ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Saturday, April 18, 2015



Pada 15 April 2015, saya telah menyampaikan ceramah berkaitan menulis biografi, autobiografi dan memoir di Universiti Utara Malaysia. Bengkel dua hari ini adalah anjuran UUM Press. Beberapa orang penulis biografi, autobiografi dan memoir telah dijemput untuk menceritakan pengalaman masing-masing, yang dapat menjadi panduan kepada penulis-penulis yang sedang giat menyiapkan tulisan masing-masing. 


Secara ringkasnya  Biografi, Autobiografi dan Memoir  ditakrifkan sebagai kisah hidup seseorang. Kamus Dewan (edisi 4) mencatatkan biografi ialah riwayat atau kisah hidup seseorang, cabang sastera yang berkaitan dengan riwayat atau kisah hidup seseorang (191). . Autobiografi: riwayat hidup yang ditulis sendiri  (91) Memoir: biografi yang berasaskan kenang-kenangan seseorang tentang pengalaman dan peristiwa dalam hidupnya.
Kisah Tokoh dan Kisah Benar
Dua ciri penting di dalam penulisan biografi, autobiografi dan memoir ialah ia mengandungi maklumat tentang seseorang dan maklumat itu diterima sebagai maklumat yang benar. Penulisan ini akan memberi maklumat first hand tentang kehidupan tokoh dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam hidupnya. Dalam konteks ini seseorang itu adalah tokoh yang penting dan dikenali oleh masyarakat. Ciri penting yang melayakkan sesuatu tulisan diterima sebagai biografi, autobiografi atau memoir ialah kebenaran fakta.
Ketiga-tiga jenis tulisan ini tidak boleh mengandungi cerita yang tidak benar atau ditokok tambah dengan elemen rekaan. Misalnya seorang Profesor atau tokoh akademik Negara menulis tentang dirinya dan menceritakan tentang kehidupan masa kecilnya yang dihimpit kemiskinan. Beliau tidak boleh menokok tambah kisah-kisah sedih bagi menimbulkan simpati atau membangkitkan keinsafan di kalangan pembaca. Misalnya jika ayahnya seorang penoreh getah yang menoreh di kebun sendiri, dia tidak boleh mengatakan ayahnya mengambil upah menoreh di kebun orang lain dan tuan kebun itu pula selalu menipu dan tidak memberi upah yang setimpal. Begitu juga jika seseorang menulis mengenai kisah hidup tokoh perniagaan atau usahawan yang berjaya dan kaya. Beliau menyingkap kisah jatuh bangun usahawan tersebut dan segala cabaran yang dilalui. Jika usahawan itu pernah mengalami kerugian dua ratus ribu maka dia tidak boleh menambah-nambah kerugian itu kepada lima ratus ribu dengan tujuan memperlihatkan bagaimana sukarnya jalan yang dilalui oleh usahawan tersebut. Hal ini dianggap sebagai memalsukan fakta.
Riwayat tokoh mengandungi maklumat penting dan bersejarah.
Apabila menulis kisah hidup tokoh, penulis hendaklah faham apakah peranan tokoh yang paling penting atau sumbangan tokoh kepada bangsa dan negara. Penulis hendaklah benar-benar mengenalpasti dan memberi highlight kepada peranan tersebut. Di samping itu peristiwa dan pengalaman yang dilalui tokoh adalah peristiwa-peristiwa penting yang memberi maklumat berguna, malah bernilai sejarah, khasnya di dalam bidang yang diceburi oleh tokoh Apabila menulis tentang Menteri Pelajaran yang pertama maka cerita tentang tokoh itu mestilah menonjolkan peranannya dalam membentuk sistem pelajaran negara. Dengan ini khalayak juga mendapat pengetahuan tentang system pendidikan pada zaman penjajah dan awal kemerdekaan. Mendapat maklumat tentang suasana persekolahan , guru-guru dan sebagainya. Jika menulis tentang riwayat hidup seorang Raja di Malaysia, tulisan itu mesti menitikberatkan adat istiadat, undang-undang dan system beraja di Malaysia..
Pengarang diketahui
Satu ciri penting penulisan ialah pengarang yang menghasilkan penulisan tersebut adalah dikenal dengan pasti. Walaupun si penulis mungkin menggunakani perkhidmatan orang lain dalam  membuat penyelidikan atau mengupah seorang ghost writer ia tetap dikira ditulis oleh penulis yang namanya tercatat pada buku yang diterbitkan. Jika anaknda seorang sultan berhajat menulis biografi  ayahndanya tetapi mengupah beberapa orang untuk menjalankan kerja-kerja menyelidik dan menulis, namun akhirnya meletakkan namanya seorang sahaja sebagai penulis, maka dialah yang dianggap penulis biografi tersebut. Beliaulah yang dipertanggungjawabkan bagi mengesahkan kebenaran dan kesahihan segala yang dikisahkan . 

