ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, March 25, 2012

Heboh pula sekarang orang berdiskusi samada Hang Tuah pernah wujud. Bagiku Hang Tuah sangat bermakna dalam kehidupan orang Melayu dahulu maupun dalam situasi sekarang. Pada tahun 80han, saya telah menulis dua buah sajak yang judulnya tertera di atas. Kedua sajak telah dimuatkan di dalam antologi sajak PUJANGGA TIDAK BERNAMA terbitan dbp 1994. Kedua sajak berkisar pada perlawanan atau pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang amat masyhur dalam memori orang-orang Melayu. Keduanya bertemakan dilema yang dihadapi oleh Hang Tuah dan Hang Jebat . Beberapa orang penyair termasuk Usman Awang telah menulis sajak dan drama berdasarkan episod ini. Ramai juga yang mempersoalkan siapa sebenarnya wira di antara mereka berdua.

Saya pula berfikir tentang sisi yang lain iaitu dilema yang dihadapi oleh Hang Tuah. Dalam Dilema Seorang Melayu, terlihat betapa Hang Tuah amat terkejut mendengar berita tentang penderhakaan Hang Jebat. Dia tahu bahawa Hang Jebat menderhaka kerana memprotes tindakan raja membunuhnya tanpa usul periksa. Tetapi apabila bendahara datang membawa titah sultan untuk membunuh Hang Jebat maka berlakulah konflik yang amat hebat dalam diri Hang Tuah hingga “dadanya bagai akan pecah/dihempas gelombang serba salah” Sukar baginya membuat keputusan untuk setia kepada raja yang zalim dan menzalimi kawan yang setia. Yang dipertimbangkan oleh Hang Tuah ialah kedudukan raja sebagai simbol Ke’raja’an. Tanpa raja Melayu akan wujud lagikah kerajaan Melayu. Walaupun dia tahu raja juga banyak kerenahnya. Bukan mudah untuk membuat pertimbangan melayan kerenah seorang raja dan memelihara sebuah kerajaan. Bagaimana dia harus membantah seorang tuan kerana tuan itulah yang pada fikirannya berfungsi untuk
mempertahankan ketuanan.


Dilema Seorang Melayu

Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”

Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.

Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.

Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.

Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.

Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah

Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.

Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.

Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.

Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.

Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

Dalam Sajak Korban Hang Tuah (m.s.45) dilema ini disorot dengan lebih mendalam. Bila Bendahara membawa titah Sultan untuk membunuh Hang Jebat, Hang Tuah dilanda serba salah. Bolehkah dia melawan titah Sultan dan tergamakkah dia menikam sahabat yang disayanginya.

kedua pahlawan dan kedua sahabat ini akhirnya berlawan. Orang-orang Melaka (dan orang-orang Melayu seluruhnya) hanya menyaksikan perlawanan ini tanpa sebarang usaha untuk meredakan sengketa. Akhirnya Hang Tuah terpaksa mengorbankan Hang Jebat. Hang Tuah juga membuat pengorbanan dengan membunuh Hang Jebat . Bagi Hang Tuah sebuah kerajaan lebih penting dari segala-galanya. Yang ditentang bukanlah Jebat tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa. Tuah sebenarnya boleh agak yang orang akan menuduhnya sebagai pengampu tetapi ini mesti dilakukan demi masa depan negara.

Cetusan Idea
Saya mendapat idea untuk menulis sajak ini suatu petang ketika menyapu sampah di dapur. Entah bagaimana fikiran melayang-layang mengenangkan masadepan Melayu di dalam negara yang maju dan majmuk ini. Mungkin sampah2 itu mengingatkan saya kepada pelbagai semak samun dan masalah yang sedang dihadapi oleh orang2 Melayu. Tiba-tiba teringat kalau Hang Tuah tidak membunuh Jebat atau kalau Hang Tuah tidak bertindak tegas menghalang perbuatan Jebat mungkin raja sudah mati. Kematian raja akan membuka segala kemungkinan perebutan kuasa. Akhirnya takhta akan terbuka untuk direbut oleh siapa sahaja. Masihkah ada raja Melayu hingga ke hari ini? Takhta bermaksud kuasa dan kuasa boleh direbut oleh segala bangsa.
Syair ini dibaca di UMP, Kuantan sempena acara Puisi Riong.
SELAMATKANLAH ANAK-ANAK KITA
(oleh Zurinah Hassan)

