ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Saturday, November 27, 2010

Perpustakaan oleh Shafie Abu Bakar.


Rangkap pertama


Penyair masuk ke Perpustakaan.

Merasa kesejukan perpustakaan

Dia membandingkan kesejukan itu dengan panas yang dirasakan diluar.

Membuat perbandingan lain antara keadaan dlm perpustakaan dan suasana di luar


Di luar – sibuk, orang berjalan-jalan ke sana ke mari
Di dalam- senyap, orang duduk membaca/berfikir.

Suasana hening disamakan dengan sebuah gua. Gua juga mengingatkan kepada PENDETA dalam cerita2 filem. Pendeta dikaitkan dengan kebijaksanaan- sesuai dikaitkan dengan perpustakaan.

Penyair menggambarkan orang2 yang tekun membaca. Semua orang mengutamakan ilmu. Mereka tunduk dan khusyuk membaca


RANGKAP KEDUA

Penyair memerhatikan banyaknya buku dan banyaknya ilmu.
Dia merasa amat kerdil . Ilmu yang terdaya dikumpul oleh seorang individu tentulah sedikit jika dibandingkan dengan segala ilmu pengetahuan yang terkumpul di perpustakaan.

Untuk menggambarkan betapa luas dan banyaknya ilmu yang ada, penyair menggunakan perlambangan laut. Dia merasa dirinya terapung di laut ilmu.

Metafora LAUT ILMU dan BAHTERA ILMU bererti :Ilmu disifatkan sebagai laut yang luas Percubaan mencari ilmu sama seperti melayari sebuah bahteraa di laut luas. Takkan mampu belayar ke segenap ruang lautan


Penyair mengatakan sebagai seorang manusia biasa dia hanya akan berupaya mendapat sedikit sahaja daripada banyaknya ilmu yang terkumpul dari zaman ke zaman.

Ini selaras dengan ajaran di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud: Tidak kuberi ilmu melainkan sedikit sahaja


Penyair menyifatkan dirinya AKU ADALAH PELAYAR YANG DAHAGA. Menunjukkan betapa dia suka menuntut ilmu dan suka berada di perpustakaan. Dahaga: semakin banyak dia mendapat ilmu semakin banyak ilmu yang ingin diperolehinya.

Keluasan ilmu dianggap sebagai SAMUDERA TAK BERPANTAI.


HARGA REMAJA-

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir prjalanan ini

dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah

remaja amat mahal sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah pendirian
keberanian dan ilmu

penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju

Rahman Shaari



Masa remaja sangat berharga. Jika masa remaja kita abaikan kita akan menyesal di belakang hari. Seorang yang memelihara masa remajanya dengan baik akan berjaya di dalam kehidupan. Kejayaan akan dicapai Hidup akan tenang . kita akan menyesal jika kita membuang yang amat berharga.

Pada waktu remaja kita bertenaga. Pada waktu tua semakin lemah . Jadi gunakan tenaga dan masa itu sebaik-baiknya. Sajak ini selaras dengan ayat yang bermaksud “demi masa manusia dalam kerugian kecuali mereka yang berpesan-pesan. Sajak ini juga menjalankan peranannya untuk berpesan-pesan.

Pada keseluruhannya penyair menggunakan bahasa yang mudah difahami. Terdapat juga penggunaan Simile : bagai kehijauan daun. Daun hijau melambangkan kesegaran, kemudaan, kehidupan yang segar dan subur. Waktu tua seperti pohon yang sudah banyak gugur daun-daunnya.


Penyair berpendapat : Terpulang kepada remaja atau individu untuk berusaha. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Ini juga selaras dengan ajaran Islam yang mengajar bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab untuk memelihara diri sendiri. Setiap orang mesti berusaha untuk masa depan masing-masing. Terpulang pada diri sendiri apakah memilih kebaikan atau keburukan.

Waktu remaja diibarat sebagai sebuah piala. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk mengisi. Nak isi dengan cuka atau madu. Kalau inginkan Madu kenalah bersusah payah sedikit tapi pengalaman akan memberikan ilmu atau pengajaran yang berguna.


Sajak ini menekan soal MASA iatu masa remaja yang sangat berguna . Semua orang terutama anda di sini mesti jaga diri di kala remaja. Di luar sana ada pelbagai gejala yang boleh merosakkan diri kita. Harga remaja sangat mahal. Sajak diberi tajuk harga remaja kerana memberi penekanan kepada harga. Kalau tidak mungkin remaja sendiri tidak sedar betapa yang dilalui itu sangat berharga.


Kalau hendak Berjaya Hiduplah dengan cita-cita. Penuh kesedaran tentang hari depan .


SAJAK MAHSURI

Mahsuri adalah seorang wanita yang terkenal dalam lagenda Langkawi-Cuba bayangkan pulau Langkawi tanpa lagenda Mahsuri Tentu tidak begitu menarik.

Dalam kes Mahsuri ada yang mengatakan cerita ini semata-mata cerita rekaan dan dongeng yang tidak terjejak di bumi nyata. Namun ada yang sangat percaya bahawa Mahsuri pernah hidup dan cerita yang bersangkutan dengannya adalah kisah benar. Mereka percaya Langkawi jadi mundur kerana sumpah Mahsuri.

Sajak ini membawa pandangan yang lain. Bila kita menulis puisi kita membangkitkan atau mengutarakan sesuatu yang baru. Suatu pemikiran atau gagasan yang baru untuk sama-sama difikirkan atau difikirkan kembali. Dalam hal ini adalah persoalan adakah sumpah Mahsuri itu menjadikan Langkawi mundur atau sumpah Mahsuri itulah yang menghidupkan Langkawi. Kerana dengan adanya cerita Mahsuri itulah pulau Langkawi menjadi lebih menarik.

Apabila menyebut Langkawi terbayanglah cerita Mahsuri. Penyair seperti melihat selendang Mahsuri seolah-olah mengibar-ngibar menyambut kedatangan tetamu iaitu para pelancong. Ini untuk membayangkan bahawa lagenda Mahsuri itulah yang menjadi tarikan yang dapat menggamit pelancong ke pulau itu. Seterusnya diperlihatkan
gambaran tentang telaga tujuh dsbnya.

Mahsuri mungkin pernah hidup suatu masa dahulu. Tetapi cerita tentangnya ditokok tambah menjadikannya lebih hebat dari dirinya yang sebenar. Mungkin tentang kecantikannya dan segala kejadian yang dilaluinya.di sini kita melihat bagaimana tukang cerita yang menjadikan cerita itu lebih menarik. Bila ramai orang bercerita tentang Mahsuri pulau Langkawi menjadi lebih terkenal- Kita dapat lihat di sini bagaimana cerita-cerita rakyat menyumbang ke arah menjadikan sesuatu tempat itu lebih terkenal. Di sini kita lihat bahawa sastera ada peranan dalam pembangunan tanah air.

Friday, July 02, 2010

Sedang menekuni teori interteks. Kata Bakhtin (1986:106-7) bahawa setiap proses pengkaryaan akan mengalami Dialogika ialah kemasukan unsur-unsur luar dalam sesebuah karya sastera. Seorang pengarang menulis untuk menyampaikan sesuatu subjek, tema atau pemikiran kepada pembaca . Namun begitu semua hanya dapat dicerna menjadi karya sastera dengan bantuan unsur-unsur luaran iaitu apa saja yang dapat memberi sumbangan kepada pembinaan sebuah karya sastera

Hal ini agak selari dengan apa yang telah saya rakamkan di dalam buku Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (2003) Sebuah karya lahir dengan cetusan idea seorang pengarang. Hal ini boleh disifatkan sebagai situasi yang melahirkan puisi. Sebuah karya adalah pendapat penyair tentang sesuatu. Idea tercetus di dalam pemikiran apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Cetusan-cetusan idea ini boleh dianggap sebagai benih yang akan menumbuhkan puisi. Biasanya benih puisi itu terjadi bukan dari satu sumber sahaja. Ia merupakan perkahwinan atau adunan beberapa situasi. Sajak “Melaka” (Keberangkatan 1985:35), lahir ketika melawat ke kota A.Famosa dan digerakkan oleh pembacaan mengenai sejarah bangsa yang memilukan.
Ketika membaca karya-karya orang lain atau menonton teater mungkin terjadi sentuhan-sentuhan yang memberangsangkan pemikiran. Sajak-sajak juga mendapat cetusan dari cerita-cerita rakyat, legenda, hikayat dan sebagainya. Biasanya karya-karya dan cerita-cerita ini memberi makna kepada isu-isu yang dihadapi masa kini. (hal 90)
Drama, puisi atau novel pengarang dunia seperti William Shakespeare dan Samuel Beckett telah juga member cetusan rasa kepada saya dan beberapa orang pengarang Malaysia. Baris-baris terkenal Shakespeare All the World’s a stage/ men and women are merely players sering terngiang-ngiang dan bergema dalam karya-karya penulis Malaysia. Baris-baris ini telah mencetuskan sajak “Di Atas Pentas Yang Kosong” (Di Sini Tiada Perhentian 1977:8). Sajak ini bernada putus asa seperti kebiasaan sajak-sajak saya yang ditulis pada tahun 70-han. Watak aku di atas pentas memprotes peranannya terpengaruh juga dengan drama ‘Protes’ karya Dinsman.

