ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Tuesday, August 26, 2014

Sedang mencari tulisan tulisan orang lain tentang saya.  Ini adalah antara rujukan penting  Semoga boleh dimanfaatkan oleh pelajar dan mereka yang memerlukan sumber rujukan. Siapa yang dapat menambah , silakan dan saya ucapkan terima kasih.


RUJUKAN ZURINAH
(Antara rujukan penting tentang Zurinah Hassan)


Muhamad Fadzil Yusoff.  Kosmologi Dalam Puisi-Puisi Zurinah Hassan. Tesis PhD.  Universiti Putra Malaysia. 2012.


Ahmad  Kamal  Abdullah.   Zurinah  Hassan:  Jaring  dan  Siklus Kepenyairannya dalam  Ahmad Kamal Abdullah (peny.) GEJALA:  Esei dan Kritikan Puisi Melayu Moden 1955-1986  .  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989


Shafie Abu Bakar. “Zurinah Hassan” dalam Jambak 2.  Ahmad Kamal Abdullah (peny.).  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.


Susilawati  Kamaruzzaman.  “Zurinah    Hassan,  Zaihasra,  Siti   Zainon  Ismail”  dalam                                                                                                                                                                                      Kesusasteraan Melayu Moden 1970-1979.  Penyusun Siti Aishah Murad.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010. 


Membunga  @  Siti   Meriam    Yaacob.  “Sajak  ‘Salam  Perempuan  dari  Penjara’  dan
Suara Wanita”.  Perisa, Jurnal Puisi Melayu. Jilid 12. 2004:  88-91.


Lim Swee Tin. Zurinah Hassan: Kebersahajaan dan Kesederhanaan yang         Mengasyikkan”. Dewan Sastera. Disember 2004:  17-20.


Nor Hashimah Hj.  Jalaludin.   “Kepenyairan  Zurinah Hassan Ditinjau dari Sudut          Stilistik”.  Dewan Bahasa.  Ogos 1985:  579-591.


Rahman  Shaari. “Sajak-Sajak  Konfesional Zurinah Hassan”. Dewan Sastera.  Disember 2004:  27-29.


Ramli Isin.  “Kepenyairan Zurinah Hassan yang Tidak Pernah Putus dan Surut”.  Dewan         Sastera.  Disember 2004: 12-15.



S. Jaafar.  “Zurinah  Hassan  Menulis  itu Satu Tanggungjawab”.  Dewan Sastera.  Julai           1986: 18-21.


Selina  S.  F.  Lee.  “Unsur  Prosa  Dalam  Puisi-Puisi Zurinah Hassan”.  Dewan  Sastera.  Mac 2000:  22-24.


Siti  Zainon  Ismail.   “Zurinah  Hassan  Mengangkat  Isu  Manusia  dan Wanita Melayu”.          Dewan Sastera.  Disember 2004:  21-26


A. Rahman  Napiah.  “ Unsur  Alam  Dalam  Puisi Melayu Moden Karya Zurinah            Hassan” kertas kerja yang dibentangkan dalam Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan             Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti    Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 23 November 2011.



Arbak Othman.   “Idealisme  Budaya  dan  Jatidiri  Bangsa  yang  Tercalar  dalam Puisi             Zurinah Hassan dalam Kumpulan Salasilah” kertas kerja yang dibentangkan dalam Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 23 November 2011.



Hamzah Hamdani.   “ Menjejak  Puisi Dalam Memoir Zurinah Hassan” kertas kerja yang             dibentangkan dalam Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan,             anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di      Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi          pada 23 November 2011.



Kamariah Kamarudin. “Perutusan Muhasabah” dalam Kumpulan Cerpen Menjelang    Pemilihan.”  Kertas kerja yang dibentangkan dalam Bersama Tokoh Penulis       Tanah Air, Zurinah Hassan, anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan          dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti    Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 23 November 2011.



Muhamad  Haji  Salleh.  “Bahawa  Aku Pernah Hidup:  Zurinah Hassan Sebagai  Pentafsir Waktu dan Peristiwa” dalam  Seminar Kefahaman Budaya ke VIII.  Anjuran Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia.  Dikelolakan oleh Persatuan Sastera Universiti Sains Malaysia pada  18 Disember 2004.
Rosnah  Alias.   Diri, Keluarga dan Masyarakat Dalam Puisi-puisi Zurinah Hassan.  Latihan Ilmiah. Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan     Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989.


Shabariah  Mohamad Zakwan.  Falsafah Waktu Dalam Puisi-puisi Karya Zurinah  Hassan.  Latihan Ilmiah.  Universiti Malaya, 1989.


Samsina Ab Rahman, Muhamad Fadzil Yusoff.  “Pemaknaan Kosmologi Biotik dalam Kumpulan Puisi Salasilah karya  Zurinah Hassan dari Perspektif Teori Pengkaedahan Melayu”, Persidangan Kebangsaan Alam dalam Kesusasteraan, 16-17 Julai 2010, Universiti Sains Malaysia.


Samsina Ab Rahman, Muhamad Fadzil Yusoff. “Kosmologi Biotik Alam Fauna dalam Puisi-Puisi Zurinah Hassan Menerusi Perspektif Teori Pengkaedahan Melayu” dalam Kelestarian Bahasa: Satu Rumpun Satu Ikatan. Penerbit UPM.  2011.
















Friday, August 22, 2014

TERIMA KASIH  NIK MOHD IZNAN


http://grafikreatif.wordpress.com/2014/05/31/mengunyah-cerita-dalam-cerita-zurinah-hassan/

Wednesday, August 20, 2014

Jamuan raya masih ada di sana sini. Bermacam macam juadah menunggu pengunjung yang datang beramai-ramai. Pelbagai lauk pauk dan kuih muih, tak ketinggalan buah buahan  Kerana banyak buah buahan, teringin pula saya hendak mengarang pantun berasaskan buah buahan.

Nah, sambil menikmati buah buahan, nikmatilah pantun pantun ini.


BUAH BUAHAN TEMPATAN

Hendak sukun kuberi sukun
Sukun ada di atas peti
Handak pantun marilah pantun
Pantun saya dari hati.

Buah pauh buah pulasan
Buah kuini di atas titi
Tuan yang jauh kirimkan pesan
Saya di sini rindu menanti

Buah duku masak di dahan
Tepi perigi buah delima
Hati rindu tidak tertahan
Tuan pergi sungguhlah lama

Buah berangan masaknya merah
Buah keranji dalam perahu
Luka di tangan Nampak berdarah
Luka di hati siapa tahu

Buah langsat di tepi busut
Buah duku  dari seberang
Hati mengingat mulut menyebut
Duduk merindu tuan seorang

Limau purut di tepi rimba
Limau kasturi di tepi paya
Karam di laut dapat kutimba
Karam di hati apakan daya

Hendak kelapa ambil kelapa
Di tepi pagar kelapanya subur
Hendak lupa  tidak terlupa
Lupa sebentar di waktu tidur



Ambil durian di tepi bukit
Ambil bersama buah tarap.
Rindu tuan bukan sedikit
Sudah lama saya mengharap

Buah jering buah manggis
Buah rambutan masak sendiri
Laut kering pulau menangis
Ke mana ikan membawa diri.

Limau purut jatuh ke titi
Jatuh menimpa buah rambai
Sudah kuturut kata hati
Tidak kuduga hajat tak sampai.

Hari redup petik kembayau
Angkut ke titi bawa ke seberang
Selagi hidup kita bergurau
Sudah mati tinggal seorang.



Monday, August 18, 2014

aku poskan cerpen lama untuk tujuan simpanan dan bacaan sesiapa yang belum membca atau terjumpa.


