ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, October 02, 2011



BAHASA FIGURATIF PEMANIS BICARA
Oleh: Zurinah Hassan
Dalam usaha menulis rencana ini saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh) tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami perkataan ’world’ . Bila menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara yang ada di dalam peta dunia.


Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif d igolongkan sebagai bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.

Karya-karya sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu seperti pantun, syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari penyair-penyair lain.

Para sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca
a. Hal ini dikui oleh Bakar Hamid “Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi bertujuan untuk membangkitkan perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi dan imaginasi sedangkan ucapan prosa lebih bertujuan untuk menyampaikan berita dan lantaran itu ditujukan kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa puisi lebih mementingkan unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar Hamid 1966)
Dalam perkataan Terry Eagelton “Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif terdapat penggunaan gaya bahasa seperti metafora, simile, personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto- totem pro parte-metonimi atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
• Metafora- menyebut sesuatu dengan maksud yang lain
• Simile- membandingkan sesuatu dengan yang lain.
• Personifikasi- memberi sifat-sifat manusia kepada objek-objek yang tidak bernyawa
• Hiperbola- menerangkan tentang sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya diambil secara harfiah,
• Pars pro toto- menyebut sebahagian dengan maksud keseluruhan.
• Totem pro parte-menyebut keseluruhan dengan maksud sebahagian.
• Metonimi – menyebut sesuatu objek dengan maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan itu sangat tajam penanya

Penelitian terhadap puisi Melayu tradisional termasuklah pantun, syair, seloka, gurindam, nazam. akan menyerlahkan penggunaan Bahasa Figuratif . Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat jelas dari segi ciri dan strukturnya. Manakala jenis-jenis yang lain lebih dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara ringkas :
• Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
• Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.,
• Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat,
• Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi, penggunaan Bahasa Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa mencerminkan struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap, aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan kehidupan yang mereka tempuhi. Penggunaan peribahasa akan lebih memperindah gaya pengucapan dan menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang telah tetap tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas dipakai dengan erti yang khas atau telah diterima oleh masyarakat.
Penulis ingin menyentuh salah satu cabang puisi tradisional iaitu seloka. Seloka tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Walaupun tidak diketahui siapa pengarangnya, namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam yang perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar sesebuah seloka.
Salah satu seloka ialah seloka Pak Pandir. Pak Pandir merupakan watak yang ditimpa malang, sama seperti nasib Lebai Malang, Pak Kaduk dan Mat Jenin Nasib malang itu adalah akibat dari kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Begitu juga seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.
Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Pengucapan Seloka ini diperteguhkan dengan peribahasa dan ciri-ciri bahasa figuratif untuk menyampaikan kisah Pak Pandiri yang kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, mudah ditipu. Sifatnya yang mudah percaya kepada orang asing itu digambarkan melalui:Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang. Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung. Kehidupan yang tidak berhasil dikiaskan pula kepada rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram.
Bahasa Puisi di Luar Puisi

Oleh kerana penggunaannya yang meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering dirujuk sebagai Bahasa Puisi. Namun adalah tidak tepat jika kita menganggap bahawa bahasa figuratif hanya terbatas di dalam puisi sahaja. Malah kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru itu juga adalah tidak benar untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di dalam puisi adalah terlalu asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya bagai penulis puisi saya sering diajak ber’gaduh’ oleh orang-orang yang secara terang terangan mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka penyair. Mereka bertanya apakah gunanya penyair menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka menyukarkan pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap jalan yang lebih panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam Percakapan seharian
Bahasa bahasa figuratif ini digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah perkara biasa apabila seseorang berjumpa dengan kawan yang jarang-jarang ditemui untuk berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul, tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang khusus.
Adalah perkara biasa menemui ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif yang lain di dalam akhbar. Ini membuktikan bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh dikatakan bahawa akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi dan lompat parti.
Ayat-ayat yang biasa ditemui ialah seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam ayat ini banjir merujuk kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak bermaksud kilat yang menyabung di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir itu berlaku. Terjumpa juga tajuk berita “Aceh bermandi darah” sebagai tajuk berita tentang kekacauan di Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti ‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua Negara yang diadakan secara tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut sebahagian (empat mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1- ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang tidak dapat mengambil bahagian di sukan Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2- ‘ICC berat sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk berita ini menerangkan resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat sebelah’ ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3- Eto dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4- Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud memberi malu.
5- Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi

6- Hari ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos 2008).
Ayat ini memberi maklumat bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan ungkapan menyingkap tirai. Umum mengetahui bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik. Ia adalah metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu perkara.
7- MB Perak Hanya Boneka (Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan dalam ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan orang-orang tertentu.
8- England Kian Terdesak (Mingguan Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah tajuk berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk menang. Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan England dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9- “Perdana Menteri berkata gabungan Pembangkang tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka” ( Utusan Malaysia 6 Disember 2010)
Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah mencipta karya sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di sekeliling dengan menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini menepati kehendak Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang tidak menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui ayat yang bermaksud “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa figuratif bukan sahaja terhad kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya di dalam akhbar menunjukkan bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak untuk memberi kekuatan kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora, simile, personifikasi, dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif adalah diterima dan diperlukan oleh masyarakat.



CERPEN ini mengenai sejarah malang negeri Kedah. Antara yg menyalakan hasratku utk menulis ialah cerita Dr.Mahathir dlm bukunya A Doctor in The House bgmana dia melihat seorang tua Kedah ditendang oleh askar Siam kerana tidak berhenti ketika lagu kebangsaan Siam dimainkan. Juga tulisan pegawai British Sherard Osborn (The Blockade of Kedah 1838) yang dihantar membantu Siam memerangi orang Kedah.