Saat ini aku seorang pelakon
Di atas pentas yang kosong
Tirai telah lama ditutup
Penonton-penonton telah lama pulang
Sedang aku terus beraksi
Mengulang-ulang baris kegemaranku
“Tuhan, terima kasih tuhan
Oh terima kasih tuhan
Kerana kau telah memberikan segala-galanya
Kecuali sesuatu yang paling kuingini”

Imej manusia dan pentas digunakan lagi ketika berasa sedih di atas pemergian tokoh drama Salim Bachik. Ketika itu saya berada di Universiti Malaya dan beliau memimpin kami dalam SEKAUM (satu kumpulan kesenian Kakitangan Universiti Malaya). Melalui sajak Mengenang Salim Bachik saya juga berdialog dengan kata-kata Shakespeare bahawa dunia adalah sebuah pentas. Manusia adalah pelakon pentas atau pelakon sandiwara. Jadi kehidupan dikaitkan dengan sebuah pementasan atau sandiwara. Saya menambah bahawa sandiwara bukanlah sekadar permainan.

Mengenang Salim Bachik
Hidup ini sandiwara
Tapi sandiwara bukan permainan
Walai a sementara

Pada sebuah pentas kita telah bertemu
Atas izin waktu
Tapi waktu tidak menunggu.

Dunia sebagai sebuah pentas diolah menjadi dunia sebagai sebuah pasar raya dalam sajak “Dunia Sebuah Pasaraya’ (Berita Minggu Oktober 1997)

Thursday, June 24, 2010

25/5/2010 SAYA BERCAKAP DI UKM atas jemputan ATMA bersama Prof Teo dan Ketua bahagian bahasa dbp. . Tak habis2 ttg bahasa kita yang tercedera

INI ANTARA YANG SAYA SEMPAT KATAKAN.
Semasa menghubungi untuk menjemput saya datang ke mari Prof Teo memberitahu yang saya hanya perlu bercakap dan bercerita tentang apa-apa yang relevan dengan topik hari ini.

Jadi saya nak bercerita. Percayalah yang ini bukan cerita rekaan, bukan cerpen. Ini kisah benar – memang sangat kena mengena dengan yang hidup dan yang belum mati. Sekali peristiwa saya ke Angkasapuri untuk rakaman deklamasi sajak. Saya menaiki komuter untuk mengelak kesesakan jalanraya dengan meninggalkan kereta di stesean komuter Shah Alam. Soal mengapa saya ke Angkasapuri itu tidak penting. Selesai kerja, saya pun menunggu komuter di stesen Angkasapuri. Di situ, seorang wanita muda menegur saya. “Mak cik nak ke mana?”. “Shah Alam” jawab saya. Dia Nampak lega “ Ha..mak cik orang Shah Alam. Mak cik tau tak dari stesen komuter Shah Alam, macam mana nak ke Uitm? . Saya jawab “boleh naik teksi . Teksi ada bas pun ada.”

Kami berbual sementara menunggu komuter. Dia nampak gelisah kerana katanya dia takut terlewat untuk menghadiri satu temuduga penting. Dia sedang memohon untuk mengambil ijazah sarjana atau Master dan dipanggil untuk temuduga petang itu. Tanpa berfikir apa-apa, secara spontan saya berkata : kena intebiu ke? saya dulu buat master tak payah pun intebiu. Tak apa nanti sampai di Shah Alam boleh naik kereta saya . Saya tinggal kereta di stesen komuter. Saya boleh hantar ke kampus uitm”

Dia memandang saya. Terserlah keceriaan di wajahnya. Terpancar rasa terima kasih Kemudian dia berkata “oh thank you so much aunti”.

Inilah yang nak saya tunjukkan. Bila dia sedar yang saya pun pergi university sepertinya dan mungkin juga kerana dia sudah tahu yang saya ada kereta dan boleh memandu maka dia terus kata “thank you auntie” . DI SINI sudah berlaku pertukaran kod ( code switching) di sini.

Apakah maknanya semua ini? Maknanya: dari-awal sepanjang perbualan dia memanggil saya mak cik dan bercakap Melayu dengan saya kerana dia sangka saya wanita yang tidak berpelajaran. Bila dia tahu yang saya juga berpelajaran, maka saya bukan lagi mak cik dan tidak sepatutnya disapa di dalam Bahasa Melayu.

Tuan-tuan, demikianlah senario di negara kita lihat hari ini. Sudah menjadi seolah-olah satu pertunjuk : yang bercakap Inggeris itu orang terpelajar dan orang-orang di kelas atas dan yang bercakap Melayu adalah mereka yang tidak berada dalam golongan ini. . Hinggakan bila seseorang pergi berurusan di kaunter-kaunter,( lapangan terbang , bank-bank dan sebagainya) ada yang tidak berani bertanya dalam Bahasa Melayu, takut dianggap tidak berpelajaran dan tidak akan mendapat layanan dari petugas di situ.
Inilah masalah yang kita perbualkan hari ini.
Itulah rasa saya kerisauan kita hari ini iaitu soal imej dan martabat Bahasa Melayu dan soal sikap dan attitude masyarakat terhadap Bahasa Melayu. Kita tidak boleh mengharapkan semua orang pandai bercakap dalam Bahasa Melayu, kerana kepandaian bercakap-itu sendiri bukan ada pada semua orang., Bercakap itu sendiri satu kemahiran satu skill. Kalau seseorang tidak dianugerahi dengan kemahiran bertutur , dia tidak akan pandai bertutur walau di dalam bahasa apa sekalipun. Ini mungkin dipengaruhi oleh factor-faktor fizikal, biologis dan dipengaruhi oleh persekitaran, cara dia dibesarkan dan sebagainya.

Misalnya: Sasterawan Negara A.Samad Said pada zaman mudanya dahulu seorang yang gagap. Dia beritahu dlm intbiu dlm satu majalah yg di aasi masalah ini dn menyanyi,

Saya ada membaca salah satu memoir Gandhi. Dia bercerita bagaimana dia berlari balik setiap hari selepas waktu sekolah kerana takut ditegur dan diajak berbual oleh sesiapa sebab dia rasa malu dia tidak pandai berbual.

Apalagi kalau tak mahu berlatih dan tidak membiasakan diri. Yang kita persoalkan ialah sikap orang kita terhadap bahasa yang telah diumumkan sebagai bahasa rasmi ini, Lihat sahaja di television terutama di dalam rancangan Berita, Bila ada wawancara dengan rakyat biasa, orang kampong, orang-orang miskin, mangsa-mangsa banjir misalnya, bolehlah kita mendengar mereka bercakap di dalam bahasa Melayu. Tetapi kalau yang diwawancara itu orang besar-besar, menteri-menteri jangan harap mereka akan bercakap Melayu.

Semasa saya berkhidmat dengan kerajaan pada tahun2 80han rasanya istilah Bahasa Rasmi atau official language mempunyai makna yag lebih daripada maknanya sekarang ini. Pada waktu itu ada orang mentafsirkan official language bermaksud bahasa yang digunakan di ofis atau pejabat dan adalah menjadi kesalahan jika menggunakan bahasa lain daripada bahasa official ini di pejabat. Saya terkenang rakan sepejabat bernama Lily Goh. Orang Cina tulen. Kalau tak silap dari utara. Dia pernah jadi Naib Presiden PERTAMA iaitu persatuan wartawan wanita Malaysia . Dia langsung tak mahu melayan panggilan telepon kalau pemanggil tidak bercakap Melayu. Satu hari saya sendiri mendengar dia memarahi seseorang di talian (tentu saja si pemanggl bercakap inggeris dengannya dan tak tahu berbahasa Melayu) “ If you dont know how to speak Malay how can you get on the phone and talk to me. U know this is official so you must use official language. .

Jabatan tempat saya dan Puan Lily Goh bertugas itu dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Penerangan yang sama Kementerian dengan RTM. Kami boleh disifatkan sebagai saudara kandung RTM yang tidak glamour. Pada masa itu RTM memang cukup glamour dan cuma ada rtm satu dan RTM dua , belum ada stesen swasta. Salah satu tugas Jabatan Penerangan ialah menerbit buku-buku daan risalah-risalah kempen kerajaan. Atau risalah propaganda . Ini termasuklah risalah yang menerangkan Apa yang boleh dan tak boleh dibuat semasa pilihanraya, pelbagai kempen dan projek kerajaan spt buku hijau, buku merah, jangan menyokong komunis dsbnya.

