ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Friday, April 27, 2012

MENCARI CARA TERBAIK MENDEKLAMASI PUISI

NAMPAKNYA minat dalam deklamasi puisi semakin subur dengan tertubuhnya Kelab Penyair dan Deklamator Gapena dan grup deklamator DEKMAL. Baguslah kerana dengan kegiatan itu puisi dapat disemarakkan di tengah masyarakat. Saya pernah menjadi hakim Sayembara Deklamasi Puisi yang dijalankan oleh pelbagai pihak, khasnya Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang diterajui oleh GAPENA sebagai satu acara sambutan Bulan Kemerdekaan.





Sebagai seorang juri, saya selalu ditanya bagaimana cara yang baik untuk mendeklamasi sajak?. Tak kurang juga peserta yang menyerbu saya untuk menyoal mengapa dia tidak menang. Pengalaman sebagai hakim pernah saya curahkan di dada akhbar Berita Harian (malangnya sudah terlupa tarikh sebenar tersiarnya artikel itu) Insya Allah saya cari dan catatkan kemudian. Untuk yang berminat inilah petikan rencana yang disiarkan dengan judul Cara Terbaik Mendeklamasi Puisi.

KEGIATAN Baca Puisi boleh dikatakan sedang berkembang subur di negara kita. Antaranya:i. Baca Puisi Pena yang berlangsung secara santai setiap bulan di Rumah Pena (Kuala Lumpur), dan pernah dilangsungkan di beberapa tempat seperti Taman Puisi (Kuala Terengganu) Taman Budaya Negeri Pahang (Kuantan) dan Gelanggang Seni Kota Baharu, (Kelantan).ii. Baca puisi secara persembahan pernah diadakan di Matic, Dewan Bandar raya Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dewan Perdana Siswa, Universiti Malaya dan tempat lain yang dianjurkan pelbagai pihak.iii. Persembahan teater puisi seperti diterajui Fauziah Nawi, Normah Nordin dan lain-lain.iv. Deklamasi puisi sebagai pertandingan.

Tulisan ini menumpukan perhatian deklamasi puisi sebagai pertandingan. Acara itu biasanya dianjurkan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan organisasi tertentu. Ada pihak yang menganjurkan sebagai acara tahunan dan peserta dikehendaki mendeklamasikan sajak daripada senarai yang ditetapkan penganjur, mengikut matlamat pertandingan. Misalnya puisi bertemakan kecintaan terhadap alam sekitar untuk pertandingan yang dianjurkan Jabatan Alam Sekitar, puisi bertemakan perpaduan kaum untuk pertandingan anjuran Jabatan Perpaduan dan sajak patriotik seperti Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang dilangsungkan setiap tahun sebagai acara sambutan Hari Kebangsaan.

Sayembara itu diadakan sejak 1987 dengan mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara. Peserta kebanyakannya remaja. Selama beberapa tahun saya diberi kepercayaan menjadi hakim beberapa pertandingan khasnya Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan. Pelbagai pengalaman sudah dikutip dan ingin saya kemukakan di sini.Setiap pertandingan deklamasi bertujuan mencari deklamator terbaik. Persoalan yang sering ditanya terutama peserta pertandingan ialah apakah ciri deklamator yang baik dan bagaimanakah cara terbaik mendeklamasi puisi?

Sememangnya tidak ada cara membaca puisi yang boleh dikatakan terbaik. Dalam sesuatu pertandingan, pengadil mungkin tertarik dengan peserta yang mempunyai suara lantang, kuat, besar bergema, penuh bersemangat dan bertenaga.Pada pertandingan lain panel mungkin memenangkan deklamator yang membaca dengan gaya sederhana, tenang dan terkawal, lembut dan bersahaja seolah-olah sedang bercakap dan berkomunikasi dengan penonton.

Sebagai persembahan seni sememangnya deklamasi tidak mempunyai satu gaya saja. Tidak ada peraturan ketat dan khusus yang mesti diikuti pendeklamator. Sesuatu gaya yang membawa tuah kepada johan lalu mungkin tidak membawa kemenangan kepada peserta baru kerana meniru gaya orang lain yang menunjukkan kekurangan inovasi dan kreativiti. Bagaimanapun gaya dan cara bacaan yang penting dan menjadi ukuran utama adakah deklamator berjaya menyampaikan makna dan maksud sajak yang dibacanya.

Deklamator yang baik dapat menarik penonton menghayati makna, pemikiran dan suasana dalam sajak. Penonton terus menumpukan perhatian terhadap bacaannya. Deklamator yang berjaya dapat membuat penonton bersedih atau membangkitkan semangat patriotik mereka mengikut maksud sajak yang dibaca.

