan sosial manakala penulis wanita yang lahir dari latar sosio budaya tersebut telah menjadi jurucakap kepada suara yang terbelenggu itu.  Dengan kata lain, Penulis wanita khasnya yang disebutkan di atas mengambil peranan untuk bersuara bagi pihak wanita sebangsa mereka yang dibisukan.
            Banyak karya mitos dan legenda Melayu mengemukakan wanita yang dibesarkan dalam konvensi peraturan adat untuk tidak banyak bersuara. Mereka diajar dan diasuh untuk melembut, merendah suara dan mengawal tutur kerana meninggikan suara itu adalah tidak sopan. Lagenda memerikan pelbagai kisah wanita yang menderita seperti Tun Teja yang ditipu oleh Hang Tuah, dan Tun Kudu, permaisuri yang diceraikan oleh suami dan dipaksa mengahwini Tun Ali. Sebagai penulis kreatif saya pernah menulis puisi yang berjodol “Salam Perempuan Dari Penjara” dan “Apabila Kata-Kata Menjadi Sebuah Dosa”. Semua ini memperlihatkan bagaimana Wanita tidak dapat menzahirkan segala yang dirasa dan difikirkan.
Hal ini tidak hanya terjadi dalam budaya Melayu malah dalam budaya Inggeris juga ada pepatah yang berbunyi “girls should be seen and not heard”.  Anak-anak perempuan diasuh untuk diam. Mereka membesar sebagai wanita yang  tidak banyak bercakap dan langsung tidak berani menjawab walaupun untuk berkata yang benar.  Sehingga masyarakat menganggap  hanya lelaki yang bercakap, wanita yang banyak bersuara dilabelkan sebagai kuat berleter, membebel, merungut. Percubaan berbincang atas sesuatu pendapat yang berbeza dengan suami seringkali pula dianggap sebagai “melawan” suami. Kebanyakan cerita sastera dan filem dalam genre tragedi adalah tragedi ke atas wanita yang tidak dapat bersuara.
 
Antalas Sukma
Antalas Sukma oleh Sosonjan A.Khan (seperti yang dipetik dipetik dari blurb buku ini) merupakan sebuah novel yang mengisahkan tentang kecekalan dan kesabaran seorang isteri bernama Sofi. Razak, suami Sofi adalah seorang yang mementingkan diri dan kerjaya tanpa menghiraukan perasaan dan keinginan Sofi. Meskipun dia tahu suaminya ada hubungan dengan wanita lain, namun dia tetap setia, cuba untuk tidak mempedulikan cakap-cakap orang di sekeliling dan hanya menumpukan perhatian kepada rutin kerja-kerja rumahtangganya. Sehingga pada suatu ketika Sofi bersua semula dengan sahabat lamanya, Sahary.  Kehadiran Sahary sedikit sebanyak menceriakan hidupnya yang serba terbelenggu. Sahary yang dapat memahami perkara sebenar cuba sedaya upaya meraih cinta Sofi. Di sini timbullah rasa ingin tahu bagaimana kesudahannya hubungan Sofi dengan Sahary. Pembaca yang sudah sangat marah kepada Razak dan keluarga Razak mengharapkan sesuatu berlaku.  
Cerita Antalas Sukma dikembangkan dari saat Sofi dikahwinkan dengan Razak atas pilihan keluarga kedua belah pihak. Sofi mengikut Razak ke tempat barunya lalu terjadilah perpisahan dengan keluarga dan kampung halaman. Perkahwinan digambarkan debagai garis pemisah  dan titik tolak yang akan menentukan segalanya. Bermula dengan perkahwinan itu, dia melalui hari-hari yang rutin sebagai suri rumah tanpa keriangan yang diharapkan. Suaminya Razak merupakan ahli perniagaan yang terlalu sibuk untuk memberinya kemesraan walaupun tidak terlalu sibuk untuk jatuh cinta dengan wanita lain.