Biasanya penerbitan-penerbitan ini akan diiklankan di TVI memberitahu orang ramai mereka boleh mendapatkannya di biro-biro penerangan. Risalah-risalah ini turut diterbitkan di dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil. Saya teringat bagaimana kami bertengkar dengan pegawai RTM yang tidak mahu menayangkan risalah-risalah di dalam Bahasa lain daripada bahasa Melayu kerana pada pemahamannya adalah satu kesalahan berbuat demikian. Saya ingat semua pengumuman dan rancangan berbentuk wawancara di TV satu adalah dalam Bahasa Melayu. Seseorang mesti cakap Melayu di TV. Demikianlah amalan pada masa itu.. Rasanya dah berzaman yang lampau kerana apa yang kita lihat hari ini di tv. Kita lihat keadaan adalah berbeza sama skali. Spt yang disentuh tadi semua menteri bercakap bahasa inggeris. Menteri2 bukan melayu pula yang berusaha bercakap melayu.

Hal ini tinggal menjadi nostalgia kepada orang2 seperti saya. Seorang lagi yang selalu sebut hal ini bila bercakap tentang bahasa melayu ialah Tengku Alaudin, ajk gapena yg dulunya pegawai tinggi kerajaan, pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan.

Tidak dinafikan bahawa bercakap Melayu ni memang rumit. Kadang-kadang kita sendiri merasa lebih rumit daripada bercakap dalam bahasa Inggeris. Walaupun dari segi nahu dan tatabahasa nya nampak mudah (dan sebab itu sering dipermudahkan orang). Tetapi dari segi budi bahasa memang rumit dan bertambah rumit jika langsung tidak dipedulikan. Kita ambil contoh kalau bercakap Bahasa Inggeris kita boleh kata I want to see you. Tak ada apa-apaang salah tp dalam bahasa melayu tak boleh sewenang2nya kata saya nak jumpa awak . I want to see you boleh dicakap oleh seorang budak berusia sepuluh tahun kepada orang tua berumur 60 tahun. Tetapi fikirkan betapa kurang ajarnya kalau saya nak jumpa awak diucakapkan oleh budak 10 tahun kepada orang tua 60 tahun .

mengutamakan bahasa melayu tidak bererti tidak mementingkan Bahasa Inggeris atau bahasa apa pun ada kekuatan . Ada perkataan dalam bahasa melayu tak ada persamaannya dalam bahasa inggeris. Anda akan mengalami kesukaran kalau anda menterjemah. Menterjemah puisi misalnya. Satu kata yang sering muncul dalam puisi Melayu ialah ALAM. Nak cari satu perkataan dlm Bahasa Inggeris yang boleh menggantikan alam memang tak dapat. Kata alam memang tak ada persamaannya. Perkataan2 seperti world , universe, nature tak ada makna yang cukup kuat untuk menggantikan alam. Bahkan kata dunia pun tidak cukup untuk digantikan dengan world. Dunia ada maksud yang membawa pengertian bukan akhirat. Perkataan yang mudah seperti bangsa pun sukar dicari terjemahannya. Bila saya menterjemah puisi saya misalnya Kata-kata Terakhir Bendahara Melaka atau The Last Words of The Bendahara of Melaka , kata bangsa itu sendiri tak ada persamaan. Tajam keris raja/menikam ke jantung bangsa. Apa gantiannya, my people, my race..semuanya tak cukup kuat untuk menggambarkan segala sentiment yang ada pada bangsa.

Pimpin tak sama dengan lead. Lead menunjukkan jalan dengan berjalan dahulu di hadapan. Tapi pimpin tidak berjalan di hadapan. Dia berjalan sama dengan memimpin tangan. Bukan saja tunjuk jalan tapi bantu dalam berjalan. Renung pun tak sama dengan stare, gaze. Stare ada unsure mata terbeliak. Gaze pandang lama-lama. . Merenung ada unsur berfikir secara mendalam tentang apa yang dipandang.
Bahasa Inggeris juga ada kekuatan dan kelebihan. Kata i survivor tak dapat dicari dalam bahasa melayu. Apa kata equivalent.
Semasa saya muda-muda dahulu, saya ingat kita takut kalau ejaan kita salah atau percakapan kita tak betul dari segi sebutan, nahu dan sebagainya. Nak cakap Inggeris pun berhati-hati, nak cakap Melayu pun berhati-hati . Tetapi pada masa ini saya dapati anak-anak muda kita akan merasa malu kalau dicap atau diejak sebagai SKEMA. Skema ni maknanya bercakap dengan betul atau buat kerja-kerja lain mengikut peraturan.
Dan tuan-tuan kita sampai kepada masalah atau ancaman semasa.Memang kia menghadapi Ancaman demi ancaman. Sudah sekian lama kita lihat ada pengaruh negative dari drama-drama television. Oleh kerana orang kita tidak mahu digelar skema maka dialog drama pun terpaksa mengikut sama menggunakan percakapan yang tidak betul ni. Jika tidak orang akan kata tak realistik, mana ada orang bercakap macam ni.

Lain halnya di Indonesia, tukang cuci, pelayan hotel pun bercakap dengan bahasa yang betul.

kalau ada drama yang cakap betul ada yng kata tak logik mana adaorangcakap macam tu.

Selepas drama tv kita sekarang berhadapan dengan Ancaman facebook.
Kita telah berhadapan dengan ancaman demi ancaman. Terbaru ialah facebook. Anda yang ada facebook boleh melihat bagaimana anak-anak kita mengeja perkataan yang mereka gunakan. Memang di facebook itu perlu ringkas tetapi ada yang sengaja tidak mengeja dengan betul kerana malu akan dituduh tidak mengikut trend. Dulu kita malu kalau tidak mengeja dengan betul, sekarang sudah terbalik. Ia bermula dengan sms. Memang sms itu mesti ringkas misalnya makan jadi mkn, belum jadi blm. Itu kita faham. Tetapi difacebook kalau ada ruang yang cukup pun anak-anak kita tidak akan mengeja dengan betul. Saya perhatikan hanya di kalangan generasi senior saja menggunakan ejaan yang betul dalam lengkaran kawan2 ada fudzail, ainon muhammad, siti zainon ismail, sri diah. Kita faham kalau hendak tulis status yang panjang-panjang terpaksa diringkaskan kerana tidak menerima lebih daripada 44 character tetapi anak-anak muda kita nak tulis empat perkataan pun tidak mahu mengeja dengan betul. Saya ada buat catatan di sini: aku sedey (untuk aku sedih). nak benti keja (nak berhenti kerja. Nak g opis. Syok giler. Kengkawan (untuk kawan-kawan). Bukan tujuan merengkaskan kalau dah ejaan sedey, giler dsbnya.

Dari segi sebutan juga:
Dalam lagu-lagu aku cinta padamu. Kata kawan saya Allahyarham Zubir Ali yang terlibat di dalam bidang ini. Producer akan marah kalau ada penyanyi menyebut cinta dengan betul. Itu zaman Ahmad Jais.