Beza dengan Hikayat, Novel sejarah, novel autobiografi dan anekdot.
Biografi, autobiografi dan memoir mestilah dibezakan daripada penulisan lain yang juga menceritakan tentang seseorang  tokoh seperti hikayat (contohnya Hikayat Hang Tuah). Ianya juga berbeza daripada tulisan-tulisan yang turut mengandungi kisah-kisah yang benar berlaku seperti novel sejarah, novel autobiografi dan anekdot. Hikayat tidak ditulis oleh seseorang pengarang yang dikenalpasti. Memang benar hikayat, novel autobiografi atau novel sejarah mengandungi kisah-kisah yang benar berlaku dan mengandungi fakta-fakta sejarah tetapi penulisan sebegini turut mengandungi cerita rekaan dan watak-watak yang tidak wujud. Tidak ada garis yang memisahkan kenyataan dan khayalan.
Anekdot adalah cerita cerita benar tetapi yang penting ia memperlihatkan budaya, human interest, menghiburkan, lucu, unik. Oleh yang demikian tulisan ini tidak diterima sebagai biografi, autobiografi dan memoir.

TUJUAN MENULIS
      Mengenal tokoh dengan lebih dekat
      Mengetahui latarbelakang sejarah, isu-isu penting bangsa (misal biografi seorang Sultan menambah pengetahuan ttg institusi beraja). Yang hendak diketahui bukan semata riwayat tokoh tetapi hal-hal penting dalam bidang khasnya di mana tokoh terlibat . Memberi MAKLUMAT FIRST HAND
       PERJUANGAN: Biografi etc berada di tengah tulisan yang berupa laporan dan cereka. Ia adalah kebenaran yang dimasukkan emosi, pandangan pengarang. Rujuk ROOTS  ALEX HALEY yang menulis tentang kekejaman dalam amalan perhambaan orang kulit putih ke atas bangsa kulit hitam. Alex Haley telah membuat kajian di Afrika untuk mencari salah silah keturunannya. Shttp://teacher.scholastic.com/writewit/biograph/biography_meet.htm, dapat dibaca kisah pasangan kulit hitam Patricia and Fredrick McKissack yang kerja mereka menulis kisah hidup tokoh-tokoh yang memperjuangkan nasib orang-orang kulit hitam di Amerika. Mereka menulis dengan misi supaya generasi baru kulit hitam tidak melupai  asal usul dan penderitaan nenek moyang mereka. Mereka menulis untuk kanak-kanak dengan tujuan "One of the reasons we write for children is to introduce them to African and African-American history and historical figures and to get them to internalize the information not just academically, but also emotionally. We want them to feel the tremendous amount of hurt and sadness that racism and discrimination cause all people, regardless of race,".

Sasterawan Negara Usman Awang
Seterusnya penulis membicarakan buku Sasterawan Negara Usman Awang, (Dewan Bahasa dan Pustaka 1990, ed.kedua 2006) dan Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (UKM 2003). Keduanya memberi penekanan kepada kisah kehidupan yang telah membentuk pemikiran dan melahirkan karya-karya kreatif. Dalam Sasterawan Negara Usman Awang penulis membicarakan ketokohan dan kepentingan Usman Awang di dalam perkembangan sastera, khasnya puisi moden manakala Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi mengungkap pengalaman dan proses kreatif yang dilalui oleh penulis yang difikirkan dapat memberi teladan dan manfaat kepada khalayak khasnya calon penulis.