KERONGSANG BERLIAN WAN TEMPAWAN

OLEH: ZURINAH HASSAN
(Dewan Sastera)

Aku tidak pernah melihat sendiri bagaimana cantiknya kerongsang berlian kepunyaan Cik Puan Wan Tempawan.  Aku cuma tahu tentang kerongsang itu daripada  cerita-cerita nenekku.  Kata nenek, batu berliannya berkerlip-kerlipan, diikat kemas oleh emas bermutu tinggi .  Kerongsang tiga  sederet itu, tersemat  di baju kebaya labuh Wan Tempawan, menambah seri wajah wanita bangsawan yang sememangnya sangat rupawan.  Kilauan permata dan pancaran emas semakin menyerlahkan raut wajah dan membangkitkan cahaya  kulit sang pemakai yang   putih berseri.

Namaku Umar. Aku lahir  di dalam warga marhain dan memang  tidak  berminat dengan kerongsang yang selalu digambarkan oleh nenek.  Aku cuma mendengar sekadar untuk melayan  nenek  bercerita  tentangnya.  Aku faham, dalam usianya yang sudah di pinggir senja, nenek hanya mampu melayan kenangan terhadap masa lalunya.  Dia merasa lega kalau ada cucu untuk dilawan bercakap. Anak-anak dan cucu-cucu yang lain semakin sibuk dengan urusan masing-masing.  Akulah yang selalu duduk-duduk dengannya di beranda sambil menghadap ke sawah yang  terhampar dan , menghirup udara petang yang segar. Aku mendengar sambil menyapu minyak angin dan memicit-micit betis  dan lututnya  yang dikatakannya semakin keras dan kejang itu.


Seingat aku  nama  Cik Puan Wan  Tempawan  tidak pernah lekang dari mulut nenek.  Itulah nama seorang  wanita bangsawan  yang pernah hidup di negeri kelahiranku.  Mujurlah aku meminati sejarah dan pernah  membuka buku besar  yang terpamer  di Muzium Negeri. Buku yang diberi jodol Titisan Kerabat itu  boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat   mengenai salasilah keturunan diraja. Aku dapati yang Cik Puan Wan Tempawan adalah cucunda Al Marhum Sultan Abdul Samad.

 Wan Tempawan  lahir pada tahun  1875  dan mangkat pada tahun  1945.  Dia berkahwin pada tahun  1893  dengan Tunku Tajuddin  dan beroleh empat orang anak.  Aku pun tidaklah terlalu berminat untuk menghafal nama anak-anaknya. Lagipun aku boleh mengetahui semua maklumat itu daripada nenek.. Nenekku  tidak jemu jemu menggambarkan perihal kecantikan dan kebaikan Wan Tempawan. Nenek selalu menyebut-nyebut nama-nama putera dan puterinya.

Walaupun seluruh tubuh nenek semakin  lemah,  ingatannya masih kuat.  Dia masih boleh menggambarkan keadaan rumah  itu dengan  kamar-kamarnya dan anjung yang menganjur ke halaman Dia masih boleh menggambarkan dapur yang selesa  tempat dia dan kawan-kawannya menyediakan makanan untuk keluarga diraja.  

Kalau hendak dikirakan rumah itu tidaklah sebesar mana. Rumah-rumah orang sekarang jauh lebih hebat dari apa yang digambarkan oleh nenek. Tetapi pada masa itu orang yang mampu mendirikan rumah batu, sudah dianggap terlalu kaya.  

Sudah tentu nenek mengingati rumah besar itu kerana di rumah itulah juga nenek dilahirkan pada tahun 1900.  .
“Nenek, kita ni rakyat biasa. Kita orang kampung dari keturunan petani miskin. Bagaimana nenek boleh dilahirkan di rumah besar itu?”


Nenek memang suka kalau aku atau sesiapa saja mengajukan soalan sedemikian. Ini akan memberi peluang dia membuka cerita lagi. Dia tidak jemu mengulang  cerita yang telah berulang kali dikisahkan. Mengikut cerita nenek, semasa  Baginda Sultan mengadakan perayaan untuk mengahwinkan cucundanya, orang-orang kampung dipanggil ke istana untuk  membuat kerja-kerja.  Kawasan istana menjadi penuh sesak. Kerja tak berhenti siang malam. Ada yang mengukur kelapa, ada yang menumbuk cili. Ibu kepada  nenek , iaitu moyangku  yang bernama Kalsom, yang ketika itu berumur lima belas tahun  telah dibawa ke istana untuk membantu. Majlis perkahwinan berlangsung  tujuh hari tujuh malam. Cucunda Sultan yang naik pelamin itu tidak lain dan tidak bukan ialah Wan Tempawan yang kukisahkan di sini.

Konon ceritanya permaisuri raja sangat berkenan melihat tingkah laku moyang Kalsom. Dia mengajak,(atau memerintah) moyang Kalsom  supaya terus tinggal di istana.  Dipendekkan cerita,  moyangku pun tinggallah di situ. Bila rumah besar Wan Tempawan telah siap, moyang Kalsom turut berpindah.  Moyang Kalsom kemudiannya dikahwinkan dengan seorang pekerja istana  dan lahirlah nenek ke dunia. Nenek dibesarkan di rumah Wan Tempawan  sehingga moyang Kalsom kembali  ke kampung atas sebab sebab tertentu. Di kampung itu mereka  meneruskan kehidupan sebagai petani biasa.

Begitulah cerita nenek kepadaku, dan kepada jiran-jiran.  Orang-orang kampung kami begitu kagum. Mereka   tidak  dapat dapat membayangkan bagaimana mewahnya rumah itu. Rumah-rumah di kampung semuanya kecil. Kebanyakannya beratap nipah bahkan berdinding papan , hanya rumah penghulu yang besar.

Pada tahun 1980 aku belajar di Pulau Pinang. Di sana aku  menyertai kumpulaan yang menamakan diri mereka mahasiswa sosialis. Suatu hari aku hampir  memarahi nenek. “Nenek selalu memuji-muji keluarga di raja, Nenek agung-agungkan mereka . Nenek bangga mengatakan Permaisuri Sakinah suka kepada moyang Kalsom dan mengambil dia sebagai anak angkat.

Tapi nenek tak tau  itu semua  helah golongan feudal. Nenek tidak sedar  yang   mereka hanya  menjadikan moyang Kalsom dan nenek juga, orang suruhan atau orang gaji yang tidak berbayar.  Mereka kata nak buat anak angkat , tapi sebenarnya itu semua menipu semata-mata. Rakyat seperti kita hanya dijadikan hamba abdi”

Tetapi mujurlah aku berfikir dua kali. Aku tidak  jadi  meluahkan semua itu. Terfikir pula, apa salahnya aku membiarkan nenek  dengan kenangannya. Biarlah hatinya tenang tanpa mengetahui hakikat sebenar. Mengapa aku harus mencalarkan hatinya. Dia pun tidak akan hidup lama lagi di dunia ini.

Aku pun sedar bahawa  dia menganggap peluang untuk  tinggal di rumah besar berpagar itu satu tuah baginya. Di situ lebih baik daripada  tinggal di kampung, di dalam pondok buruk   yang bergegar bila hujan lebat. Apa salahnya mereka   memasak dan melayan kaum  keluarga bangsawan walaupun tidak dibayar . Setidak-tidaknya di situ  rezeki mereka terjamin. Mereka dapat makan  pagi dan petang.

Aku juga tahu betapa peritnya menjadi petani. Aku membesar di dalam  keperitan dan kesengsaraan itu. Di universiti aku belajar tentang  kemiskinan di luar bandar Para petani  hanya beroleh sedikit wang bila padi dijual setahun sekali. Ramai petani yang teperangkap di dalam hutang. Ramai petani yang  terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan. Mereka berhutang bila ada sakit demam dan kematian. Mereka juga berhutang untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak.

Tidak ada jalan lain melainkan hutang.  Mereka boleh pergi ke bandar. Di sana ada ceti, ada tauke Cina, ada India Muslim  yang bersedia memberikan hutang  dengan senang hati. Tidak perlu menulis kertaskerja. Tidak perlu menunggu berbulan-bulan. Bawa sahaja geran tanah untuk jadi sandaran. Bila padi dituai, padi itu dijual kepada orang yang memberi hutang dengan harga yang sangat murah. Bagaimana kalau padi tidak menjadi? Bagaimana kalau banjir melanda atau kemarau memanjang? Jawabnya mudah sahaja, geran tanah tidak dikembalikan dan tanah yang dipusakai pun bertukar tangan. 