Dengarlah tuan saya bersyair
Perihal belia di zaman mutakir
Bukanlah saya orang yang mahir
Jauh sekali hendak menyindir

Susahnya hati kalau difikir
Anak kita ramai tercicir
Di shopping kompleks mundar mandir
Berbaju sekolah tapi tak hadir

Lihatlah tuan di luar Negara
Anak-anak hidup sengsara
Ramai terkorban ramai yang cedera
Kuasa besar punya angkara

Di Malaysia pula setiap malam
Ada yang parah jatuh tersembam
Bukan dibedil musuh2 Islam
Tapi akibat lumba haram



Dengarlah anakku sayang
Tanah ini pusaka moyang
Jangan jatuh ke tangan orang
Sedang kita miskin terbuang

hidup muda memang tak mudah
Syaitan menggoda bertambah gundah
Kalau terdorong ke jalan yang salah
Ingatlah kepada ibu dan ayah

Ibu mengandung Sembilan bulan
Melahirkan dikau dengan kesakitan
Ayah bersusah mencari makan
Kadang berpanas kadang berhujan

Di kala kamu sakit dan demam
Tidak mahu tidur ditilam
Ibumu dokong sepanjang malam
Mata mengantuk tak dapat pejam.

Wahai anak muda belia
Masa jangan disiasia
Kuatkan usaha daya upaya
Tekun dan yakin pasti Berjaya.

Ketika badan muda dan lawa
Ke tempat maksiat jangan dibawa
Kalau tak cukup iman dan takwa
Akan terjadi penyakit jiwa


Di kala muda rebutlah peluang
Zaman remaja tidak berulang
Kalau masa habis dibuang
Di hari tua sesal mendatang.

Ayuhai anak muda bestari
Bonda menegur bukan membenci
Orang tua pun patut cari
Mungkin ada silap sendiri

Ada juga sesetengah bapak
Belanja kawan menunjuk lagak
Anak di rumah berlauk tidak
Menelan nasi tersedak-sedak.

Suka berdangdut suka berjoget
Tinggalkan isteri tidak berduit
Hati anak bertambah sakit
Lepas geram jadi mat rempit

Jangan lupa ayuhai tuan
Negara semakin mengejar kemajuan
Jika anak kita abaikan
Bagaimana bangsa di masa depan

Panjanglah sudah saya bermadah
Takut terlanjur ada yang marah
Ingat mengingat sesama yang lemah
Itu namanya bermuhasabah.

Bukan saya mengaku pandai
Sama mengingat kalau terlalai
Kalau tak cekap melawan badai
Di jurang bahaya akan tersadai

Semoga Allah Maha Pencipta
Menunjukkan jalan terang dan nyata
Pesan berpesan di akhir kata
Selamatkan anak2 kita.

Sunday, March 18, 2012

Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.

Seperti kebanyakan puisi tradisional yang lain, ciri-ciri seloka boleh dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Seperti yang diketahui umum, gurindam digubah untuk menyampaikan nasihat dan panduan, Nazam digunakan untuk menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., teromba merupakan puisi yang menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat, manakala mantera adalah jampi serapah yang bertujuan mengubat pesakit. Seloka pula dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.

Melalui seloka akan terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan di dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya di dalam khazanah Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar sesebuah seloka. Namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku dan menjalankan tanggungjawab bagi menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar seloka.

Warisan Melayu telah meninggalkan sejumlah seloka untuk dihayati. Untuk mengenal seloka dengan lebih dekat kita akan menganalisis tiga buah seloka yang paling terkenal di dalam masyarakat Melayu iaitu:
1. Seloka Pak Kaduk,
2. Seloka Pandai Pak Pandir
3. Seloka Mak Si Randang


Ketiga-tiga seloka di atas adalah berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang. Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.


Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

Seloka ini boleh dikatakan rumusan kepada cerita jenaka Pak Kaduk.. Daripada seloka ini tergambar kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang bergantung sepenuhnya kepada alam. Di sini kita menemui watak Pak Kaduk yang sentiasa dirundung malang. Mengikut seloka ini, nasib yang tidak beruntung ini ialah kerana dia tidak pandai mengatur hidupnya mengikut peraturan alam. Pada pandangan orang Melayu keberuntungan dan kebahagian adalah apabila seseorang dapat hidup secara harmoni dengan alam. Melakukan sesuatu yang bercanggah atau berlawanan dengan alam akan mengundang pelbagai masalah.

Pada masa dahulu, sungai adalah jalan perhubungan. Manusia menggunakan sungai sebagai laluan untuk ke sana ke mari. Seloka ini menggambarkan perjalanan pak kaduk ketika hendak ke hulu dan ke hilir. Pak Kaduk telah mudik atau mendayung perahu ke arah hulu ketika air surut. Perbuatan ini adalah tindakan yang tidak bijak dan bercanggah dengan kejadian alam. Sepatutnya Pak Kaduk mudik ketika air pasang kerana air yang sedang pasang akan membantu menolak perahunya dan mempercepatkan perjalanannya. Sebaliknya ketika hendak ke hilir Pak Kaduk telah memilih ketika air pasang sedangkan perjalanan dari hulu ke hilir lebih mudah dilakukan ketika air surut kerana air sungai yang mengalir ke muara akan membantu menarik perahu ke arah hilir. Maka pengarang seloka ini mengejek kelakuan Pak Kaduk yang Mudik menongkah surut /Hilir menongkah pasang .

Seloka ini juga mengecam Pak Kaduk yang telah membunuh isterinya sedangkan isterinya telah memberi sokongan kepadanya selama ini. Di dalam hidupnya manusia memerlukan hubungan dengan alam dan hubungan dengan manusia lain. Alam persekitaran dan kampung halaman. Hubungan dengan manusia lain diperlihatkan dengn hubungan isteri. Citra keluarga memberi penekanan kepada faktor sentiman keluarga, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan sebagai contoh citra keMelayuan. Kerana dosa dan kesalahannya Pak Kaduk menerima balasan. Dia nyaris mati oleh tak makan. Kita juga mendapat gambaran tentang apa yang berlaku pada Pak Kaduk. Angin telah mati ketika dia hendak belayar, (Masa belayar kematian angin.Sauh dilabuh bayu berpuput). Hal ini memperlihatkan alam juga seolah-olah tidak mahu bekerjasama dengan Pak Kaduk setelah dia melakukan dosa membunuh isterinya itu.

Selain Pak Kaduk, watak Pak Pandir juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu. Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”

Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan


Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya “memijak” anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakakan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan
Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal.
1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan,
2. Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak,
3. Gunting makan di hujung
4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga. orang berbuah dia haram


Mak Si Randang
Baik budi emak si Randang
Dagang lalu ditanakkan
Tiada kayu rumah diruntuh
Anak pulang kelaparan
Anak dipangku diletakkan
Kera di hutan disusui
Dagang pergi awak terhutang
Beras habis padi tak jadi
Awak juga kecundangan


Menceritakan tentang emak si Randang yang berbudi kepada orang lain hingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan dan merosakkan diri dan keluarga sendiri. Emak si Randang terlau ekstrim di dalam menjamin kesejahteraan orang dagang. Perbuatan melampau ini adalah bertentangan dengan pepatah Melayu yang berbunyi ”Buat baik berpada-pada”. Agama Islam juga menyarankan kita bersederhana di dalam segala perkara. Emak si Randang telah menanak nasi untuk menjamu si dagang . Kebodohannya dilihat apabila dia sanggup meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Nasibnya sangat malang kerana dagang yang dijamu itu ternyata bersikap pelahap yang menghabiskan semua makanan tanpa meninggalkan sedikitpun baki. Ini dibuktikan apabila anak atau si Randang pulang tidak ada apa yang boleh dimakan, Nasi yang dimasak habis dimakan oleh si dagang. Perbuatan mak si randang itu umpama menyusukan anak kera dan membiarkan anak sendiri kehausan/ Hal ini digambarkan di dalam ungkapan, Anak dipangku diletakkan Kera di hutan disusui . Mak si Randang juga menanggung hutang kerana membeli makanan. Nasib semakin malang kerana padi tidak menjadi pada musim itu sedangkan beras telah habis ditanak untuk menjamu dagang yang lalu. Setelah kenyang, si dagang telah pergi tanpa meninggalkan apa-apa hadiah sebagai saguhati. Hal ini menunjukkan perangai si dagang yang tidak mengenang budi. Hal ini juga menyalahi ajaran Islam yang mengatakan dengan jelas bahawa seorang ibu dan bapa adalah wajib memberi makan atau nafkah kepada anak dan tanggungannya . Islam juga mengajar bahawa sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih tinggi pahalanya dari sedekah yang diberikan kepada orang yang bukan dari kalangan kaum kerabat.