Soal bahasa melayu tak komersial memang menyedihkan. Pemaju perumahan tentu sahaja memikirkan keuntungan. Kononnya kalau taman perumahan diletakkan nama Melayu ianya tak laku
Kalau kompleks membeli belah itu tidak dinamakan sebagai mid valley, Empire Shoppe, , sunway pyramid, mungkin tak dapat sambutan. Maka pengusaha kedai berusaha mencari nama yang gah di dalam bahasa barat untuk melakukan kedai mereka. Bank juga begitu. Masa dulu kita adalah juga Bank Bumiputera, perwira habib bank yang kemudiannya menjadi perwira affin . saya pernah juga mendengar ada perbincangan takut orang-orang bangsa lain susah nak sebut perwira. Bank pertanian pun menjadi Agro Bank. Kalau MARA Liner TAK NAMA Mara Linear takut orang China tak mau naik bas itu.
Kononnya kalau hendak menarik orang-orang China yang kaya-kaya jangan pakai nama yang berciri keMelayuan. keMelayuan yang disama tarafkan dengan kekampungan atau kekolotan. Mungkin itu juga yang ada di kepala para bijaksana yang membina kota Putrajaya. Nama jalan, nama taman perumahan, nama-nama spt parcel dan precint yang digunakan dengan bangganya di Putra jaya.
Maka kita mesti memanggil lapangan terbang antarabangsa kuala lumpur jadi KLIA, Sistem penerbangan Malaysia (MAS), Maka tahulah orang-orang Melayu bahawa bahasanya tidak komersial. Menyumbang kepada kerendahan jiwa- makin jauh hati rendah diri.
Ini samalah juga dengan menamakan semua taman perumahan di sebelah sana itu sebagai damansara itu dan damansara ini. Buat perumahan di tempat yang asalnya Sungai Buluh dinamakan Kota Damansara, maka harganya tinggi. Lalu tempat yang bernama damansara itu menjadi semakin banyak dan semakin luas sehingga menyusahkan seseorang yang hendak mencari sesuatu tempat di damansara. Dia bertanya “which damansara, why so many damansara.
Memang pelek, setelah penjajah pulang dan kuasa berada di tengan kita (raja Melayu, pemerintah pun bertunjang Melayu) kita masih berjuang untuk memertabatkan Bahasa Melayu .
Hal2 yang saya cakapkan di atas memang bukan baru. Ia sudah diperkatakan, dirungutkan oleh pelbagai persatuan. Baik persatuan penulis seperti gapena, pena, persatuan pendidik bahasa melayu. Bahkan Kementerian pelajaran sendiri memanggil sidang meja bulat entah berapa kali. Memanggil segala orang yang berkenaan..di hotel besar..diberi makan sedap-sedap. akhirnya hadirin yang bulat.
Kita juga bertengkar samaada Bahasa Melayu atau B. Malaysia. Bagi saya kedua pihak ada point di sini. Yang mahu guna B.Malaysia tu berpendapat bhwa istilah Bahasa Malaysia boleh kukuhkan rasa SENSE OF BELONGING semua rakyat Malaysia. Indonesia pun menggunakan Bahasa Indonesia demi penyatuan rakyat. Kalau bahasa tu dikatakan tak komersial maka seluruh orang malaysialah yang patut rasakan bersama.
Kalau seluruh dunia mengenalnya sebagai Bahasa Malaysia , seluruh dunia akan kehairanan mengapa governor Bank Negara Malaysia tidak fasih bertutur dalam Bahasa Melaysia.
Peranan Sasterawan
Kita tidak boleh mengharap kepada orang-orang business. Tujuan mereka ialah mencari keuntungan. Tapi apa yang kita boleh buat untuk tidak membiarkan anak-anak muda terus bercelaru. Kita melihat di depan mata bagaimana facebook sedang membina bahasa pidgin atau bahasa rosak. Masyarakat sedang membina bahasa rojak, pidgin bahasa rosak.
Sasterawan diharapkan memainkan peranan mereka.Martabat suatu bahasa itu bergantung pada pemakaian yang betul dan istilah yang tepat. Kalau bahasa itu hanya digunakan sebagai creole atau pidgin – komunikasi untuk perdagangan dll tidak menaikkan martabat bahasa. Martabat bahasa itu boleh diangkat tinggi apabila bahasa itu menjadi pengantar sastera dan pemikiran falsafah masyarakat, kita melihat keindahan ini di dalam karya-karya sastera melayu.
Kita memiliki khazanah puisi tradisi seperti pantun, syair dan gurindam yang sangat indah tetapi bagaimana kita mengharapkan anak-anak kita mengenal dan menghayati pusaka bangsa kita itu. . Sebab itu masukkan sastera ke sekolah

Monday, May 17, 2010

Sajak ini menggunakan gaya percakapan penyair dengan seseorang. Orang yang dimaksudkan di sini ialah seorang yang pandai bermain seruling. Sekali pandang ia seperti sajak percintaan kerana banyak menggunakan perkataan yang lembut dan romantis.
Are you still playing your flute
Are you still playing your flute
when there is no time for our love
I am feeling guilty
to be longing for your song


Tetapi percakapan yang lembut dan romantis dengan pemain seruling itu hanyalah satu cara atau gaya penyair meluahkan segala yang mengganggu fikirannya. Sajak ini bertemakan kemasyarakatan . Keseluruhannya merupakan luahan rasa penyair tentang keadaan masyarakat di negaranya dan antara bangsa yang penuh kemelut dan kacau bilau.
Penyair mengenang sang pemain seruling. Sebenarnya yang dikenang oleh penyair ialah kampong yang sedang tenat.
Are you still playing your flute
in the village so quiet and deserted
amidst the sick rice field

Dia menceritakan tentang keadaan dirinya yang berada di kota…kota yang sakit sedangkan kampong sudah sunyi kerana ditinggalkan oleh anak-anak muda. Apakah pemain seruling itu masih ada di kampong bermain serulingnya? . Ini juga bermaksud adakah sang pemain seruling masih mempertahankan seni dan tradisinya.

Alat musik seruling dipilih kerana inilah alat muzik yang paling dekat dengan alam. Cuma sebatang buluh dan tidak memerlukan teknologi canggih untuk menciptanya. Jadi semuanya balik kpd alam. Balik kepada keaslian.
the melody concealed in the slim hollow of the bamboo
uncovered by the breath of an artist
composed by his lips
arranged by his fingers
blown by the wind
to the depth of my heart

Penyair merasa bersalah untuk melayan rasa rindu kepada pemain seruling itu. Begitulah rasa bersalahnya dia memikirkan sesuatu yang indah seperti seni . Di kota dia sepatutnya sibuk kerana di situ kehidupan berlalu dengan pantas.
while here it has become a luxury
to spend time watching the rain
gazing at the evening rays
collecting dew drops
or sniffing scented flowers.

Seolah-olah dia memberikan masanya kepada perkara-perkara yang remeh sedangkan kehidupan sedang dilanda oleh masalah yang sangat besar. Masalah-masalah ini dipaparkan dalam bait seterusnya. Pada masa itu ramai yang menganggur. Orang-orang kita berpecah belah kerana politik . Dan di merata dunia spt Bosnia dan Palestin, orang Islam sedang diburu oleh bom-bom ganas.

in the hazard of this city
my younger brothers unemployed and desperate
my people thorn by politic
my Muslim friends slaughtered mercilessly
this world is old and badly injured.

Is this the end of our love?
time is forcing us as artists
not to be ourselves.
Ini bukan masa untuk memberi perhatian kepada seni. Ini adalah masa untuk bekerja keras. Apabila seniman tidak dapat melayani kecintaannya kepada seni maka itu seperti mereka dituntut untuk tidak menjadi seniman lagi

Tuesday, February 16, 2010

Selepas PRU 12 dan pembangkang menunjukkan kekuatan, sebahagian besar rakyat Malaysia merasakan bahawa inilah keadaan yang ideal. Bila dua parti nampak sama kuat, mereka akan berbuat yang terbaik untuk memenangi hati rakyat. Kesudahannya rakyatlah yang akan beruntung.

Adakah pandangan ini benar? Apakah kita beruntung sekarang? Inilah yang menyebabkan saya menulis sajak Si Pakat dan Sang Raksasa.(mingguan malaysia 6.12.09)

Si Pakat dan Sang Raksasa
Pada suatu masa
tersebutlah kisah Si Pakat
berlawan dengan Sang Raksasa
mereka berlawan bersungguh-sungguh
hendak bunuh membunuh

Perlawanan mereka
menarik perhatian seluruh negeri
yang mengikuti setiap hari
bagaikan drama bersiri
kesudahannya siapa akan mati

Ramai pula pengulas pertandingan
memberi ulasan dan ramalan
bijksana berhujjah
berbagai bukti yang terdedah

Berkatalah si cendiakawan
Si Pakat akan menang
kerana Raksasa akan sendirinya terbunuh
oleh lagaknya yang angkuh


Tak kurang pula yang menyurat
tiada masa depan untuk si Pakat
lantaran si Pakat tidak pernah sepakat
mengikut pengulas yang pandai
badannya pasti akan bercerai berai
Si Pakat akan mati berkecai

Kami leka melihat pertarungan yang dahsyat
antara Raksasa dengan si Pakat
berminat pada debat yang hebat
terhibur dengan petah sang penceramah
hingga kami lupa untuk bertanya
jika benar di Pakat akan mati terputus
jika benar Sang Raksasa akan lupus
siapa nanti akan menolong kami
bila sawah kekeringan
dan anak kami kelaparan?

Zurinah Hassan
Shah Alam

Tuesday, February 09, 2010

Dengan penuh harapan saya menunggu kelahiran buku puisi berserta terjemahan (terbitan Institut Terjemahan Negara).

Semua puisi dan terjemahan ke BI adalah hasil kerja saya. Tunggulah apa nak jadi. Hanya berdoa kepada Ilahi.