Bila mengenang nasib petani yang malang, aku semakin marah. Semangat anti feudal dan anti kapatalis semakin membara di dadaku.. Tetapi agak aneh juga kerana kawan baikku adalah  seorang berketurunan fuedal iaitu Tengku Amir Amjad. . Mungkin kerana Tengku Amir  ialah peninggalan anak cucu  fuedal yang langsung tidak berjiwa fuedal , jauh sekali dari menunjukkan apa-apa lagak fuedalnya. Gaya hidupnya tidak berbeza dari mahasiswa-mahasiswa yang lain. Tidur  bangun dan berkubang di dalam buku-buku bersama kami. Dia menyanyi-nyanyi, melalak dan melawak seperti  kawan-kawan lain. Sekali pandang tidak siapa yang akan menyangka bahawa anak muda yang berambut panjang berjeans lusuh itu adalah keturunan diraja.
Semasa di tahun akhir  Tengku Amir mengikut aku balik ke kampung. Pada masa itu nenek sudah uzur benar. Katanya seluruh sendi sendinya bagaikan di cucuk –cucuk jarum. Bila dia tahu yang temanku itu bernama  Tengku Amir , nenek dengan  mentaliti fuedalnya mulalah bertengku dan berpatik. Nenek mula mengeluarkan segala bahasa di raja yang tak pernah  kudengar  selama ini. Geli juga hatiku.

Bila  diberitahu yang Tengku Amir  berasal dari bandar diraja negeri kami,  semakin berminatlah nenek. Nenek bertanya pelbagai pertanyaan dan semuanya dijawab dengan baik oleh Tengku Amir kerana dia juga seorang anak muda yang berbudi bahasa dan tahu mengambil hati orang tua-tua.

Nenekku pun mula rancak bercerita tentang masa lalunya. Aku lihat nenek merasa terhibur  kerana ada orang yang menjadi pendengarnya. “ Nenek dulu memang tinggal lama di sana. Nenek  dulu duduk di rumah   Mak Wan Tempawan. Suami dia Tengku Tajuddin  pegawai besar. Tengku pernah dengar ke?”

“Apa pula tak pernah dengar. Wan Tempawan dengan Tengku Tajuddin  tu moyang saya. Ayah saya Tengku Iskandar  cucu Wan Tempawan lah”.

“Ya ke.? Ya Allah gembiranya hati nenek dapat berjumpa dengan Tengku. Syukurlah Tuhan nak pertemukan kita. Mak Wan dengan anak-anaknya semua baik terhadap nenek”.

Pertemuan dengan Tengku Amir  menjadi episod nostalgia bagi nenek pada petang itu. Walaupun aku tidak bersetuju dengan mentaliti fuedalnya, aku mula bersyukur kerana membawa Tengku Amir pulang dan membawa  keceriaan pada wajah nenek.

Selepas konvokesyen, aku dan Tengku Amir mula berkhidmat di bandar diraja Nenek sudah pun pulang ke pangkuan Ilahi. Tengku Amir  menjadi pegawai perancang bandar dan aku memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah.  Pejabat kami di bangunan yang sama iaitu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang tersergam indah di pinggir bandar. Pejabat Tengku Amir di tingkat sepuluh dan pejabatku di tingkat dua. Kami terus berkawan rapat.

Untuk merancang pembangunan Tengku Amir memerlukan maklumat tentang kedudukan tanah di bandar diraja dan persekitarannya. Semua maklumat itu tersimpan di pejabatku.  Di situ tersimpan fail  mengenai status dan nama nama pemilik tanah sejak beberapa dekad. Beberapa kali ketika kami keluar makan atau bersiar-siar pada waktu malam,  Tengku Amir selalu mengeluh, “ Sedihnya Umar, kau lihat tak ada lagi tanah di dalam bandar yang dimiliki oleh orang Melayu. Di sana dulu semasa aku kecil ada juga rumah-rumah Melayu. Sekarang semua sudah hilang. Tanah-tanah yang berdekatan dengan bandar pun bertuankan orang lain. Hairannya tanah-tanah ini dulu berstatus Tanah Simpanan Melayu. Mana pula perginya ratusan ekar yang pernah dimiliki oleh kaum kerabat diraja?”

“ Betul juga. Nenekku pun pernah bercerita keluargamu ada tanah yang luas di sana sini” . Kataku tanpa niat untuk menambahkan kesedihan Tengku Amir.

 “Ayahku  pun selalu bercerita . Satu dekad yang lalu , tanah di sini luas tak bertuan. Seorang kerabat diraja berhak memohon tanah. Berekar-ekar  tanah diberi percuma kepada kaum kerabat di raja. Tapi di mana tanah-tanah itu sekarang?. Tengku Amir menggenggam erat tangannya penuh dendam dan geram.

Pagi itu aku   dan  Tengku Amir  berbincang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah. Perbincangan itu diadakan berikutan ada permohonan untuk mendirikan sebuah pasar raya terbesar di satu kawasan. Aku  sudah pun meminta kakitangan pejabat mengeluarkan fail fail yang mengandungi  maklumat yang diperlukan . Kami meneliti fail-fail sambil menghirup kopi yang telah disediakan. Peta lengkap kawasan yang sedang  menjadi fokus  perbincangkan sudah terhampar di atas meja bercermin tebal.

Hampir lima  minit , kuperhatikan Tengku Amir  tidak mengangkat mata dari peta itu.  Mendung duka sedang bergantungan di wajahnya.

Amir sedar aku memerhatikannya dengan penuh tandatanya. Dia menjawab persoalanku. “Kau tengok ini Umar,  di sinilah rumah keluargaku dahulu. Sekarang menjadi milik orang lain yang bukan sebangsa dengan kita”

Tengku Amir menunjukkan kepada kawasan yang dimaksudkan. Fahamlah aku mengapa wajah Tengku Amir dilanda kesedihan. Di situlah dahulu terletaknya rumah besar di dalam pagar yang diceritakan oleh nenekku. Di situlah  dahulu tinggal Cik Puan Wan Tempawan dan kaum kerabatnya  seperti yang disebut-sebut oleh nenekku hingga ke akhir hayat.


Selama ini kami telah sedia maklum bahawa rumah dan kawasan sekitarnya telah tergadai kerana hutang yang tidak dapat dibayar. Apakah jenis hutang itu dan berapakah jumlah sebenarnya tidaklah begitu jelas. Di pejabatku juga tersimpan  fail harta pusaka termasuk urusan jual beli, pindah milik dan lelong melelong tanah. Kami mengambil keputusan untuk meneliti fail-fail berkenaan. Tengku Amir inginkan butir-butir yang sah tentang perjalanan  tanah di pinggir bandar  yang tidak lagi menjadi milik keluarganya itu. Aku memanggil pembantuku dan meminta fail-fail rekod lelongan tanah.

Kami sedia maklum betapa banyaknya tanah yang tergadai kerana hutang. Orang-orang kampungku juga kerap berhutang. Hasil padi hanya boleh dituai setahun sekali. Kadang-kadang malang yang datang,  ada  kemalangan atau penyakit yang menimpa ahli keluarga. Di kala itu duit sudah kehabisan sedangkan  anak-anak mesti  makan.. Jadi tak ada cara lain selain berhutang.Sampai sekarang pun orang kampungku berhutang. Tetapi aku tidak arif pula mengapa golongan bangsawan ini berhutang”

Kata Amir, “Ada golongan syeikh-syeikh Arab yang licik. Mereka berbaik-baik dengan wanita-wanita bangsawan seperti nenekku. Pada mulanya syeikh syeikh ini bercakap tentang agama. Lama kelamaan pujuk suruh beli  barang-barang kemas. Wanita-wanita ini mudah tertarik apatah lagi semuanya boleh didapati dengan berhutang. Lagipun apa pula kata orang, wanita bangsawan tak pakai gelang dan rantai, tak pakai kain sutera, tak buat majlis kenduri  besar-besaran. Semua mesti sesuai dengan status.