SUMPAH KUALA KEDAH
Oleh Zurinah Hassan

Alor Setar 1943
Dengan hati-hati Ayub mengangkat dulang berisi udang sungai yang dijemur sejak pagi tadi. Udang itu ditangguknya dari sungai di belakang rumah. Udang yang sentiasa banyak di sungai itu dibawa balik dan direndam di dalam basin untuk menanggalkan selut-selut yang melekat. Beberapa minit kemudian airnya ditukar. Basin itu dikocak-kocak untuk memastikan tiada lagi kotoran. Udang yang sudah bersih ditapis dan dijemur di dalam dulang. Kalau matahari panas sampai ke petang, dua atau tiga hari menjemur sudah elok keringnya. Udang yang sudah kering dimasukkan ke dalam kain putih yang nipis, dibalut dan diikat kejap-kejap lalu dihentak-hentakkan ke perdu kelapa di sisi pelantar untuk menanggalkan kulit. Akhirnya udang itu ditampi sebelum dibungkus kemas.
Setiap pagi sepupunya Hassan akan datang mengambil udang kering untuk dijual di Pekan Rabu. Setiap malam Hassan pulang dari pekan menghulurkan beberapa keping duit syiling. Biasanya mereka akan dapat beberapa keping duit syiling lima sen dan satu sen berwarna tembaga, berbentuk empat segi gambar King George VI
.
Duit itu cukup untuk belanja mereka anak beranak. Emak sangat hati-hati bila berbelanja. Setiap hari emak tidak lupa memasukkan satu sen ke dalam tin bulat dan menyimpannya baik-baik di atas almari. Bila Ayub diterima masuk ke Kolej Sultan Abdul Hamid, emak membuka tin untuk mengeluarkan wang secukupnya bagi membeli seluar, baju, buku dan keperluan yang lain. Tetapi sejak tahun lepas mereka tidak lagi mendapat wang syiling berwarna tembaga itu. Duit syiling itu sudah tidak laku. Ayub sedih bila emak menangis kerana syiling yang disimpannya hingga penuh tin tidak boleh digunakan lagi. Sekarang mereka terpaksa memakai duit Jepun iaitu duit kertas dengan gambar pokok kelapa.
Kalau dia berjalan jauh sedikit menyusur sungai dia akan mendapat tangkapan yang lebih banyak Tetapi emak dan ayah akan marah “ Jangan kau berani berani sangat nak buat semua kerja. Takut kalau ditangkap Jepun.”. Memang itulah yang didengarnya dari ayah setiap kali dia hilang dari rumah. Biasanya Ayub diam sahaja kerana tidak berani menjawab cakap ibu bapa. Dia tahu adalah berdosa besar kalau bercakap kasar dengan ibu. Cuma kadang-kadang dia cuba menerangkan kepada ibu “Jepun dah tak ramai lagi di Kedah ni mak. Sekarang ni Jepun dah menyerahkan Kedah kepada Siam. Siamlah yang memerintah kita sekarang”.
Ayub juga takut untuk bergerak ke sana ke mari. Tapi dia harus mencari sedikit wang untuk meneruskan kehidupan. Inilah kerja yang dapat dibuatnya sejak dia tidak dapat ke sekolah lagi. Memang dia sedih dan geram dengan keadaan yang berlaku. Dia baru saja mula belajar di Maktab Sultan Abdul Hamid. Keseronokannya ke sekolah hancur bila Jepun menyerang Alor Setar. Jepun telah memporak-perandakan negeri dan melakukan kekejaman di sana sini. Semua orang hidup di dalam ketakutan.
Pada pertengahan tahun 1943 itu kelihatan pula pengawal atau polis berbangsa Thai meronda di pekan Alor Setar. Rakyat mendengar khabar bahawa Jepun telah menyerahkan Kedah kepada Siam, kononnya sebagai hadiah tanda terima kasih atas budi baik Siam membenarkan asykar-asykar Jepun melalui negerinya untuk menakluk Malaya. Ayub selalu berkata di dalam hatinya. “Cantik muka dia. Negeri aku pula dibuat barangan hadiah. Habis kami ni hamba pecacai ke yang mesti ikut tak boleh bersuara apa-apa.” Namun kata-kata itu hanya terpendam dan membara di dalam dadanya. Tidak ada siapa berani bersuara pada masa itu. Bagi Ayub samaada Jepun atau Siam, keduanya sama saja. Mereka adalah bangsa asing yang menakluk negerinya. Mereka tiada hak untuk membuat sesuka hati.
Selepas menyimpan udang yang sudah kering itu ke dalam bekasnya, Ayub duduk memerhatikan adiknya Kamariah dan Lijah yang sedang bermain di depan tangga. Emak yang sedang sarat mengandung membasuh ubi di perigi.
Sekarang keadaan sudah agak aman. Walaupun polis tentera Jepun yang dipanggil Kempeitai itu masih ada di Negeri Kedah tetapi mereka tidaklah berperangai ganas seperti dahulu dan tidak lagi bertindak sewenang-wenangnya terhadap orang awam. Kata orang, Jepun hormat pada tentera Siam yang dihantar untuk menjaga keamanan.
Dengan keadaan ini, dapatlah orang-orang kampung meneruskan kehidupan walaupun dengan serba kedaifan. Lijah dan Kamariah boleh bermain masak-masak di tepi tangga. Mereka mengutip tempurung untuk dijadikan periuk. Mereka mengutip daun-daun untuk dijadikan ikan. Mereka mengorek pasir yang dibayangkan sebagai beras. Mereka meniru cara emak bekerja, bekerja sambil merungut tentang beras yang sudah semakin sukar dicari, tentang anak-anak yang demam panas, tentang anak-anak jiran yang seluruh badan bertepek-tepek dengan kudis buta.
Tiba-tiba terdengar orang berteriak. Sekumpulan lelaki sedang mengusung sesuatu berjalan ke arah rumah mereka. Ayub bingkas bangun dan berdebar debar bila melihat yang diusung itu ialah datuknya. Dia menjerit memanggil ibu yang sedang membasuh ubi di perigi. Minah berlari ke arah ayahnya. ‘Ayah, ayah, kenapa ayah? Minah berteriak.
Kamariah dan Lijah segera mencampak tempurung dan daun daun yang dipegang. “Kenapa dengan tok wan. Apakah tok wan sudah mati?
Darus yang diusung diletakkan di atas pelantar di depan tangga. Cucu-cucu merasa sedikit lega bila Darus mengawang-gawangkan tangan dan melepaskan batuk. Darus mengawang-gawangkan tangannya minta dibaringkan mengiring. Dia mengaduh kerana belakangnya terasa amat sakit dan pedih. Orang yang berkumpul di situ melihat di belakang Darus. Mereka menggeleng kepala bila ternampak warna hitam lebam di situ.
Beberapa orang yang melihat kejadian itu menerpa ke rumah mereka. Kenapa? Apa terjadi kepada Pak Darus?
“Ah polis Siam laknat tu ....” jawab Ahmad salah seorang yang mengusung Darus pulang. Dari tadi memangku kepala Darus. Dadanya berombak menahan rasa marah.
“Kenapa? Apa salahnya?” Beberapa orang bertanya?
“Polis Siam tu terajang dia dari belakang jatuh tersembam ke tanah. Hah kami ingatkan dia sudah tak ada lagi...” Sahut pula si Dolah yang sama-sama berada di tempat kejadian.
Uda Leman menceduk air di guri tempat membasuh kaki. Air guri kosong, Leman berlari ke perigi menceduk air dengan timba upih. Air dituangkan ke atas tapak tangannya lalu diusapkan ke muka Tok Darus. Minah bergegas ke dapur mengambil geluk air. Geluk disuapkan ke mulut Darus. Darus yang kelelahan cuba meneguk seteguk dua. Batuknya reda sedikit. Saidin mencapai botol minyak angin yang sememangnya ada di depan pintu rumah dan mula mengurut dada Darus.
Ada yang memicit-micit bahu . Ada yang memicit-micit kaki dan lengannya.
Darus yang terbaring lembek tidak bermaya membiarkan sahaja apa yang dilakukan ke atasnya. Orang kampung menggelengkan kepala. Ada yang tunduk dengan wajah teramat sedih. Semua orang terbayangkan wajah bengis polis berbangsa Siam yang mundar mandir di pekan Alor Setar.
“Begini, Pak Darus naik basikal ke Alor Setar tadi. Dia melintas depan Balai Polis. Masa tu mereka sedang menurunkan bendera Siam. Kau tau la bila bendera diturunkan dan lagu kebangsaannya dimainkan semua orang kena berdiri tegak. Pak Darus tak berhenti. Apa lagi teruklah dia dikerjakan si polis bedebah tu.
“Allah” Darus tercungap-cungap tak dapat berkata apa-apa.

