ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, October 02, 2011



BAHASA FIGURATIF PEMANIS BICARA
Oleh: Zurinah Hassan
Dalam usaha menulis rencana ini saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh) tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami perkataan ’world’ . Bila menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara yang ada di dalam peta dunia.


Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif d igolongkan sebagai bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.

Karya-karya sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu seperti pantun, syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari penyair-penyair lain.

Para sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca
a. Hal ini dikui oleh Bakar Hamid “Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi bertujuan untuk membangkitkan perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi dan imaginasi sedangkan ucapan prosa lebih bertujuan untuk menyampaikan berita dan lantaran itu ditujukan kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa puisi lebih mementingkan unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar Hamid 1966)
Dalam perkataan Terry Eagelton “Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif terdapat penggunaan gaya bahasa seperti metafora, simile, personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto- totem pro parte-metonimi atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
• Metafora- menyebut sesuatu dengan maksud yang lain
• Simile- membandingkan sesuatu dengan yang lain.
• Personifikasi- memberi sifat-sifat manusia kepada objek-objek yang tidak bernyawa
• Hiperbola- menerangkan tentang sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya diambil secara harfiah,
• Pars pro toto- menyebut sebahagian dengan maksud keseluruhan.
• Totem pro parte-menyebut keseluruhan dengan maksud sebahagian.
• Metonimi – menyebut sesuatu objek dengan maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan itu sangat tajam penanya

Penelitian terhadap puisi Melayu tradisional termasuklah pantun, syair, seloka, gurindam, nazam. akan menyerlahkan penggunaan Bahasa Figuratif . Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat jelas dari segi ciri dan strukturnya. Manakala jenis-jenis yang lain lebih dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara ringkas :
• Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
• Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.,
• Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat,
• Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi, penggunaan Bahasa Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa mencerminkan struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap, aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan kehidupan yang mereka tempuhi. Penggunaan peribahasa akan lebih memperindah gaya pengucapan dan menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang telah tetap tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas dipakai dengan erti yang khas atau telah diterima oleh masyarakat.
Penulis ingin menyentuh salah satu cabang puisi tradisional iaitu seloka. Seloka tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Walaupun tidak diketahui siapa pengarangnya, namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam yang perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar sesebuah seloka.
Salah satu seloka ialah seloka Pak Pandir. Pak Pandir merupakan watak yang ditimpa malang, sama seperti nasib Lebai Malang, Pak Kaduk dan Mat Jenin Nasib malang itu adalah akibat dari kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Begitu juga seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.
Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Pengucapan Seloka ini diperteguhkan dengan peribahasa dan ciri-ciri bahasa figuratif untuk menyampaikan kisah Pak Pandiri yang kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, mudah ditipu. Sifatnya yang mudah percaya kepada orang asing itu digambarkan melalui:Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang. Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung. Kehidupan yang tidak berhasil dikiaskan pula kepada rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram.
Bahasa Puisi di Luar Puisi

Oleh kerana penggunaannya yang meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering dirujuk sebagai Bahasa Puisi. Namun adalah tidak tepat jika kita menganggap bahawa bahasa figuratif hanya terbatas di dalam puisi sahaja. Malah kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru itu juga adalah tidak benar untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di dalam puisi adalah terlalu asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya bagai penulis puisi saya sering diajak ber’gaduh’ oleh orang-orang yang secara terang terangan mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka penyair. Mereka bertanya apakah gunanya penyair menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka menyukarkan pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap jalan yang lebih panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam Percakapan seharian
Bahasa bahasa figuratif ini digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah perkara biasa apabila seseorang berjumpa dengan kawan yang jarang-jarang ditemui untuk berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul, tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang khusus.
Adalah perkara biasa menemui ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif yang lain di dalam akhbar. Ini membuktikan bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh dikatakan bahawa akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi dan lompat parti.
Ayat-ayat yang biasa ditemui ialah seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam ayat ini banjir merujuk kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak bermaksud kilat yang menyabung di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir itu berlaku. Terjumpa juga tajuk berita “Aceh bermandi darah” sebagai tajuk berita tentang kekacauan di Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti ‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua Negara yang diadakan secara tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut sebahagian (empat mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1- ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang tidak dapat mengambil bahagian di sukan Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2- ‘ICC berat sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk berita ini menerangkan resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat sebelah’ ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3- Eto dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4- Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud memberi malu.
5- Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi

6- Hari ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos 2008).
Ayat ini memberi maklumat bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan ungkapan menyingkap tirai. Umum mengetahui bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik. Ia adalah metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu perkara.
7- MB Perak Hanya Boneka (Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan dalam ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan orang-orang tertentu.
8- England Kian Terdesak (Mingguan Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah tajuk berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk menang. Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan England dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9- “Perdana Menteri berkata gabungan Pembangkang tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka” ( Utusan Malaysia 6 Disember 2010)
Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah mencipta karya sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di sekeliling dengan menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini menepati kehendak Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang tidak menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui ayat yang bermaksud “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa figuratif bukan sahaja terhad kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya di dalam akhbar menunjukkan bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak untuk memberi kekuatan kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora, simile, personifikasi, dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif adalah diterima dan diperlukan oleh masyarakat.



CERPEN ini mengenai sejarah malang negeri Kedah. Antara yg menyalakan hasratku utk menulis ialah cerita Dr.Mahathir dlm bukunya A Doctor in The House bgmana dia melihat seorang tua Kedah ditendang oleh askar Siam kerana tidak berhenti ketika lagu kebangsaan Siam dimainkan. Juga tulisan pegawai British Sherard Osborn (The Blockade of Kedah 1838) yang dihantar membantu Siam memerangi orang Kedah.

SUMPAH KUALA KEDAH
Oleh Zurinah Hassan

Alor Setar 1943
Dengan hati-hati Ayub mengangkat dulang berisi udang sungai yang dijemur sejak pagi tadi. Udang itu ditangguknya dari sungai di belakang rumah. Udang yang sentiasa banyak di sungai itu dibawa balik dan direndam di dalam basin untuk menanggalkan selut-selut yang melekat. Beberapa minit kemudian airnya ditukar. Basin itu dikocak-kocak untuk memastikan tiada lagi kotoran. Udang yang sudah bersih ditapis dan dijemur di dalam dulang. Kalau matahari panas sampai ke petang, dua atau tiga hari menjemur sudah elok keringnya. Udang yang sudah kering dimasukkan ke dalam kain putih yang nipis, dibalut dan diikat kejap-kejap lalu dihentak-hentakkan ke perdu kelapa di sisi pelantar untuk menanggalkan kulit. Akhirnya udang itu ditampi sebelum dibungkus kemas.
Setiap pagi sepupunya Hassan akan datang mengambil udang kering untuk dijual di Pekan Rabu. Setiap malam Hassan pulang dari pekan menghulurkan beberapa keping duit syiling. Biasanya mereka akan dapat beberapa keping duit syiling lima sen dan satu sen berwarna tembaga, berbentuk empat segi gambar King George VI
.
Duit itu cukup untuk belanja mereka anak beranak. Emak sangat hati-hati bila berbelanja. Setiap hari emak tidak lupa memasukkan satu sen ke dalam tin bulat dan menyimpannya baik-baik di atas almari. Bila Ayub diterima masuk ke Kolej Sultan Abdul Hamid, emak membuka tin untuk mengeluarkan wang secukupnya bagi membeli seluar, baju, buku dan keperluan yang lain. Tetapi sejak tahun lepas mereka tidak lagi mendapat wang syiling berwarna tembaga itu. Duit syiling itu sudah tidak laku. Ayub sedih bila emak menangis kerana syiling yang disimpannya hingga penuh tin tidak boleh digunakan lagi. Sekarang mereka terpaksa memakai duit Jepun iaitu duit kertas dengan gambar pokok kelapa.
Kalau dia berjalan jauh sedikit menyusur sungai dia akan mendapat tangkapan yang lebih banyak Tetapi emak dan ayah akan marah “ Jangan kau berani berani sangat nak buat semua kerja. Takut kalau ditangkap Jepun.”. Memang itulah yang didengarnya dari ayah setiap kali dia hilang dari rumah. Biasanya Ayub diam sahaja kerana tidak berani menjawab cakap ibu bapa. Dia tahu adalah berdosa besar kalau bercakap kasar dengan ibu. Cuma kadang-kadang dia cuba menerangkan kepada ibu “Jepun dah tak ramai lagi di Kedah ni mak. Sekarang ni Jepun dah menyerahkan Kedah kepada Siam. Siamlah yang memerintah kita sekarang”.
Ayub juga takut untuk bergerak ke sana ke mari. Tapi dia harus mencari sedikit wang untuk meneruskan kehidupan. Inilah kerja yang dapat dibuatnya sejak dia tidak dapat ke sekolah lagi. Memang dia sedih dan geram dengan keadaan yang berlaku. Dia baru saja mula belajar di Maktab Sultan Abdul Hamid. Keseronokannya ke sekolah hancur bila Jepun menyerang Alor Setar. Jepun telah memporak-perandakan negeri dan melakukan kekejaman di sana sini. Semua orang hidup di dalam ketakutan.
Pada pertengahan tahun 1943 itu kelihatan pula pengawal atau polis berbangsa Thai meronda di pekan Alor Setar. Rakyat mendengar khabar bahawa Jepun telah menyerahkan Kedah kepada Siam, kononnya sebagai hadiah tanda terima kasih atas budi baik Siam membenarkan asykar-asykar Jepun melalui negerinya untuk menakluk Malaya. Ayub selalu berkata di dalam hatinya. “Cantik muka dia. Negeri aku pula dibuat barangan hadiah. Habis kami ni hamba pecacai ke yang mesti ikut tak boleh bersuara apa-apa.” Namun kata-kata itu hanya terpendam dan membara di dalam dadanya. Tidak ada siapa berani bersuara pada masa itu. Bagi Ayub samaada Jepun atau Siam, keduanya sama saja. Mereka adalah bangsa asing yang menakluk negerinya. Mereka tiada hak untuk membuat sesuka hati.
Selepas menyimpan udang yang sudah kering itu ke dalam bekasnya, Ayub duduk memerhatikan adiknya Kamariah dan Lijah yang sedang bermain di depan tangga. Emak yang sedang sarat mengandung membasuh ubi di perigi.
Sekarang keadaan sudah agak aman. Walaupun polis tentera Jepun yang dipanggil Kempeitai itu masih ada di Negeri Kedah tetapi mereka tidaklah berperangai ganas seperti dahulu dan tidak lagi bertindak sewenang-wenangnya terhadap orang awam. Kata orang, Jepun hormat pada tentera Siam yang dihantar untuk menjaga keamanan.
Dengan keadaan ini, dapatlah orang-orang kampung meneruskan kehidupan walaupun dengan serba kedaifan. Lijah dan Kamariah boleh bermain masak-masak di tepi tangga. Mereka mengutip tempurung untuk dijadikan periuk. Mereka mengutip daun-daun untuk dijadikan ikan. Mereka mengorek pasir yang dibayangkan sebagai beras. Mereka meniru cara emak bekerja, bekerja sambil merungut tentang beras yang sudah semakin sukar dicari, tentang anak-anak yang demam panas, tentang anak-anak jiran yang seluruh badan bertepek-tepek dengan kudis buta.
Tiba-tiba terdengar orang berteriak. Sekumpulan lelaki sedang mengusung sesuatu berjalan ke arah rumah mereka. Ayub bingkas bangun dan berdebar debar bila melihat yang diusung itu ialah datuknya. Dia menjerit memanggil ibu yang sedang membasuh ubi di perigi. Minah berlari ke arah ayahnya. ‘Ayah, ayah, kenapa ayah? Minah berteriak.
Kamariah dan Lijah segera mencampak tempurung dan daun daun yang dipegang. “Kenapa dengan tok wan. Apakah tok wan sudah mati?
Darus yang diusung diletakkan di atas pelantar di depan tangga. Cucu-cucu merasa sedikit lega bila Darus mengawang-gawangkan tangan dan melepaskan batuk. Darus mengawang-gawangkan tangannya minta dibaringkan mengiring. Dia mengaduh kerana belakangnya terasa amat sakit dan pedih. Orang yang berkumpul di situ melihat di belakang Darus. Mereka menggeleng kepala bila ternampak warna hitam lebam di situ.
Beberapa orang yang melihat kejadian itu menerpa ke rumah mereka. Kenapa? Apa terjadi kepada Pak Darus?
“Ah polis Siam laknat tu ....” jawab Ahmad salah seorang yang mengusung Darus pulang. Dari tadi memangku kepala Darus. Dadanya berombak menahan rasa marah.
“Kenapa? Apa salahnya?” Beberapa orang bertanya?
“Polis Siam tu terajang dia dari belakang jatuh tersembam ke tanah. Hah kami ingatkan dia sudah tak ada lagi...” Sahut pula si Dolah yang sama-sama berada di tempat kejadian.
Uda Leman menceduk air di guri tempat membasuh kaki. Air guri kosong, Leman berlari ke perigi menceduk air dengan timba upih. Air dituangkan ke atas tapak tangannya lalu diusapkan ke muka Tok Darus. Minah bergegas ke dapur mengambil geluk air. Geluk disuapkan ke mulut Darus. Darus yang kelelahan cuba meneguk seteguk dua. Batuknya reda sedikit. Saidin mencapai botol minyak angin yang sememangnya ada di depan pintu rumah dan mula mengurut dada Darus.
Ada yang memicit-micit bahu . Ada yang memicit-micit kaki dan lengannya.
Darus yang terbaring lembek tidak bermaya membiarkan sahaja apa yang dilakukan ke atasnya. Orang kampung menggelengkan kepala. Ada yang tunduk dengan wajah teramat sedih. Semua orang terbayangkan wajah bengis polis berbangsa Siam yang mundar mandir di pekan Alor Setar.
“Begini, Pak Darus naik basikal ke Alor Setar tadi. Dia melintas depan Balai Polis. Masa tu mereka sedang menurunkan bendera Siam. Kau tau la bila bendera diturunkan dan lagu kebangsaannya dimainkan semua orang kena berdiri tegak. Pak Darus tak berhenti. Apa lagi teruklah dia dikerjakan si polis bedebah tu.
“Allah” Darus tercungap-cungap tak dapat berkata apa-apa.