Tiga buah seloka di atas telah digunakan untuk mengkritik golongan yang tidak membuat atau menjalankan urusan dengan betul. Apa yang amat menarik ialah ungkapan-ungkapan yang berupa sindiran dan kiasan itu tidak hanya tepat untuk mengkritik masyarakat zaman dahulu. Lebih penting ianya terus relevan dengan situasi semasa. Pada masa ini masih ada golongan atasan yang terlalu menjaga kepentingan ’orang dagang’ hingga melupai atau mengabaikan kebajikan rakyat asal. Pada masa ini terdapat ramai orang yang menanggung kerugian kerana mengharapkan keuntungan yang belum tentu. Isi seloka ini perlu difahami dan dijadikan pengajaran dan iktibar kepada setiap golongan masyarakat.



Hari ini aku ingin bercakap tentang KUALI HITAM . Ramai juga yang kenal sajak ini sebab sudah menjadi teks di sekolah untuk subjek kesusasteraan.

KUALI HITAM

Sebiji kuali hitam
di dapur rumah kelahiran
adalah teman ibuku
siang dan malam

Sebiji kuali hitam
terjerang di atas tungku
adalah penghibur ibu
ketika kami menunggu

Sebiji kuali hitam
di atas api siang dan malam
tahun demi tahun
kami tidak pernah menghitung

Seorang ibu yang menyayangi sebiji kuali
wring memeluk kami
pernahkah kami perhatikan
matanya yang ditikam serbuk arang
kulitnya yang dikoyak percikan minyak
lengannya yang diserap abu hitam
dahinya yang disengat pucuk api
kami hanya tahu lena kekenyangan
ketika tidur ibu diketuk-ketuk
oleh lelah dan batuk
setelah asap dan abu menggaru-garu
di paru-paru

Kami tidak pernah menyedari
dan ibu pun tidak peduli
dia hanya tahu merasa bahagia
melihat kami keriangan
menunggu sesuatu akan terhidang
dan tidak ada yang lebih membahagiakan
dari melihat kami kekenyangan

Begitulah tahun demi tahun
kuali yang setia menjalankan tugasnya
hingga kami dewasa dan hidup di kota

(2)


Kini di dapur rumahku yang bersih
tak ada kuali hitam yang hodoh
cuma pada kesempatan
yang tidak selalu sempat
aku memasak untuk anak-anak
dengan kuali non-stick
yang tebal dan mahal
dan sesudah itu membasuhnya
dengan sabun yang lembut
berhati-hati seperti memandikan bayi
mengikut arahan pada buku panduan

Suatu hari ibu ke rumahku
dengan kerajinannya yang biasa
memasak untuk kami sekeluarga
cucu-cucunya ternyata amat berselera
dan ibu merasa terlalu bahagia

Dan sesudah itu
dengan cara yang dia tahu
mengemas dan merapikan dapurku
dan seperti yang biasa dibuat
pada kualinya di kampung
dia menyental kualiku yang mahal
dengan berus yang kesat
dan spontan aku menjerit
"Ibu merosakkan kuali saga
tahukah ibu berapa harganya?"

Ibu terdiam
barangkali hatinya terguris
barangkali dia hampir menangis
melihat wajahku yang bengis
(3)

Dan kini
setelah ibu kembali kepada Ilahi
aku menyesali keterlanjuran
kiranya aku telah mengukur kasih sayang ibu
dengan harga sebiji kuali

Ibu telah tiada
kuali hitam tergantung sepi
di dinding dapur rumah tua
bolehkah kami menghitung
berapa harganya?