“Kenapa ayah tak berhenti? Bukan ayah tak tahu setiap kali bendera dinaikkan kena berhenti beri hormat. Memang kita tak suka tapi apa boleh buat kalau tidak kita mati dibunuh.” Tanya Minah
“Macam mana nak berhenti aku tak dengar lagu Siam tu dimainkan. Kau bukan tak tahu telinga aku dah tak elok,” Darus cuba bersuara tetapi percakapannya diganggu oleh batuk yang panjang dan tak terkawal. Batuk yang bagai mengoyak dadanya itu membimbangkan semua orang.
Bila batuk Darus mulai reda, Minah mencelah sambil tangannya tak berhenti-henti mengurut dada bapanya, “Kesian ayah. Dia memang tak berapa dengar sekarang ni. Kalau kita bercakap dekat-dekat macam ni bolehlah dia dengar tapi kalau jauh sedikit tak boleh dengar apa-apa.”
“Kami pun tak benarkan ayah naik basikal ke pekan Alor Setar. Bunyi kereta pun dia kurang dengar, bahaya sangat,” sahut Yahya.
Minah tahu ayahnya dalam perjalanan menghantar udang sungai ke rumah Tengku Sulaiman. Tengku itu selalu membeli udang mereka. Kalau ikutkan, memang mereka tidak benarkan Darus ke mana-mana. Dia sudah tua dan sering sakit-sakit. Tetapi Darus adalah jenis orang tua yang degil. Katanya kalau keluar berjalan-jalan keluar juga peluh. Kalau berdiam sahaja di rumah badannya semakin lemah.
“Sampai hati polis tu buat ayah begini. Ayah sudah tua dan tak larat pun” Minah bersuara hampir menangis.
Darus diusung ke atas rumah. Tubuh yang sudah tua dan telah lama sakit-sakit menjadi semakin tidak bermaya. Darus hanya berbaring dan mengerang-ngerang kesakitan. Makanan yang disuap hampir tidak tertelan. Tiga hari kemudian Darus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Selepas perkebumian Darus, Minah pun sakit dan melahirkan anak walaupun belum cukup bulan. Secara kebetulan hari itu adalah hari lahir Ayub. Ini bermakna dia dan adiknya yang baru ini mempunyai tarikh lahir yang sama. Adik baru itu diberi nama Hamid.

Sejak peristiwa datuknya dikasari polis itu, Ayub tidak banyak bercakap. Dia sering diam dan termenung. Dia memandang padang menerung yang meluas hingga ke deretan bukit yang dibaluti belukar. Perasaannya semakin sayu ketika deretan bukit itu semakin ditelan redup petang. Perasaan marah sedang meluap-luap di dadanya. Kepalanya terasa panas bagaikan berasap. Dia merasa terlalu marah kerana orang asing boleh datang ke negerinya dan buat sesuka hati kepada anak negeri lebih-lebih lagi kepada orang tua yang tidak berdaya seperti datuknya Darus.