Dari awal lagi Sofi dimunculkan sebagai wanita yang tidak berdaya, nasibnya dan perjalanan hidupnya ditentukan oleh orang-orang lain di sekelilingnya. Perkahwinan bagi wanita bukan soal peribadi tetapi urusan keluarga dan masyarakat. Hal ini adalah warisan turun temurun. Wanita dinafikan hak untuk bersuara tentang perkahwinan. Perkahwinan bagi wanita adalah tuntutan kemasyarakatan untuk menyelamatkan keluarga, khasnya daripada ditimpa malu kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini. Inilah hak bersuara dan merasa yang dinafikan dalam Antalas Sukma. Wanita seperti Sofi langsung tidak mempunyai hak untuk menentukan jalan hidupnya sendiri.Sofi telah cuba bertanya kepada orang tua “kenapa Sofi tidak boleh menentukan haluan hidup sendiri”. Dia menerima jawapan, “Haluan apa? Orang-orang dahulu pun tidak memilih calon hidup sendiri”.(hlm:5). Anak gadis tidak harus dibiarkan lama. “kau fikir selamat kalau anak gadis tidak dijodohkan cepat-cepat?” (hlm 4).  Ini juga memberi implikasi yang  wanita mesti ‘dijaga’ kerana mereka tidak ada kemampuan untuk menjaga diri sendiri.
Hal yang serupa terjadi kepada watak Dara dalam filem P.Ramlee Semerah Padi. Ia juga berlaku kepada Radha dalam filem Hindi yang termasyhur,Sangam. Ia telah berlaku kepada wanita Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) Tun Kudu, Tun Fatimah dan Tun Teja bahkan Puteri Hang Li Po yang dibawa menyeberang lautan untuk dijadikan persembahan kepada Sultan Melaka dalam usaha meneguhkan negara kota. Seperti Dara dalam Semerah Padi yang hanya dapat berkata “aku bahagia kalau kau bahagia”.
Perkahwinan memutuskan wanita dari yang lain seperti monolog Sofi “Razak satu-satunya dan tidak akan pernah ada lagi nama lain yang boleh menyelinap masuk ke ruang kalbunya”. Wanita sering mengenepikan perasaan sendiri diminta melakukan apa sahaja bagi membahagiakan suami yang berhak merasa bahagia bila berada di rumah. “Dan Razaklah yang bakal menentukan syurga neraka untuk alam akhiratnya”. (hlm 8). Banyak karya yang menonjolkan penekanan masyarakat terhadap wajibnya isteri berusaha membahagiakan suami tetapi melupakan bahawa Islam juga meletakkan tanggungjawab ke atas suami untuk membahagiakan isteri. “Memberi kegembiraan kepada suami dituntut agama” (hlm. 55). Segala perasaan lain, misalnya perasaan rindu kepada keluarga yang sudah lama tidak ditemui mestilah diketepikan dan dinafikan.
            Adakah hal ini selaras dengan tuntutan Perkahwinan dalam Islam. dilihat sebagai ikatan yang sepatutnya membawa permuafakatan kedua belah pihak. Namun seperti biasa hanya isteri yang diperingatkan tentang tanggungjawab itu. “Membahagiakan Razak itu wajib dan pahala bagi dirimu” 49. Walhal Allah SWT telah mengingatkan bahawa wanita tidak sepatutnya dimiliki secara paksa dan kekerasan melalui ayat yang bermaksud: 
Wahai orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.(Surah An-nur ayat 19)

            Walau bagaimanapun Sofi digambarkan sebagai wanita yang tidak mudah berputus asa. Dia membawa kejujuran yang digambarkan sebagai “segunung kejujuran sebagai taruhan untuk mendapatkan kebahagiaan”. Di samping Sofi terdapat wanita-wanita lain yang sama-sama menderita, tertindas dan tidak dapat menyampaikan perasaan dalam novel ini.
            Kembali kepada mitos Yunani, di sini Razak digambarkan sebagai watak yang memotong lidah Sofi untuk tidak bercakap. Sosonjan menggambarkannya dengan menarik sekali bagaimana Razak memegang remote control television dan membesarkan suara television setiap kali Sofi cuba mencurahkan apa yang dipendamkannya sekian lama. Razak tidak membenarkan Sofi pulang ke kampung supaya Sofi tidak dapat bercakap secara bebas dengan orang-orang yang dikasihinya.  “jadi kau mahu balik dan berehat? Mahu memberitahu kepada semua orang kampungmu bahawa selama ini kau terlalu penat dan tidak berpeluang berehat?” (hlm 19). Seperti Philomela dalam mitos, Sofi tidak dapat bercakap lagi kerana tiada siapa lagi yang dapat atau mahu mendengar

.