Di bawah ini adalah salah sebuah sajak yang termuat di sana.
IKLAN TV


Suatu hari pada tahun 1966
ayah membawa pulang
sebuah peti televisyen
kami bersorak riang
lalu sibuk menyusun ruang
untuk memberikan padanya
sudut yang utama


Mulai hari itu
kami mengatur kerja harian
kami melentur kebiasaan
mengikut jadual tayangan


Tetapi sebenarnya
peti itulah yang mengatur acara keluarga
mempertemukan kami
dengan tetamu pelbagai rupa


Dari Kentucky
mereka datang menghidang makanan segera
lalu menakluk selera bangsa


Dari Marlboro Country
mereka menunggang kuda
ke dalam minda anak-anak muda


Dari kota London
kilauan emas pemetik api
menyalakan seribu fantasi
sambil mengusap dada
dengan asap dan jelaga


Dari Paris semestinya
mereka memperagakan kehebatan jenama
lalu memakaikan anak-anak kami
dengan baju ilusi

Ketika kami cuba melindungi putera puteri
di dalam pagar kesantunan
mereka menjerit "breakaway"
lupakan segala batasan


Kadang-kadang kami marah
kerana terlalu banyak iklan
memecah keasyikan
perlahan-lahan kami fahami juga
kuasanya mencorakkan rancangan
dan menyusun jadual tayangan
yang kemudian mempengaruhi
agenda kehidupan.



Biasanya kami leka
ketika wajah negara
dan watak bangsa
diadun oleh tangan sang penaja


TV commercials

One day in 1966
My father brought home
A television set
How we cheered with joy
Immediately rearranged our space
To give it
A prominent place

That day was the beginning
Of our daily routine
Following the program summary
And setting our time accordingly

In fact the box has come to control
The timetable of our household
Bringing to us guests
From all over the world

From Kentucky
They serve food in an instant
Conquering the taste bud of our nation

From Marlboro country
The horses gallop
Into the minds of our young ones


From London city
The gold lighter
Sparks off a thousand fantasies
Filling our chests
With fog and smoke

Form Paris for certain
The parade of brands and fashion
Dress up our children
With clothes of illusions

While we protect our boys and girls
With ethics and morals
They shouted ‘breakaway’
Lets break all the rules

Sometimes we are annoyed
By too much interruptions
disrupting our concentration
But we come to understand
The sponsors right
To schedule our viewing
And we come to compromise
As it dictates our live

More often we are carried away
While the characters of our people
And the landscape of our land
Being shaped by advertisers’ hand

Monday, February 08, 2010

Apabila dunia hanyalah sementara
Semua manusia adalah pengembara

Apabila dunia hanya pinjaman
Tidak terjamin kekal berzaman

Apabila hidup tidak beriman
Sesatlah kita tanpa pedoman

Apabila kita di jalan pulang
Jaga bahtera menempuh gelombang

Apabila bahtera dibiar hanyut
Karam tenggelam di tengah laut

Apabila tiada iman yang teguh
Ibarat berjalan tidak bersuluh

Apabila tidak cukup bekalan
Bahtera tidak sampai pengkalan

Apabila sempurna amal ibadat
Di negeri akhirat beroleh syafaat



Iman dan akal jadi kemudi
Selamat lah pulang ke negeri abadi

Pelihara diri dari maksiat
Beroleh lindungan di negeri akhirat

Hidup berpandu iman dan akal
Beruntunglah kita di negeri yang kekal

Apabila hidup bersuluhkan akal
Beruntunglah kita di negeri yang kekal

Saturday, January 30, 2010



Hari ini saya ingin mengabadikan di sini gambar-gambar dari peristiwa menyambung silaturrahim. Dalam bulan lepas kami menerima kunjungan sekeluarga dari Terengganu, sepasang suami isteri yang mesra bersama empat orang anak lelaki. Suami isteri itu tinggal sehotel dengan suami semasa mengerjakan haji di Mekah pada tahun 2008.Mereka mempunyai anak yang ramai tak silap saya 13 orang. Dan 24 orang cucu. Saya kagum dengan puan hajjah itu. Bukan senang membesarkan anak yang begitu ramai. TAHNIAH HAJJAH. Saya lebih kagum dengan anak-anak lelakinya yang turut mengiringi ibu bapa berkunjung ke rumah kami. Bukan senang mencari anak-anak muda yang mahu mendampingi ibu bapa ikut berjalan-jalan ke sana ke mari. Ya tak?. Sesapa yang mengenali mereka boleh komen di sini. Atau kalau ada di antara mereka yang membaca blog ini jgn lupa tinggalkan sedikit pesan.

Saturday, January 16, 2010

Berikut adalah kertaskerja iringan yang saya tulis utk seminar di atas pada tahun lepas. Saya abadikan di sini.

WAJAH KEPENGARANGAN PENYAIR MELAYU/MUSLIMAH

Zurinah Hassan (MALAYSIA)

Kertas ini memperkatakan karya dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah di
Malaysia. Penyair wanita Melayu (seperti sasterawan-sasterawan Melayu yang lain) dilahirkan oleh pemikiran yang dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Agak ramai yang memberi pendapat sedemikian antaranya Hashim Awang yang telah membina Teori Pengkaedahan Melayu.

”Kewujudan bangsa dan masyarakat Melayu yang beragama Islam
sebagai warga dunia, tidak dapat terpisah untuk turut memberikan pengaruh besar dalam pembentukan kesusasteraan dan seterusnya dalam pembentukan Teori Pengkaedahan Melayu ini.
(Hashim Awang: 2002:10)


Apakah ukuran yang kita gunakan bagi mengatakan sesebuah puisi itu
berunsur keIslaman? Apa ciri-ciri puisi yang berunsur keIslaman

Sebagai karya seni keunggulan sebuah puisi adalah adunan
1. Isi yang meliputi pemikiran, sudut pandangan, mesej dsbnya
2. Teknik berpuisi/cara pengucapan/gaya penyampaian.






Keduan perkara di atas iaitu Isi dan Teknik boleh diterjemahkan sebagai Niat dan Cara.
1. Isi yang meliputi pemikiran, sudut pandangan, mesej dsbnya
Sasterawan Muslim/Muslimah menulis dengan kesedaran akan peranan dan
erti kewujudan mereka dan dengan kesedaran tanggungjawab dan peranan sebagai khalifah sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah. Mereka mementingkan unsur dakwah. Dakwah menurut definisi Kamus Dewan ialah kegiatan menyeru dan membimbing, mendidik serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran
agama yang sebenarnya. (Kamus Dewan,EdisiBaru.1994:244)


Perkataan “dakwah” adalah dari bahasa Arab, kata dasarnya Da’a bererti mengajak, Du’a bermaksud seruan, Da’wah bermaksud panggilan, dan Da’i merujuk kepada pendakwah (Abdul Rauf Dato’Haji Hassan, 2005:140). Dakwah pada pandangan agama ialah ajakan yang ditujukan kepada manusia oleh Allah dan para rasul-Nya, supaya percaya dan yakin kepada agama yang sebenar, iaitu agama Islam. Dakwah ialah kegiatan menyeru manusia mengikut jalan Allah bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kata

Ajaran agama Islam meliputi segala aspek kehidupan manusia termasuk
kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya. Di dalam Islam, setiap perbuatan yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan kepada orang lain adalah suatu ibadat yang akan diberi ganjaran di akhirat kelak. Amal ibadat di dalam Islam merangkumi ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan ibadat umum, iaitu segala perbuatan yang memberi kebaikan kepada masyarakat dan diri sendiri. Dasar dan pelaksanaannya meliputi semua bidang kegiatan hidup dengan tujuan untuk menghidupkan semua aspek daya kekuatan manusia yang dibekalkan dengan akal fikiran.

Allah menuntut manusia berdakwah melalui ayat yang bermaksud, “ Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman” (Surah Adz-Dzaariyat: 55).


Teknik berpuisi/cara pengucapan/gaya penyampaian.

Gaya Penyampaian merujuk kepada penggunaan perkataan/bahasa di dalam puisi. Penyair memilih perkataan yang terbaik untuk menyampaikan makna dan membangkitkan suasana supaya apa yang terkandung di dalam perkara Isi/mesej/pemikiran di atas dapat dihayati.

Gaya penyampaian mencerminkan wajah kepengarangan Muslimah. Terpenting ialah penggunaan Perlambangan daripada unsur alam yang menunjukkan pegangan bahawa setiap objek mengandungi erti yang menunjukkan kepada ciptaan Allah iaitu tanda2 Allah atau ayatullah . Setiap objek alam adalah ciptaan Allah yang penuh dengan unsur-unsur kekaguman dan kemisterian yang telah membuka minda penyair untuk berfikir dan mentafsir.

Penggunaan lambang atau metafora adalah unsur penting di dalam sesebuah puisi. Malah penggunaan perlambangan yang disebut misal perbandingan, amthal, juga adalah cara yang digunakan oleh Al-Quran. Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi perlambangan seperti yang dijelaskan dengan ayat yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah Az-zumar: 27.) Alam memberi kesedaran dan pengajaran tentang makna kehidupan dan kebesaran Tuhan.