Kuala Kedah 2003
Pada petang yang nyaman itu Datuk Ayub tiba di Kuala Kedah bersama adiknya Hamid dan dua orang anak saudaranya Kamal dan Hisham. Beberapa orang yang mengenalinya bangun menghulurkan tangan. Datuk Ayub menyambut salam dan membalas senyuman walaupun dia tidak mengenali mereka. Hamid yang berjalan di sebelah seperti biasa merasa bangga dengan kedudukan abangnya. Hisham dan Kamal juga bangga berjalan dengan Pak Long, orang besar yang dikenali di seluruh negara itu.
Mereka duduk di sebuah meja beralas dan berbunga yang sudah disediakan “Hari ini hari lahir Pak Long dan ayah,” kata Hisham dan Kamal. “Oh nak buat surprise lah ni” Kata Ayub dan Hamid hampir serentak.
Usia Datuk Ayub genap tujuh puluh empat tahun hari ini. Dia amat bersyukur kerana masih mampu berdiri di bumi Allah ini, walaupun diwajibkan hadir di hospital sebulan sekali untuk pemantauan. Hamid yang empat belas tahun lebih muda pula kelihatan kurus dan cengkung. Hamid sememangnya lebih rendah dan tubuhnya lebih kecil daripada abangnya. Selalu juga orang menegur hal ini tetapi Hamid tidak pernah marah. Dia malah berjenaka, “Ya lah, aku lahir di zaman Jepun. Mak aku pun makan ubi, mana nak cukup susu.”
Datuk Ayub sememangnya ingat yang hari ini adalah hari lahirnya dan hari lahir adiknya Hamid. Setiap kali datangnya tarikh ini fikirannya sedikit terganggu. Dia masih dapat membayangkan wajah dan tubuh datuk yang mengerang sakit setelah diterajang oleh pengawal Siam di hadapan Balai Polis Alor Setar pada tahun 1943. Peristiwa yang amat menyakitkan hatinya itu sudah diceritakan dengan panjang lebar kepada anaknya dan anak-anak saudaranya. Peristiwa itu kerap diulang-ulang setiap kali dia dijemput memberi ceramah atau bercakap di dalam forum sejarah.
Selepas bersara dari perkhidmatan awam, Ayub semakin aktif di dalam Persatuan Sejarah Kedah. Itu juga cara dia mengisi kesunyian hidup di hari tua setelah anak tunggalnya memilih untuk mencari rezeki di luar Negara, manakala isterinya memenuhi waktu dengan menjadi pemimpin Persatuan Wanita. Dia kerap berulang-alik ke Kedah menjalankan aktiviti persatuan. Bila di Kedah dia jarang tinggal di hotel. Dia lebih suka tinggal di rumah Hamid yang terbina di atas tanah rumah asal keluarganya dahulu. Di situ dia terasa amat dekat dengan masa lalu. Tambahan pula sekarang hanya dia dan Hamid sahaja yang ada. Lijah dan Kamariah meninggal sebelum dewasa diserang penyakit beri-beri pada zaman kekurangan zat makanan itu.
Ayub tidak belajar Sejarah di Universiti tetapi minatnya dalam sejarah Kedah sangat mendalam. Dia banyak membaca buku dan melanggani jurnal. Pada pandangannya, Kedah menduduki tempat yang unik sebagai empayar tertua. Sejak abad ke-13 Kedah adalah sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai pelabuhan yang terkenal di Sungai Bujang Sejarah negerinya pernah tertulis dengan tinta gemilang. Tetapi warna warna kegemilangan mulai pudar bila Siam muncul sebagai kuasa besar. Kedah mula terancam. Siam yang pada masa sekarang bernama Thailand mengamalkan dasar imperialistik meluaskan jajahan takluknya dan berjaya memaksa negeri-negeri di utara Semenanjung menghantar ufti berbentuk bunga emas kepadanya. Pada tahun 1791 Siam telah menakluk Kesultanan Melayu Patani yang merangkumi wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat dan menukar namanya menjadi Changwat Pattani.
Pada pertengahan abad ke-18, tanah pusaka moyang mula didatangi oleh bangsa-bangsa dari Barat. Armada Inggeris dan Perancis mencakar luka perairan tanah ibunda untuk meluaskan pengaruh di Asia Tenggara. Pada tahun 1786 Sultan Kedah terpaksa menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur yang diwakili oleh Kapten Francis Light. Ayub dapat membayangkan betapa pedihnya hati seorang Sultan kerana terpaksa menyerahkan sebahagian dari negerinya kepada kuasa asing. Ini dilakukan kerana mengharapkan Britain akan melindungi Kedah kalau Siam menyerang. Tidak cukup dengan sebuah pulau, Syarikat Hindia Timur berunding pula untuk mendapatkan sejaluran wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang 14 tahun kemudian. Tanah itu kemudian dinamai Province Wellesley. Walaupun pengambilan itu melibatkan bayaran sewa namun ia tetap menjejaskan kedaulatan dan maruah sebuah negeri.
Ayub juga sering memulakan ceramahnya dengan serangkap pantun yang diubahsuai dari pantun lama:
Pulau Pinang bandar baharu
Kapten Light menjadi raja
Bila terkenang nasib Melayu
Jatuh berlinang air mata