“Kenapa ayah tak berhenti? Bukan ayah tak tahu setiap kali bendera dinaikkan kena berhenti beri hormat. Memang kita tak suka tapi apa boleh buat kalau tidak kita mati dibunuh.” Tanya Minah
“Macam mana nak berhenti aku tak dengar lagu Siam tu dimainkan. Kau bukan tak tahu telinga aku dah tak elok,” Darus cuba bersuara tetapi percakapannya diganggu oleh batuk yang panjang dan tak terkawal. Batuk yang bagai mengoyak dadanya itu membimbangkan semua orang.
Bila batuk Darus mulai reda, Minah mencelah sambil tangannya tak berhenti-henti mengurut dada bapanya, “Kesian ayah. Dia memang tak berapa dengar sekarang ni. Kalau kita bercakap dekat-dekat macam ni bolehlah dia dengar tapi kalau jauh sedikit tak boleh dengar apa-apa.”
“Kami pun tak benarkan ayah naik basikal ke pekan Alor Setar. Bunyi kereta pun dia kurang dengar, bahaya sangat,” sahut Yahya.
Minah tahu ayahnya dalam perjalanan menghantar udang sungai ke rumah Tengku Sulaiman. Tengku itu selalu membeli udang mereka. Kalau ikutkan, memang mereka tidak benarkan Darus ke mana-mana. Dia sudah tua dan sering sakit-sakit. Tetapi Darus adalah jenis orang tua yang degil. Katanya kalau keluar berjalan-jalan keluar juga peluh. Kalau berdiam sahaja di rumah badannya semakin lemah.
“Sampai hati polis tu buat ayah begini. Ayah sudah tua dan tak larat pun” Minah bersuara hampir menangis.
Darus diusung ke atas rumah. Tubuh yang sudah tua dan telah lama sakit-sakit menjadi semakin tidak bermaya. Darus hanya berbaring dan mengerang-ngerang kesakitan. Makanan yang disuap hampir tidak tertelan. Tiga hari kemudian Darus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Selepas perkebumian Darus, Minah pun sakit dan melahirkan anak walaupun belum cukup bulan. Secara kebetulan hari itu adalah hari lahir Ayub. Ini bermakna dia dan adiknya yang baru ini mempunyai tarikh lahir yang sama. Adik baru itu diberi nama Hamid.

Sejak peristiwa datuknya dikasari polis itu, Ayub tidak banyak bercakap. Dia sering diam dan termenung. Dia memandang padang menerung yang meluas hingga ke deretan bukit yang dibaluti belukar. Perasaannya semakin sayu ketika deretan bukit itu semakin ditelan redup petang. Perasaan marah sedang meluap-luap di dadanya. Kepalanya terasa panas bagaikan berasap. Dia merasa terlalu marah kerana orang asing boleh datang ke negerinya dan buat sesuka hati kepada anak negeri lebih-lebih lagi kepada orang tua yang tidak berdaya seperti datuknya Darus.

Kuala Kedah 2003
Pada petang yang nyaman itu Datuk Ayub tiba di Kuala Kedah bersama adiknya Hamid dan dua orang anak saudaranya Kamal dan Hisham. Beberapa orang yang mengenalinya bangun menghulurkan tangan. Datuk Ayub menyambut salam dan membalas senyuman walaupun dia tidak mengenali mereka. Hamid yang berjalan di sebelah seperti biasa merasa bangga dengan kedudukan abangnya. Hisham dan Kamal juga bangga berjalan dengan Pak Long, orang besar yang dikenali di seluruh negara itu.
Mereka duduk di sebuah meja beralas dan berbunga yang sudah disediakan “Hari ini hari lahir Pak Long dan ayah,” kata Hisham dan Kamal. “Oh nak buat surprise lah ni” Kata Ayub dan Hamid hampir serentak.
Usia Datuk Ayub genap tujuh puluh empat tahun hari ini. Dia amat bersyukur kerana masih mampu berdiri di bumi Allah ini, walaupun diwajibkan hadir di hospital sebulan sekali untuk pemantauan. Hamid yang empat belas tahun lebih muda pula kelihatan kurus dan cengkung. Hamid sememangnya lebih rendah dan tubuhnya lebih kecil daripada abangnya. Selalu juga orang menegur hal ini tetapi Hamid tidak pernah marah. Dia malah berjenaka, “Ya lah, aku lahir di zaman Jepun. Mak aku pun makan ubi, mana nak cukup susu.”
Datuk Ayub sememangnya ingat yang hari ini adalah hari lahirnya dan hari lahir adiknya Hamid. Setiap kali datangnya tarikh ini fikirannya sedikit terganggu. Dia masih dapat membayangkan wajah dan tubuh datuk yang mengerang sakit setelah diterajang oleh pengawal Siam di hadapan Balai Polis Alor Setar pada tahun 1943. Peristiwa yang amat menyakitkan hatinya itu sudah diceritakan dengan panjang lebar kepada anaknya dan anak-anak saudaranya. Peristiwa itu kerap diulang-ulang setiap kali dia dijemput memberi ceramah atau bercakap di dalam forum sejarah.
Selepas bersara dari perkhidmatan awam, Ayub semakin aktif di dalam Persatuan Sejarah Kedah. Itu juga cara dia mengisi kesunyian hidup di hari tua setelah anak tunggalnya memilih untuk mencari rezeki di luar Negara, manakala isterinya memenuhi waktu dengan menjadi pemimpin Persatuan Wanita. Dia kerap berulang-alik ke Kedah menjalankan aktiviti persatuan. Bila di Kedah dia jarang tinggal di hotel. Dia lebih suka tinggal di rumah Hamid yang terbina di atas tanah rumah asal keluarganya dahulu. Di situ dia terasa amat dekat dengan masa lalu. Tambahan pula sekarang hanya dia dan Hamid sahaja yang ada. Lijah dan Kamariah meninggal sebelum dewasa diserang penyakit beri-beri pada zaman kekurangan zat makanan itu.
Ayub tidak belajar Sejarah di Universiti tetapi minatnya dalam sejarah Kedah sangat mendalam. Dia banyak membaca buku dan melanggani jurnal. Pada pandangannya, Kedah menduduki tempat yang unik sebagai empayar tertua. Sejak abad ke-13 Kedah adalah sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai pelabuhan yang terkenal di Sungai Bujang Sejarah negerinya pernah tertulis dengan tinta gemilang. Tetapi warna warna kegemilangan mulai pudar bila Siam muncul sebagai kuasa besar. Kedah mula terancam. Siam yang pada masa sekarang bernama Thailand mengamalkan dasar imperialistik meluaskan jajahan takluknya dan berjaya memaksa negeri-negeri di utara Semenanjung menghantar ufti berbentuk bunga emas kepadanya. Pada tahun 1791 Siam telah menakluk Kesultanan Melayu Patani yang merangkumi wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat dan menukar namanya menjadi Changwat Pattani.
Pada pertengahan abad ke-18, tanah pusaka moyang mula didatangi oleh bangsa-bangsa dari Barat. Armada Inggeris dan Perancis mencakar luka perairan tanah ibunda untuk meluaskan pengaruh di Asia Tenggara. Pada tahun 1786 Sultan Kedah terpaksa menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur yang diwakili oleh Kapten Francis Light. Ayub dapat membayangkan betapa pedihnya hati seorang Sultan kerana terpaksa menyerahkan sebahagian dari negerinya kepada kuasa asing. Ini dilakukan kerana mengharapkan Britain akan melindungi Kedah kalau Siam menyerang. Tidak cukup dengan sebuah pulau, Syarikat Hindia Timur berunding pula untuk mendapatkan sejaluran wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang 14 tahun kemudian. Tanah itu kemudian dinamai Province Wellesley. Walaupun pengambilan itu melibatkan bayaran sewa namun ia tetap menjejaskan kedaulatan dan maruah sebuah negeri.
Ayub juga sering memulakan ceramahnya dengan serangkap pantun yang diubahsuai dari pantun lama:
Pulau Pinang bandar baharu
Kapten Light menjadi raja
Bila terkenang nasib Melayu
Jatuh berlinang air mata

Pulau Pinang berpindah tangan, namun begitu bila Siam benar-benar menyerang Kedah pada tahun 1821, Inggeris tidak membantu. Inggeris telah mungkir janji terhadap negeri kecil yang tidak berdaya melawan. Maka Kedah pun berada di bawah cengkaman Siam.
Bukan tidak ada percubaan untuk merungkai kuku penjajahan yang tajam dan berbisa itu. Negerinya juga mempunyai sederetan nama pahlawan yang berani. Di antaranya ialah Tunku Kudin yang mengepalai perjuangan untuk mengembalikan maruah negeri pada tahun 1831 dan Tunku Mohammad Saad yang menggadai nyawa dalam percubaan menghalau penjajah. Tunku Mohammad Saad pernah berjaya mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora atau Songkhla. Malangnya kejayaan tidak kekal lama. Siam menyerang balas dan bertindak ganas. Lebih menyakitkan ialah tindakan Inggeris yang tiba-tiba menyebelahi Siam kerana menyedari bahawa persahabatan dengan Siam akan lebih menguntungkan mereka.
Dengan sokongan Inggeris, Siam tidak takutkan apa-apa lagi. Rakyat yang cuba bangkit itu dipijak dan dilanyak, ditindas dan dipulas sehabis-habisnya. Mereka membalas kebangkitan rakyat Kedah dengan pelbagai rupa kekejaman yang tidak dapat dibayangkan sanggup dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Paling menyakitkan ialah gambaran yang diberikan oleh seorang pegawai tentera laut British yang dihantar untuk memerangi rakyat Kedah. Setelah tiba di sini, pegawai yang bernama Sherard Osborn menjadi insaf bila melihat sendiri penyeksaan yang dilakukan terhadap rakyat Kedah. Osborn menyanjung orang-orang Kedah kerana telah bangun mempertahankan hak sendiri. Sherard Osborn telah mengabadikan segala peristiwa berdarah di muara Kuala Kedah dalam bukunya The Blockade of Kedah 1838 : Osborn menggambarkan pelbagai rupa penyeksaan. Pihak musuh lebih suka menyeksa daripada membunuh kerana jeritan dan lolongan kesakitan menjadi hiburan kepada si syaitan. Rakyat yang ditangkap ada yang dimasak hidup-hidup. Mereka ditelanjangkan dan dimasukkan ke dalam lubang kayu. Si syaitan akan menyalakan api yang cukup panas tapi perlahan-lahan, dengan tujuan, melambat dan memanjangkan kesakitan. Mangsa akan melolong kepanasan dan kepedihan yang tidak dapat digambarkan.
Segala yang dikisahkan di dalam buku itu membuat kepala Ayub terasa panas bagaikan berasap. Ini ditambah pula dengan kenangan kepada datuk tempat dia bermanja yang mengerang-ngerang kesakitan akibat diterajang oleh polis Siam. Rasa sedih dan marah itu diheretnya sampai ke tua. Tetapi tidak ada apa-apa lagi yang dapat dilakukan selain bersyukur yang segalanya sudah berakhir. Dia bersyukur yang keturunannya terlepas daripada azab sengsara.
Selepas tamat perang, dia meneruskan pelajaran dan berjaya memasuki universiti di Singapura. Pada tahun negara mencapai kemerdekaan, dia baru bertugas sebagai pegawai kerajaan. Hamid pula hidup sederhana sebagai kontraktor dan peniaga. Jejak Hamid dituruti oleh anaknya Hisham sementara Kamal selesa bekerja di bank. Restoren makanan laut di mana mereka menikmati makanan petang itu sudah dua tahun diusahakan oleh Hisham.
Dia pernah berkata kepada Kamal dan Hisham, “Kau orang sekarang ni beruntung. Kau lahir semasa negara kita sudah bebas, boleh belajar dan berniaga dengan aman. Pak Long dan ayah kau dulu merasa azab seksa di zaman penjajah. Bila Jepun datang sekolah ditutup. Bila tamat perang barulah boleh belajar semula. Alhamdulillah Pak Long dapat belajar hingga ke universiti. Dulu cuma ada sebuah universiti sahaja, itupun di Singapura. Bukan senang nak ke sana. Dari Alor Setar naik keretapi ke Bukit Mertajam atau Perai. Dari stesen itu tukar pula kereta api ke Singapura. Dua hari baru sampai.”
“Pak Long dulu belajar sama dengan Dr. Mahathir ke?”
“Dr. Mahathir awal lagi. Dia dah tahun akhir baru Pak Long masuk.” Jawab Ayub.
Ayub juga tidak henti-henti menasihati anak-anak saudaranya supaya mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memajukan rakyat terutama kaum bumiputera. Nasihat seperti itulah juga yang disampaikan kepada belia-belia yang mengikuti ceramahnya.
“Tapi sekarang pun susah juga. Susah sekarang macam lain Pak Long. Orang makan gaji macam Pak Long dan Kamal tiap-tiap bulan dapat gaji, tak merasa pahit maung jadi businessman macam kami.” Kata Hisham
“Kontraktor macam saya banyak masalah Pak Long. Yang paling rumit ialah masalah pekerja. Kami amat bergantung kepada tenaga buruh. Bukan senang Pak Long. Kadang-kadang kita ada pekerja yang baik, tidak dapat kontrak. Kadang-kadang bila dapat kontrak, pekerja pula buat hal.”
Hamid yang dari tadi hanya mendengar perbualan turut menambah, “Semuanya mengharap kepada buruh asing padahal ramai anak-anak muda kita sendiri yang menganggur. Tahun lepas sepupu kita, Salmah merayu-rayu minta tolong berikan kerja kepada anaknya, Mokhtar. Saya fikir elok juga, daripada kita menghabiskan wang mengupah orang lain lebih baik kita bagi duit kepada saudara mara sendiri. Tapi bila saya bagi kerja, dua tiga bulan dah nak berhenti. Bila dah tak mahu bekerja tu macam-macamlah dia mereka-reka cerita tentang keburukan saya. Akhirnya saya dengan Salmah pula yang bermasam muka.”
“Saya bukan tak tahu hal si Mokhtar tu. Dulu saya pernah jumpa dia ponteng sekolah. Dia duduk merayau di pasar raya. Mak dia bersusah payah berikan dia duit sekolah, dia habiskan di mesin permainan”. Kamal pula membuka cerita.
Dari meja makan itu mereka dapat melihat jalan raya, jeti dan kuala yang menganjur ke laut terbuka. Sayangnya pemandangan indah laut petang terganggu pula oleh penunggang motosikal yang menunggang terlalu laju. Hisham yang faham apa yang berlegar di dalam fikiran Pak Longnya bersuara “Begitulah Pak Long, budak-budak sekarang memang tak takut mati. Kerajaan dah besarkan jalan raya. Tapi jalan raya disalah guna, dijadikan tempat berlumba. Polis pun tak larat nak kawal lagi. Semalam Pak Cik Halim, bekas tukang masak saya menangis-nangis sebab anak dia kemalangan. Anak dia tu memang kaki lumba haram. Dah berbuih-buih mulut maknya berleter, tapi tak dihiraukan. Sekarang apa jadi? Khabarnya kaki budak tu kena potong. Dah jadi macam ni, mak bapa juga yang susah. ”
Ayub melepaskan keluhan. Berita-berita begini sudah banyak kali didengarnya. Tubuh tuanya bagaikan tidak larat lagi menerima perkhabaran tentang anak-anak bangsanya yang mati sia-sia. . Begitu ramai yang terbunuh dan hilang upaya dalam kemalangan jalan raya akibat kecuaian atau sengaja mencari maut dalam lumba haram. Begitu ramai yang menjadi bangkai bernyawa kerana dadah. Begitu banyak bayi Melayu yang ditinggalkan mati di tong-tong sampah. Begitu ramai remaja Melayu yang hidup segan mati tak mahu merayau-rayau di pasar raya atau menghabiskan masa dan wang di kedai permainan. Dengan keadaan ini, berapa keratkah lagi yang boleh diharapkan untuk membela tanah air? Melayu hanya menunggu saat kekalahan sedangkan musuh di sekeliling sentiasa menguatkan kedudukan dan mempertajamkan taring
Pandangan Ayub berlabuh ke kota Kuala Kedah di seberang sungai. Kota itu masih berdiri bagai monumen yang sepi, menghadap ke kuala yang pernah merah disimbah darah. Di situ ada parut luka bangsa yang tidak mungkin akan terpadam. Namun berapa ramaikah orang-orang yang lalu di situ membaca sejarah silam?. Ayub mengingat kembali kata-kata George Santayana “Bangsa yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah oleh sejarah untuk mengulangi kesilapannya”. Kata-kata itu juga sering dipetik oleh Dr.Mahahtir di dalam ucapan ucapannya.
Laut Selat Melaka beralun rendah menyalami pantai Kuala Kedah. Angin petang yang nyaman mengusap muara yang indah. Di daratan tiada lagi musuh musuh asing yang mengganas dan menyeksa rakyat tempatan sepertimana yang diceritakan oleh Sherard Osborn. Malangnya anak-anak negeri pula yang menganiayai diri sendiri.
Sebelum pulang Datuk Ayub mengambil gambar kota Kuala Kedah dengan kamera telefon bimbitnya. Malam itu Datuk Ayub mengetik papan kekunci menghantar kemasukan baru ke dalam blognya. Dia mengabadikan gambar kota Kuala Kedah dan menulis sebuah puisi di bawahnya,
Kota Kuala Kedah masih berdiri
tapi aku tidak akan berlama di sini
sebelum aku pergi kutinggalkan pesan ini:
setelah tiada lagi musuh asing
yang menyeksa anak negeri
janganlah segala anak Melayu
menzalimi diri sendiri.
Cucuku
Bacalah catatan di kota Kuala Kedah
Sebelum kau dimakan sumpah
Hamid yang dari tadi hanya mendengar perbualan turut menambah, “Semuanya mengharap kepada buruh asing padahal ramai anak-anak muda kita sendiri yang menganggur. Abang ingat cucu arwah abang Hassan, si Mokhtar tu?Tahun lepas emak dia merayu-rayu minta tolong berikan kerja. Saya fikir elok juga, daripada kita menghabiskan wang mengupah orang lain lebih baik kita bagi duit kepada saudara mara sendiri. Tapi bila saya bagi kerja, dua tiga bulan dah nak berhenti. Bila dah tak mahu bekerja tu macam-macamlah dia mereka-reka cerita tentang keburukan saya. Akhirnya saya dengan Salmah pula yang bermasam muka.”
Musim Jepun dulu abang Hassan berniaga di Pekan Rabu. Dia tolong jualkan udang kering kita.”
Eh pada masa tu dah ada Pekan Rabu ke?” Tanya Hisham.
Ada, tapi tidaklah ada bangunan macam sekarang ini. Cuma bangsal panjang, bertiang kayu beratap nipah, berlantai simen terbuka tak berdinding.
Dosa Peragut