Wanita-wanita bangsawan ini kebanyakannya tidak berpelajaran. Tidak tahu membaca, menulis dan mengira.  Kaum wanita beginilah yang jadi sasaran  pemuitang Semuanya diserahkan kepada pemuitang lalu senanglah mereka ditipu. Hutang piutang dibuat  tanpa surat hutang dan tanpa saksi.

Dengan hati yang sebu kami menyelak beberapa surat cara permohonan penukaran nama hakmilik  tanah. Surat surat itu dibuat oleh Syeikh Bajunid, Ceti Karuppiya dan orang-orang yang senama dengan mereka. Semua tanah adalah milik wanita kerabat.  Senarai harta menunjukkan 53 orang wanita Melayu kebanyakannya kerabat telah kehilangan tanah kerana berhutang.

Ada fail mengenai seorang Ceti bernama Narayanan yang meninggalkan harta pusaka yang dinilai oleh Pejabat Setem sebayak 350 ribu. Hampir semua harta itu diperolehi dari aktiviti memberi hutang kepada orang Melayu. Peminjam biasanya memerlukan modal untuk perniagaan, melabur dalam saham , membina rumah, mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak dan membeli barang-barang kemas.

Ada catatan bertarikh  4 Jun 1939, kerajaan membenarkan mahkamah melelong tanah Tunku Katijah untuk menyelesaikan hutangnya kepada Ceti Karuppan. Tengku Katijah telah menggadai tanahnya  seluas lima relong. Oleh sebab tanah itu belum dijadikan Tanah Simpanan Melayu, Karuppan memohon  membelinya dengan harga RM 300 sahaja. Bayangkanlah betapa tinggi nilainya sekarang kerana ia terletak di kawasan elit bersebelahan  Dewan Undangan Negeri.

Akhirnya kami mendapat maklumat   yang dicari-cari. Fail  itu menceritakan segalanya tentang perjalanan hutang piutang moyang Tengku Amir. Tidak lain dan tidak bukan beliau ialah  Cik Puan Wan Tempawan yang menjadi idola nenekku itu.

Di situ ada sepucuk surat  bertarikh 10 Jun 1938 .  Penulisnya ialah  Syeikh Abdullah Al-Tawaff  yang  memohon kepada kerajaan negeri untuk melelong tanah milik Wan Tempawan kerana Wan Tempawan tidak dapat menyelesaikan hutang kerongsang berlian yang bernilai 400 ringgit. Pada masa itu belum disebut RM. Kami sedar  nilai 400 pada zaman itu jauh lebih tinggi dari sekarang.

 “Kau tengok ni Umar, perangai Syeikh ini . Dia diam sahaja bila nenekku tidak bayar hutang bertahun-tahun. Dia sengaja buat macam tu supaya boleh mengaut untung  daripada kadar bunga yang dikenakan. Ujung-ujung dia membuat aduan kepada kerajaan.  Masa tu susahlah. Tak ada surat, tak ada bukti. Kerajaan pun tak boleh nak tolong nenekku”.

Syeikh Al-Tawaf telah mendapat persetujuan mahkamah untuk melelong tanah Wan Tempawan. Tanah itu pada asalnya dikurniakan kepada beliau oleh Kerajan Negeri atas kedudukannya sebagai cucu Sultan. Mengikut peraturan hanya orang Melayu sahaja yang boleh membelinya. Setelah beberapa lama, tiada orang Melayu yang mampu membeli, maka Pak Syeikh membuat rayuan lagi agar lelongan dibuka kepada orang bukan Melayu. Dengan hal yang demikian tanah itupun terlepaslah kepada seorang saudagar China dari Pulau Pinang. Kini di kawasan itu sudah terdiri sebuah menara yang menempatkan sebuah pasaraya terbesar di kota kami dan beberapa tingkat ruang pejabat  yang disewa oleh syarikat-syarikat besar.

Aku percaya kerongsang berlian yang termaktub di dalam surat permohonan itu adalah kerongsang berlian Wan Tempawan yang sering diceritakan oleh nenek sepanjang hayatnya.





OLEH ZURINAH HASSAN
(Dewan sastera Ogos 2010).
aku poskan cerpen lama untuk tujuan simpanan dan bacaan sesiapa yang belum membca atau terjumpa. 

 Tanah Hulu Negeri telah dilanda ribut pemilihan yang kencang. Hampir sebulan lamanya ribut itu menggoncang setiap ruang.

Hari ini daerah itu telah kembali kepada suasananya yang asal tidak lagi diasak oleh segala jenis manusia yang datang entah dari mana.  Mereka yang datang berduyun-duyun telah berangkat pulang ke tempat asal masing-masing. Yang menang pulang dengan senyuman. Yang kalah pulang dengan rungutan.  Maka tinggallah watak-watak di dalam cerita berangkai ini

1. Ina, gadis kecil
Gadis kecil sepuluh tahun  yang dipanggil Ina, menyanyi-nyanyi dan menari-nari riang. Ina merasa senang kerana ayah dan ibu sudah berada di rumah. Dalam perkiraan Ina sudah begitu  lama dia tidak dapat bermesra dengan ibu dan ayah. Mereka keluar rumah awal pagi dan tidak pulang hingga larut malam.  Ibu memujuk Ina supaya bersabar kerana ayah dan ibu mesti bekerja keras. Ayah dan ibu sibuk mengatur perjumpaan dan ceramah. .

Ayah dan ibu  bekejar ke sana ke mari merayu kepada orang-orang yang dikenali dan orang-orang yang tidak dikenali agar datang ke padang mendengar pidato. Pada malam pemimpin negara datang menyampaikan ucapan ayah dan ibu  tak senang duduk dilanda resah gelisah takutkan padang tidak penuh sesak . Kalau tidak ramai yang datang,  mereka akan dianggap tidak cekap dan tidak pandai menjalankan tugas publisiti. Ayah dan ibu  sangat mengharapkan puji-pujian dari pemimpin. 

Suasana semakin lega sekarang. Di luar tiada lagi orang-orang yang tidak dikenali berjalan-jalan ke sana kemari. Tiada lagi orang berkumpul dan bercakap kuat bagai akan putus urat leher. Ina pun menyanyi lagu kesukaannya;
yang laut balik ke laut
yang darat balik ke darat

Dia melambai-lambaikan selendang panjang ibunya, menggayakan tarian Ulet Mayang yang dipelajarinya di sekolah. Dia menyanyi dan menari  di hadapan abang  sulungnya Asrul .

2- Asrul yang ingin jadi sasterawan
Asrul, seorang pemuda kacak berusia dua puluh empat tahun lulus dari sebuah university tempatan.  Petang itu Asrul duduk di kerusi panjang memandang ke arah adik bongsunya Ina yang sedang menari-nari. Suara Ina agak membingitkan tapi Asrul tidak berani menyuruh adiknya diam. Gadis kecil itu adalah anak  bongsu kesayangan semua orang di dalam keluarga.Usianya jauh lebih muda dari abang-abangnya. Kadang-kadang Asrul hilang sabar dengan perangai Ina yang masih kebudak-budakan itu. Suara dan aksi Ina agak mengganggu jalan fikirannya.


Asrul  yang menyimpan impian untuk menjadi penyair besar itu menulis di dalam buku catatannya:

Wahai di manakah tempat bangsaku akan berteduh
Bumbung lama seperti akan runtuh
Bumbung baru seperti tidak teguh.