Pulau Pinang berpindah tangan, namun begitu bila Siam benar-benar menyerang Kedah pada tahun 1821, Inggeris tidak membantu. Inggeris telah mungkir janji terhadap negeri kecil yang tidak berdaya melawan. Maka Kedah pun berada di bawah cengkaman Siam.
Bukan tidak ada percubaan untuk merungkai kuku penjajahan yang tajam dan berbisa itu. Negerinya juga mempunyai sederetan nama pahlawan yang berani. Di antaranya ialah Tunku Kudin yang mengepalai perjuangan untuk mengembalikan maruah negeri pada tahun 1831 dan Tunku Mohammad Saad yang menggadai nyawa dalam percubaan menghalau penjajah. Tunku Mohammad Saad pernah berjaya mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora atau Songkhla. Malangnya kejayaan tidak kekal lama. Siam menyerang balas dan bertindak ganas. Lebih menyakitkan ialah tindakan Inggeris yang tiba-tiba menyebelahi Siam kerana menyedari bahawa persahabatan dengan Siam akan lebih menguntungkan mereka.
Dengan sokongan Inggeris, Siam tidak takutkan apa-apa lagi. Rakyat yang cuba bangkit itu dipijak dan dilanyak, ditindas dan dipulas sehabis-habisnya. Mereka membalas kebangkitan rakyat Kedah dengan pelbagai rupa kekejaman yang tidak dapat dibayangkan sanggup dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Paling menyakitkan ialah gambaran yang diberikan oleh seorang pegawai tentera laut British yang dihantar untuk memerangi rakyat Kedah. Setelah tiba di sini, pegawai yang bernama Sherard Osborn menjadi insaf bila melihat sendiri penyeksaan yang dilakukan terhadap rakyat Kedah. Osborn menyanjung orang-orang Kedah kerana telah bangun mempertahankan hak sendiri. Sherard Osborn telah mengabadikan segala peristiwa berdarah di muara Kuala Kedah dalam bukunya The Blockade of Kedah 1838 : Osborn menggambarkan pelbagai rupa penyeksaan. Pihak musuh lebih suka menyeksa daripada membunuh kerana jeritan dan lolongan kesakitan menjadi hiburan kepada si syaitan. Rakyat yang ditangkap ada yang dimasak hidup-hidup. Mereka ditelanjangkan dan dimasukkan ke dalam lubang kayu. Si syaitan akan menyalakan api yang cukup panas tapi perlahan-lahan, dengan tujuan, melambat dan memanjangkan kesakitan. Mangsa akan melolong kepanasan dan kepedihan yang tidak dapat digambarkan.
Segala yang dikisahkan di dalam buku itu membuat kepala Ayub terasa panas bagaikan berasap. Ini ditambah pula dengan kenangan kepada datuk tempat dia bermanja yang mengerang-ngerang kesakitan akibat diterajang oleh polis Siam. Rasa sedih dan marah itu diheretnya sampai ke tua. Tetapi tidak ada apa-apa lagi yang dapat dilakukan selain bersyukur yang segalanya sudah berakhir. Dia bersyukur yang keturunannya terlepas daripada azab sengsara.
Selepas tamat perang, dia meneruskan pelajaran dan berjaya memasuki universiti di Singapura. Pada tahun negara mencapai kemerdekaan, dia baru bertugas sebagai pegawai kerajaan. Hamid pula hidup sederhana sebagai kontraktor dan peniaga. Jejak Hamid dituruti oleh anaknya Hisham sementara Kamal selesa bekerja di bank. Restoren makanan laut di mana mereka menikmati makanan petang itu sudah dua tahun diusahakan oleh Hisham.
Dia pernah berkata kepada Kamal dan Hisham, “Kau orang sekarang ni beruntung. Kau lahir semasa negara kita sudah bebas, boleh belajar dan berniaga dengan aman. Pak Long dan ayah kau dulu merasa azab seksa di zaman penjajah. Bila Jepun datang sekolah ditutup. Bila tamat perang barulah boleh belajar semula. Alhamdulillah Pak Long dapat belajar hingga ke universiti. Dulu cuma ada sebuah universiti sahaja, itupun di Singapura. Bukan senang nak ke sana. Dari Alor Setar naik keretapi ke Bukit Mertajam atau Perai. Dari stesen itu tukar pula kereta api ke Singapura. Dua hari baru sampai.”
“Pak Long dulu belajar sama dengan Dr. Mahathir ke?”
“Dr. Mahathir awal lagi. Dia dah tahun akhir baru Pak Long masuk.” Jawab Ayub.
Ayub juga tidak henti-henti menasihati anak-anak saudaranya supaya mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memajukan rakyat terutama kaum bumiputera. Nasihat seperti itulah juga yang disampaikan kepada belia-belia yang mengikuti ceramahnya.
“Tapi sekarang pun susah juga. Susah sekarang macam lain Pak Long. Orang makan gaji macam Pak Long dan Kamal tiap-tiap bulan dapat gaji, tak merasa pahit maung jadi businessman macam kami.” Kata Hisham
“Kontraktor macam saya banyak masalah Pak Long. Yang paling rumit ialah masalah pekerja. Kami amat bergantung kepada tenaga buruh. Bukan senang Pak Long. Kadang-kadang kita ada pekerja yang baik, tidak dapat kontrak. Kadang-kadang bila dapat kontrak, pekerja pula buat hal.”