Alam Dan Gaya Penceritaan Sosonjan.
            Pengarang banyak menggerakkan cerita melalui monolog Sofi dengan keadaan di sekeliling khasnya dengan alam di samping bermonolog dengan television. Begitulah caranya untuk melayani perasaan yang tertekan. Setiap yang berlaku dalam alam mempunyai makna ke atas diri sendiri dan konflik jiwa yang dialami.
            Di suatu ketika Sofi menonton peristiwa kemalangan yang menimpa Puteri Diana. Terjadilah monolog di dalam dirinya tentang puteri yang di mata dunia memiliki segalanya, bersuamikan Putera Charles, pewaris takhta. Kebisuan tetap dideritai  walaupun oleh wanita seperti Puteri Diana. Dari monolog itu pengarang membuat garis garis pertemuan antara konflik Puteri Diana dengan konflik jiwanya sendiri. Kedua mereka mengidamkan teman hati atau teman sejati yang dapat mendengar suara hati. Adakah dunia tahu semua ini? Sofi mengenang puteri yang malang yang terkorban ketika sedang  mengejar sebuah kebebasan jiwa yang hakiki akhirnya tewas dalam sebuah pergelutan mengejar impian. “Dia bukan petualang yang bertopeng kepalsuan. Bukan mencari intan permata. Yang dicarinya adalah sebuah kejujuran dan harga diri sebagai seorang wanita” (hlm 22).
 Sosonjan juga banyak menggunakan monolog dengan alam, sesuai dengan dirinya yang juga penyair. Monolog Sofi dengan Alam terdapat pada banyak tempat, antaranya:
1)      Rutin hidup yang dilalui digambarkan sebagai bayang demi bayang yang tidak dapat ditentukan bentuknya. Dari subuh ke malam, mimpi demi mimpi menghantar ke hujung siang. Sedangkan tiap dinding-dinding  sekeliling bagaikan tembok tembok puaka yang mengurung harapan demi harapan. Walau bagaimanapun sebagai wanita Islam kedatangan hari demi hari dilihat sebagai membawa hari baru dan harapan baru. Esok datang membawa harapan harapan dan harapan itu yang menolak ke hadapan memberi kecekalan untuk terus meniti kehidupan.
2)      “ Sofi melihat dirinya terdampar di pantai yang terlalu asing. Tiada sesiapa di pantai. Dia ingin bersuara menyatakan apa yang dirasakannya ketika itu. Namun dia tidak berdaya” (hlm 42).
3)      Tanggungjawab yang dikenakan ke atas isteri untuk membina rumahtangga bahagia digambarkan sebagai “Longgokan bahan binaan untuk mendirikan sebuah mahligai. Dan dialah yang memikul tanggungjawab atau kerja berat mendirikan binaan. Dia membawa kejujuran segunung kejujuran sebagai taruhan untuk mendapatkan kebahagiaan. Razak satua-satunya dan tidak akan pernah ada lagi nama lain ya seng boleh menyelinap masuk ke ruang kalbunya. Dan Razaklah yang bakal menentukan syurga neraka untuk alam akhiratnya” (hlm. 8).
4)      “Siang seperti merangkak menggapai malam. Dan malam mengerang suara-suara sepi menyeru sinar siang. Menanti dan mencari-cari sebuah makna kehidupan, begini sajakah erti kehidupan ini?” (hlm 23).
5)      Malam semakin kelam. Sunyi semakin deras melangkah, mara dengan sejuta perkasa menyeret dirinya jauh di lembah asing. Sepi Adalah Belati.