Asrul terus berfikir . Dia  berharap akan  diilhami dengan baris-baris yang lebih baik untuk menggambarkan keadaan bangsanya yang sedang keliru itu. Kekeliruan itu jelas terlihat di dalam suasana kampungnya pada minggu minggu yang telah berlalu.   Pemilihan yang telah berlangsung menyaksikan pertandingan di antara dua parti politik yang besar. Kedua-duanya menggunakan warna biru. Maka penuh sesaklah kampungnya dengan poster dan sepanduk berwarna biru bergantungan di sana sini, berbuai-buai ditiup angin. Biru di sana biru di sini. Sehingga bolehlah disifatkan sebagai  haru biru.  

Pagi tadi dia sempat membaca cerpen baru, seorang sasterawan tersohor yang diminatinya. Cerpen itu mengisahkan tentang sekumpulan kambing yang baru saja kematian gembala. Kambing yang beratus-ratus ekor itu sudah kehabisan rumput untuk diragut. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kambing-kambing itu mengebek-ngebek dan memekik-mekik mencari tempat perlindungan. Suara mereka kedengaran begitu sayu seolah-olah memanggil gembala yang sudah tiada untuk membawa mereka ke tempat perlindungan.

Mereka ternampak dua buah bangsal. Sebuah bangsal sudah lama didirikan dan sebuah bangsal lagi baru sahaja bertapak. Mereka hendak ke bangsal yang lama tetapi terdengar suara melarang “Hey, jangan ke situ. Di situ ada serigala yng ganas. Dia akan meratah kamu”. Mereka hendak ke bangsal yang baru tetapi ada suara menegah  “Jangan ke sana, di sana ada ular yang bisa. Dia pandai membelit”.

Asrul dapat menangkap maksud cerpen itu.  Sang sastrawan sebenarnya tidak bercakap tentang kambing. Kambing itu adalah dirinya, keluarganya dan orang-orang yang seketurunan dengannya. Mereka sekarang dalam  kecelaruan yang amat sangat. Mereka sudah tidak tahu yang mana fitnah dan yang mana benar. Di kiri dan di kanan mereka diasak dengan pelbagai cerita dan kata nista. Gambar-gambar yang tidak senonoh disebar luas sehingga kepada anak-anak sekolah sebaya Ina. Sungguh  pelek hal ini boleh berlaku di dalam masyarakat dan negara yang telah mengharamkan segala bentuk fornogarfi

Sejak keluar  universiti dua tahun yang lalu Asrul kerap membaca karya-karya sastera dan cuba menulis puisi. Begitulah cara dia mengisi masa sambil membantu ayahnya  Umar menjaga  ayam ternakan. Walaupun dia mendapat imbuhan tetap  RM sembilan ratus untuk memberi makan ayam dan membuat kerja-kerja di  reban,  Asrul masih menganggap dirinya seorang siswazah menganggur.

Setiap hari dia berharap akan dapat meninggalkan reban ayam ayahnya. Dia menunggu dan mengharap akan tibanya surat yang menjemputnya ke jawatan yang diidamkan. Betapa bahagianya kalau dapat berkerja  di pejabat yang berhawa dingin,  memakai kot dan tali leher.

Dia juga ingat kepada hutang PTPTNnya yang masih belum berkurangan.Kabarnya jumlah hutang akan bertambah kerana bayaran perkhidmatan akan dikenakan. Itu yang membebankan minda Asrul sekarang. Dalam keadaan itu dia sering menulis puisi yang bernada sinis dan marah-marah . Dalam keadaan begini dia mudah dihasut: Kau tak dapat kerja kerana duit negara sudah habis akibat amalan rasuah dan pembaziran.

Tapi apa yang dapat dibuatnya selain menolong ayah di reban. Sekurang-kurangnya dapat juga sedikit wang. Kata ayah  Asrul tidak perlu mengharapkan  kerja lain, lebih baik tumpukan saja kepada bidang ternakan. Dia sepatutnya berusaha untuk menjadi petani dan penternak moden. Kerajaan telah sediakan pelbagai bantuan untuk orang yang mahu berusaha di dalam bidang ini. Bukankah ada kalimah yang terpampang di papan-papan tanda : Pertanian adalah perniagaan.

Asrul tidak berani bertengkar dengan ayahnya. Dia cuma bersungut di dalam hati: “kalau aku nak jadi penternak ayam apa gunanya aku belajar sampai ke universiti. Orang yang tidak ada sijil SPM pun boleh buat kerja-kerja begini. Apa gunanya aku jadi siswazah kalau hendak buat kerja-kerja kotor seperti ini.”

Tugas Asrul bertambah dengan kedatangan pilihanraya.  Selepas memberi makan ayam dan mencuci reban, Asrul disuruh mengetuai kerja-kerja menampal poster dan sepanduk Parti Lama  yang akan bertanding melawan Parti Baru.   Sebagai anak  yang patuh,  Asrul menjalankan tugasnya. Namun sebenarnya dia tidaklah taksub dengan  mana-mana parti pun. Dia sedih bila diberitahu banyak wang  negara yang hilang akibat amalan  rasuah dan pembaziran pemimpin-pemimpin Parti Lama. Namun  dia tidak yakin Parti Baru  boleh melakukan apa-apa keajaiban untuk mengembalikan wang negara yang hilang itu.  Dia hanya memerhatikan apa yang sedang berlaku dan berlalu di hadapan matanya. Biarlah semua itu berlalu . Dia akan mengundi pada hari pemilihan, tetapi belum tentu  simbol mana yang hendak dipangkahnya.

Simbol kedua parti bertampalan dan bergantungan penuh sarat dan berat di segenap pokok dan tiang di kampungnya. Kedua parti berlawan-lawan untuk membanyakkan sepanduk-sepanduk mereka.  Terjadi juga perkelahian untuk merebut pokok kelapa untuk menampal poster. Inilah yang dinamakan  perang poster. Asrul tahu ramai kawan-kawannya yang seronok dengan keadaan ini. Mereka mengambil upah menampal poster dan merosakkan  poster parti lawan.  Kadang-kadang mereka merosakkan poster parti yang mereka tampal sendiri supaya boleh ditampal lagi dan diupah lagi.


Kadang-kadang terlintas juga di pemikiran Asrul. “Ah apalah gunanya beriya-iya menggantung poster. Apalah gunanya  menonjolkan sesuatu simbol parti  kalau selepas menang pilihan raya, seorang wakil rakyat boleh melompat ke parti lain. Tidakkah ini semua kerja bodoh dan sia-sia” . Pada pendapat Asrul, sepatutnya dibuat undang-undang tidak boleh berpindah parti selepas menang atau batalkan saja kerja-kerja menggantung poster.  Semua pemikiran itu tinggal di dalam benaknya sambil dia terus melakukan sahaja apa kerja-kerja menggantung poster seperti yang disuruh oleh ayahnya Umar.

3- Umar, tauke ayam
Umar, ayah Asrul yang berusia empat puluh lima tahun, dikenali di Hulu Negeri  sebagai tauke ayam. Umar memang sangat berterima kasih atas limpah bantuan dan pertolongan pihak berkuasa. Jikalau tidak kerana bantuan-bantuan ini dia yakin reban ayam tertutupnya tidak akan siap. Langkah pertama ialah memohon pertolongan di bawah skim tanah terbiar. Umar menerima beberapa ribu RM  untuk  menebang belukar dan meratakan tanah.  Sebelum itu  dia sudah beberapa kali turun naik pejabat wakil rakyat  untuk memohon sokongan bagi membuat pinjaman. Akhirnya pinjaman itu diluluskan walaupun jumlahnya kurang daripada yang dipohon.

Reban tertutup telah  didirikannya dengan modal yang besar. Umar  bekerja keras dan cuba mengatasi pelbagai  masalah yang mendatang.  Kadang-kadang ayam sakit dan hasilnya berkurangan. Mujur juga ada  insentif khas untuk pengeluaran makanan. Umar bergantung harap kepada insentif tersebut untuk melegakan bebanannya. Malangnya sejak awal tahun lalu kerajaan telah memberhentikan pemberian insentif pengeluaran makanan dengan alasan kekurangan dana. Umar merasa sakit dan tersepit. Beberapa kali terlintas di fikirannya untuk tidak mengundi Parti Lama.