Sajak ini disuarakan melalui gambaran suatu objek iaitu kuali. Hal ini sering dilakukan oleh penyair. Misalnya T.Alias Taib pernah menulis tentang peti surat, iaitu objek yang dilihat di tepi jalan. Orang ramai mengepos surat melalui peti surat. Apa yang penting ialah surat-surat yang ada di dalamnya, dan di dalam surat-sura itu sudah tentu ada pelbagai kisah tentang kehidupan yang dilalui. Saya juga sering menulis puisi yang berfokus kepada sesuatu ala misalnya sajak Kuali Hitam. Yang mahu disampaikan tentulah bukan tentang kuali itu tetapi tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu menjaga dan membesarkan anak-anaknya dan pentingnya bagi anak-anak menjaga hati ibubapa apabila mereka sudah tua.

Kisah di sebalik penciptaan Kuali Hitam. Beberapa belas tahun yang lalu, arwah ibu mertua saya datang ke rumah. Seperti biasa dia rajin menolong di dapur. Suatu hari suami terlihat dia menyental kuali non-stick saya dengan berus kasar. Dia menyental sungguh-sungguh mungkin kerana dilihatnya kuali itu berwarna hitam. Suami menunjukkan kepada saya apa yang sedang dibuat oleh emaknya. Suami nyaris-nyaris hendak menegur perbuatan ibunya. Mujurlah saya sempat menghalang beliau menegur atau merampas kuali itu daripada tangan ibunya.
Sebenarnya bila melihat ibunya membasuh kuali saya teringat kembali segala cerita suami saya tentang kehidupan masa kecilnya, terutama kesusahan ibunya membesarkan mereka. Serta merta saya merasa hiba, kalau suami saya berkata apa-apa sudah tentu akan menyebabkan ibunya berasa kecil hati. Pada saya biarlah kuali itu rosak kerana harganya tidak seberapa pun.Saya berkata kepada suami “Kalau kita biarkan kuali itu rosak semata-mata untuk menjaga hati emak, InsyaAllah kita akan mendapat ganjaran yang lebih dari harga kuali yang tidak sampai RM seratus itu. Apa yang saya suarakan itu sudah terbukti. Saya mendapat idea untuk menulis Kuali Hitam yang kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Perdana dan dipilih sebagai teks subjek kesusasteraan.

Melalui satu objek tidak bernyawa iaitu kuali kita boleh menceritakan tentang:
Kasih sayang dan kesusahan ibu dalam menjaga anak-anak.Anak-anak tidak begitu prihatin tentang kesusahan dan pengorbanan ibu. Mereka hanya tahu menanti makanan terhidang tanpa menyedari susah payah ibu seperti menghadap api yang panas, menyedut asap dan abu dapur yang menjejas pernafasan dan kesihatan, risiko terkena minyak panas. Tetapi ibu pun tidak pernah menghiraukan semua itu kerana kegembiraan baginya ialah bila anak dapat makan(kekenyangan) dan dapat tidur dengan selesa.

adalah teman ibuku
siang dan malam

Baris ini memberi pelbagai gambaran: kerajinan ibu, kasih sayang ibu, anak-anak sedang membesar dan kuat makan.Ibu jarang dapat berehat.


Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa pekerjaan ibu sebagai suri rumah juga mendedahkannya kepada pelbagai bahaya.


matanya yang ditikam serbuk arang
kulitnya yang dikoyak percikan minyak
lengannya yang diserap abu hitam
dahinya yang disengat pucuk api
kami hanya tahu lena kekenyangan
ketika tidur ibu diketuk-ketuk
oleh lelah dan batuk
setelah asap dan abu menggaru-garu
di paru-paru


Si anak yang marahkan ibunya kerana merosakkan kuali kemudian menyesal bila menyedari betapa besarnya pengorbanan ibu selama ini. Sayangnya ibu sudah pun kembali ke negeri yang abadi. Sajak ini ingin mengingatkan pembaca agar menjaga hati ibu selagi dia masih ada bersama kita. Ajal maut akan datang dan tidak dapat diduga waktunya. datangnya