Apa yang mesti ada di dalam biografi atau memoir seorang penyair dan sasterawan adalah pengalaman yang berkaitan dengan penglahiran karya sastera. Aspek yang perlu ditekan ialah kehidupan yang dilalui oleh tokoh yang dibicarakan, khasnya bagaimana apa yang dilalui telah mempengaruhi pemikiran dan membentuk karya-karya mereka.Bagi buku Sasterawan Negara Usman Awang, penulisan dimulakan dengan gambaran kehidupan masakecil . Di samping itu ialah peristiwa peristiwa sastera pada tahun 40han, 50han dan 60han terutama penubuhan Asas 50,  peranan pertubuhan tersebut pada bahasa dan negara. Sama pentingnya ialah keadaan atau situasi Negara pada zaman darurat dan perjuangan kearah kemerdekaan  politik dan kemerdekaan jiwa sepertimana yang digambarkan dalam novel yang amat menarik iaitu Tulang2 Berserakan.

Untuk menyesuaikan dengan suasana kreativiti, dan personaliti Usman Awang, penceritaan dimulakan dengan petikan senikata lagu Melayu asli “Kuala Sedeli". Senikata ini menggambarkan sebuah kampung nelayan

Kuala Sedeli di Negeri Johor
    kampong halaman kaum nelayan/
hatiku sedih belum terhibur/
    mengenang kekasih jauh di perantauan.

Kesayuan irama  dan lirik lagu,  seperti angin laut yang menyingkap  tirai kehidupan sebuah kampong nelayan  dengan rumah- rumah kecil beratap nipah, dan di antara rumah itu adalah rumah yang didiami oleh  Wan Awang Kechik bin Wan Din isterinya Halimah binti Abdul Rahman dan tiga anak lelaki mereka, Wan Ahmad, Wan Osman dan Wan Ismail. Sehingga m.s 4 barulah diberitahu bahawa Wan Osman anak Wan Awang Kecik itu sebenarnya ialah Usman Awang. Penceritaan tentang kisah hidup sebanyak 54 halaman adalah untuk memperlihatkan bagaimana pengalaman yang dilalui oleh Usman Awang semasa kecil ke zaman remaja telah membina pemikiran dan sikapnya. Suasana lagu ini membina suasana penceritaan seorang penyair yang terkenal sebagai romantic dan seniman alam. Barangkali tidak sesuai untuk menggambarkan ketangkasan seorang usahawan.Kehidupan sebagai anak muda di dalam pasukan polis, pemerhatiannya terhadap golongan kaya dan miskin, disertai oleh pembacaannya tentang kisah kesultanan Melaka telah membuka mindanya bahawa bangsanya sedang tertindas oleh penjajah asing dan tertindas juga oleh system feudal dan system kapitalis. Sikap dan pemikiran ini diolah dalam karya-karyanya seperti Matinya Seorang Pahlawan, Uda dan Dara , Pak Utih.

Usman  berhijrah ke Singapura lalu berada  di tengah perkembangan dan pergolakan sastera tanah air. 
Sebagai penulis biografi Sasterawan Negara Usman Awang saya seterusnya menumpukan penulisan bagi menghuraikan kedudukan dan kepentingan Usman sebagai seorang sasterawan yang diangkat menjadi sasterawan Negara ke 3. Saya telah menganalisis karya-karya penting terutama bagi memperlihat pemikiran Usman dan kepentingan kedudukan beliau dalam sastera dan masyarakat.

Dalam  Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, saya juga memulakan dengan menulis tentang kehidupan awal saya sebagai kanak-kanak di sebuah kampung di kedah. Hal ini adalah untuk memperlihatkan suasana yang menumbuhkan kecintaan terhadap puisi, iaitu bermula dengan mendengar lagu-lagu Melayu Asli dari radio. Senikata yang berisi pantun-pantun indah mendedahkan saya kepada keindahan ungkapan dan puisi Melayu tradisional terutama pantun. Memoir itu menerangkan  bagaimana saya mula menggarap baris-baris puisi kecil pada zaman remaja.