Terbaring sakit begini
aku mula mengerti
dosa itu daki
yang mengaratkan hati

Bertahun-tahun aku menjadi peragut
tidak pernah merasa bersalah
sebaliknya aku marah-marah
kepada pemerintah
pemimpin bermewah mewah
membazir wang rakyat
punca jenayah meningkat

Politik berserabut
ekonomi kalut
bagaimana aku boleh hidup
kalau tidak meragut

Tanpa rasa terkilan
kutunggu mangsa di jalan
Hinggalah hari itu
kuekori seorang perempuan
kurentap bag yang disandang
dia cuba menghalang
kutolak jatuh terlentang
kulihat kepalanya berdarah
apakah lukanya parah?

Jeritannya memanggil sekawan pemuda
mereka membelasahku setengah mati
sebelum menyerah ke polisi

Siang tadi aku dibawa ke pengadilan
mendengar pertuduhan
aku peragut kejam
menzalimi seorang ibu yang sedang berjalan
mencari ubat untuk anak yang demam
dengan sekeping RM lima puluh yang baru dipinjam.

Ya, dalam dompetnya hanya RM lima puluh
tetapi itu aku tidak hairan
pendapatanku memang tidak pernah lumayan
mangsaku selamanya orang-orang miskin
yang berjalan dengan wang sedikit
bukan sikaya yang berjalan dengan kad kredit
jauh dari lorong-lorong sempit


Aku juga sedar itu perkara biasa
di mana-mana
orang miskin membantai orang miskin
sedang orang kaya bersantai dengan yakin.

Tapi wajah mangsaku
serupa benar dengan aruah ibu
yang suatu ketika dulu
menangis memangku tubuh adikku
yang terbujur kaku
si kecil itu demam berhari-hari
menangis tidak berhenti henti
ibu mendokongnya ke sana ke mari
menjelum kepalanya dengan daun melur
kerana tiada wang untuk dibawa ke doktor.

Menatap wajahnya
dinding perasaan yang dikeraskan oleh kemiskinan
runtuh juga diterjah kenangan
pagi tadi mahkamah tergamam
bila seorang peragut yang bengis
tiba tiba menangis

Wednesday, September 28, 2011

MEMBINA BANGSA MALAYSIA YANG BERSATU PADU




STOK LAMA BUKU INI MASIH ADA DIJUAL DGN HARGA RENDAH
RM 10.OO TERMASUK BAYARAN POS.
Msg saya di fb Zurinah Hassan utk tindakan selanjutnya.


Membina Bangsa Malaysia yang bersatupadu diletakkan sebagai cabaran pertama Wawasan 2020. Ini memberikan gambaran bahawa ia adalah cabaran terpenting. Gambaran ini adalah tepat kerana pembentukan bangsa yang bersatu dianggap syarat utama di dalam menjayakan segala cita-cita negara yang terkandung di dalam Wawasan 2020.
Negara tidak mungkin dapat membangun di dalam apa bidang sekalipun jika sekiranya rakyat tidak dapat bersatu hati dan enggan bekerjasama. Kita akur dengan kata-kata seperti “Muafakat membawa berkat”. Kita akui kebijaksanaan kata-kata pusaka “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.” Kita juga sering melaungkan “Bersatu Teguh Bercerai Runtuh”. Negara hanya dapat dibina di dalam suasana yang aman dan damai. Ketenteraman ini hanya dapat dijamin dengan adanya persefahaman di antara rakyat.
Kita juga telah menyaksikan beberapa negara di dunia yang menderita akibat dilanda sengketa dan rusuhan kaum. Oleh itu Malaysia menjalankan berbagai usaha untuk menjauhkan rakyat dari bencana ini. Perpaduan di antara rakyat berbilang kaum adalah asas yang kukuh untuk pembinaan negara. Menerusi penyatuan dan perpaduan ini dapatlah kita berusaha menangani cabaran-cabaran seterusnya bagi merealisasikan wawasan gemilang sebagai bangsa Malaysia yang berkeyakinan, demokratik, makmur, bertolak ansur, liberal, saintifik, progresif, penyayang, bermoral dan beretika.

Pengertian “Bangsa Malaysia yang Bersatupadu”

Apakah yang kita maksudkan dengan ungkapan “Bangsa Malaysia yang Bersatupadu”? Apakah ciri-ciri yang terdapat pada bangsa Malaysia yang bersatupadu? Atau dengan kata lain, di dalam situasi bagaimanakah maka kita dapat menganggap yang negara telah berjaya mengatasi cabaran yang pertama ini.

Bangsa Malaysia yang bersatupadu bererti:
-Setiap rakyat dengan nyata dan ikhlas menerima negara Malaysia sebagai tanahair yang tunggal dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.
- Setiap rakyat merasa komited untuk menjayakan cita-cita negara. Ini bermakna matlamat negara telah dikongsi bersama oleh setiap rakyat.
-Setiap rakyat dengan rasa bangga mengidentifikasikan diri sebagai warga Malaysia dan tidak seagai golongan sesuatu etinik, ras atau penghuni dari sesuatu wilayah atau daerah. Adalah amat ideal kalau semuanya mengamalkan cara hidup atau berbudaya Malaysia dan menghapuskan ciri-ciri yang menonjolkan pengenalan mereka sebagai berketurunan tertentu. Pendek kata mereka berjiwa Malaysia dan berupa Malaysia. Namun walaupun masih ada ciri-ciri keturunan dan kedaerahan yang diwarisi, mereka tidak akan membiarkannya menjaid sentimen sehingga mencetuskan persengketaan.
- Setiap rakyat berpegang kepada nilai-nilai murni yang tidak bercanggah di antara satu sama lain dan tidak merasa perlu untuk berperang-perangan bagi menegakkan sesuatu pegangan hidup yang mungkin berbeza dengan orang lain. Di sini tetap wujud sikap bertolak ansur demi keharmonian bersama.

Usaha untuk membina bangsa yang bersatupadu

Apakah langkah yang sedang dijalankan bagi mencapai hasrat pembinaan bangsa Malaysia yang bersatupadu?
Sebahagian dari langkah-langkah ini dapat dirumuskan oleh petikan ucapan Dato Seri Dr Mahathir di bawah ini,

“Bagi mengukuhkan bangsa Malaysia yang bersatupadu, kita telah memperkenalkan pelbagai dasar-dasar dan program dalam tempoh tiga puluh tahun lalu selain Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Dasar-dasar tersebut termasuk Dasar Pendidikan Negara, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Perpaduan negara adalah matlamat penting dalam dasar dan program berkenaan. Kesemua dasar dan program ini boleh menyumbangkan ke arah hubungan sosial yang sihat di kalangan masyarakat majmuk, perkongsian nilai dan persepsi, persamaan ideniti sebagai rakyat Malaysia dan kebudayaan yang mengekalkan warisan bangsa.”

Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap di majlis makan malam anjuran Kelab Harvard di Kuala Lumpur pada 31 Januari 1992. Petikan ini menjelaskan bahawa Kerajaan telah melancarkan dasar-dasar yang bermatlamatkan penyatuan dan perpaduan rakyat.

1. Dasar Ekonomi Baru (DEB) danDasar Pembangunan Nasional (DPN).

DPN telah dilancarkan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 bagi meneruskan hasrat yang terkandung di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum sebagai langkah pengukuhan perpaduan negara.
DPN menggariskan eberapa startegi yang diantaranya jelas mencerminkan cita-cita memakmur dan membina bangsa yang bersatupadu. Ianya mengambil langkah-langkah agi memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan menjadi lebih sama rata dan saling melengkapi di antara satu dengan lain, memajukan sumber manusia dan mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan dalam masyarakat perindustrian melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyususnan semula masyarakat.
DPN juga bermatlamat untuk menghapuskan keadaan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. Adalah menjadi cita-cita DPN bagi memperkukuh integrasi nasional dnegan mengurangkan jurang yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar dan dengan ini berupaya membangun sebuah masyarakat progresif di mana kesejahteraan dinikmati oleh semua rakyat di samping memiliki sikap dan nilai kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.
Usaha-usaha yang lebih gigih dilaksanakan untk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayan khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain. Program pelaksanaan untuk mengatasi kemisikinan di bandar-bandar juga dipertingkatkan. Kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan awam. Bandar dan desa di bangunkan dengan lebih teratur pertumbuhan setinggan dikawal, peluang-peluang untuk peniaga dan pengusaha kecil dibuka.
Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusnan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Kedudukan ini boleh dicapai dengan perlaksanaan strategi meningkatkan gunatenaga dan penyertaan Bumiputera. Matlamat penyususnan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di berbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi berbagai kumpulan etnik dalam negara.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang lebih terlatih bagi pembangunan negara.
Dengan hasrta ini lahirlah Falsafah Pendidikan Negara yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyaakat dan negara. Matlamat ini akan tercapai melalui langkah-langkah:
• Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama.
• Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
• Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.
• Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin.