6)      Burung-burung laut terbang tinggi (hlm 27). Pohon-pohon camar tak henti-henti melintuk ke kanan ke kiri disapu desir angin. Keciak-keciak lebih besar tercipta bagai gelombang, menyasar beriak-riak terus ke tepi pantai. Sedikit demi sedikit ketabahan pantai terhakis mencoret bentuk-bentuk tersendiri. Pantai dan laut. Laut dan pantai, adalah dua objek yang saling dekat. Dan pasir, tetaplah ia sebagai pasir yang tercipta, menerima yang datang dan pergi, tetap tiadak berganjak di tepi pantai. Mencari kedamaian di tepi pantai. Bab 14,
7)      Dia yang tidak boleh bersuara selalu saja diganggu suara-suara.lebih lebih lagi bila suaminya ada hubungan dengan perempuan lain. Dia ingin lari dari suara-suara yang bercakap dan bertanya. Sofi ingin bersembunyi, semakin dekat pula gendang-gendang berapi mengejarnya. 53. Sofi menjerit. Menjerit dan bertempik dalam gaung maha dalam. Dan sahutan adalah bau-bau bangkai dalam warna warna keliru.
Bagaimana Sofi menyelesaikan persoalan?
Novel ini menggambarkan Sofi seorang yang tidak berputus asa. Dia terus hidup di atas harapan  harapan segalanya akan berubah.”Esok datang membawa harapan harapan dan harapan itu yang menolak ke hadapan memberi kecekalan untuk terus meniti kehidupan.”. Sofi juga mengambil iktibar lebih ramai wanita miskin yang hamil dan mengurus anak sendiri tanpa bantuan. Cerita diakhiri dengan Sofi melupakan segala kemungkinan dengan Sahary. Sofi juga tidak berharap kepada Razak tetapi menyatu dirinya dengan Allah.  Dia belajar untuk mengecap nikmat sepi sebagai anugerah Ilahi.

CERPEN: TSUNAMI DI HATINYA oleh Norsiah Gapar

            Cerpen ini berkisar di sekitar kehidupan  seorang wanita surirumah sepenuh masa yang digambarkan “yang telah terbiasa dengan kehidupan rumahtangga yang rutin”.  Dia juga seperti Sofi. Wanita yang tidak diberi nama ini berusia limapuluhan dan mula kelihatan dimamah usia. Pengarang menggunakan analogi yang menarik  dan agak lucu tentang garis usia yang tidak dapat ditahan  “macam polis trafik menahan kereta di jalan raya”.
            Dia tinggal di sebuah rumah besar yang dipenuhi bilik-bilik kosong kerana anak-anak sudah dewasa dan mempunyai penghidupan sendiri. Suaminya sudah lebih tiga tahun bersara mandatori.
Dan mereka menikmati kecukupan malah kemewahan fizikal dan material. Atas alasan masih sihat dan kuat, suaminya membangunkan syarikat perniagaan menggunakan sebahagian daripada wang ganjaran persaraan.Suaminya sering keluar negara untuk mengurus perniagaan.  Cerita diakhiri dengan kejadian malapetaka Tsunami dan pada ketika itu suaminya dilaporkan sedang berada di sana.  
            Cerita dikembangkan melalui monolog dan imbas kembali Dia pada pagi 26 Disember 2007. Di situlah diceritakan bagaimana Dia dahulunya seorang pelajar pintar dan gadis beriman telah dikahwinkan oleh ayah sebelum sempat menduduki peperiksaan akhir walaupun dia yakin akan meraih keputusan cemerlang. Dengan perkahwinan itu hancurlah segala harapan dan musnahlah segala impian untuk belajar di luar Negara dan membina kerjaya yang baik. Dengan perkahwinan itu Dia pun melalui kehidupan sebagai seorang suri rumah dengan rutin yang mudah membosankan.