Ada perbezaan antara menulis biografi iaitu tentang seorang tokoh lain dengan menulis Memoir tentang diri sendiri. Dalam penulisan biografi boleh diperuntukkan sebahagian besar untuk memperkatakan tentang karya-karya dan memperlihatkan ketokohan Usman Awang. Hal ini tentulah tidak dapat saya lakukan bila menulis tentang diri sendiri. Saya tidak dapat mengulas dan menilai tulisan sendiri. Jadi seterusnya ialah menulis tentang pengalaman sebagai seorang penyair , Apakah hal2 yang saya fikirkan penting diketahui oleh khalayak?.
DALAM MENGOLAH saya berfikir dan mengingati, mengumpul kembali apakah soalan2 yang telah diterima sepanjang jadi penulis:Bagaimana puan mula menceburkan diri dalam penulisan? Bagaimana mendapat ilham?, Apakah dan bilakah sajak pertama tersiar?Selalunya apakah tema yang ditulis? Berapa lama masa diambil untuk menghasilkan sebuah sajak? Siapa mendorong? apakah pandangan saya tentang menjadi penulis yang baik? Tak lupa, bagaimana membahagikan masa dengan tugas rumahtangga.
Dengan soalan-soalan ini saya meneruskan penulisan untuk memberi jawapan yang sebaiknya. Lalu lahirlah huraian tentang: Bagaimanakah persekitaran yang dapat merangsang kreativiti. Peristiwa di sebalik penciptaan sesebuah puisi yang terpilih. Apakah isu-isu kemasyarakatan dan konflik masyarakat yang mengganggu pemikiran dan seterusnya melahirkan  karya. Isu yang disentuh misalnya ialah isu pemimpin dan rakyat, isu pengangguran dan perpecahan bangsa, isu bangsa Melayu yang semakin kehilangan tanah dan tanah air, isu pencemaran, isu kehidupan di kotaraya dengan banjir kilat, pembinaan dan jatidiri, isu kedaulatan bahasa Melayu .Saya juga bercakap tentang beberapa cara saya menyuarakan puisi, menerangkan apakah maksud berpuisi secara bermonolog, berdialog, membina cerita, watak dan dialog. Di samping itu kisah-kisah legenda dan cerita rakya juga banyak memberikan kesedaran dan mencetuskan puisi-puisi baru.
Sebagai penyair wanita sudah pasti perkara yang sering ditanya ialah bagaimana membahagikan masa bersama keluarga.  Hal ini menjadi tumpuan bila ramai penulis wanita  hilang setelah berumahtangga. Apakah halangan dari latarbudaya dalam menjadi seorang wanita dan seorang penulis? Perkara ini diminati dimana-mana, misalnya saya dijemput ke forum mengenai Intelektual Asia anjuran Universiti Chulalongkorn, dan mereka sangat berminat untuk mengetahui pengalaman saya menjadi seorang penulis wanita dalam latar budaya Melayu.
Perkara2 yang saya sentuh, misalnya bagaimana  kehidupan masa kecil Usman Awang dan saya sendiri, memberi maklumat tentang pertumbuhan dan perkembangan penulis Melayu secara am, buka terhad kepada dua orang sahaja.
Di Barat biography dan memoir pernah digunakan untuk mengaib orang lain. Penulisan seperti ini boleh menjadi skandal dan menjatuhkan seseorang. Tetapi sebagai penulis Melayu dan Islam, kita mempunyai tatacara dan tertib berkarya yang berbeza.  Penulisan genre ini juga tertaklok kepada tatacara penulisan yang lain di mana penghasilannya  mengikut keteraturan dan keindahan. Seperti tugas-tugas yang lain, kerja menulis mesti disertai dengan niat yang baik. Mengandungi  nilai yang baik dan positif yang dapat memberi teladan kepada orang Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam. Menurut Mohd. Kamal Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam mendapatkan visi hidupnya dan visi keindahannya daripada Al-Quran yang amat nyata memperlihatkan pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan keindahan bahasa” (1981: 49).
Penulisan biografi dan memoir yang membentang kisah hidup manusia dan keragaman peristiwa seharusnya menjadi contoh dan teladan dalam hidup pembaca. Melalui pengalaman-pengalaman sedemikian, pembaca menjadi lebih matang dan bersedia menghadapi hidup yang penuh dengan ketidaktentuan. Seorang penulis biografi, autobiografi dan memoir  seharusnya berniat untuk menjadikan ceritanya sebagai iktibar dan teladan yang memberi manfaat kepada pembaca. Penulisan seperti ini adalah selaras dengan kisah-kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran menerusi ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya adalah di dalam cerita-cerita (kisah-kisah) tentang mereka itu menjadi iktibar bagi mereka yang mempunyai fikiran”  (Yusof: 111).


Tuesday, April 07, 2015


ENTRI INI BERTUJUAN MENYIMPAN KERATAN AKHBAR YANG PENTING TENTANG PENGLIBATAN SAYA DALAM DUNIA SASTERA, BELUM DAPAT DISUSUN DENGAN BAIK DAN MASIH BANYAK YANG BELUM DIMUATNAIK.  IN SYA ALLAH AKAN DILAKUKAN.