Keutamaan kepada pendidikan latihan adalah juga untuk membantu pencapaian DPN terutama pembasmian kemisikinan dan penyususnan semula masyarakat.
Aziz Deraman di dalam rencananya bertajuk “Wawasan Kebudayaan 2020 Membina Masyarakat Unggul dan Berbudaya Tinggi” yang disiarkan di dalam Jurij Hj Jalaludin, Wawasan 2020 Aspek Politik dan Sosial halaman 77, meihat kepentingan di dalam pembinaan bangsa yang bersatupadu. “Generasi baru Malaysia hari ini, hasil dari wadah pendidikan yang sama, sudah diikat dengan nilai-nilai baru yang memungkinkan lahirnya tradisi sedang menuju masa depan dalam satu aliran yang meyakinkan. Sinario baru akan muncul di mana ketajaman perkauman menjadi tumpul dan perasaan perkauman menjadi reda.”

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan antarabangsa.
Prinsip-prinsip Kebudayaan Kebangsaan yang telah dikenalpasti ialah:

1) Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan –persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu –Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya.

2) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar.
Unsur-unsur budaya lain seperti Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar boleh diberi pertimbangan dan penerimaan selagi tidak wujud percanggahan dengan Perlembagaan Negara dan prinsip-prinsip Rukunegara dan kepentingan nasional, serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

3) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Agama merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperiadi mulia. Penerimaan unsur-unsur budaya lain boleh dipertimbangkan selagi ia tidak mencemarkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan segala usaha Kerajaan ini hanya akan berjaya jika semua warga negara mencapai taraf perpaduan yang sebenarnya.

Thursday, September 22, 2011

HURAIAN SEMBILAN CABARAN WAWASAN 2020-



WAWASAN 2020 IALAH cetusan idea, pandangan atau saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir untuk membangun negara Malaysia dan corak negara Malaysia yang diingini yang diharapkan dapat dicapai dalam tahun 2020. Pandangan ini telah dikemukakan di dalam kertaskerjanya yang berjodol "Malaysia:The Way Forward" yang diucapkan di persidangan Majlis Perdangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dan merupakan huraian tentang arah perkembangan masa depan negara ini. Pandangan atau saranan ini telah menjadi gagasan negara dan dikenali sebagai WAWASAN 2020.

MATLAMAT WAWASAN 2020
Matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan . Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi rakyat mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.

Buku kecil ini menghuraikan sembilan cabaran yang terkandung di dalam Wawasan 2020. Ringkas dan mudah difahami.

Jika anda memerlukannya sila pm saya di facebook (Zurinah Hassan), emel zurinahhassan@gmail.com . Masih ada stok lama dijual dgn harga rendah RM10 termasuk pos.

Boleh juga msg 0162598049 untuk urusan lanjut.



HURAIAN SEMBILAN CABARAN WAWASAN 2020-

WAWASAN 2020 IALAH cetusan idea, pandangan atau saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir untuk membangun negara Malaysia dan corak negara Malaysia yang diingini yang diharapkan dapat dicapai dalam tahun 2020. Pandangan ini telah dikemukakan di dalam kertaskerjanya yang berjodol "Malaysia:The Way Forward" yang diucapkan di persidangan Majlis Perdangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dan merupakan huraian tentang arah perkembangan masa depan negara ini. Pandangan atau saranan ini telah menjadi gagasan negara dan dikenali sebagai WAWASAN 2020.

MATLAMAT WAWASAN 2020
Matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan . Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi rakyat mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.

Wednesday, September 21, 2011



HURAIAN SEMBILAN CABARAN WAWASAN 2020
Penulis: Zurinah Hassan.

Buku ini mengandungi huraian Wawasan 2020 sepertimana yang diwajibkan di dalam silibus kertas am STPM dan Peperiksaan Tahap Kecekapan pegawai dalam perkhidmatan. Setiap hari ada yang mencari buku ini

Thursday, September 15, 2011

Bahasa Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang khusus.


Wednesday, September 14, 2011

tIDAK lama lagi akan bermula BULAN BAHASA DAN SASTERA . Maka saya pun teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh) tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami perkataan ’world’ . Bila menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara yang ada di dalam peta dunia.


Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif d igolongkan sebagai bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.

Karya-karya sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu seperti pantun, syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari penyair-penyair lain.

Para sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca

Wednesday, April 20, 2011

Terlintas pula keinginan untuk membicarakan sedikit sebanyak tentang puisi sendiri.Saya harap saya dapat melakukannya lebih kerap supaya boleh dimanfaatkan oleh pengkaji dn pelajar. Hari ini saya kemukakan dua buah sajak.
• SEORANG PENYAIR SELEPAS 39 TAHUN MERDEKA (Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005:145). Dalam point form saja ya.


• PESANAN PUTERI GUNUNG LEDANG KEPADA SULTAN MAHMUD (Pujangga Tidak Bernama,Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994:4)


SEORANG PENYAIR SELEPAS 39 TAHUN MERDEKA (
(sajak merenung perjalanan bangsa atau bermuhasabah)
- Isu bahasa Melayu yang dikatakan semakin malap di tanahair.
- Kenapa pilih penyair? Penyair golongan terpinggir dlm arus pembangunan Negara
- Dalam memperjuangkan kemerdekaan, penyair golongan yg aktif
- Akhirnya menjadi ‘pelakon’ di pentas yg dilupakan rakyat dan makin tidak mendapat perhatian pemerintah (juga rakyat). Rakyat makin leka dalam budaya hedonistic atau terpengaruh dgn retorik2 politik yg menjauhkan mereka dari perjuangan bahasa
- Masih relevan dan belum selesai sampai hari ini. Makin parah (isu PPSMI), penyakit lama tak diubati, penyakit baru datang
- Isu pemimpin yg pandai retorika tapi lupakan perjuangan sebenar
- Sajak perakam waktu-tahun 1957 mereka berjuang tapi selepas 39 tahun merdeka, mereka tak diperlukan (39 TAHUN MERDEKA-BUKAN UMUR PENYAIR, TAPI UMUR NEGARA)
- Mereka tenggelam dalam ‘poster’- poster simbol pilihanraya,pilihanraya sudah beberapa kali berlaku
- Semasa menulis, teringat pada golongan guru yang sudah tua
- Mengambil unsur waktu sebagai perlambangan– fajar menguak kelam desa-negara baru merdeka, masih belum membangun-penyair masih kecil, baru hendak mengenal dunia, baru bersekolah dan mengejar kemajuan
- Matahari sudah meninggi-penyair sudah pandai membaca dan berfikir, sudah tahu tentang sejarah bangsa, kepentingan bahasa tapi ‘tekun di meja tua’-perjuangannya hanya di kampong/ kesetiaan kepada tradisi,budaya yang belum bertukar-‘memucukkan rumpun harapan’- suasana desa
- ‘suria /jendela’-terbuka kepada ilmu,pengetahuan dan pengalaman baru/cetusan idea baru
- Pucuk rumpun menjadi ‘ladang kasih’-semakin luas dunia penyair/semakin maju
- Alam ada banyak mutiara ilmu
Sajak retrospektif atau bermuhasabah dengan perjalanan masa setelah 39 tahun merdeka. apa nasib golongan penyair?- juga seniman, pejuang yang lain?
Apakah nasib bahasa, budaya, seni warisan?



PESANAN PUTERI GUNUNG LEDANG KEPADA SULTAN MAHMUD
(sajak iktibar dari kisah lalu atau pengalaman silam)
- Sajak ini boleh saja berbau feminism, feudalism dan dibentuk dari pemikiran/memori kolektif/arketaipal terhadap PGL dan raja.
- Semua orang ada sikap dan pemikiran yg sama terhadap raja dan PGL
- Terpengaruh dgn filem PGL terbitan Cathay Keris arahan S.Roomai Nor noor-dianggap sebuah filem yg baik
- Keadaan politik Negara- Melihat lifestyle pemimpin. Banyak skandal (dengan artis misalnya) membuatkan penyair terfikir tentang nafsu raja Melaka yang membawa keruntuhan Melaka. Lifestyle pemimpin ini akan meruntuhkan rakyat.
- Menggunakan figura dari sastera klasik yang menceritakan kepimpinan silam- sebagai satu cara untuk mengkritik kepimpinan hari ini.
- PGL adalah simbol sesuatu yg sultan tak dapat,gunung adalah simbol hebat, puteri adalah utmost desire
- Puteri Gunung Ledang menjelma di dalam mimpi Sultan Mahmud, raja Melaka yang terakhir. Sultan jatuh berahi lalu mengarahkan segala hulubalang naik ke Gunung Ledang untuk meminang puteri tersebut. Segala lelaki yang bertenaga dikumpulkan, di arah merentas hutan supaya rombongan peminangan dapat sampai ke puncak gunung, Rombongan peminangan itu diketuai oleh Tun Mamat, penghulu Inderagiri yang memiliki ilmu sakti. Hang Tuah yang telah tua pun mengalah dan hanya menunggu di pertengahan jalan.Tun Mamat yang sampai di puncak gunung, hanya bertemu dengan inang tua bernama Dang Raya Rani . Inang itulah yang menyampaikan pesanan puteri iaitu syarat-syarat peminangan yang amat masyhur di dalam ingatan orang Melayu. Antara lain tujuh dulang hati nyamok dan tujuh dulang hati kuman, jambatan emas, jambatan perak, darah raja dan darah anak raja.

- Raja yang mabuk berahi, pendakian ke puncak gunung dan setiap hantaran perkahwinan yang diminta oleh puteri mempunyai makna yang dalam. Itulah caranya pujangga Melayu atau pengarang dahulu menyindir pemerintah atau raja yang telah menyebabkan rakyat menderita. Setiap lelaki yang bertenaga telah dikerah mendaki gunung semata-mata untuk mencari puteri yang digilai. Segala tenaga yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan negeri telah hilang dengan sia-sia. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan musuh dan bangsa Melayu dijajah beratus-ratus tahun lamanya.
- Rasa kagum dengan sastera lama-deksripsi yang hebat, pantun2 dan lagu2 yg hebat, penuh sindiran-kehebatan sasterawan dahulu menyampaikan pemikiran
- Episod Hang Tuah difitnah dan Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang mengandungi peringatan kepada kita supaya sentiasa berwaspada . Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang adalah watak-watak penting yang mempunyai siratan makna di dalam sejarah dan budaya . Semua ini memperlihatkan kebijaksanaan dan ketinggian falsafah sastera Melayu.

Pantun yang diucapkan:

Sana sini gigi menimang
Hendak makan ikan dalam telaga
lagi lemak telur berlinang,
sisik lekat pada dada…’- ( pemimpin yang mengejar impian yang bukan-bukan akan melukai hati dan merosakkan bangsa
Nota tak pentingPGL (produksi baru) baik filem maupun teater membawa cerita yang berbeza. Mungkin ada yang berkata, tidak semua drama, filem atau produksi semula, sama dengan cerita asal. Memang benar, tetapi itu hanya dibolehkan di dalam naskah dari aliran neo-historisime atau yang merupakan karya interteks. . Dalam drama sebegini, pengarang dan penonton sedia maklum bahawa ianya tidak sama dengan teks asal. Teks asal digunakan untuk menyampaikan pemikiran baru atau untuk mencari makna tentang isu masa kini. Tetapi PGL yang difilemkan atau diteaterkan bukan karya neo-historisme dan bukan karya interteks.Ia tidak mengemukakan sebarang pemikiran terhadap masa kini. PGL dilabelkan terang-terangan sebagai satu ‘epik’(epik cinta agung). Maka sebagai epik mestilah menonjolkan cerita sepertimana ia dikisahkan di dalam cerita asal yang diwarisi sebagai epik bangsa.
Seringkali ada pelajar yang bertanya tentang penulisan memoir. Saya perturunkan tulisan di bawah untuk rujukan seandai ada yang memerlukan

PENGALAMAN MENULIS MEMOIR

Memoir atau Autobiography :
Ditulis oleh seseorang pengarang berdasarkan pengalamannya,kenang-kenangannya sendiri dan dimaklumi oleh pembaca bahawa tulisan itu adalah satu kisah benar mengenai diri pengarang.
Disebut juga riwayat hidup seseorang yang menulisnya.
Sebuah novel atau cerpen juga mengandungi elemen autobiography tetapi tidak dijelaskan antara yang fakta dan yang fiksyen, yang real dan yang imaginaif.
Memoir dan autobiography dianggap penting kerana melaluinya pembaca mendapat :
Firsthand Information mengenai seseorang tokoh dan kehidupan yang dilaluinya serta pandangan, pendapat, pemikiran seseorang tokoh mengenai sesuatu isu yang dihadapinya.

Apabila seseorang diberi tugas untuk menulis memoir sudah tentu dipercayai bahawa kisah hidupnya akan memberi manfaat dan faedah kepada pembaca dari pelbagai segi. Langkah pertama seorang penulis memoir adalah memikirkan apakah yang akan ditulis. Apakah yang hendak diceritakan kepada masyarakat dari sekian banyak kisah sepanjang hidupnya yang mungkin sudah enam puluh tahun ataupun lebih lapan puluh tahun.
Seorang penulis memoir mestilah mengenal dirinya dan kedudukannya dalam masyarakat
Kepentingan memoir/autobiography terletak kepada siapakah yang menulisnya. Apakah yang hendak ditulis dalam memoir terpulang kepada siapa anda. Kerana yang hendak dicari oleh pembaca bukanlah riwayat hidup anda tetapi mereka berharap dengan membaca kisah anda mereka akan mendalami peristiwa sosial dan sejarah Negara atau mendalami ilmu-ilmu yang lain. Lalu harus diasingkan yang penting dari yang tidak penting.
Contohnya:
1. Penulis A seorang tokoh korporat yang berjaya.dan anak kepada seorang pejuang kemerdekaan .
2. Penulis B bukan siapa-siapa. Dia bekerja di sebuah istana di luar Negara. dan berada di sana semasa terjadinya satu peristiwa revolusi dan raja digulingkan.. .