Perkara utama dalam persembahan deklamasi ialah pembacaan yang membabitkan suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gerak badan dan sebagainya. Semua itu mesti dipadukan dengan harmoni dan sesuai dengan maksud sajak.Namun, tidak semua deklamator mampu berbuat demikian. Ada bacaan yang gagal menarik perhatian penonton. Kegagalan itu disebabkan beberapa faktor antaranya sebutan tidak jelas, kurang keyakinan atau terlupa.

Deklamator mesti menyebut setiap perkataan dengan jelas. Jika lain yang disebut lain kedengaran tentulah menjejaskan makna sajak .contohnya penjajah disebut penjaja, tanah air di tawan polusi menjadi tanah air ditawan polisi, martabat bangsa kedengaran seperti murtabak bangsa dan mujahid kedengaran mujahat. Apabila ini terjadi makna sajak berubah, malah menimbulkan kelucuan dan mengganggu penghayatan penonton dan ia dianggap satu kegagalan.

Ada deklamator tidak menghadap penonton dengan yakin. Ini menyebabkan ia teragak-agak, kurang bersungguh-sungguh, sebutan tidak jelas dan suara tidak keluar. Ini terjadi apabila deklamator tidak membuat persediaan secukupnya.Pertandingan deklamasi puisi bukan bertujuan mendera peserta untuk menghafal. Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan membenarkan peserta membawa kertas di pentas, namun peserta yang boleh menghafal dengan baik tentu berhak menerima markah lebih kerana itu membuktikan kesungguhannya.Jika deklamator terlupa dan meninggalkan beberapa baris, tentu menjejaskan makna sajak. Ada deklamator terlupa perkataan asal lalu menggantikannya dengan perkataan lain sehingga maksud sajak berubah. Markah di potong mengikut sejauh mana pembacaan menyimpang daripada makna sebenar. Walaupun deklamator dibolehkan membawa kertas, mereka perlu pandai mengawal keadaan supaya tidak ketara jika tiba-tiba tidak dapat mengingati baris sajaknya.

Ada deklamator berfikir dia mesti menjerit dan bertempik untuk menghasilkan pembacaan bertenaga. Ini salah sama sekali. Deklamasi bertenaga tidak bererti bertempik dari awal hingga akhir. Deklamator mesti membaca dan mengawal intonasi suara, meninggi dan merendahkan suara pada tempat sesuai dengan maksud sajak.Jika deklamator bertempik dan berada terlalu dekat dengan mikrofon yang tidak begitu canggih, maka kedengaran bingit dan menyakitkan telinga. Ini mengganggu penonton dan pengadil. Suasana sajak gagal dibina dalam keadaan ini.

Adakalanya, deklamator merendahkan suara sehingga sebutannya hilang dan tenggelam.Dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peserta di benar bergerak bebas di pentas. Deklamator mesti kreatif dan membuat pergerakan yang kena mengena dengan maksud sajak. Pergerakan terlalu banyak apa lagi yang tidak ada kaitan akan mengganggu pembacaan. Adakalanya pergerakan itu menyebabkan suara deklamator tenggelam dan tidak jelas kedengaran.Gaya keterlaluan biasanya terjadi kepada deklamator yang terlalu mahu kelihatan ‘bersungguh-sungguh’. Deklamator terbabit membaca dengan sekuat suara, sering bertempik, menimbulkan nada sedih dengan menangis tersedu sedan dan sebagainya. Perbuatan itu tidak dilarang tetapi mesti bersesuaian.