Hamid yang dari tadi hanya mendengar perbualan turut menambah, “Semuanya mengharap kepada buruh asing padahal ramai anak-anak muda kita sendiri yang menganggur. Tahun lepas sepupu kita, Salmah merayu-rayu minta tolong berikan kerja kepada anaknya, Mokhtar. Saya fikir elok juga, daripada kita menghabiskan wang mengupah orang lain lebih baik kita bagi duit kepada saudara mara sendiri. Tapi bila saya bagi kerja, dua tiga bulan dah nak berhenti. Bila dah tak mahu bekerja tu macam-macamlah dia mereka-reka cerita tentang keburukan saya. Akhirnya saya dengan Salmah pula yang bermasam muka.”
“Saya bukan tak tahu hal si Mokhtar tu. Dulu saya pernah jumpa dia ponteng sekolah. Dia duduk merayau di pasar raya. Mak dia bersusah payah berikan dia duit sekolah, dia habiskan di mesin permainan”. Kamal pula membuka cerita.
Dari meja makan itu mereka dapat melihat jalan raya, jeti dan kuala yang menganjur ke laut terbuka. Sayangnya pemandangan indah laut petang terganggu pula oleh penunggang motosikal yang menunggang terlalu laju. Hisham yang faham apa yang berlegar di dalam fikiran Pak Longnya bersuara “Begitulah Pak Long, budak-budak sekarang memang tak takut mati. Kerajaan dah besarkan jalan raya. Tapi jalan raya disalah guna, dijadikan tempat berlumba. Polis pun tak larat nak kawal lagi. Semalam Pak Cik Halim, bekas tukang masak saya menangis-nangis sebab anak dia kemalangan. Anak dia tu memang kaki lumba haram. Dah berbuih-buih mulut maknya berleter, tapi tak dihiraukan. Sekarang apa jadi? Khabarnya kaki budak tu kena potong. Dah jadi macam ni, mak bapa juga yang susah. ”
Ayub melepaskan keluhan. Berita-berita begini sudah banyak kali didengarnya. Tubuh tuanya bagaikan tidak larat lagi menerima perkhabaran tentang anak-anak bangsanya yang mati sia-sia. . Begitu ramai yang terbunuh dan hilang upaya dalam kemalangan jalan raya akibat kecuaian atau sengaja mencari maut dalam lumba haram. Begitu ramai yang menjadi bangkai bernyawa kerana dadah. Begitu banyak bayi Melayu yang ditinggalkan mati di tong-tong sampah. Begitu ramai remaja Melayu yang hidup segan mati tak mahu merayau-rayau di pasar raya atau menghabiskan masa dan wang di kedai permainan. Dengan keadaan ini, berapa keratkah lagi yang boleh diharapkan untuk membela tanah air? Melayu hanya menunggu saat kekalahan sedangkan musuh di sekeliling sentiasa menguatkan kedudukan dan mempertajamkan taring
Pandangan Ayub berlabuh ke kota Kuala Kedah di seberang sungai. Kota itu masih berdiri bagai monumen yang sepi, menghadap ke kuala yang pernah merah disimbah darah. Di situ ada parut luka bangsa yang tidak mungkin akan terpadam. Namun berapa ramaikah orang-orang yang lalu di situ membaca sejarah silam?. Ayub mengingat kembali kata-kata George Santayana “Bangsa yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah oleh sejarah untuk mengulangi kesilapannya”. Kata-kata itu juga sering dipetik oleh Dr.Mahahtir di dalam ucapan ucapannya.
Laut Selat Melaka beralun rendah menyalami pantai Kuala Kedah. Angin petang yang nyaman mengusap muara yang indah. Di daratan tiada lagi musuh musuh asing yang mengganas dan menyeksa rakyat tempatan sepertimana yang diceritakan oleh Sherard Osborn. Malangnya anak-anak negeri pula yang menganiayai diri sendiri.
Sebelum pulang Datuk Ayub mengambil gambar kota Kuala Kedah dengan kamera telefon bimbitnya. Malam itu Datuk Ayub mengetik papan kekunci menghantar kemasukan baru ke dalam blognya. Dia mengabadikan gambar kota Kuala Kedah dan menulis sebuah puisi di bawahnya,
Kota Kuala Kedah masih berdiri
tapi aku tidak akan berlama di sini
sebelum aku pergi kutinggalkan pesan ini:
setelah tiada lagi musuh asing
yang menyeksa anak negeri
janganlah segala anak Melayu
menzalimi diri sendiri.
Cucuku
Bacalah catatan di kota Kuala Kedah
Sebelum kau dimakan sumpah
Hamid yang dari tadi hanya mendengar perbualan turut menambah, “Semuanya mengharap kepada buruh asing padahal ramai anak-anak muda kita sendiri yang menganggur. Abang ingat cucu arwah abang Hassan, si Mokhtar tu?Tahun lepas emak dia merayu-rayu minta tolong berikan kerja. Saya fikir elok juga, daripada kita menghabiskan wang mengupah orang lain lebih baik kita bagi duit kepada saudara mara sendiri. Tapi bila saya bagi kerja, dua tiga bulan dah nak berhenti. Bila dah tak mahu bekerja tu macam-macamlah dia mereka-reka cerita tentang keburukan saya. Akhirnya saya dengan Salmah pula yang bermasam muka.”
Musim Jepun dulu abang Hassan berniaga di Pekan Rabu. Dia tolong jualkan udang kering kita.”
Eh pada masa tu dah ada Pekan Rabu ke?” Tanya Hisham.
Ada, tapi tidaklah ada bangunan macam sekarang ini. Cuma bangsal panjang, bertiang kayu beratap nipah, berlantai simen terbuka tak berdinding.
Dosa Peragut