.








Monday, April 06, 2015

MENULIS BIOGRAFI, AUTOBIOGRAFI DAN MEMOIR


Pada 15 dan 16 April 2015 saya akan menjadi fasilitator Bengkel Penulisan BIOGRAFI, AUTOBIOGRAFI DAN MEMOIR dianjurkan oleh UUM Press. Bengkel ini akan berlangsung di UUM. In sya Allah kertaskerja yang lengkap akan dimuatkan ke blog ini nanti.
Apakah yang dimaksudkan dengan Biografi, Autobiografi Dan Memoir?
Biografi, Autobiografi dan Memoir boleh ditakrifkan secara ringkas sebagai kisah hidup seseorang. Dalam konteks ini seseorang itu adalah tokoh yang penting dan dikenali oleh masyarakat.
BIOGRAFI ditulis oleh orang lain tentang seorang tokoh.
AUTOBIOGRAFI DAN MEMOIR ditulis sendiri oleh tokoh berkenaan.

Ciri penting dalam ketiganya:
Ketokohan subjek yang ditulis
kebenaran dan kepentingan fakta mengenai Tokoh dan di sekitar Tokoh.
Pengarang dikenalpasti.

 Biografi, autobiografi dan Memoir tidak boleh mengandungi cerita yang tidak benar atau ditokok tambah dengan elemen rekaan.  Di samping itu peristiwa dan pengalaman yang dilalui tokoh adalah peristiwa-peristiwa penting yang memberi maklumat berguna, malah bernilai sejarah, khasnya di dalam bidang yang diceburi oleh tokoh.

Biografi, autobiografi dan memoir mestilah dibezakan daripada penulisan lain yang juga menceritakan tentang seseorang  tokoh seperti hikayat (contohnya Hikayat Hang Tuah). Ianya juga berbeza daripada tulisan-tulisan yang turut mengandungi kisah-kisah yang benar berlaku seperti novel sejarah, novel autobiografi dan anekdot. Seterusnya saya akan membicarakan pengalaman menulis Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (UKM 2003) dan buku Sasterawan Negara Usman Awang, (Dewan Bahasa dan Pustaka 1990, ed.kedua 2006) Tidak ketinggalah ialah rakaman pengalaman saya dalam Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan (itbm 2013) Kedua-duanya adalah mengenai penulis yang terlibat di dalam penulisan puisi. Sasterawan negara Usman Awang memperlihat peranan alam dan penghidupan masa kecil dalam membentuk pemikiran seorang penyair Melayu yang penting dalam sejarah sastera khasnya perkembangan puisi moden tanah air. Ia juga menggambarkan keadaan negara di zaman darurat dan kemunculan ASAS 50 di Singapura. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi adalah tentang pengalaman dan proses kreatif yang dilalui oleh penulis yang difikirkan dapat memberi teladan dan manfaat kepada khalayak khasnya calon penulis. 

Buku berunsur biografi dan memoir yang pernah saya hasilkan


Sunday, April 05, 2015

Sambutan 35 Tahun SEA Write Award. di Bangkok
Sempat bergambar dengan Datuk Bandar Bangkok.



NEW DELHI INDIA, AWAL MACH 2014.



SAYA MERASA SUNGGUH DIHARGAI, bila Prof Vikram Chopra, penterjemah dan aktivitis Teater Shakespeare di India mencatatkan sanjungan di cenderahatinya Antara lain berbunyi. "To our Dear Friend from Malaysia, a melodious singer (kerana saya bersyair) and a great ambassador"








Awal Julai di Tokyo International Book fair. 





  •         Baca dan fahami sajak yang akan dideklamasikan.
  •         Berlatihlah menyebut setiap perkataan. Beri perhatian kepada perkataan yang sukar.(lain orang lain masalah).  
  •         Fikirkan gaya yang sesuai dengan sajak yang dipilih.
  •         Jaga kesihatan dan suara supaya bagus pada hari pertandingan.
  •         Buatlah gerakan atau senaman bagi memperbaiki pernafasan dan kawalan suara.