Memoir yang akan dihasilkan tentu sahaja berbeza isi dan kepentingannya. Dalam kes penulis A yang hendak diketahui ialah kisah hidupnya terutama laluan dan cabaran hingga menjadi tokoh perniagaan. Selain itu dia mesti bercerita tentang keluarganya terutama ayahnya yang dikenali sebagai pejuang kemerdekaan.

Bagi Penulis B yang penting bukan dirinya tetapi peristiwa yang dialami dan disaksikannya. Oleh itu, selain cerita sedikit sebanyak tentang dirinya dia mesti menulis tentang negara di mana dia bekerja dan sudah tentu mesti menulis dengan panjang lebar tentang peristiwa penangkapan raja itu. Tanpa cerita ini memoir itu boleh dikatakan tidak bernilai atau sia-sia.

PENGALAMAN MENULIS MENJEJAK PUISI
Pada pertengahan tahun 1997 saya memilih untuk bersara dari Perkhidmatan Kerajaan (jawatan ketika itu Ketua Caw. Bahan dan Pengurusan Maklumat (Information Management) Tindakan bersara bukan kerana satu sebab tetapi kerana pelbagai sebab, masalah yang kait berkait.

Beberapa bulan kemudian saya bercakap dengan Prof. Muhammad Haji Salleh lalu timbul soal saya menjadi Karyawan Tamu di ATMA ,UKM.

Saya membuat permohonan rasmi dan mendapat surat tawaran bertarikh 9 Mac. 1998 untuk tempoh satu tahun. Saya mendaftar , kalau tak silap pada 15 Mac.1998 bermakna perkhidmatan saya tamat pada 15 Mac tahun berakhirnya.

Bidang tugas sebagaimana dalam surat perlantikan ialah “Sebagai seorang Karyawan Tamu puan adalah diminta untuk menjalankan projek penulisan mengenai “Pengalaman Berkarya dan Proses Kreatif Terutamanya Dalam Menghasilkan Sajak”. Diminta siapkan dalam tempoh setahun.

Lantikan saya adalah secara jarak jauh. Prof. Muhammad ada menyebut yang ketika itu UKM kekurangan budget, lebih baik saya bertugas secara jarak jauh yang bererti saya menerima honorarium kurang ( hampir separuh) dari bayaran secara biasa. Jarak jauh juga bererti saya tidak perlu datang selalu ke UKM. saya menulis dari rumah dan hanya perlu tunjuk muka sekali sekala.Manakala dengan cara biasa (dibayar RM 3,000 sebulan saya perlu berada di sana tiga empat hari seminggu.

Begitulah kira-kira yang dikatakan oleh Prof Muhammad. Sebenarnya saya tidak perlu memahaminya sangat secara detail kerana saya sudah pun tertarik dengan konsep jarak jauh itu Tanpa perlu berfikir panjang saya telah memilihnya. Sebab tujuan utama menjadi karyawan tamu ialah untuk menulis dan menyelesaikan tulisan itu. Yang penting bukan jumlah RM yang diberikan sebagai saguhati karyawan Tamu. Matlamat utama ialah saya menghasilkan sebuah buku.

Kalau dengan cara pertama memang saya tak yakin akan dapat lakukannya.Tak yakin akan terlaksana sebab saya berkira-kira tentu banyak masa yang habis di jalanan. Pagi-pagi habiskan masa bersiap, pakai baju, memandu kereta dari Shah Alam ke UKM. Kalau mula bersiap jam 8 pagi mungkin sampai di sana 9.30 pagi (kalau tak tersekat dalam jem) parking kereta, berjalan ke pejabat, memberi salam sana salam sini, masuk bilik, rehat (kerana dah penat) menunggu sudah cool down dan datang mood baru buka computer . Mungkin dekat jam 11 baru nak mula menaip. Selepas itu makan tengahari, sembahyang. Sekejap sahaja hari pun beransur petang .Bersiap pula untuk pulang.

Cara yang kedua lebih baik. Saya boleh menulis bila-bila masa. Itu pun bukan setiap hari kita boleh menulis. Tentu ada hal-hal lain (masyarakat, kekeluargaan) yang perlu diberi perhatian. Kalau dengan cara pertama memang saya tak boleh handle.
Alhamdulillah akhirnya terhasillah Memoir ini.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan berbanyak Terima Kasih kepada UKM (ATMA yang memberi peluang dan Penerbit UKM yang mengerjakan penerbitannya.Saya berharap universiti-universiti lain akan meniru cara UKM ini , iaitu memberi pilihan kepada Karyawan Tamu untuk buat jarak jauh atau jarak dekat. Sebenarnya selepas tamat di UKM ada sebuah universiti lain mahu menawarkan jawatan Karyawan Tamu itu tetapi saya perlu berada hampir sepenuh masa di sana. Saya lebih berminat cara UKM tapi mereka kata tak ada scheme yang begitu.

Apa yang hendak saya tekankan di sini , kalau hendak ‘berjaya’ kita mesti melihat dan merancang dari awal.dalam apa rancangan sekali pun . Kata orang Be clear dengan matlamat kita dan sesuaikan waktu kerja dengan cara hidup kita yang berlainan di antara satu sama lain. Ada orang boleh tumpu menulis berjam-jam. Ada yang macam saya menulis sekepa-kejap sambil membuat kerja rumah dan lain-lain.. Semua penulis tak sama. Ada yang boleh tulis macam-macam dalam suatu masa. Saya tak boleh buat begitu. Saya lebih selesa untuk beri tumpuan untuk satu perkara dalam satu masa.

Bila mendapat surat tawaran sebagai Karyawan Tamu surat itu mengatakan untuk menulis tentang Proses Kreatif dan Pengalaman Berkarya. Saya memulakan dari awal bagaimana saya menceburkan diri di lapangan puisi. Apakah latar belakang dan kehidupan masa kecil yang membentuk pemikiran saya hingga suka menulis. Apakah halangan-halangan keluarga dan halangan-halngan budaya yang mungkin melemahkan kreativiti seorang penulis terutamanya wanita seperti saya. Sebahagian besar buku ini ialah pengalaman dan kisah yang melahirkan sesebuah puisi. Saya rasa itulah sahaja kekuatan yang ada pada saya kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam persatuan penulis, peristiwa penting bahasa/sastera/budaya
Saya mula menulis, setiap hari. Tulis dahulu apa yang saya ingat tanpa terlalu memikirkan tentang keindahan bahasa. Tulisan yang siap saya serahkan kepada Pengarah ATMA secara berperingakt-peringkat setiap dua bulan atau tiga bulan sekali. Saya namakan Proses Kreatif dan Pengalaman Berkarya Bahagian I, kemudian Bahagian II, Bahagian III dan seterusnya . Ini juga diperlukan sebagai laporan kemajuan oleh pihak UKM.
Menjelang tamatnya perkhidmatan saya tulisan itu boleh dikatakan siap. Tetapi hanya secara kasar sahaja Selepas 15 Mac 1999 saya memohon izin untuk memperbaiki , menghalusi dan merapikan karya saya itu sebelum dikemukakan untuk tujuan penerbitan. Saya tidak ingat bila saya akhirnya menghantar manuskrip atau versi yang muktamad dengan judul Menjejak Puisi. Barangkali juga pada bulan-bulan terakhir tahun 1999. (kemudian ditambah oleh Penerbit menjadi :Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi).
Seperti dengan buku-buku lain, setelah menghantar manuskrip, saya jarang memikirkannya lagi kerana saya perlu menumpukan masa untuk projek baru. Projek seterusnya ialah menulis tesis untuk mendapatkan ijazah Sarjana dari UPM, diikuti dengan menulis sajak-sajak berunsur historisisme baru (sudah terbit dengan jodol Salasilah: dbp 2005).
Kalau tak silap saya pada pertengahan tahun 2000 saya mendengar seseorang berkata yang manuskrip saya itu sedang disemak dan dibaca maknanya dipertimbangkan untuk penerbitan. Pada tahun kemudiannya (2001) terdengar khabar yang ia akan diterbitkan. Tentulah hal ini cukup menggembirakan bagi seorang penulis. Pada tahun 2002 berlaku beberapa perbincangan, semakan, pembetulan dan sebagainya. Sdr. Roosfa beberapa kali ke rumah saya untuk melihat dan memilih gambar dan sebagainya. Akhirnya buku ini terbit pada tahun 2003.
Saya gembira buku ini menerima Hadiah Buku Perpustakaan Negara .Hadiah ini adalah untuk buku-buku yang bukan kreatif (bukan novel) Ini sangat bermakna kerana buku ini dipertandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan pada 2002/2003 dalam semua bidang ilmu.
Bersyukur saya kerana bila buku ini sekeli lagi menerima Hadiah Sastera Perdana. Hadiah Sastera Perdana 2002/2003. dan telah diulas dengan panjang lebar oleh Dr.Sohaimi Aziz dalam Seminar di Universiti Sains Malaysia pada 18 Disember 2004. Rencananya tersiar di Dewan Sastera Mac 2005 .
Kepada yang telah membaca buku ini saya ucapkan Terima Kasih. Saya sedar bahawa masalah kita yang terbesar ialah kurangnya masa atau minat untuk membaca. Ini juga yang menjadi keluhan Usman Awang sebelum beliau pergi mengadap Ilahi. Kata Usman, “orang kenal saya tapi orang tak membaca karya saya”.
Mereka yang membaca ini mungkin telah bertemu kelemahan di sana sini, jangan bimbang untuk memberitahu saya kerana saya juga bersetuju dengan anda yang buku ini ada kelemahannya. Bukan sahaja pada buku ini malah setiap buku yang saya terbitkan saya pasti akan menemui dan merasakan kelemahan. Tapi itu perkara yang tidak dapat dielakkan. Jika seorang penulis tidak mahu menerbitkan buku kerana takutkan kelemahan, tentu tidak ada buku yang boleh diterbitkan.
Dalam seminar khusus tentang penulisan Biografi yang dianjurkan oleh Perpustakaan Nasional/Penerbit UKM etc) beberapa persoalan telah timbul tentang penulisan biografi dan autobiografi.
Di Barat memang banyak buku tentang cerita hidup seseorang terutama bintang-bintang flem, penyanyi dan keluarga di raja. Tak dinafikan sifat manusia suka membaca tentang kisah orang lain terutama yang berbau skandal .ada buku yang diheret ke mahkamah. Jika tidak tak kan orang suka mengumpat dan sebagainya.
Pada pendapat saya di Malaysia cara kita lebih bertamadun. Dan eloklah kita berpandukan budaya dan agama kita. Peribahasa mengatakan :Tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Meludah ke langit timpa batang hidug sendiri.
Sebagai orang Islam harus berpandukan garis panduan yang diberikan oleh agama.
Oleh itu kurangkan risau, banyakkan menulis. .

Thursday, March 17, 2011

LAIN MACAM PULA ENTRY SAYA HARI NI.

Terbaca di akhbar yang keratannya ada di bawah ini. Tengok tu, hebat sungguh orang sekarang buat duit. Macam-macam cara dan macam-macam iklan yang kita lihat di akhbar dan internet. Tapi yang ini sangat menarik perhatianku. Sebabnya? Sebab aku pun pakai korset ni. Namanya Premium Beautiful. Ada anak-anakku yang suka-suka nak buat business cari pendapatan sampingan. Maklumlah hidup di zaman mencabar ni semuanya memerlukan wang.

Kaedah Premium Beautiful ni mcm amalan orang2 dulu juga. Orang2 dulu pakai bengkong dan bertungku untuk dapatkan badan yang cantik. Tapi yang penting bukan semata cantik, kita nak sehat. Ia mengandungi infrared rays yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Nak tahu kebaikan far infra red boleh layari beberapa laman web.

Saya petik dua sumber:

(http://www.chimachine4u.com/fir.html)dan (http://www.biocera.co.kr/eng/Far_infrared_ray.htm)

IKHTIAR MENJAUHKAN KANSER

- Far Infrared heat penetrates through the body and kills existing cancerous cells.
- Far Infrared heat enables capillaries to expand, thus enabling good circulation and combating the potential existence of cancer cells.


SEBAGAI PEMBAKAR KALORI
FIR has an outstanding impact on caloric consumption and weight control; It is found that in only thirty minutes 600 – 2400 calories can be burnt. Infrared thermal systems stimulate the energy used in to run six to nine miles during one session. This is proving to be best solutions for the people who can not exert themselves yet have to control weight effectively. FIR also helps body to flush out the toxins which is essential for body to work effectively.

Nanti saya cerita lagi

ISLAM MEWAJIBKAN KITA BERIKHTIAR UNTUK MENCARI KEBAIKAN Dalam Al Qur'an surat Al Qasash ayat 77, Allah mengajari kita, Dan carilah pada apa yang telah dianugrahkan Allah kepadamu [kebahagiaan] negri akherat dan janganlah kamu melupakan bagianmu dari [kebahagiaan] dunia.


Jadi sesiapa berminat boleh tinggalkan pesan di sini. Atau msg saya di 016 2598049.


MARI BACA SAJAK

Sajak yang dibaca dan difahami hari ini berjodol MENGINTAI RUANG INSAF (Shukri Abdullah) dan HARGA REMAJA (Rahman Shaari).

Mengintai Ruang Insaf

Rangkap Satu
Kita menemui penyair sedang memikirkan kembali tentang perjalanan hidupnya. Dia menyedari bahawa dia telah melakukan banyak kesilapan. Dia menyifatkan dirinya sebagai telah tersesat jauh dari ajaran Ilahi yakni. jauh daripada pertunjuk dan hidayah. Semua ini membuktikan bahawa dirinya sangat jahil.
Penyair merasa menyesal di atas apa yang telah dilaluinya.
Kejahilan itu dirasakan sebagai beban yang memberat di bahunya.


Rangkap Dua
Penyair merasa insaf bahawa selama ini dia terlalu sibuk dengan urusan duniawi.
Perjalanan hidup juga digambarkan sebagai perjalanan melalui belukar yang semak dipenuhi akar yang berselirat. Keadaan ini
menyukarkan kaki melangkah kerana mudah tersadung pada akar akar yang timbul. Di situ juga banyak duri yang tajam yang akan melukakan kulit dan menikam kakinya.
Bagaimana sukarnya berjalan di dalam semak samun, maka begitulah sukarnya menjalani kehidupan ini.