Terbaring sakit begini
aku mula mengerti
dosa itu daki
yang mengaratkan hati

Bertahun-tahun aku menjadi peragut
tidak pernah merasa bersalah
sebaliknya aku marah-marah
kepada pemerintah
pemimpin bermewah mewah
membazir wang rakyat
punca jenayah meningkat

Politik berserabut
ekonomi kalut
bagaimana aku boleh hidup
kalau tidak meragut

Tanpa rasa terkilan
kutunggu mangsa di jalan
Hinggalah hari itu
kuekori seorang perempuan
kurentap bag yang disandang
dia cuba menghalang
kutolak jatuh terlentang
kulihat kepalanya berdarah
apakah lukanya parah?

Jeritannya memanggil sekawan pemuda
mereka membelasahku setengah mati
sebelum menyerah ke polisi

Siang tadi aku dibawa ke pengadilan
mendengar pertuduhan
aku peragut kejam
menzalimi seorang ibu yang sedang berjalan
mencari ubat untuk anak yang demam
dengan sekeping RM lima puluh yang baru dipinjam.

Ya, dalam dompetnya hanya RM lima puluh
tetapi itu aku tidak hairan
pendapatanku memang tidak pernah lumayan
mangsaku selamanya orang-orang miskin
yang berjalan dengan wang sedikit
bukan sikaya yang berjalan dengan kad kredit
jauh dari lorong-lorong sempit


Aku juga sedar itu perkara biasa
di mana-mana
orang miskin membantai orang miskin
sedang orang kaya bersantai dengan yakin.

Tapi wajah mangsaku
serupa benar dengan aruah ibu
yang suatu ketika dulu
menangis memangku tubuh adikku
yang terbujur kaku
si kecil itu demam berhari-hari
menangis tidak berhenti henti
ibu mendokongnya ke sana ke mari
menjelum kepalanya dengan daun melur
kerana tiada wang untuk dibawa ke doktor.

Menatap wajahnya
dinding perasaan yang dikeraskan oleh kemiskinan
runtuh juga diterjah kenangan
pagi tadi mahkamah tergamam
bila seorang peragut yang bengis
tiba tiba menangis