·        

PERGERAKAN:

Pergerakan terlalu banyak apa lagi yang tidak ada kaitan akan mengganggu pembacaan. Adakalanya pergerakan itu menyebabkan suara deklamator tenggelam dan tidak jelas kedengaran.Gaya keterlaluan biasanya terjadi kepada deklamator yang terlalu mahu kelihatan ‘bersungguh-sungguh’. Deklamator terbabit membaca dengan sekuat suara, sering bertempik, menimbulkan nada sedih dengan menangis tersedu sedan dan sebagainya. Perbuatan itu tidak dilarang tetapi mesti bersesuaian.

Tetapi biasanya gaya keterlaluan seperti itu hanya menimbulkan kelucuan dan jarang membawa kemenangan. Peserta harus tahu membezakan antara berlakon teater dan bergaya di pentas deklamasi.
DEKLAMASI YANG BERJAYA :
Dapat menarik penonton menghayati makna, pemikiran dan suasana dalam sajak. Penonton terus menumpukan perhatian terhadap bacaannya.
Dapat membuat penonton bersedih atau membangkitkan semangat patriotik mereka mengikut maksud sajak yang dibaca.

Deklamasi  membabitkan suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gerak badan dan sebagainya. Semua itu mesti dipadukan dengan harmoni dan sesuai dengan maksud sajak.

DEKLAMASI GAGAL JIKA:
sebutan tidak jelas,
kurang keyakinan
lupa skrip (baris-baris sajak).

SEBUTAN TIDAK JELAS
Penonton tidak ada teks mereka hanya bergantung kpd pembacaan deklamator. Deklamator mesti menyebut setiap perkataan dengan jelas. Jika lain yang disebut lain kedengaran tentulah menjejaskan makna sajak. Contohnya banyak spt penjajah disebut penjaja. Polusi disebut polisi, martabat jadi martabak, mujahid jadi mujahat.

Contoh baris:
“Bertahun tanah ini dipijak penjajah”  jgn jadi “bertahun tanah ini dipijak penjaja”.
“alam di tawan polusi”  jangan dijadikan “alam ditawan polisi”,

Apabila ini terjadi makna sajak berubah, malah menimbulkan kelucuan dan mengganggu suasana dan penghayatan penonton dan ia dianggap satu kegagalan.
Baca sajak dengan berulang kali, ulang sebut perkataan yang mungkin bermasalah

KURANG KEYAKINAN
Ada deklamator tidak menghadap penonton dengan yakin. Ini menyebabkan ia teragak-agak, kurang bersungguh-sungguh, sebutan tidak jelas dan suara tidak keluar. Ini terjadi apabila deklamator tidak membuat persediaan secukupnya.

TERLUPA SKRIP:
 Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan membenarkan peserta membawa kertas di pentas, namun peserta yang boleh menghafal dengan baik tentu berhak menerima markah lebih kerana itu membuktikan kesungguhannya.Jika deklamator terlupa dan meninggalkan beberapa baris, tentu menjejaskan makna sajak. Ada deklamator terlupa perkataan asal lalu menggantikannya dengan perkataan lain sehingga maksud sajak berubah.
Markah di potong mengikut sejauh mana pembacaan menyimpang daripada makna sebenar. Walaupun deklamator dibolehkan membawa kertas, mereka perlu pandai mengawal keadaan supaya tidak ketara.

INTONASI:
Intonasi bergantung kepada maksud sajak. Deklamator mesti membaca dan mengawal intonasi suara, meninggi dan merendahkan suara pada tempat sesuai dengan maksud sajak. Tidak semestinya menjerit dan bertempik untuk menghasilkan pembacaan bertenaga. Jika deklamator bertempik dan berada terlalu dekat dengan mikrofon yang tidak begitu canggih, maka kedengaran bingit dan menyakitkan telinga. Ini mengganggu penonton dan pengadil. Suasana sajak gagal dibina dalam keadaan ini.

Gunakan kreativiti mencari gaya baru dan tidak meniru gaya lalu.Apabila puisi dipentaskan, baik pada pertandingan, teater atau dilagukan, ia mesti mencapai matlamat menyampaikan maksud puisi. Tidak ada gunanya puisi diberikan irama atau digayakan dengan pelbagai gerak dan tari jika irama atau pergerakan itu sendiri menenggelamkan maksud sajak.
·        
Deklamasi puisi adalah persembahan seni. ia meminta kreativiti dan gaya tersendiri.



4-4-2015 BERSAMA PELAJAR-PELAJAR DI RUMAH GAPENA, MEMBERI PENDEDAHAN KEPADA MEREKA TENTANG PUISI DAN DEKLAMASI PUISI.