Allah s.w.t. berfirman tentang penggunaan lambang dan metafora:
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka“. (Surah Al-Baqarah: 26)


Daripada pandangan Islam, seluruh alam adalah tanda kebesaran Tuhan. Manusia hendaklah merenung dan mengambil iktibar kerana segalanya mengandungi makna dan memberi pengertian terhadap kehidupan yang dilalui. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang keajaiban kejadian alam yang menjadi tanda kekuasaan Ilahi, misalnya terdapat ayat:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada dilangit dan di bumi. Dalam pada itu segala tanda dan bukti” (Surah Yunus ayat 101).


Ayat di atas membuktikan dengan jelas bahawa alam adalah penuh dengan tanda. Manusia disuruh perhatikan dan fikirkan. Kata “Perhati” tidak hanya bermaksud melihat tetapi melibatkan “hati” yang boleh ditafsirkan sebagai melihat dengan matahati; menggunakan akal dan gerak hati untuk mentafsir dan mencari makna.

Imam Ghazali telah mengulas tentang lambang dan perlambangan di dalam kitabnya Misykaatul-Anwaar. Beliau menjelaskan bahawa objek-objek alam fizikal ini adalah perantaraan bagi mengenal alam yang lebih tinggi atau alam malakut, kerana setiap sesuatu di alam ini adalah misal bagi keadaan alam malakut. Al-Ghazali menulis, “Alam jasadi inilah yang merupakan sebagai tangga untuk manusia memuncak ke Alam Aqli’ dan tidak ada satu pun di alam ini melainkan kesemuanya menjadi misal bagi keadaannya alam malakut” (Imam Ghazali, terjemahan H. Rus’an, 1983:41)

Perlambangan yang digunakan memperlihatkan pengaruh Al-Quran dan tulisan tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sikap terhadap alam juga bersesuaian dengan pemikiran masyarakat Melayu yang mengunjurkan setiap anggotanya supaya sentiasa belajar dengan cara merenung dan berfikir tentang alam di sekelilingnya. Seluruh alam adalah tempat berguru sepertimana di dalam ungkapan pepatah Minangkabau yang termasyhur: Alam terkembang jadikan guru.
Penyair Muslimah melihat penulisan puisi atau proses kreatif sebagai proses pencarian makna kewujudan atau bermuhasabah. Penelitian ini didasarkan kepada sajak-sajak berikut ( Sajak-sajak lain mungkin disentuh sebagai perbandingan dan kupasan)


1. Ilmu”, Mahaya Mohd.Yassin, Suara Hati, 1993:85
2. Khabar Apa Yang Kau Bawa Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi,1999:14
3. “Kebebasan”, Zaihasra, Bahasa Alam, 1983:87

“Ilmu”

Yang kau semaikan ke jantungku
sebatang pohon ilmu
akar iman
daun amal
bunga sopan
buah jasa.

Yang kau pinta padaku
sirami ia serela sabar
haruman syurga
belailah selunak pujukan
sewangi doa
dibajai sehangat upaya
semarak kuasa

(Suara Hati, 1993:85)


Mesej /pemikiran/ Sudut pandangan.

Puisi “Ilmu” menyatakan perihal keunggulan dan kemuliaan ilmu. Manusia perlu berilmu, beriman, melakukan amal yang baik, bersifat dengan sifat kesopanan dan berbuat jasa kepada semua. Sifat-sifat ini perlu dpupuk agar sentiasa subur dan dapat memberi manfaat di dunia dan akhirat.
Penyair menyebut bahawa dia dinasihati supaya berusaha menyiram pohon seperti yang terperi pada baris “Yang kau pinta padaku/ sirami ia serela sabar.” Hal ini dengan jelas memperlihatkan keutamaan sifat tekun dan sabar untuk terus berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu yang lebih baik Usaha ini dapat ditafsirkan sebagai berusaha mendapatkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ungkapan yang merujuk kepada akhirat ialah haruman syurga. Usaha disertai dengan doa (sewangi doa) menepati ajaran Islam agar sentiasa berharap, memohon dan tidak berputus asa dari nikmat Allah.
Dalam puisi ini penyair menghargai nasihat seseorang agar berusaha sirami ia serela sabar/ belailah selunak pujukan. Penyair memberi penekanan kepada amalan nasihat dan menasihati. Menasihati seseorang ke arah kebaikan bermakna mengambil berat akan kebajikan sesama insan dan kebajikan masyarakat seluruhnya, memupuk rasa kasih sayang di kalangan anggota masyarakat atau ummah, di samping menjadi penanda kepada rasa pengabdian dan ketaatan kepada Allah.

Puisi ini juga mengutarakan kepentingan kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkannya.menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu, iaitu amalan yang dituntut oleh Islam. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).

Hal ini merupakan satu aspek dakwah Di dalam Islam, Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah al-Mujadalah, ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta (dakwat) dan pena. Menggunakan dakwat bererti menurunkan atau menyebar ilmu di dalam bentuk tulisan. Seorang yang berilmu yang menulis untuk menyebarkan ilmunya akan mendapat sebesar-besar ganjaran di sisi Tuhan. Begitu juga para pengarang yang menggunakan kalam dan dakwat. Hal ini ditegaskan melalui ayat yang bermaksud: “Dakwat ulama yang bertakwa akan ditimbang oleh neraca baik dan kebajikan dengan darah para syuhadah, tetapi yang lebih berat ialah timbangan dakwat ulama” (Surah al-Baqarah, ayat 23-24). Setiap umat Islam seharusnya mencintai ilmu pengetahuan. Oleh kerana itu umat Islam diajar untuk berdoa: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku” (Surah Taha, ayat 114).

Al-Quran mengajar kaum sasterawan supaya menuntut ilmu. Para sasterawan mestilah memantapkan penulisan mereka dengan ilmu pengetahuan dan penyelidikan. Mereka dilarang menulis segala yang tidak bersandarkan kepada fakta sebagaimana maksud ayat: “Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja.” (Surah adz-Dzaariyat ayat 10)

Penyair juga menceritakan tentang hubungan baiknya dengan seseorang yang telah berjasa menyemaikan ke jantungku sebatang pohon ilmu. Orang yang berkenaan juga telah meminta agar penyair sirami ia serela sabar. Dengan ini puisi ini memperlihatkan hubungan antara manusia sesama manusia (hablumminannas) dan manusia dengan hubungan yang berlaku antara manusia sebagai makhluk dengan Tuhan sebagai al-Khalik (Hablumminnallah). Kedua hubungan ini amat perlu dijaga bagi menjalani kehidupan yang sempurna. Mesej ini menepati sifat sastera Melayu yang menjalankan fungsi sebagai wadah untuk menyebarkan nasihat dan pengajaran bagi mempertingkatkan nilai ketakwaan. Ia merupakan hasil sastera yang menjurus kepada pustaka atau perpustakaan yang darinya ditimba pelbagai pengetahuan dan pengajaran. Penciptaannya adalah bersifat didaktik, iaitu bentuk sastera yang tercipta untuk tujuan-tujuan memberikan kebajikan kepada manusia

• Gaya Pengucapan

Puisi ini menggunakan perlambangan alam, iaitu berladang dan menanam pokok untuk menghuraikan kebaikan menuntut ilmu. Aspek ini mengingatkan kepada ayat yang bermaksud “Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah-indah dipandang mata, untuk menjadi pengajaran bagi tiap hamba yang kembali (mengingati) Allah” (Surah Qaaf, ayat 7-8).
Penyair menggambarkan rupa bentuk pohon dengan bunga yang cantik dan daun yang rimbun. Bunga yang cantik menghias alam, boleh ditafsirkan sebagai kesopanan dan budi pekerti yang memperindah peribadi seseorang, khasnya seorang Muslimah. Keindahan budi pekerti adalah ciri-ciri yang menepati nilai-nilai seni dan etika yang dikehendaki oleh Islam.

Tanda-tanda ini ditafsirkan sebagai ilmu yang memberi faedah kepada manusia. Penggunaan pohon sebagai penanda kepada ilmu yang bermanfaat adalah selaras dengan simbol atau misal perbandingan di dalam Al-Quran yang menyebut bahawa: “Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya” (Surah Ibrahim, ayat 24-25).