Hati Umar berbunga kembali dan semakin teguh bersama Parti Lama kerana baru-baru ini dia dapat bercakap-cakap sendiri dengan menteri. Dia meluahkan segala masalahnya. Pada hari itu juga menteri telah mengumumkan bahawa pemberian insentif pengeluaran makanan akan diteruskan. Beliau juga    meluluskan bantuan serta merta  sebanyak RM dua puluh ribu untuk mempertingkat perusahaannya. Menteri juga bersetuju untuk menurap jalan masuk ke reban yang selama ini becak.. Jalan itu sudah menjadi beban masalah yang sangat berat baginya.  Lori membawa dedak pernah tersangkut beberapa kali. Sudah bertahun dia merayu agar dibuat sesuatu tetapi jawaban yang didapatinya sama sahaja, iaitu kerajaan tiada peruntukan. Bukan Umar seorang yang mengeluh. Di situ juga ada Pak Sani yang menternak kambing dan Haji Osman yang menanam nenas.  Tetapi bila menteri melawat  dia terus meluluskan peruntukan untuk menurap jalan.

Kerana bantuan ini Umar sanggup berhujjan dan bertengkar di sana sini sehingga kerongkongnya perit dan batuk-batuk. Umar tidak jemu-jemu mengingatkan anak-anaknya supaya jangan terpengaruh dengan kempen-kempen parti lawan. Kata Umar kita mesti tahu mengenang budi dan menghargai jasa . Pilihlah orang  yang  telah menunjukkan jasa dan menolong kita selama ini. Umar bertengkar dengan orang-orang yang sudah termakan dengan hasutan parti lawan dan berkawan rapat dengan ketua-ketua parti lawan, termasuklah adiknya sendiri, Salleh.

4- Salleh, penjual cd ceramah
Salleh yang berusia empat puluh tahun tinggal di kampung Hulu Negeri tanpa sebarang kerja yang tetap selain menolong isterinya membuat direct selling satu produk kesihatan. Pendapatan mereka tidak menentu dan inilah yang sering mencetuskan perbalahan dengan isterinya. Tetapi sejak tiga tahun yang lalu mereka sudah jarang bertengkar kerana Salleh sudah dapat membawa pulang wang yang mencukupi untuk makan minum dan menyengolahkan anak-anak. Salleh mula aktif ke sana ke mari mengikut ketua-ketua Parti Muda yang mengadakan ceramah di seluruh negara.

Salleh meninggalkan rumah berhari-hari untuk mendengar ceramah pemimpin-pemimpin Parti Muda. Dia akan membawa bersama alat perakam yang dibelinya secara berhutang dari kedai Ameng. Ceramah itu dirakam dan diperbanyakkan. Cakra padat itu diedar kepada rangkaian penjual pasar malam dan pasar siang.

Cakra padat yang berisi pidato pemimpin-pemimpin Parti Baru selalunya laris. Ramai yang sudah menjadi peminat dan leka menonton pemidato yang petah. Pelbagai cerita dan tidak kurang juga kata nesta yang disampaikan dengan nada yang memikat. Mereka memiliki gaya yang hebat. Mereka menguasai seni  retorika Penonton tak habis-habis ketawa kerana mereka juga pandai berjenaka mengalahkan Raja Lawak yang dicari oleh sebuah stesen television. Inilah satu  corak hiburan baru di dalam negara  yang menguntungkannya. Memang hebat pidato ketua-ketua Parti Baru., penuh jenaka. Pedas dengan nista, tajam dengan tuduhan-tuduhan terhadap Parti Lama. Pidato-pidato seperti inilah yang memikat ramai pendengar. Tentu laris bila dijual di seluruh negara.

Setiap kali Salleh mendapat rakaman baru, dia akan memanggil kawan-kawannya ke rumah. Mereka berkumpul dan menonton hingga jauh malam. Kadang-kadang isterinya Asma menegur, “Awak ni tak habis-habis dengan cd ceramah Parti Baru. Sepatutnya awak dengar juga ceramah Parti Lama. Barulah dapat maklumat yang seimbang. Mana boleh dengar sebelah pihak saja”. Salleh cepat-cepat menjawab rungutan isterinya, “Hah, macam mana nak dengar ceramah Parti Lama. Mana ada orang mereka yang pandai bercakap”. Salleh tidak pedulikan omelan isterinya. Dia tahu Asmah mungkin telah mengundi Parti Lama sebab baru-baru ini keluarganya telah menerima wang  sebanyak sepuluh ribu RM. Wang itu diberikan sebagai pendahuluan. Banyak lagi wang yang  dijanjikan.   Asmah dan keluarganya bergembira sekarang kerana masalah pampasan tanah  yang dihadapi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu telah dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari sahaja.

Abangnya Umar menuduh dia menjadi pengkhianat bangsa kerana sanggup menyebar bahan-bahan yang berunsur dusta. Dia menyangkal tuduhan itu. Dia membuat kerja-kerja itu untuk mencari rezeki untuk keluarga..Umar tetap berkata dia menyebarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan bangsa. Lama juga mereka bertengkar.  Akhirnya Salleh dan Umar  tidak berteguran lagi.

Keputusan pemilihan sudah pun diketahui. Parti yang disokong oleh Umar sudah pun diistiharkan sebagai pemenang. Pemimpin-pemimpin negara telah hadir di dalam dewan pada malam  pengumuman. Radio dan Television menyiarkannya secara langsung.  , Mereka bertepuk sorak riuh rendah bunyinya.  Tentu abangnya Umar bergembiara dengan keputusan itu. Tentu Umar telah berkata, “Hah biar  padan muka si Salleh yang menyokong Parti Baru itu”.

Salleh sudah menerima kekalahan itu. Tetapi dia tidak merasa satu kerugian yang besar.. Dia sudah merakam banyak ceramah dengan alat perakamnya.  Salleh menyusun dengan teliti cakra padat tersebut. Inilah hasil usaha gigihnya selama dua minggu.  Kali ini dia benar-benar  beruntung. Bukan mudah mendapatkan sebegitu banyak ceramah  hanya dalam tempoh dua minggu dengan tidak payah meninggalkan  Hulu Negeri. Dia tidak payah meninggalkan rumah kerana semua   pemidato-pemidato  hebat  Parti Baru  turun membuat  ucapan di kampungnya. Biasanya dia terpaksa membuat perjalanan beratus-ratus kilometer ke utara atau ke selatan, ke timur atau ke barat untuk mendapatkan ceramah-ceramah yang sebegini banyak.


Salleh  tidak pernah memberitahu sesiapa , parti manakah yang diundinya di dalam pilihanraya.  Tetapi dia berterima kasih kepada Parti Baru kerana selama ini dia dapat mencari rezeki dengan  kerancakan ceramah mereka. Sekurang-kurangnya dia beroleh pendapatan dengan merakam dan mengedar cakra padat. Dia berterima kasih juga kepada Ameng taukey kedai rakaman  dan dan cetakan  cd  yang bermurah hati  memberi  kemudahan dia berhutang alat perakam. Esok dia akan ke kedai Ameng di Bandar sana. Ameng akan membuat suntingan dan membuat segala yang perlu untuk  menghasilkan cd yang menarik. Ameng memang handal di dalam bidang ini.
Terima kasih juga kepada Aseng yang memperkenalkan dia kepada Ameng.  

 5- Aseng, seorang pekedai di Hulu Negeri
Aseng,  50 tahun,  adalah tuan punya kedai yang terbesar di Hulu Negeri. Dia merasa amat gembira kerana dalam masa sebulan kedainya dikunjungi ramai pelanggan. Wang datang mencurah-curah bagaikan air hujan.  Aseng  meletakkan beberapa biji buah limau dan menyalakan colok di hadapan gambar moyangnya .. Dia mengungkapkan kata-kata “Terima kasih moyang kerana telah berusaha dengan pintar sehingga kami sekarang dapat hidup senang di Hulu Negeri”.