            Seperti Sofi dalam Antalas Sukma dia adalah wanita yang dibisukan atau dipotong lidahnya mengikut mitos Greek itu. Dia tidak ada kebebasan untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Dia merupakan antara pelajar yang terbaik di seluruh negara namun dia tidak upaya untuk berhujjah untuk meyakinkan ayah dan ibu bahawa dia tidak akan melakukan sesuatu yang buruk kalau dibenarkan belajar di luar negara kelak. Sebagai gadis Timur yang terkongkong oleh konvensi adat dia hanya mengikut apa yang diatur ke atasnya walaupun pembaca boleh membayangkan betapa hancur hatinya. Sebagai isteri dia ingin memberi pendapat bahawa suaminya tidak perlu membangun perniagaan dan lebih baik menumpukan masa untuk beribadat, apatah lagi suaminya digambarkan sebagai seorang yang  banyak kekurangan dalam urusan hubungan dengan Allah swt. Dia hanya mampu berdoa sambil mensyukuri setiap nikmat dan rahmat yang sedang dikecapi. “Alhamdulillah, berkat rezeki Allah yang sewajarnya disyukuri. Dan dia memang selalu mensyukuri. Tapi kata suaminya  bosan kalau tidak buat apa-apa. Sedangkan suaminya boleh mengisi masa itu untuk memperbanyakan lagi  pahala melalui amal ibadat yang perlu diperbaikki.”
            Seperti Sonsonjan, Norsiah juga menggunakan unsur  alam bagi menggambarkan perasaan wataknya. Di pagi Ahad 26 Disember 2004 dia sedang duduk menghadap kaca TV melayani kesepian Suaminya sudah dua hari terbang ke Bangkok  atas urusan bisnis dan anak-anaknya masing-masing ada acara sendiri lantas terpaksa melemparkan ia di  gaung  sunyi  rumah batu dua tingkat yang penuh dengan kamar-kamar kosong. Kamar yang dulu diisi keriuhan anak-anak dalam meniti  kehidupan  ke alam dewasa.
            Cerpen ini menggambarkan kehidupan wanita yang biasanya tidak banyak meminta. Hal ini dimanifestasikan melalui: KEPERLUAN WANITA sangat sedikit dan sederhana. Jam mahu menghampiri angka 12. Keseorangan begitu dia amat santai. Dia wanita sederhana dan tidak meminta. Dalam segi makanan. Tidak perlu menyediakan makan tengah hari kerana untuknya seorang sekeping sandwich berintikan telur dadar pun  sudah mencukupi. Kadang-kadang kalau ia diserang penyakit malas,  buah-buah segar sahaja jadi habuannya. Itupun sudah mengenyangkan. Memang sejak dulu dia begitu. Tidak begitu memberatkan soal makanan.
Pembaca mengenali dengan lebih dekat dan bersimpati  bila dia mengenang kembali jalan hidup yang telah dilalui. Dia boleh dikatakan seorang gadis yang pintar, rupa sederhana dan taat akan perintah orang tua. Didikan agama yang diterimanya sejak kecil  meyakinkan dia bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Dosa engkar orang tua adalah dosa besar kedua selepas dosa syirik kepada Allah SWT.
            Perkahwinan sekali lagi. Sebenarnya dia sendiri tidak mengerti kenapa ia  disuruh belajar demikain tinggi kemudian diarahkan berhenti hanyalah kerana mahu dikawinkan?Dalam gambaran Dia Perkahwinan memutuskan segala cita-cita dan harapan. Perkahwinan adalah jalan untuk menjamin nama baik keluarga tetap terpelihara.  Gambaran hancur hati dan kekecewaan itu digambarkan melalui “Ia merasa seperti  ditatang di atas sebuah puncak yang tinggi dengan hamparan emas yang menghimbau, tiba-tiba  kemudian dihumbankan ke dalam gaung yang sempit, gelap  dan melemaskan.
Ibunya juga tidak berdaya membelanya kerana kata putus adalah di tangan ayah. Lebih lebih lagi ayahnya adalah seorang  imam yang warak tidak mahu anak perempuannya satu-satunya menuntut di luar negeri. Kata pengarang “Abahnya takut kalau-kalau ia akan menconteng arang di muka keluarga”.