Tetapi biasanya gaya keterlaluan seperti itu hanya menimbulkan kelucuan dan jarang membawa kemenangan. Peserta harus tahu membezakan antara berlakon teater dan bergaya di pentas deklamasi.Dalam usaha menerbitkan sebutan jelas, ada peserta dalam sajak disebutnya sepatah-patah supaya setiap suku kata dan semua bunyi huruf dapat diperdengar dengan jelas. Misalnya ada deklamator yang menekan suaranya untuk menerbitkan bunyi h, t, r s dan k. Ini menyebabkan bacaannya menjadi lambat dan menjemukan.Sebuah sajak boleh dideklamasikan dalam masa 10 minit akan memakan masa lebih 20 minit. Bayangkanlah jika ada 20 peserta dan semua membaca sedemikian. Ini satu penderaan terhadap pengadil dan penonton. Pembacaan yang menjemukan gagal menarik tumpuan penonton.Selepas pertandingan ada pengadil ‘diserang’ peserta yang kalah dan pihak yang tidak puas hati dengan keputusan diumumkan.Ini sering berlaku lebih-lebih lagi jika ada peserta yang dianggap favourite, tidak memenangi pertandingan itu. Peserta itu mungkin sudah membuktikan kehandalannya sebelum ini tetapi kemenangan diraih agak malang dan menyedihkan, tetapi ia boleh berlaku.Harus diingat, pertandingan adalah pertandingan. Kebolehan peserta diukur ketika di pentas lebih 10 minit. Malangnya pelbagai perkara boleh berlaku.Peserta handal mungkin tersasul atau tersalah menyebut perkataan sehingga mengubah makna sajak. Mungkin peserta itu tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi pada pertandingan berkenaan muncul peserta lain yang seluruh bacaan dan gayanya berjaya memikat pengadil.Mungkin ada pembaharuan atau kelainan dibawa mungkin ada pergerakan yang dianggap artistik dan bersesuaian dengan makna sajak yang dibaca. Segalanya boleh berlaku.

Semua orang memerlukan persediaan dan latihan cukup untuk muncul dengan yakin di pentas. Untuk menjadi deklamator yang baik seseorang perlu membaca dan memahami sajak yang dideklamasikan. Berlatihlah menyebut setiap perkataan. Beri perhatian kepada perkataan yang sukar. Fikirkan gaya yang sesuai dengan sajak yang dipilih. Jaga kesihatan dan suara supaya bagus pada hari pertandingan. Buatlah gerakan atau senaman bagi memperbaiki pernafasan dan kawalan suara. Gunakan kreativiti mencari gaya baru dan tidak meniru gaya lalu.Apabila puisi dipentaskan, baik pada pertandingan, teater atau dilagukan, ia mesti mencapai matlamat menyampaikan maksud puisi. Tidak ada gunanya puisi diberikan irama atau digayakan dengan pelbagai gerak dan tari jika irama atau pergerakan itu sendiri menenggelamkan maksud sajak.Deklamasi puisi adalah persembahan seni. Pemarkahannya tidak dapat tidak dipengaruhi oleh cita rasa dan subjektiviti pengadil sebagai penilai hasil seni. Seperti hasil seni lain, ia meminta kreativiti dan gaya tersendiri.

9 comments:

  1. page ini memang padat. nanti saya baiki semula layoutnya supaya mudah dibaca dan lebih memberi manfaat.

    haha ..tak pandai nak buat yg lebih elok.Dah edit tapi yang ini juga yg keluar. nanti minta tolong orang lain.

    ReplyDelete
  2. page ini memang padat. nanti saya baiki semula layoutnya supaya mudah dibaca dan lebih memberi manfaat.

    haha ..tak pandai nak buat yg lebih elok.Dah edit tapi yang ini juga yg keluar. nanti minta tolong orang lain.

    ReplyDelete
  3. Salam, terima kasih di atas perkongsian, ilmu bermanfaat ini akan dikongsikan pula bersama anak-anak murid saya di sekolah, wlaupun mereka masih di sekolah rendah tp sudah mula berkeyakinan untu mendeklamasikan sajak, tq puan

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah. Memang dahagakan informasi sebegini. Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas sokongan Mawar Hina

      Delete
  5. Alhamdulillah...pucuk dicita ulam mendatang...sebelum menjuarai Peraduan Deklamasi Puisi sempena bulan Ramadan 1435 antara Kementerian NBD...pernah minta tips daripada DD Zurhas...antara yg bernas dan menjadi...ada perbedaan baca puisi patriotik dengan puisi Islam. Suara lembut...tetapi tegas...intonasi tinggi rendah...ikut keseduaian isi sajak...elak berteriak yg melampau... Alhamdulillah...menjadi... Maasya Allah...artikel yg dikongsi DD Zurhas ni lengkap...mantap dan pasti membantu pendeklamator mendeklamasi puisi dengan baik dan lebih sempurna... Terima kasih DD Zurhas yang budiman dan cendekiawan...

    ReplyDelete
  6. salam hangat... mohon ijin untuk dipakai sebagai materi ajar di kelas. semoga murid2 saya bisa meniru dg baik seperti yg anda tuliskan...nice post... akan saya pakai.. kunjungi juga materi saya tentang cara membaca puisi yang baik atau teknik membaca puisi yang bagus dan cara membaca puisi populer

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Terima kasih Datuk Zurinah atas perkongsian ini. Melur dapat gunakannya utk Bengkel Penghayatan Sajak di Kolej Matrikulasi Labuan nanti

    ReplyDelete