Moyangnya bukan penduduk asal negeri itu. Dia telah merantau jauh dari tempat kelahirannya yang selalu dilanda bencana. Kisah kedatangan moyangnya ke Hulu Negeri selalu diperbualkan oleh orang-orang lain yang mengaku keturunan asal tanah itu  sejak turun temurun dan beratus-ratus tahun. Mengikut cerita mereka, moyang Aseng laki  isteri telah berjalan berhari-hari menyusur sungai hingga sampai ke situ. Mereka  ditemui dalam keadaan letih dan kelaparan. Mereka  ditolongi oleh orang-orang kampung yang memang terkenal dengan sifat pemurah dan berbudi bahasa. Moyang Aseng  sihat semula dan menumpang duduk di kampung itu dengan membuat pelbagai kerja untuk mencari makan. Orang kampung pun senang hati melihat kerajinan mereka. . Dipendekkan cerita mereka tinggal di situ hingga beranak cucu.

 Aseng tahu Umar sudah bermasam muka dengan Salleh. Selain Umar dan Salleh,  ramai lagi adik beradik, pupu poyang yang tidak lagi bertegur sapa kerana tidak menyokong  parti yang sama. Dia tahu kerana mereka pernah bertengkar di kedainya.  

Tetapi Aseng tidak pernah bermasam muka dengan sesiapa. Siapa pun yang datang ke kedainya akan dilayan dengan baik. Umar baru saja datang membeli berguni-guni dedak untuk ayam.  Dia bermanis muka dengan Umar walaupun dia tahu kalau tidak dilayan dengan baik pun Umar tetap akan membeli dedaknya kerana dialah yang akan membeli ayam-ayam Umar.

Aseng sudah menelepon sahabatnya  Ameng memberitahu yang Salleh akan datang membawa master cd untuk dibuat suntingan dan salinan. Ameng akan mendapat  banyak wang. Aseng tidak perlu bermasam muka dengan Salleh. Salleh akan mendapat keuntungan dari cd yang dijualnya. Dia akan terus bermanis muka  dengan Asmah dan ramai lagi orang kampung yang telah menerima wang pampasan. Dengan wang yang banyak mereka akan kerap datang dan membeli belah di kedainya.

Sehari dua lagi seorang lagi sahabatnya, Aleng, akan mengaut keuntungan yang berganda-ganda. Parti yang menang sudah menabur janji untuk membesarkan sekolah dan membaiki banyak rumah.  Bahkan ada rumah yang didirikan atau dibaiki semasa tempoh berkempen. Sungguh cepat dan mudah seperti memasak mi segera lakunya. Aleng begitu sibuk melayan kontraktor-kontraktor yang datang membeli paku dan simen.  Siapa pun yang menang tidak menjadi masalah bagi mereka. Inilah nikmat hidup di Hulu Negeri yang bahagia.


Wednesday, August 13, 2014

PROSES KREATIF…
Apakah yang dikatakan Penulisan Kreatif dan Proses Kreatif?
Penulisan Kreatif pada dasarnya ialah proses penciptaan karya sastera. Ia bermula dari tercetusnya idea (yang disebut sebagai mendapat ilham), memikir dan mematangkan idea tersebut, mengolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre, dan seterusnya memperbaiki dan memurnikan sehingga lahir sebuah karya yang baru. Proses ini tidak berlaku dalam tempoh masa yang sama untuk semua pengarang.Setiap seorang pengarang juga tidak mengambil masa yang sama untuk menghasilkan karya yang berlainan. Proses kreatif boleh dibahagikan kepada beberapa tahap.
Tahap Satu: Kemunculan Idea atau Ilham.
1)    Suatu  idea muncul di dalam benak atau pemikiran penulis. Kemunculan ini  disebut  juga sebagai mendapat ilham. Idea sering muncul tidak mengira waktu dan tempat,seringkali dengan tidak diramal. Kadang-kadang ketika seseorang di dalam kenderaan, ketika berbual dengan orang lain, atau ketika menonton television. Ia muncul ketika sedang sibuk, sakit atau ketika sihat.
2)    Idea sering melintas dengan cepat dan kemudian menghilang Oleh itu, sangat membantu jika seorang penulis  membawa buku catatan (atau apa-apa alat IT yang canggih dewasa ini) untuk mencatat sesuatu yang melintas di fikirannya.  Pencatatan idea harus dilakukan sebaik mungkin. Idea ini kemudian dapat diperhalusi, difikir-fikirkan sehingga benar-benar menjadi matang dan jelas.
3)    Idea yang muncul banyak bergantung kepada pengetahuan dan pengalaman. Semakin banyak pengalaman dan pengetahuan seseorang, semakin banyak idea yang akan  didapati. Oleh itu seseorang harus terus meningkatkan pengetahuan dan pengalamannya di dalam pelbagai bidang seperti kesenian, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan lain-lain. Pengetahuan dapat diperolehi melalui membaca, berdiskusi, mendengar ceramah, dan lain-lain. Pengalaman dapat diperoleh secara langsung atau tidak langsung.
4)    Seorang penulis juga boIeh berusaha untuk memperkayakan idea antara lain  (i) dengan mempelajari idea orang lain, (ii) meningkatkan pengetahuan dan pengalaman, (iii) menciptakan suasana yang santai, merasa selesa dan berani untuk bertukar-tukar pandangan dan mendengar pandangan orang lain terhadap hasil tulisan (iv) sering berlatih..

Tahap Kedua : Mengembangkan Idea
1)    Seorang penulis sering mendapat lintasan-lintasan idea atau pemikiran yang samar-samar dan tidak lengkap. Idea yang muncul biasanya tidak dapat terus dituangkan ke dalam karya sastera, tetapi masih memerlukan pengolahan terlebih dulu. Dengan mengolah dan menyempurnakan secara terus- menerus idea akan menjadi lebih matang dan kuat untuk dilahirkan menjadi karya sastera.
2)    Idea dapat dimatangkan melalui pembacaan. Melalui pembacaan kita dapat mengetahui apa saja yang tidak mungkin dialaminya secara langsung.Dengan banyak membaca karya sastera, seorang bakal penulis dapat menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran di dalam penggunaan  bahasa dan gaya pengucapan karyanya.
3)    Idea dapat dimatangkan melalui pengalaman. Idea yang masih samar-samar dapat diperjelas dengan cara mendalami secara langsung kehidupan yang akan digambarkan. Misalnya seorang penulis yang ingin menceritakan tentang kehidupan seorang nelayan  harus menjalani kehidupan dan bercampur gaul dengan nelayan untuk memperoleh gambaran yang lebih dekat.
4)    Idea dapat dimatangkan dengan perenungan. Dalam merenung seorang penulis akan mengungkap kembali seluruh pengetahuan dan pengalamannya yang relevan dengan idea yang sedang digarapnya. Dalam perenungan seorang penulis berusaha melakukan proses berpikir untuk mencari kemungkinan hubungan antara idea yang muncul dengan sesuatu yang lain yang tidak memiliki hubungan secara langsung.
5)    Idea dapat dimatangkan melalui diskusi. Dengan berdiskusi seorang penulis dapat saling bertukar pengetahuan dan pengalaman sehingga suatu idea dapat menjadi jelas karena ditinjau dari pelbagai sudut pandang.