Imej wanita yang dinafikan hak bersuara itu terlihat sejak mula. Bila diberhentikan dari sekolah dia ada sebab-sebab yang kukuh untuk membantah tetapi tidak dapat berkata apa-apa. Sebagai pelajar yang cerdik dan mematuhi ajaran agama, dia tentu tahu adanya hadis yang  mewajibkan lelaki dan wanita menuntut ilmu.  Lalu ia menerima segalanya dengan reda dan menganggap segalanya sebagai  ketentuan Allah untuknya. Ia percaya  ada hikmah di sebalik segalanya. Dia harus selalu berfikiran positif dan baik sangka. Di zaman ramai remaja belum memahami motivasi diri., visi dan wawasan dia sudah mengadopsi  sikap demikian ke dalam diari hidupnya lewat pembacaan buku-buku berat yang menjadi kegemarannya. Allah telah mengurniakan dia sekeping hati yang peka. Alhamdulillah!
            Dengan perkahwinan, dia tidak ada pilihan lain selain membentuk dirinya menjadi seorang isteri yang taat dan meyenangkan hati suami.  Sebagaimana yang terjadi kepada Sofi, dia juga diasuh dan diingatkan bahawa kini ketaatannya tertumpah sepenuhnya  kepada suaminya.  Seperti Sofi dia percaya bahawa suami menentukan segalany dunia dan akhirat. “Kini dia harus taat kepada suami kalau mahu mencium  bau syurga”. Ia ingat ibunya telah menyeka air mata yang luruh di pipinya  dengan tangan yang begitu lembut sekali Baris-baris ini menggambarkan dua wanita yang sedang berduka dan menangis kerana tidak berdaya.Seperti suami Sofi,  suaminya seorang lelaki tidak pun punya ciri-ciri romantik yang sering ia baca lewat  novel bahasa Inggeris yang dipinjam dari teman sekolahnya. Dalam dataran  waktu yang mereka lalui bersama dia  cuba untuk mencambahkan benih cinta dan sayang; sementelah dia belum pernah mencintai sesiapa.
Seperti Sosonjan, Norsiah juga mengembang cerita menerusi  penyatuannya  dengan alam. Dari cerpen diketahui bahawa “Riadah yang paling disukainya ialah  berjalan di gigi pantai berkaki ayam. Sesekali ombak datang memecah di kakinya yang putih mulus itu, ia akan ketawa geli yang mengundang senyum suaminya. Senyuman yang teramat mahal dan bukan mudah diperolehi. Unsur bisu dan sepi. Selalunya masa bersama mereka adalah masa santai dalam diam. Kerana dengan dirinya, suaminya  tidak suka banyak cerita. Dan dia pun  bukanlah seorang wanita yang dilahirkan gemar bercakap. Kebiasaannya  hanya mengucapkan  dua tiga patah perkataan yang  bernas. Selebihnya ia hanya senyum  mendamba pengertian.
Seperti suami Sofi, suaminya juga bukan seorang yang romantik dan tidak pernah mengucapkan kata-kata cinta, kasih dan sayang selama mereka bersama. Dia hanya mampu berpuas hati dan menerka munkin suaminya  sudah ada pilihan hati sebelum dirinya. Dan seperti dirinya, suaminya juga munkin seorang  anak yang taat kepada ibunya. Justeru  setuju  mengahwini pilihan ibunya.    Kehidupan diteruskan dan mereka dikurniakan  empat orang zuriat: dua lelaki dan dua perempuan. Suaminya  seorang lelaki yang bertanggung jawab ke atas kelangsungan hidup anak-anak mereka. Sumainya tidak pernah munkir dari mengunjuk wang keperluan rumah demi kemewahan anak-anak. Tetapi dia dengan kebijaksanaan didikan ibunya  akan memastikan anak-anaknya tidak hanyut dalam arus pembaziran. Pelajaran anak-anak berjalan lancar atas kesedarannya ingin menjadikan mereka orang berilmu demi kebaikan dunia dan akhirat. Kedua putrinya melanjutkan pelajaran ke  negeri orang putih. Mereka berkomunikasi melalui surat-surat dan sekali sekala bertelefon. Ia pastikan anak-anaknya senantiasa di dalam pemantauan yang rapi darinya. Demikianlah anak-anaknya dipastikan terdidik supaya senantiasa berada di jalan yang lurus; mendekati kemakrufan dan meninggalkan kemunkaran. Alhamdulillah, mereka selamat Tiada yang menconteng  arang di muka seperti yang digeruni oleh arwah abahnya dulu.