Duri- duri tajam (yang disebut sebagai duri pidana) membawa pengertian segala kejahatan yang ada di mana mana. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai gangguan iblis yang sentiasa mencuba untuk menggagalkan hidup manusia dan memesongkannya dari jalan yang benar.

Penyair menyifatkan kehidupannya sebagai perjalanan mengejar cita-cita yang digambarkan sebagai gunung (ancala) yang tinggi. Gunung itu semakin jauh dari pandangannya. Ini menunjukkan bahawa apa yang dicita-citakan semakin jauh dari pencapaiannya.
Pada rangkap kedua ini penyair menggunakan metafora dari unsur alam untuk menyampaikan maksudnya. Metafora padang hidup. Bermaksud hidup adalah satu perlumbaan. Padang merupakan tempat yang luas yang biasanya digunakan sebagai tempat berolah raga . Penyair menggambarkan dirinya sebagai sedang berlari di padang hidup. Kata berlari membawa konotasi bahawa di dalam hidup kita sentiasa perlu bergerak ke hadapan. Bergerak itu pula perlulah pantas. Metafora ini sesuai untuk menggambarkan keadaan kehidupan masakini yang berubah dengan sangat pantas dan memenatkan.

Dalam baris “Ancala mulia makin kabur”. Penyair menggunakan ancala atau gunung sebagai lambang cita cita yang dikejar dan ini dikatakan sebagai semakin menghilang. Dalam puisi Melayu gunung sering digunakan sebagai lambang cita cita. Ini sesuai dengan sifat gunung yang tinggi yang menyamai cita cita yang juga tinggi.






RANGKAP TIGA
Penyair merenung ke dalam dirinya. Dia merasakan dirinya masih jauh daripada apa yang dicari.
Penyair memperlihatkan keadaan yang masih keliru. Keadaan ini digambarkan melalui ungkapan songsong aksara kata. Kata songsong bermaksud keadaan yang berlawanan. Aksara kata menunjukkan keadaan di mana segalanya masih tidak sempurna. Ibarat karangan yang masih menjadi aksara tentulah belum menjadi ayat ayat yang sempurna. Oleh kerana ia adalah aksara aksara yang bercanggah dan tidak tersusun, maka sudah tentu ia tidak dapat memberi sebarang makna .Keadaan ini disifatkan sebagai “tanpa kembali ke tunjang makna”

RANGKAP EMPAT.
Walau bagaimanapun penyair masih berharap Allah akan menerima dan menganugerahi keinsafan. Dalam rangkap akhir, ini penyair benar benar berharap agar Allah akan menerima taubatnya kerana dia amat takutkan balasan siksaan Allah iaitu balasan api neraka.


TEMA DAN PERSOALAN
Sajak ini berunsur keagamaan. Ia adalah percakapan seorang insan dengan Tuhannya dan boleh dianggap suatu doa untuk mendapatkan keampunan. Hal ini sangat jelas pada rangkap empat iatu rangkap terakhir.
Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Namun begitu kita perlu bertaubat tanpa merasa putus asa daripada nikmat Allah kerana Allah adalah Maha Pengampun.


HARGA REMAJA oleh RAHMAN SHAARI.

Rangkap Satu
Masa remaja sangat berharga. Bagi seorang remaja yang dapat memelihara dirinya daripada segala yang mengecewakan, dia akan menjadi manusia yang bahagia. Dia akan berada di dalam suasana yang sangat tenteram dan merasa kesegaran seperti daun-daun yang hijau dan pohon-pohon yang segar.
Seorang yang memelihara masa remajanya dengan baik akan berjaya di dalam kehidupan. Kejayaan akan dicapai Hidup akan tenang . kita akan menyesal jika kita membuang masa yang amat berharga.


Rangkap Dua
Penyair berpendapat :bahawa terpulanglah kepada remaja atau individu untuk berusaha. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Ini juga selaras dengan ajaran Islam yang mengajar bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab untuk memelihara diri sendiri. Setiap orang mesti berusaha untuk masa depan masing-masing. Terpulang pada diri sendiri apakah memilih kebaikan atau keburukan.

Waktu remaja diibarat sebagai sebuah piala. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk mengisi. Adakah pialai itu akan diisi dengan cuka atau madu. Kalau inginkan Madu tentulah terpaksa berusaha dan bersusah payah. Pengalaman yang dilalui akan memberikan ilmu atau pengajaran yang berguna.


Rangkap Tiga
Pada rangkap akhir ini, penyair menyimpulkan bahawa Masa Remaja adalah amat berharga. Ia tidak boleh dibeli atau ditukar ganti dengan apa sekali pun. Ini bermaksud andainya kita tidak lagi remaja, kita tidak boleh kembali menjadi remaja walaupun kita mempunyai banyak wang kita tidak dapat membelinya kembali. Dengan bahasa yang mudah, semasa bersekolah kita mesti belajar bersungguh-sungguh kerana selepas tamat persekolahan kita tidak boleh kembali menjadi pelajar sekolah.
Hadapilah masa remaja dengan cekal dan berani. Kita mesti memandang jauh atau mempunyai cita-cita yang hendak dicapai. Orang yang bercita-cita akan berusaha untuk mencapai cita-cita tersebut.

Tema dan Persoalan:
Sajak ini menekan soal MASA iatu masa remaja yang sangat berguna . Semua remaja mesti menjaga diri daripada pelbagai gejala yang boleh merosakkan diri.. Sajak diberi tajuk Harga Remaja untuk memberi penekanan kepada harga atau nilai.
Gaya Bahasa
Pada keseluruhannya penyair menggunakan bahasa yang mudah difahami. Namun begitu terdapat penggunaan Simile dan metafora. Ungkapan “ bagai kehijauan daun” (baris 4) dan ‘Bagai kesegaran Pohon. (baris 5) adalah simile yang digunakan untuk menerangkan tentang masa remaja. Waktu muda yang segar dan subur adalah umpama daun hijau dan pohon yang segar. Manakala waktu tua adalah seperti pohon yang sudah banyak gugur daun-daunnya.

Terdapat penggunaan metafora cuka kesangsian (baris 9). Di sini cuka digunakan untuk menerangkan tentang perasaan kesangsian , iaitu suatu perasaan yang tidak menyenangkan. .
Metafora madu ajaran digunakan untuk menerangkan perihal ajaran atau ilmu yang diperolehi. Sesuatu ajaran atau ilmu yang diperolehi adalah amat berharga dan merupakan suatu kemanisan di dalam hidup seseorang.

Monday, January 17, 2011

Islam mementingkan cara berkomunikasi dengan lisan dan tulisan. Beberapa ayat Al-Quran dan petikan hadis boleh dijadikan rujukan dan panduan di dalam menghasilkan keindahan di dalam bersastera dan berkomunikasi di samping panduan di dalam menentukan etika penulisan dan ciri-ciri estetika sastera Islam.
1. Al-Quran menitikberatkan penggunaan kata-kata yang menyenangkan seperti yang terlihat di dalam ayat: “Dan jikalau engkau terpaksa berpaling, tidak dapat melayani mereka kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan” (Surah Al-Israk, ayat 28).
2. Allah pernah mengingatkan Musa dan Harun supaya berkata dengan lemah-lembut walaupun terhadap Firaun: ”Maka katakanlah olehmu berdua (Musa dan Harun) perkataan yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia (Firaun) menjadi ingat atau takut (kepada Allah)” (Surah Taha, ayat 44).
3. Allah mengingatkan Nabi Muhammad supaya tidak berkasar ketika menyampaikan seruan Islam: ”Maka disebabkan rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu” (Surah A-li ’Imran, ayat 159).
4. Amalan menggunakan perlambangan dan kiasan biasanya disebut sebagai ”percakapan yang berlapik,” adalah menepati ajaran Islam yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (Surah an-Nisa’, ayat 48).
5. Al-Quran itu sendiri diturunkan dengan mengikut tatacara, sistematis atau mengikut susunan yang tertentu, iaitu dengan beransur-ansur dan tenang supaya dapat diterima oleh manusia secara peringkat demi peringkat agar mudah difahami dan dihafal. Hal ini dijelaskan oleh ayat yang bermaksud: “Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacanya kepada manusia dengan lambat dan tenang, dan Kami menurunkannya beransur-ansur” (Surah Al-Isra’, ayat 106).
6. Tulisan yang baik mestilah disokong oleh fakta dan di samping dapat menyampaikan ilmu pengetahuan. Para sasterawan mestilah memantapkan penulisan mereka dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu mereka dilarang menulis segala yang tidak bersandarkan kepada fakta sebagaimana maksud ayat: “Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 10).
7. Sastera di dalam Islam dinilai dari segi keindahan seninya dan manfaatnya kepada manusia. Al-Quran sendiri memberi panduan dengan jelas melalui ayat yang bermaksud: “Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya” (Surah Ibrahim, ayat 24-25). Ternyata ayat ini bukan sahaja indah malah ia memperkatakan tentang keindahan, iaitu keindahan bahasa. Allah SWT berfirman tentang ayat yang baik dengan membandingkannya dengan sebatang pohon yang tumbuh dan teguh serta memberi manfaat kepada manusia dengan hasil buahnya. Keteguhan pokok adalah disebabkan akar yang mencengkam bumi. Dengan keteguhan itu dapatlah pohon mengambil segala zat untuk tumbuh bercabang-cabang dan meninggi menjulang ke langit. Begitulah ayat yang baik. Ayat yang baik, misalnya di dalam sebuah karya sastera, mengandungi idea-idea yang bernas yang dapat memperkayakan minda pembaca, lalu terbitlah idea-idea bernas yang baru, seperti keadaan pohon yang akan terus mengeluarkan pucuk yang baru dan buah yang menjadi rezeki makhluk Allah.

Friday, January 14, 2011

JAIR SULAI


OLEH ZURINAH HASSAN (Dewan Sastera Jun, 2011)


Sungai Hayat (2006,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka) adalah sebuah kumpulan puisi seorang penyair dari Sabah, Jair Sulai Ungkapan ‘sungai hayat’ merupakan sebuah metafora, yang membawa maksud perjalanan diri dan perjalanan kehidupan. Perjalanan itu sentiasa berterusan, menempuh pelbagai pengalaman, menuju ke negeri yang abadi, sama seperti sebagai sebatang sungai yang mengalir ke muara

Itulah yang dimaksudkan dengan metafora. Ianya adalah suatu perbandingan atau suatu misalan,. Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai “Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan.” Mengikut Owen Thomas (1969) metafora ialah “ A means of expressing one thing in term of another” atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai “pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain (Rahman Shaari: 1993:1).

Perkataan Metafora (Inggerisnya metaphore) adalah cantuman dua perkataan meta dan phore . Meta bererti perrtukaran atau peralihan (sense of change of position or condition) dan Phore bermaksud pembawa atau bearer Di sini maksudnya perubahan dan peralihan yang telah berlaku kepada makna perkataan disebabkan penggunaan sesuatu perkataan yang menjadi Pembawa peralihan tersebut..

Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora ‘pulau impian’
Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Manusia menggunakan metafora untuk memberi keterangan tentang sesuatu yang abstrak atau sesuatu konsep yang baru dan sukar untuk diterangkan. Cara yang terbaik ialah mengaitkannya dengan sesuatu perkara yang konkrit , atau fenomena yang dikenali dan mudah difahami oleh masyarakat.

Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Terdapat banyak puisi yang membandingkan sifat setia dengan Hang Tuah, angan-angan tinggi dengan Mat Jenin, dan pemberontakan dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.
Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan , hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114)
Penciptaan puisi dengan penggunaan alam sebagai metafora ini adalah merupakan penciptaan yang berlandaskan Al-Quran, kerana kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi metafora dan misal perbandingan daripada objek-objek alam. Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur alam sebagai metafora ini. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan (metafora) apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah ayat: 26)


Terdapat ayat-ayat yang menjelaskan penggunaan perlambangan dan perbandingan di dalam Al-Quran. Antaranya:
1. “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).
2. “Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (Surah ar-Ra’ad, ayat 17).
3. “Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya” (Surah al-Ankabut ayat 43 ).
4. “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah az-Zumar, ayat 27).

Mengikut Osman Khalid, Al-Quran menggunakan pendekatan ini, iaitu penggunaan metafora dengan tujuan mendekatkan perkara-perkara yang abstrak (maknawi) ke alam pancaindera yang dapat dirasakan oleh orang-orang yang menerimanya (orang-orang kafir Arab) dengan itu menjadikan mereka lebih bersedia untuk menerima ajaran-ajaran yang terkandung dalam Al-Quran” (1980:20).

Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:

”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan, hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu ciri dasar dalam estetikanya.”

Bertolak daripada kenyataan bahawa karya penulis Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam, maka Hashim Awang telah membina Teori Pengkaedahan Melayu yang dibahagikan kepada dua Pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama. Pengkaedahan Alamiah mengandungi tiga pendekatan, iaitu pendekatan firasat, pendekatan gunaan, dan pendekatan moral. Pengkaedahan Agama pula menyenaraikan tiga pendekatan iaitu pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan seni. Teori yang dikemukakan pada tahun 1989
ini dapat diterapkan bagi menganalisis hasil karya kesusasteraan Melayu untuk meneliti penggunaan unsur alam sebagai perantara bagi membawa makna, pemikiran dan mesej puisi.

Tulisan ini membicarakan penggunaan alam sebagai metafora di dalam sajak-sajak Jair Sulai yang termuat di dalam kumpulan puisinya Sungai Hayat Dalam menilai sajak-sajak dalam Sungai Hayat, penulis akan mengaplikasi pendekatan dakwah khasnya untuk melihat penggunaan unsur alam sebagai kias ibarat , penanda atau alamat kepada kewujudan dan kebesaran Allah, petunjuk kepada kelemahan manusia, serta pemberi iktibar dan motivasi untuk terus berikhtiar.