Tahap Tiga: Menulis
1)    Setelah idea menjadi matang seorang penulis bolehlah memulakan penulisannya .. Menulis melibatkan penggunaan bahasa. Seseorang yang tidak mahir berbahasa akan gagal untuk melahirkan karya yang baik. Oleh itu seorang penulis perlu banyak membaca untuk  memperkaya kosa kata dan menguasai kaedah bahasa, laras bahasa, sistem makna, dan sistem bunyi bahasa.
2)    Kadang-kadang seseorang mengalami masalah psikologis seperti perasaan takut, malu, tertekan, tension (ketegangan) dan kurang yakin. Seorang penulis harus membebaskan dirinya daripada perasaan-perasaan tersebut agar penulisan berjalan dengan baik dan idea dapat mengalir. Penulis harus merasa tenang, santai, selesa dan seronok untuk berkarya.
3)    Ramai penulis, terutama penulis penulis baru yang mengalami kesukaran dan tersekat-sekat ketika mengungkap idea dan mula merasa dirinya tidak mahir, tidak berbakat Ada yang berputus asa. Ingatlah kemahiran hanya boleh diperolehi melalui ketekunan dan kerajinan. Semakin sering dan tekun berlatih menulis, akan semakin lancar seorang penulis dalam melahirkan karya-karyanya
Tahap Keempat: Memurnikan Penulisan
1)    Penulisan yang dilahirkan biasanya tidak terus baik dan sempurna. Untuk itu, seorang penulis perlu membaca kembali karya yang ditulisnya dan bila dianggap perlu ia akan mengubah, menambah, atau menguranginya. Ini dilakukan berulang-ulang sampai penulis merasa yang dia telah berjaya mengungkap apa yang hendak disampaikan.
2)    Idea yang dilahirkan sering mengalami perubahan dan pengembangan. Peristiwa yang ingin digambarkan secara singkat dan padat akhirnya digambarkan dengan panjang lebar. Seorang penulis yang pada asalnya  ingin menggambarkan kehidupan watak-watak yang terdiri dari orang-orang kampung menukar fikiran dan menjadikan tokoh-tokohnya orang bandar. Hal seperti ini memang sering berlaku
3)    Karya disempurnakan dengan membaca kembali yang tertulis. Ada yang terus membaca selepas ditulis , ada yang menunggu beberapa hari. Hal ini bergantung pada kecenderungan peribadi masing-masing . Dengan membaca kembali seorang penulis mengubah dan menyempurnakan apa yang masih kurang dalam tulisannya.
4)    Ada  penulis yang tidak mahu atau merasa malu menunjukkan tulisan yang belum disiarkan itu kepada orang lain. Oleh sebab itu dia akan membaca tulisannya sendiri dan melakukan pembaikan. Tetapi ada penulis yang tidak mahu membaca sendiri, mungkin merasa bosan untuk berbuat demikian, lalu meminta orang lain untuk membaca dan membetulkan ejaan dan memberi pandangan.

MENJADI PENULIS YANG BAIK.
Untuk menjadi penulis yang baik seseorang perlu mempunyai:
           
Bakat
Bakat  merujuk kepada kebolehan semula jadi, tetapi bakat saja tidak mencukupi. Bakat adalah umpama sebiji benih. Kalau benih tidak disemai, disiram, dijaga maka ia tidak akan tumbuh.

Kesungguhan dan kerajinan
Setiap orang yang mahu menjadi penulis mesti bekerja keras seperti juga di dalam bidang apa pun. Orang yang rajin mempunyai harapan untuk berjaya lebih daripada orang yang malas. Kerajinan merupakan air dan baja yang menumbuhkan benih bakat. Kekangan yang paling hebat di dalam kerjaya menulis ialah sifat malas.

Persekitaran yang memberangsangkan
Seorang yang mahu terus menulis perlu meletakkan dirinya di dalam persekitaran yang dapat menyuburkan minatnya. Seorang yang mendapat galakan dari keluarga, kawan-kawan misalnya akan terangsang untuk terus menulis. Ini juga bermakna seorang penulis perlu pandai mengatur gaya dan cara penghidupannyasupaya  sesuai dengan minatnya. Pepatah ada mengatakan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Bagaimanakah caranya menyesuaikan diri dengan keadaan dan tuntutan kehidupan? Itu terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

Belajar dari Penulis-penulis yang berpengalaman
Bakal-bakal penulis bolehlah menimba ilmu  dari mereka yang sudah berpengalaman. Bacalah tentang kehidupan penulis-penulis veteran atau penulis-penulis yang diminati untuk dijadikan contoh teladan. Tanyakan bagaimana mereka menggunakan masa atau menyesuaikan masa untuk terus menulis. Ada di antara penulis-penulis veteran seperti Arenawati, A.Samad Said yang telah menulis memoir menceritakan pengalaman mereka menghasilkan karya kreatif. Buku-buku ini menjadi sumber penting untuk menimba ilmu dan mendorong  kita untuk berkarya.

Menghadiri ceramah, diskusi, bengkel
Salah satu cara untuk terus menyuburkan minat dan mengasah bakat ialah dengan menghadiri majlis-majlis ceramah atau kegiatan-kegiatan sastera. Selain mendapat petua dan petunjuk dari penceramah, akan berpeluang bertemu, berbual dan bertukar-tukar fikiran sesama kawan-kawan penulis. Suasana begini boleh membenihkan idea dan menyuburkan minat dan bakat.

Memperluas Ilmu Pengetahuan
Seorang penulis mesti rajin mendalami ilmu, rajin membaca dan mempertajamkan kebolehannya.Ia mesti berminat dengan karya orang lain lebih-lebih lagi karya-karya besar.Membacalah  untuk memperkaya perbendaharaan kata dan kepandaian menyusun kata-kata dan mempertingkat daya penggunaan bahasa.
Untuk menjadi seorang penulis seseorang tidak perlu menguasai teori sastera yang rumit.Tetapi dia perlu berminat dengan bidang yang diceburinya. Dia wajar mengambil tahu tentang perkembangan sastera dan sejarah kesusasteraan setidak-tidak pun di negaranya sendiri. Di samping itu untuk memajukan diri seorang penulis wajar  mempunyai pengetahuan secukupnya di dalam bidang kritik sastera dan apresiasi sastera untuk mengetahui  bagaimana menilai mutu atau kekuatan sebuah karya sastera dan  bagaimanakah yang dikatakan sebuah karya yang segar dan baru. 

Berminat kepada perkembangan di sekeliling
Rasanya seorang yang tidak berminat dan tidak mahu mengambil tahu apa yang terjadi di dalam masyarakatnya, apa yang sedang melanda bangsanya atau apa yang mengubah penghidupan di dalam negara dan di luar negara tidak akan boleh menjadi penulis kerana setiap karya sastera lahir dari kepekaan dan sensitiviti penulis akan perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Disiplin
Pada masa sekarang sudah ramai penulis yang boleh hidup dengan hasil tulisan. Kita melihat mereka seperti bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu memohon cuti dan kebenaran keluar pejabat. Tetapi kebebasan dan keselesaan seperti ini membahayakan jika seseorang tidak memiliki Disiplin. Bila anda tidak bekerja di pejabat anda boleh diganggu oleh tetamu yang tidak mengira masa.

Oleh itu buatlah jadual kerja dan ikutilah jadual anda. Sesuaikan masa menulis dengan keadaan hidup anda sama ada anda seorang suri rumah, pekerja di pejabat dan sebagainya. Setiap orang ada caranya tersendiri. SN Muhammad Haji Salleh pernah menceritakan yang beliau lebih selesa menulis puisi di dalam keadaan bersantai di rumah, dengan kain pelikat. SN Abdullah Hussein suka berpakaian kemas seolah-olah bekerja di pejabat kerana katanya kalau pakai terlalu kasual, dia terasa mahu berehat dan tidur sahaja.

Gaya Hidup Sihat
Ada orang pernah mengatakan bahawa bila penyair mendapat idea, dia akan lupa makan minum. Satu ketika dahulu, para penulis, terutama penyair sering digambarkan sebagai golongan yang agak menyimpang dari kehidupan biasa. Sebenarnya setiap manusia perlukan gaya hidup yang sihat dan perlu menjaga makan minum untuk berjaya di dalam lapangan apa pun. Bukankah otak yang cerdas, fikiran yang bernas lahir dari badan yang sihat dan cergas.


Menulis adalah satu proses yang boleh membuat anda cepat mengantuk. Amalkan senaman-senaman yang sesuai.