            Perwatakan suaminya selain seorang yang tidak romantic digambarkan seorang yang tidak terlalu patuh dalam soal hubungan dengan Allah. Suaminya  juga pernah menjalin hubungan  dengan setiausahanya Anak-anaknya marah dan kecewa lalu mendatangi wanita itu di pejabat ayahnya. Perempuan itu seorang yang berani dan lancang. Katanya dia  tidak bertepuk sebelah tangan.      Bila segalanya sampai ke pengetahuannya, alangkah hancur hatinya. Dia tidak digambarkan sebagai cemburu atau marah tetapi  malu dan seolah segala harga dirinya  hancur lumat  dipijak-pijak orang.
Terjadilah peristiwa dia mengangkat suara di hadapan suaminya. Katanya kepada suaminya kalau suaminya  benar-benar ingin beristeri lagi dia rela tetapi jangan berbuat maksiat. “Malu kepada Tuhan. Malu kepada masyarkat sekeliling. Malu pada anak-anak. Bukankah yang didambakan seorang bapa adalah rasa hormat dari anak-anaknya?  Dia bercakap tentang maksiat, dosa besar dan kematian yang ditakuti. Dan kata pengarang, Pertama kali itulah ia pernah berkhutbah di depan suaminya. Tidak pernah sebelum itu dan tidak pernah lagi sesudah itu.” Ini memperlihatkan dengan jelas sifat suami isteri itu.
            Kenangannya terhenti bila ada ‘news flash’ terpampang di muka TV. Beberapa buah negara bermula dari barat daya Pulau Sumatera  hingga ke Teluk Parsi dan kawasan persekitarannya ditimpa bencana Tsunami.  Di depan matanya terentang senario yang kacau bilau dan mengerikan. Antara tempat yang paling teruk dilanda dan menunjukkan angka mangsa terkorban paling tinggi ialah Phuket, Thailand.
            Dia teringat kepada suaminya lalu segera menelefon. Walaupun suaminya di Bangkok dia mahu memastikan keadaan selamat.  Namun nombor suami yang didail tidak memberikan sebarang jawapan malah  senyap dan sepi. Dia mencuba nombor rakan niaga suaminya Robert Tan rakan niaga suaminya. Mr Tan memberitahu Rustam telah pergi ke Phuket. Dari sini debaran jantungnya semakin kencang. Apa yang terjadi kepada suaminya? Pengarang tidak memberikan jawapan, seolah-olah membiarkan pembaca mengandai-andaikan sendiri. Tetapi pemergian Rustam ke Phuket mendedahkan segala-galanya tentang lelaki itu. Dia adalah seorang yang berpoya-poya di tempat hiburan, mungkin terlibat dengan maksiat dan pelacuran. Maka itu menjawab mengapa dia tidak perlu berkahwin lagi.

WANITA MELAYU TERAWAL
            Isu perkahwinan dan wanita yang dibisukan turut diolah oleh Amelia Hashim dalam dramanya “Wanita Melayu Terawal” yang disiarkan buat pertama kali Dewan Sastera Julai 2007,Ogos 2007 . Drama ini menceritakan pelajar  sebuah universiti yang sedang menulis tesis tentang wanita-wanita Sejarah Melayu. Drama berkisar pada watak-watak seperti Tun Teja, Tun Kudu  dan Tun Fatimah yang kesemuanya menjadi mangsa percaturan lelaki.  Zuhar, seorang siswa yang sedang menulis tesis berjodol “Wanita dan Kewanitaan, satu emansipasi’ sering diganggu mimpi bertemu dengan watak-watak wanita Sulalatus Salatin terutama Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah. Dalam bayangan dan igauannya Zuhar mencurahkan pandangannya dan semua ini lebih merupakan pemikiran pengarang terhadap isu-isu semasa.
Amelia Hashim menggunakan episod Tun Kudu untuk menyatakan beberapa pandangan terhadap kehidupan terutama yang dilalui oleh wanita. Zuhar mengagumi watak Tun Kudu. Melalui dialog Tun Kudu pengarang mencurahkan pendapatnya bahawa wanita amat setia kepada perkahwinan dan tidak mudah menukar perasaan cinta tidak kira wanita zaman sekarang atau  wanita dahulu. Kata Tun Kudu, “ Tanyalah wanita zamanmu! Menukar suami bukan semacam menukar baju.”