Jodol antologi diambil dari sajak berjodol Sungai Hayat (hal 38) .
Sungai Hayat
Ini sungai berliku
Airnya sekeras batu
Arusnya mata pisau
Muaranya tanda tanyaku

Dengan nyali keyakinan
Di sini kukayuh sampan harapan
Pada airnya kusaring kelembutan
Pada arusnya kujaring kebeningan
Ini sungai berliku
Mengapungkan degup rinduku
Mengalirkan pijar cintaku
Ke samudera Maha Khalikku.

Penyair ini menggunakan sumber metafora dari alam jagat raya iaitu sungai dengan meyifatkan perjalanan sebatang sungai sebagai perjalanan diri atau perjalanan hidup menempuh pelbagai kejadian. Sebatang sungai mengangkut tanah dan pasir begitulah juga hari-hari yang dilalui memberikan pelbagai pengalaman. Sungai merupakan sumber metafora yang penting yang telah digunakan oleh ramai penyair. Misalnya Hassan Jaidin telah menulis sajak yang berjodol “Sungai Peribadi”, Rahman Shaari dan Ahmad Razali menghasilkan sajak “Sungai Sejarah”. Muhammad Haji Salleh menggunakan metafora ‘sungai takdir’ dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Jair Sulai juga menggunakan metafora ‘sungai waktu’ dalam sajaknya “Belajar Resmi Sungai Waktu” (Sungai Hayat:21).

Pada pandangan Penyair, perjalanan hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah umpama berdayung di sebatang sungai yang airnya tidak lembut, malah keras seperti batu. Di dalam hidup kita akan menemui perkara-perkara yang menyakitkan. Hal ini diibaratkan seperti arus sungai yang kadang-kadang tajam seperti mata pisau. Seperti arus sungai, perjalanan hidup membawa kita ke suatu destinasi atau menuju masadepan yang tidak dapat ditentukan ataupun diramal. Hal ini dilambangkan oleh ungkapan ‘muaranya tanda tanyaku’ Namun begitu penyair telah membina keberanian dan keyakinan diri untuk terus melangkah. Selain ‘sungai hayat’, ungkapan yang berupa metafora yang terdapat di dalam sajak ini ialah ‘sampan harapan’ yang membawa maksud sesuatu yang amat diperlukan di dalam menjalani kehidupan ini. Kata sungai dan hayat tidak mempunyai hubungan dan persamaan tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya berjalan dan berterusan.

Sebuah lagi sajak yang memperkatakan tentang perjalanan hidup ialah Bahtera Hidup (hal: 19).

Sewaktu pelayaran bahtera hidup
Di samudera fana ini
Hanya kemudi iman yang teguh
Meluruskan arah tujuanya
Meski dilanda badai dan
Dioleng arus gelombang dugaan.

namun yang memastikan ke mana
haluan bahtera hidup
adalah nakhoda minda yang arif
tentang ilmu pelayaran
Kerana tali kemudi iman
Terletak dalam genggamannya

Jika sajak terdahulu (Sungai Hayat), menggunakan lambang sungai ,sajak ini menggunakan lambang laut Laut dan perjalanan laut telah digunakan di dalam sekian banyak puisi Melayu moden dan tradisional.untuk membawa makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat. Setiap insan mesti berhati-hati dalam melayari hidupnya. Laut yang luas dan bertenaga adalah juga lambang kekuasaan Allah SWT. Sajak ini mengandungi peringatan bahawa manusia adalah pelayar yang mengharungi samudera dan mereka memerlukan pertolongan Allah agar tidak karam dan tenggelam di lautan yang dalam. Pemikir-pemikir Islam turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Contohnya, Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah menyebut, “Wahai anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157). Ucapan dibuat di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H..

Dalam hubungan ini, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal (Braginsky,1994: 272). Penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17. Hamzah Fansuri telah mempelopori kaedah pemikiran simbolik Hamzah menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
(sumber: Harun Mat Piah, 1997:255)
Perahu ialah kenderaan yang membawa seseorang menuju ke tempat yang dituju. Perjalanan melalui sungai dan laut memerlukan kenderaan seperti bahtera, kapal, perahu, sampan, biduk atau rakit. Kenderaan-kenderaan ini muncul di dalam puisi membawa makna tersirat iaitu peralatan atau prasarana yang diperlukan di dalam menjalani kehidupan. A.Wahab Ali menggunakan perahu dalam sajak “Ke pelabuhan Jauh”, A.Samad Said menggunakan rakit dalam sajak “Menambat Rakit” dan Jair Sulai menggunakan sampan di dalam sajak “Sungai Hayat” yang dibicarakan sebelum ini,.(Dengan nyali keyakinan/di sini kukayuh sampan harapan). Setiap insan mesti memastikan peralatan atau prasarana ini berada di dalam keadaan baik dan lengkap untuk membawanya menyeberang. Sebuah kehidupan tanpa prasarana yang lengkap disifatkan oleh peribahasa Melayu sebagai “biduk ada pengayuh tidak”

Sajak “Bahtera Hidup membawa pesan dan peringatan agar manusia berhati-hati. Mesej puisi ini adalah selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu, yang melihat sastera sebagai penciptaan yang membawa manfaat dan kebaikan. Perjalanan menyeberang laut merepresentasi perjalanan ruh untuk pulang ke negeri asal atau negeri yang abadi. Di dalam perjalanan itu ruh akan diganggu oleh Iblis yang sentiasa mencuba untuk menggagal dan menyesatkannya. Gangguan-gangguan ini digambarkan sebagai badai dan gelombang yang cuba menenggelamkan bahtera hidup. Pada pandangan penyair, penyelamat manusia yang utama ialah akal fikiran. Oleh itu manusia harus mempertajamkan minda di dalam mengendali pelayaan. Suatu pelayaran yang dikendalikan oleh seorang nakhoda yang bijak dan dapat menggunakan akal fikirannya akan selamat sampai ke destinasi.

Dalam sajak ini terdapat beberapa buah metafora yang terbina dari alam lautan dan pelayaran. Tiga contoh ialah ‘bahtera hidup’, ‘kemudi iman’, ‘gelombang dugaan’. Sementara di dalam Sungai Hayat terdapat metafora ‘sampan harapan’. Empat metafora ini dicipta dengan cara mencantumkan objek konkrit dengan objek abstrak. Kata bahtera digandingkan dengan hidup , kata kemudi digandingkan dengan dengan iman, gelombang dicantumkan dengan dugaan dan sampan digandingkan dengan harapan.. Semua lapan perkataan yang terlibat ialah kata nama. Tetapi bila dua kata berganding menjadi metafora, maka satu perkataan akan bertukar menjadi katasifat yang berfungsi menerangkan tentang perkataan yang yang lain. Yang hendak disampaikan ialah perihal perkataan yang kedua. Di sini bahtera menerangkan tentang hidup, iaitu hidup adalah umpama menaiki bahtera.Setiap orang mesti menjaga bahteranya kerana bahtera yang tenggelam di lautan adalah seperti sebuah kehidupan yang musnah. Kemudi menjadi katasifat yang menerangkan tentang iman, iaitu iman adalah seperti kemudi yang menjaga sesebuah pelayaran. Kemudi menetapkan hala dan arah pelayaran sementara iman akan memandu tiap insan ke jalan yang benar. Kata gelombang memberi keterangan kepada dugaan iaitu segala dugaan di dalam hidup ini akan datang sebagaimana seorang pelayar akan menempuh gelombang di dalam pelayarannya. Gelombang akan menyukarkan pelayaran begitu juga dugaan akan memberi kesukaran kepada seseorang. ‘Sampan harapan’ merupakan metafora yang cantik, menyatakan tentang harapan. Dengan adanya sampan dapatlah seseorang berkayuh menuju sesuatu tempat. Sampan memberikan prasarana untuk mencapai sesuatu harapan.

Metafora yang diperkatakan di atas adalah cantuman katanama konkrit dan katanama abstrak. Tetapi terdapat juga metafora yang terdiri dari dua perkataan yang merupakan katanama konkrit. Sazali Yaakob menggunakan metafora ‘huruf tenggala’ (dalam sajak ”Huruf Tenggala”,). Biasanya dua perkataan itu adalah dua katanama dari kelompok makna yang berbeza. Bila digandingkan ia menerbitkan maksud yang lain. Huruf dan tenggala adalah dua kata dari kelompok makna yang berbeza tetapi bila digandingkan ia membawa maksud ”gambaran kehidupan petani”. Terdapat banyak contoh metafora jenis ini yang digunakan di dalam atau di luar puisi, seperti hutan batu. syarikat gergasi, pengundi hantu dan akhbar nyamok.

Suatu lagi unsur alam yang kerap muncul di dalam puisi, termasuk puisi Jair Sulai ialah haiwan. Di antaranya ialah semut dan burung, contohnya “Seperti Semut Kita” (halaman 87).

Seperti semut kita pun dijalinkan keakraban
sekata menyusun arah
Sederap mengatur langkah
Seperti semut kita pun saling berkorban
Berpadu ringankan bebanan
Bersatu ungkaikan kesulitan
Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan


Semut , seperti anai-anai, lebah, tebuan, dan kerengga.dikenali sebagai haiwan sosial kerana mereka hidup di dalam kumpulan atau koloni. Sebahagian koloni mengandungi berjuta-juta ahli. Kebanyakan semut membina sarang di dalam kayu, di pokok-pokok, atau di dalam tanah, lengkap dengan lorong-lorong dan bilik-bilik yang bertingkat-tingkat dan sebahagian dari bilik-bilik itu dipenuhi dengan bekalan makanan. Semua ahli serangga sosial bekerja untuk keseluruhan koloni. Setiap sarang mempunyai seekor ratu yang hanya berfungsi untuk bertelur dan membiak. Semut-semut yang lain adalah pekerja. Semut yang lebih besar menjadi askar yang mempertahankan sarang. Semut yang sederhana besarnya bertugas membina sarang, mencari, dan menguruskan pembahagian makanan. Semut yang terkecil diam di dalam sarang untuk menjaga anak-anak semut dan membersihkan tempat tinggal (Reader’s Digest Pathfinders, 2000:24).

Dengan sifat-sifat tersebut semut ialah serangga yang digunakan bagi memperkatakan tentang ketekunan dan kesetiaan. Cara hidup yang diamalkan oleh serangga ini menjadi simbol kepada sistem keadilan sosial dan perpaduan masyarakat yang membawa kekuatan ummah..


Kehidupan semut dengan amalan berdisiplin (sekata menyusun arah) dan bantu membantu dengan berpadu ringankan beban memberi contoh teladan atau pengiktibaran kepada manusia dalam hidup bermasyarakat selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu. Penyair memberi tumpuan kepada aspek kesetiaan semut mencari makanan dan melindungi keselamatan masing-masing seperti ungkapan:
Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan.


Sifat-sifat ini adalah aspek penting yang membolehkan mereka hidup dan bertahan walaupun bertubuh kecil dan mudah dibinasakan oleh haiwan yang lebih besar. Sekaligus puisi ini mengingatkan kepada sifat individualistik manusia yang digambarkan melalui peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.” Dengan semangat inilah mereka mempertahankan koloni dan menghantar amaran kepada semua jika terhidu bahaya. Allah SWT juga mengingatkan manusia untuk memerhatikan kelakuan semut kerana ia boleh memberikan pengajaran. Perkara ini dijelaskan di dalam Surah al-Naml (perihal semut). Di dalam surah ini terselit kisah Nabi Sulaiman dengan bala tenteranya. Nabi Sulaiman adalah seorang Nabi yang dikurniakan kebolehan memahami percakapan segala jenis haiwan. Kisah ini diceritakan oleh ayat yang bermaksud:
“ (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke ’Waadi’n Naml’ berkatalah seekor semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”
(Surah Al-Naml, ayat 18)


Ayat ini memberi penekanan kepada sifat-sifat kesetiaan semut mempertahankan diri masing-masing. Seekor semut telah dapat menangkap bunyi tapak kaki tentera Nabi Sulaiman. Ternyata si semut telah menggunakan firasatnya untuk mengesan bahaya yang mendatang. Ayat ini juga memberitahu bahawa Nabi Sulaiman telah terpegun mendengar kata-kata semut itu malah baginda sendiri mengambil iktibar dan pengajaran daripada kelakuan semut itu yang segera mengingatkan baginda kepada kebesaran Allah:

“ Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa ’Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang kau kurniakan kepadaku dan kepada ibu-bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang engkau redhai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih.”
(Surah al-Naml, ayat 18).

Mengikut Sheikh Abdullah Basmeih, kisah semut itu disebutkan di dalam surah Al-Naml sebagai contoh teladan bagi umat manusia supaya mereka memahami keadaan makhluk-makhluk, dan bagaimana semut itu bersatupadu untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan, demikian juga mereka bersatupadu untuk mencari kebaikan bersama. Sebuah kisah di dalam Al-Quran menyerlahkan perilaku semut yang amat setia sesama mereka (Sheikh Abdullah Basmeih, 2001:978).

Pandangan yang dilahirkan ini menepati ajaran Islam supaya manusia, khasnya umat Islam, hidup tolong-menolong antara satu sama lain. Hal ini dijelaskan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Surah Al-Maidah ayat 2). Kepentingan bekerjasama diberi penekanan oleh Rasullah saw menerusi sabda baginda: ”Kaitan antara seorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain” (Hadis Riwayat Mutafaq Alaih).

Penggunaan Serangga memperlihatkan bagaimana pemikiran sasterawan Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam, sepertimana yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu. Di dalam Al-Quran terdapat Firman yang menyebut Allah SWT membuat misal perbandingan (metafora) dari nyamuk (Surah al-Baqarah, ayat 26). Sejenis lagi serangga haiwan yang mendapat sebutan di dalam Al-Quran ialah lalat, iaitu dalam ayat yang bermaksud, “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor “lalat” pun” (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).