Drama “Wanita Melayu Terawal” juga mengandungi pandangan terhadap  isu cinta dan kesetiaan. Isu ini telah digarapkan oleh beberapa orang penulis semasa termasuk Sasterawan Negara Usman Awang melalui dramanya “Menyerahnya Seorang Perempuan”. Terdapat perbahasan menarik  berkisar pada hubungan Tun Kudu dengan Sultan serta perbezaan makna dan nilai cinta kepada perempuan dan lelaki. Sultan telah mengenepikan perasaan wanita demi untuk terus berkuasa. Tun Kudu diceraikan dan diserahkan pula kepada lelaki lain tanpa mengambil kira perasaan dan pendapatnya sendiri.
Namun begitu ada perkara yang lebih menarik yang diperkatakan oleh Amelia Hashim.
Amelia turut memperkatakan isu peranan domestik dan peranan publik yang dipegang oleh wanita yang dimanifestasikan melalui watak Tun Kudu.   Selain itu sangat menarik kerana penulis mengemukakan persoalan tambahan yang tidak disentuh oleh Usman Awang iaitu perwatakan Tun Perak, adik Tun Kudu yang disanjung kerana kepahlawanannya. Bagi Amelia Tun Perak (seperti juga Sultan) adalah lelaki yang mementingkan kedudukan dan kuasa tanpa mempedulikan perasaan kakak sendiri.

TUN KUDU: Apa tidak adakah cara lain! Selain melumatkan jiwa dan perasaan
                   aku. Kalau kau sebagai adik aku! Rela runtuhkan rumahtangga
                   kakak sendiri demi kepentingan peribadi. Mencari kedudukan dan
                    pangkat.


TUN KUDU bertanya apakah wanita tituntut supaya berkorban. Menjadi wanita adalah untuk berkorban atau lebih teruk lagi menjadi korban.

Lebih menarik ialah di dalam drama ini terdapat kritikan terhadap penulisan Tun Seri Lanang. Sikap pengarang lelaki ini disampaikan melalui watak Zuhar.

ZUHAR: Tapi semua wanita dalam buku ini seolah-olah diperalatkan. Tidak digambar dengan jelas kemahuan dan cita-cita mereka. Mereka hanya diangkat bagi satu-satu tujuan. Hanya muncul apabila timbul kepada persoalan. Kemudian dihilangkan begitu sahaja. Peranannya tidak ditonjolkan lagi.

Apa yang disuarakan oleh Amelia ini selaras dengan suara pengkritik-pengkritik feminis yang mendapati bahawa pengarang lelaki telah mengabaikan watak wanita. Beliau mengkiritk sistem Patriaki dan pelbagai cara yang dijalankan oleh lelaki untuk memiliki wanita termasuk  kekejaman yang dilakukan terhadap  Tun Fatimah dan tipu helah Hang Tuah  terhadap Tun Teja. Dalam kes Tun Kudu Sultan lebih mementingkan perasaan lelaki lain, iaitu Tun Ali dalam membuat keputusan.  

PENUTUP

Demikian tiga buah karya yang dipilih untuk dibicarakan dalam pertemuan sasterawan Nusantara pada kali ini.  Ketiga-tiganya merupakan tragedi yang menimpa wanita. Nasib malang itu terjadi kerana wanita dinafikan hak untuk bersuara.  Mereka terpaksa mengurung rasa dan kalau disuarakan pun belum tentu akan didengar oleh sesiapa. Sesungguhnya banyak lagi novel, cerpen atau drama yang telah dihasilkan oleh penulis wanita berkisar pada isu wanita dan kewanitaan khasnya yang mencakupi kehidupan wanita di Nusantara. Dalam keadaan ini penulis-penulis wanita Nusantara termasuk Sosonjan, Norsiah Gapar dan Amelia Hashim dilihat sebagai pembina semangat sisterhood dan membantu untuk menyuarakan perasaan dan pemikiran demi jatidiri wanita serumpun se Nusantara. .