Selain serangga, haiwan yang sering digunakan di dalam puisi ialah burung. Imej burung muncul di dalam puisi Melayu tradisional dan moden sebagai penanda kepada kebebasan. Manusia melihat burung yang boleh terbang lalu menginsafi kekurangan yang ada pada diri mereka. . Perkara ini dilihat di dalam pantun Melayu:
Gerdum-gerdam kapal di tanjung
Hendak belayar ke Pulau Sudung
Hendak terbang bukannya burung
Hendak berenang bukannya sotong

(Zainal Abidin Bakar, 1984:179)

Bertolak daripada pandangan ini, Jair Sulai menulis sajak ”Burung Kecil Di atas Dahan”.
Burung Kecil Di atas Dahan (halaman 14)

Gapaian sayap kecil ini
Tak sampai ke mana pun
Di kitaran ruang maha saujana
Selain kembali juga
Hinggap di dahan
Benar
Sayap kecil ini
Tak mampu mengepak
Sebebasnya
Di bawah langit maha khalis

Apa yang menyentuh penyair adalah hakikat bahawa burung juga tidak berkuasa untuk terbang sesuka hati. Dengan sayap yang kecil dia tidak dapat pergi jauh dan terpaksa pulang ke dahan untuk berehat. Hakikat ini menyedarkan penyair akan kelemahan manusia. Sayap yang kecil adalah lambang setiap manusia yang mempunyai kudrat yang sangat terbatas. Dengan mengatakan ”kembli juga hinggap di dahan”, penyair membuat pengakuan tentang kelemahan dirinya dan manusia lain dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di dalam hidup. Menyedari kelemahan diri bererti bersifat tawaduk, iaitu merendah diri, tidak berbangga,jauh sekali dari bersikap takbur. Penyair berpegang kepada dasar kepercayaan bahawa manusia tiada berdaya melainkan berserah kepada Allah. Manusia tidak berkuasa untuk mendapatkan segala yang diingini seumpama burung yang tidak akan dapat terbang semau-maunya... Ruang yang maha saujana membawa maksud seluruh ciptaan Allah SWT. Dari sudut Pendekatan Dakwah, Teori Pengkaedahan Melayu, sajak ini mengingatkan bahawa hanya Allah yang berkuasa ke atas segala-galanya.

Perihal burung yang terbang di angkasa juga mendapat sebutan di dalam kitab suci Al-Quran. Burung adalah objek alam yang perlu diperhati dan direnungkan oleh manusia.. Manusia perlu mengambil iktibar dari burung yang terbang sebagaimana yang diseru oleh ayat yang bermaksud:.
“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya. Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
(Surah Al-Mulk, ayat 19).


Penyair juga turut menggunakan metafora dari unsur waktu, di dalam sajak yang berjodol “Lambaian Senja” (hal.73)
Kaki pagi semakin jauh tertinggal
Daunan waktu pun berguguran satu demi satu
Aku semakin siaga menghadapi lambaian senja
Mengundang aku merapat ke pelabuhan sepi.

Di dalam puisi ini penyair memperkatakan tentang peredaran hari. iaitu pagi yang telah jauh ditinggalkan, senja yang menjelma dan malam yang kian menjelang.
Perjalanan hari sepatutnya mengingatkan manusia kepada perjalanan usianya.
Hal ini adalah selaras dengan ayat Al Quran yang bermaksud; “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat memikirkan kebesaranNya atau mahu bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu (Al-Furqan, ayat 62).

Waktu yang datang dan pergi adalah tanda perubahan dan penunjuk bahawa manusia tidak dapat berada di sesuatu tempat untuk selama-lamanya. Senja digunakan untuk menggambarkan tentang kehidupan yang singkat Di dalam nasihatnya penyair memberi penekanan kepada kepentingan masa. Setiap orang seharusnya peka dengan waktu yang cepat berlalu. Peringatan ini menepati maksud ayat Al-Quran, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” (Surah Al’Asr, ayat 1-3). Senja merupakan waktu yang kerap digunakan di dalam puisi. Warna senja yang merah bercampur jingga adalah warna yang disifatkan sebagai ‘mengerikan’ atau warna yang memberi amaran bahaya. Pada keseluruhannya senja adalah lambang kesementaraan hidup manusia. Kedatangan waktu senja adalah petanda bahawa kehidupan itu telah menghampiri penghujungnya sepertimana yang pernah diungkapkan oleh A.Samad Said dalam "Tetamu Senja"

Peredaran waktu dari pagi ke senja menjadi simbol perjalanan hidup khasnya peningkatan usia manusia. Penyair memperkatakan tentang perjalanan hidupnya yang disimbolkan sebagai perjalanan hari dari pagi menuju ke waktu senja. Namun penyair bersikap positif yang dirinya akan tabah menghadapi segala yang bakal ditempuhi “aku siaga mengahadapi”. Dia ingin kekal sebagai peribadi yang unggul..

Di dalam sajak ini terdapat beberapa metafora. Yang bertolak dari unsur waktu ialah ‘daunan waktu’ ‘lambaian senja’ dan ‘kaki pagi, ‘Daunan waktu’ menerangkan tentang waktu yang tidak kekal selamanya dan akan berkahir seperti gugurnya daun-daun dari pokok. ‘Lambaian senja’ dan ‘kaki pagi’ memperlihatkan satu kaedah penciptaan metafora di mana unsur alam dan manusia telah dihubungkan. ‘Kaki pagi’ terhasil dari tindakan memberikan anggota badan dan deria rasa manusia kepada sesuatu konsepsi atau objek yang tidak bernyawa. Ahli falsafah Itali Giambattista Vico menyifatkan kaedah pembinaan metafora seperti ini sebagai anthropomorphic metaphore . Beliau menulis tentang metafora jenis ini sebagai “expressions referring to inanimate objects formed by transfers from the human body and its parts, from human senses and human passions” (Ullmann,84) Contoh-contoh lain termasuklah ungkapan-ungkapan seperti ‘di tangan takdir’, ‘di kaki gunung', 'di dada rimba',dan 'mata pena'. Ungkapan ‘lambaian senja’ memperlihatkan satu lagi kaedah pembentukan metafora iaitu memberikan pekerjaan ‘melambai’ yang biasanya dilakukan oleh manusia kepada Senja. Selain daripada itu, metafora juga dibentuk dengan memberikan sifat-sifat yang lazimnya ada pada manusia seperti penyayang, sabar, pengasih, setia, kepada objek alam. Contohnya sajak Shamsuddin Jaafar, “Pantaiku” yang menyebut ‘Senja ini kita bertemu/pantaiku yang setia’.

Selain unsur waktu, haiwan, laut dan sungai, Jair Sulai juga banyak menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan di dalam sajak-sajaknya. Perlambangan ini, misalnya terdapat di dalam sajak-sajak “Penanam Benih” dan “Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya” Penyair menyifatkan setiap insan sebagai penanam benih. Di sebalik objek pokok dan penanaman pokok terdapat makna yang lebih tinggi iaitu amalan manusia di dunia ini.

Dari segi sifat atau rupa bentuk, benih adalah sangat kecil manakala percambahan dan pertumbuhannya menjadi pokok baru adalah satu kejadian dan perubahan yang berlaku pada alam dan segalanya berlaku dengan penuh misteri iaitu diluar jangkauan akal insani. Hal ini adalah selaras dengan simbolisme yang terdapat di dalam Al-Quran di mana unsur tumbuh-tumbuhan menjadi misal perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Percambahan benih menjadi bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah sepertimana yang diterangkan di dalam ayat yang bermaksud “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

Dengan menulis tentang kejadian benih ini, penyair menarik perhatian bahawa setiap ciptaan Allah mempunyai peranan masing-masing dan tidak diciptakan dengan sia-sia. Dalam puisi ini kejadian benih adalah untuk menyambung hayat tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat kepada kehidupan manusia. menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Teori Pengkaedahan Melayu.

Penanam Benih (hal:9)
Sewaktu di ruang perhentian ini
Kita hanya penanam benih
Di halaman taman kasih yang abadi
Kalau benih yang terbaik
Pasti tumbuh menghijau dan berbuah lebat
Kerana bertunjangkan hakiki
Kita akan tetap dapat memetik
Dan mengecapi buahnya pada musim terakhir
Dan ketika itu kita pun berbahagia

Ini, tentulah yang abadi
Yang memberikan zat
Pulangan suci kepada kita. (9).


Perbuatan menanam dan menjaga tanaman memperlihatkan unsur usaha dan ikhtiar seperti yang dianjurkan oleh Islam yang mengajar bahawa tiap-tiap orang hanya memperolehi apa yang diusahakan olehnya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” (Surah an-Najm, ayat 39). Pokok akan tumbuh dari benih yang baik sebagaimana kebajikan akan bercambah dari niat yang tulus.. Niat yang sedemikian mempunyai kaitan dengan maksud hadis Nabi Muhammad saw tentang orang yang bersedekah. Maksud hadis tersebut: “Seorang Muslim yang menanam tanaman kemudian ada burung, atau manusia, atau binatang, memakan buah tanamannya, maka yang demikian itu menjadi sedekah baginya” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Perlambangan dan metafora dari tumbuh-tumbuhan ini dapat ditemui dalam tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sebagai contoh, dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di Madrasah al-Ma’murah, 14 Rejab 545 H. Beliau menyeru umat Islam supaya “berladang” dengan penuh keikhlasan. Menurut beliau hanya orang yang berusaha dan berladang dengan keikhlasan sahaja akan diberkati dengan hasil yang baik. Beliau juga mengibaratkan hati yang keras sebagai tanah yang tandus dan gersang yang tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan:
Tanamilah kawasan ladangmu itu dengan hati dan jasadmu, iaitu keimanan. Kemudian hendaklah engkau olah dengan sempurna dan menyiraminya dengan amal kebaikan. Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).


Penyair juga merujuk kepada hasil tanaman atau buah yang akan dapat dikecap pada musim terakhir. Buah membawa makna tersirat, iaitu amalan yang telah dikerjakan oleh manusia semasa hayatnya , iaitu hasil daripada amalan manusia di dunia yang akan dibawa untuk mengadap Allah apabila ia pulang ke negeri yang abadi. Segala pembalasan akan bergantung kepada buah atau hasil yang dibawa. Hasil inilah menjadi pertaruhan untuk membela dirinya di akhirat kelak. Kalau baik buahnya maka beruntunglah si penanam benih tadi. Untuk mendapatkan hasil yang baik tentulah memerlukan usaha yang berterusan.

Dengan menyatakan harapan untuk memetik buah dan mengecapinya pada musim terakhir penyair mengingatkan pembaca kepada sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Maka barangsiapa yang menanam kebaikan, maka ia akan memetik kebahagiaan. Barangsiapa yang menanam keburukan, maka ia akan memetik penyesalan”

Pada Hari Pembalasan, amal manusia akan dihisab. Anggota badan tidak berguna lagi. Ketika itu hanya amalan yang telah dilakukan di dunia akan bersuara bagi pihak mereka. kecuali “buah” atau hasil usaha dan amal ibadatnya, seperti firman Allah: “Setelah berlaku demikian, maka manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing; adapun orang yang berat timbangan amal baiknya maka ia berada di dalam kehidupan yang senang-lenang, adapun orang yang lebih banyak kebaikannya, maka ia masuk syurga tanpa hisab” (Surah al-Qari’ah, ayat 6-7).

Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya 58.

Si tukang kebun
Begitu menekuni sebuah taman harapan
Menggenggam erat hakikat kekecilan
Dalam lingkaran kebesaran Tuhan

Dengan sepenuh keyakinan
Kutatang seteguhnya taman ini
Dalam putih lidah batini
Aku membaca lirik syahadah.

Di dalam sajak “Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya” penyair menyifatkan dirinya sebagai si tukang kebun yang tekun membina dan menjaga ‘taman harapan’nya. Sajak juga bertolak daripada perlambangan atau metafora berkebun dan menanam pokok. Ternyata si tukang kebun menjalankan kewajibannya dengan khusyuk dan yakin bahawa Allah akan memberikan balasan yang baik.

Sebagai rumusan dapat dikatakan bahawa Jair Sulai merupakan seorang penyair yang tekun memerhatikan tingkah alam dan mempelajari perlakuan alam untuk melahirkannya di dalam metafora bagi menyampaikan maksud puisi. Selain alam, pemikiran di dalam puisinya turut dibentuk oleh agama Islam. Dua faktor ini, iaitu alam dan agama Islam, mencorakkan kreativitinya. Mesej mesej yang baik dan positif adalah menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu yang mengikut Hashim Awang sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan.

Rujukan:
Jair Sulai, Sungai Hayat, 2006,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
Abdul Qadir Al-Jalaini, (terj.Qodirun Nur), 2004. (cetakan ketujuh),
Al-Fath ar-Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library.

Ahsin W. Al-Hafidz, Kamus Ilmu Al-Quran, 2005, Jakarta, Penerbit Amzah

Braginsky, V.I. 1994, Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam
Kesusasteraan Melayu Klasik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka,

H.B.Jassin. 1968 ,Tifa Penyair dan Daerahnya, Singapura:
Malayan Publishing House.

Harun Mat Piah, 1997, Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan
Genre dan Fungsi, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Pertama)’, Dewan Sastera, Julai: 7- 9.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Kedua)’, Dewan Sastera, Ogos: 7- 9.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Ketiga)’, Dewan Sastera, September: 7- 11.
Muhammad Haji Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari, 1993. Memahami Gaya Bahasa, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Osman Haji Khalid “Perumpamaan perumpamaan dalam Al-Quran”, Di Bawah Sinaran Wahyu, 1980, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,

Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada
Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir
Thomas, Owen, 1969. Metaphor and Related Subjects. New York:
Random House

Ullman, Stephen. 1966. Language and Style. Oxford: Basil Blackwell.

Zainal Abidin Abu Bakar,1984, Kumpulan Pantun Melayu, Kuala umpur,
:Dewan Bahasa dan Pustaka

Zurinah Hassan, 2001. Penggunaan Unsur Alam Sebagai PerlambanganDalam Puisi Melayu Moden, Tesis Master Sastera, Universiti Putra Malaysia.