Perlambangan ini juga dapat ditemui dalam tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sebagai contoh, dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di Madrasah al-Ma’murah, 14 Rejab 545 H. Beliau menyeru umat Islam supaya “berladang” dengan penuh keikhlasan. Menurut beliau hanya orang yang berusaha dan berladang dengan keikhlasan sahaja akan diberkati dengan hasil yang baik. Beliau juga mengibaratkan hati yang keras sebagai tanah yang tandus dan gersang yang tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan:
“Tanamilah kawasan ladangmu itu dengan hati dan jasadmu, iaitu keimanan. Kemudian hendaklah engkau olah dengan sempurna dan menyiraminya dengan amal kebaikan. Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan”
(Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).






Rujukan ‘misal perbandingan’ tumbuh-tumbuhan di dalam Al-Quran

Al-Quran menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan sebagai perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Contohnya:
 Antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

 Bagi menyatakan tentang pahala orang yang membelanjakan harta di jalan Allah, terdapat ayat yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatkan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”
(Surah al-Baqarah, ayat 261).

 Allah SWT menghidupkan manusia daripada tiada kepada ada. Allah SWT berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Maka kejadian ini dibandingkan atau disamakan dengan menumbuhkan benih tumbuhan: ”Sesungguhnya Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup”
(Surah al-An’aam, ayat 95).
 Allah SWT menerangkan tentang ilmu yang dimiliki-Nya dan kesempurnaan pentadbiran-Nya pada ayat: “Percambahan sebiji benih buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah”
(Surah Fussilat, ayat 47).
 Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya. Dan Kami jadikan daripadanya kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya mata air. Agar mereka makan dari buahnya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka berterima kasih?”
(Surah Yaasiin, ayat 33-35).
 Orang yang tidak mensyukuri rahmat Allah ditegur dengan ayat: “Masihkah mereka berdegil dan tidak memerhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?”
(Surah asy-Syu’ara, ayat 7).

 Menanam pokok atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad Qodirun Nur (2004:35).



‘Kebebasan” oleh Zaihasra:


Aku dewasa dari kegelisahan hidup
Bagai camar bebas di lautan
Perjalanan adalah ilmu
Yang bertapak dan mengisi makna
Ketangkasan angin raksasa
Meski tak terlawan oleh tangan kecilku
Tetapi sebuah jiwa yang bangkit
Dapat menolak sebaiknya

Kekinian kini jadi ingatan
Pada keterasingan hidup
Dan seberkas cahaya dari langit
Yang memasuki tahun-tahun mimpiku yang lembut
Membuat aku berani menentang setiap kedegilan
Meski bergoncang jua kesetiaan
Namun keharuman mawar malam
Masih setia
Di kesanggupan janji

(Bahasa Alam, 1983:87)







Isi, mesej, pemikiran

Di dalam puisi “Kebebasan”, penyair memperkatakan tentang kehidupan yang telah dilaluinya. Dia telah menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran yang yang diungkapkan sebagai ketangkasan angin raksasa. Namun penyair telah berjaya menghadapi segalanya. Dia menganggap segala yang dilalui sebagai pengalaman berguna yang memberi pengajaran. Segala pengalaman mengajarnya menjadi manusia yang lebih tabah dan meningkatkan ketakwaan terhadap Allah.

Burung yang menjadi simbol di dalam puisi “Kebebasan” ialah burung camar iaitu burung laut yang mampu terbang untuk tempoh masa yang lama. Camar ditafsirkan sebagai diri penyair dan seterusnya setiap insan di bumi ini. Penerbangan camar melintasi ombak laut dijadikan misalan tentang betapa jauh dan sukarnya jalan yang ditempuhinya. Penyair mengenang perjalanan hidupnya. Ini bererti camar dan laut adalah unsur alam yang telah memberikan pengalaman yang dapat dimanfaatkan. Camar dan laut adalah unsur alam yang meningkatkan nilai keimananannya terhadap Allah SWT. Dia mengambil iktibar dari camar yang terbang melintasi lautan. Segala cabaran yang ditempuhi telah mendewasakan atau mematangkan fikirannya. Demikianlah yang terdapat di dalam baris dewasa dari kegelisahan hidup/ bagai camar bebas di lautan. Hidup bagi penyair adalah satu perjalanan dan perjalanan telah memberi pelbagai pengajaran seperti katanya, perjalanan adalah ilmu/ yang bertapak dan mengisi makna.

Penyair memerhati burung camar terbang dan mengambil iktibar danipada perjalanan burung camar itu. Penyair mengajak manusia supaya mengambil pengajaran dari alam termasuk dari burung yang terbang. Puisi ini memperlihatkan bahawa yang paling utama ialah nilai ketabahan untuk menghadapi pelbagai rintangan.

Dengan mengatakan tak terlawan oleh tangan kecilku, penyair membuat pengakuan tentang kelemahan dirinya (dan manusia lain) dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di dalam hidup. Menyedari kelemahan diri bererti bersifat tawaduk, iaitu merendah diri, tidak berbangga terhadap kelebihan yang ada pada diri sendiri, jauh sekali dari takbur atau berperasaan meninggi diri. Namun begitu, segala yang berlaku telah menjadikannya insan yang lebih tabah seperti yang dimaksudkan oleh baris, sebuah jiwa yang bangkit/ dapat menolak sebaiknya.

Penyair berpegang kepada dasar kepercayaan bahawa Allah adalah penentu segala-galanya. Oleh itu manusia wajib berserah kepada Allah. Dengan keyakinan ini dia menjadi lebih tabah dan berani untuk menghadapi pelbagai rintangan kerana tidak ada sesuatu bahaya yang akan menimpa melainkan Allah mengizinkannya terjadi. Inilah yang dimaksud Allah dengan firman-Nya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), tiada satupun yang mungkin menimpa kami, selain daripada apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, (dan dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah orang yang beriman bertawakal.”
(Surah at-Taubah, ayat 51)


Sikap Muslimah adalah jelas dengan bertawakal dan tidak mudah berputus asa, tetapi sebaliknya lebih cekal untuk berusaha. Pengakuan akan kekuasaan takdir Tuhan ini memelihara hatinya daripada rasa kecewa dan putus asa serta menimbulkan rasa sabar dalam menanggung segala kepahitan dan kesakitan yang dialami dalam kehidupan.
Ketabahan itu membuahkan hasil dengan memperolehi cahaya atau nur dari Ilahi, “seberkas cahaya dari langit” adalah kurniaan yang paling besar kepada insan yang sabar. wadah memberi pengajaran dan peringatan.

Gaya Pengucapan/ Perlambangan- Pengaruh Al-Quran

Penyair menggunakan burung sebagai perlambagan. Al-Quran juga menyebut tentang burung yang dapat terbang bebas di angkasa. Ia adalah sebahagian daripada sebagai objek alam fizikal yang menjadi petunjuk kepada kekuasaan Allah. Allah menyeru manusia supaya memerhati dan mengambil iktibar dari burung yang terbang. Ia adalah juga peringatan bahawa tiap sesuatu tidak dijadikan dengan sia-sia tetapi untuk memberi pengajaran. Justeru, manusia sepatutnya memerhatikan kewujudan haiwan itu. Allah swt menyebut tentang burung secara khas di dalam ayat yang bermaksud:
“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan burungburung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya. Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
(Surah Al-Mulk, ayat 19).

Ayat ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat suci Al-Quran yang menjelaskan sifat kasih sayang Allah terhadap makhluk yang dicipta-Nya. Seekor burung yang dilengkapkan dengan sayap yang membolehkannya terbang di angkasa adalah bukti kesempurnaan ciptaan Allah. Burung yang dapat mengimbangi sayapnya di udara adalah bukti bahawa Allah mencipta segalanya dengan tepat ukuran dan imbangan. Burung yang dapat terbang tinggi dan tidak jatuh ke tanah memberi iktibar kepada manusia agar bertawakal kerana tidak ada apa yang akan berlaku melainkan jika telah ditetapkan oleh Allah. Segala kejadian yang dapat diperhatikan oleh manusia itu adalah lapisan zahir yang mengandungi makna yang lebih mendalam dan memberi pengajaran kepada manusia.
”Khabar Apa Yang Kau Bawa”

Khabar apa yang kau bawa
Serangga yang melata
Bersama tugasmu yang besar
Ceritakan padaku kisah tanah dan rumput
Yang kau kenali dari dahulu
Banyak yang aku tidak tahu
Khabar apa yang kau bawa
Unggas yang berterbangan
Bersama tugasmu yang berat
Kisahkan padaku perihal bayu
Seiring denganmu sejak dahulu
Banyak yang aku tidak tahu

Biarpun bukan yang pertama
Kami sering mencari makna
Memberi dan menerima
Melihatmu, aku mentafsir diri
Sejauh makna terlaksana
Janji sejak azali

Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi, 1999:14

Di dalam puisi ini penyair memerhati seekor serangga dan bertanya tentang khabar apa yang dibawanya. Melihat kepada serangga yang kecil, penyair seringkali menyedari kelemahan manusia sebagai makhluk Allah. Ia adalah perbandingan yang tepat dengan kedudukan insan yang amat kerdil di dalam alam Allah yang maha luas. Dengan kekerdilan ini penyair sedar bahawa setiap manusia harus belajar dari alam di sekelilingnya. Hal ini juga membawa maksud manusia hanya mempunyai sedikit ilmu dan tenaga.
Walaupun kecil, serangga dikatakan mempunyai tugas yang berat. Kewujudan dan tanggungjawab ini membawa siratan maksud hakikat kewujudan manusia sebagai makhluk yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah SWT. Seperti serangga, manusia juga mempunyai peranan dan tanggungjawab, iaitu sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah.
Puisi ini dimulakan dengan pertanyaan ’khabar apa yang kau bawa’. Dengan bertanya, bermulalah satu langkah atau ikhtiar untuk mencari jawapan atau untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Pertanyaan ini memperlihatkan adanya proses belajar dan menuntut ilmu. Perbuatan ini memenuhi kehendak Islam yang memberi penekanan kepada kelebihan ilmu. Mereka yang berilmu akan bertambah ilmunya disebabkan ia tidak merasa malu untuk bertanya ataupun mengambil faedah dari orang lain, walaupun orang itu lebih rendah kedudukan daripada dirinya. Tiap-tiap sesuatu adalah berguna dan dapat dijadikan pengajaran atau iktibar. Setiap sesuatu yang dicipta adalah tidak sia-sia, sepertimana dimaksudkan oleh ayat Al-Quran: “Dan ingatlah tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main” (Surah al-Anbiyaa, ayat 16).

Tugas berat yang dipikul memperlihatkan betapa serangga, walaupun kecil, mempunyai kekuatan yang tersendiri dan mempunyai makna tersirat kewujudan insan dan kekuatan yang diberikan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya. Setiap orang mempunyai peranan masing-masing seperti serangga, walaupun kecil menjadi sumber ilmu yang berguna, lalu penyair bertanya khabar apa yang kau bawa dan meminta ceritakan padaku kisah tanah dan rumput/ yang kau kenali dari dahulu. Penyair juga membuat pengakuan banyak yang aku tidak tahu Kehadiran serangga juga membuat penyair mentafsir diri.

Baris-baris puisi yang dipetik di atas memperlihatkan bahawa penyair mengusulkan supaya mempelajari dan mengambil iktibar daripada apa yang telah dilalui oleh umat-umat terdahulu. Mengambil iktibar daripada kisah-kisah lalu adalah ajaran penting dari Al-Quran. Al-Quran juga telah membentangkan kisah-kisah dan riwayat para nabi dan umat yang terdahulu untuk menjadi pertunjuk dan iktibar. Perkara ini diperjelaskan di dalam ayat yang bermaksud: “Akan kami ceritakan kepadamu di dalam Al-Quran yang kami wahyukan dengan sebaik-baik cerita”
(Surah Yusuf, ayat 3).

Di dalam puisi ini, serangga digambarkan sebagai pengembara yang mengutip kisah-kisah, juga mengambil iktibar daripada apa yang dilalui di dalam pengembaraannya. Gambaran demikian dapat diselaraskan dengan ayat Al-Quran yang meletakkan kepentingan terhadap pengembaraan kerana dengan mengembara manusia dapat melihat kesan-kesan sejarah khasnya yang boleh dijadikan pengajaran. Al-Quran menggesa manusia supaya mengembara melalui ayat yang bermaksud:
“Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan) kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”
(Surah ar-Ruum, ayat 42).

Melihat serangga, penyair mencari makna dan bermuhasabah, atau mentafsir diri. Penyair mempersoalkan setakat mana manusia telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebelum diturunkan ke alam syahadah:
Melihatmu, aku mentafsir diri
Sejauh makna terlaksana
Janji sejak azali.

Janji yang dimaksudkan oleh penyair ialah perjanjian dan pengakuan manusia untuk memikul amanah sebagai khalifah Allah. Ketika Allah menawarkan amanah tersebut kepada langit, bumi, dan bukit, semuanya telah enggan menerima melainkan manusia sahaja yang telah sanggup menerimanya. Hal ini telah diterangkan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud: ”Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan bukit, tetapi mereka semuanya enggan menanggung dan takut darinya dan manusia menerimanya. Sesungguhnya ia adalah zalim lagi jahil” (Surah al-Ahzab, ayat 72).

Setiap amanah yang dipikul akan dipersoalkan pada Hari Pembalasan seperti maksud ayat:
“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”
(Surah al-An’aam, ayat 38)


Dengan memerhatikan serangga penyair menjadikan setiap kejadian alam sebagai sumber untuk mempertingkat nilai ketakwaan terhadap Allah SWT. Penyair memasukkan unsur-unsur dakwah,menjadikan sastera sebagai wadah untuk menyampaikan persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian kekuasaan Allah.

Kepentingan serangga dan haiwan pada keseluruhannya juga dilihat daripada penggunaan nama haiwan sebagai judul surah-surah dalam Al-Quran. Terdapat tujuh surah yang diberi judul dengan nama haiwan, iaitu Surah-2, al-Baqarah (sapi betina), Surah-6, al-An’am (binatang ternak), Surah-16, al-Nahl (lebah), Surah-27; al-Naml (semut), Surah-29; al-Ankabut (labah-labah), Surah-98, al-Aadiyaat (kuda perang) dan Surah-103, al-Fil (gajah).

Kekecilan serangga membukti kesempurnaan ciptaan Allah. Imam al-Ghazali telah memberi penekanan kepada hakikat ini. Beliau menulis yang bermaksud: “Perhatikan nyamuk, bagaimana Allah mencipta bahagian-bahagian tubuh dan sendi-sendinya dengan lengkap sepertimana Tuhan mencipta apa yang ada pada seekor gajah” (Muhammad Abul Quasem,(penterjemah),1977:68) Ini membuktikan kekuasaan Allah yang mencipta tiap sesuatu dengan mempunyai imbangan dan ukurannya seperti yang dijelaskan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Dia yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, tiada mengambil anak, tiada mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya (kekuasaan-Nya) menciptakan segala sesuatu, lalu dibuatkanNya ukurannya.”
(Surah al-Furqan, ayat 2)

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya) pada hal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”
(Surah al-Ankabut, {perihal labah-labah} ayat 41)




Puisi-puisi yang dianalisis seterusnya juga mencerminkan kepengarangan/kreativiti penyair Melayu/Muslimah yang membuktikan bahawa pemikiran dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah adalah dibentuk oleh alam dan dipengaruhi oleh agama Islam.
“ Di Kepakmu Ada Lukisan”
Akan kujadikan kau sahabat
Di kepakmu ada lukisan
Yang sukar kutafsirkan
Membuat aku semakin ingin menghampirimu
Semakin ingin tahu warna-warna kehidupan
Yang kau simpan dalam perjalanan
Mungkin jawapan persoalan
Mencari kesempurnaan
(Siti Zaleha M.Hashim ,Camar di Cangkir Bumi, 1999:28)
.
Sesetengah serangga mempunyai kepak yang cantik dan berwarna-warni. Serangga yang berwarna-warni ini menarik perhatian Siti Zaleha M.Hashim yang menganggap kepak serangga sebagai sebuah lukisan yang indah. Kepak serangga yang kecil tetapi mempunyai corak dan warna yang indah membuktikan kesempurnaan dan keajaiban yang ada pada ciptaan Tuhan.

Melalui ungkapan ”akan kujadikan kau sahabat” Hasrat ini membawa pengertian keinginan untuk berbaik-baik dengan alam dan makhluk Allah. Penyair telah berinteraksi dan berintegrasi dengan serangga yang dianggap mempunyai kedudukan yang sama sepertinya sebagai makhluk Allah. Anggapan ini adalah selaras dengan pengajaran yang diberikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: ”Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu” (Surah al-An’aam, ayat 38).

Penyair memperkatakan tentang ketakjuban yang terkumpul pada kepak haiwan yang kecil itu yang merupakan ciptaan Allah yang penuh dengan unsur-unsur kekaguman dan kemisterian yang telah membuka mindanya untuk berfikir dan mentafsir. Lukisan atau corak pada kepaknya mengingatkan kepada peta yang menunjukkan arah kepada makna tertentu. Dalam pengertian yang lebih luas, seluruh alam adalah umpama sebuah buku yang perlu ditelaah untuk mendekati Allah. Mendekatkan diri dengan haiwan tersebut adalah mendekatkan diri dengan alam dan seterusnya mendekatkan diri dengan pencipta alam, iaitu Allah SWT. Penyair yakin bahawa dengan mendekati serangga itu akan dapat memberikannya pengetahuan untuk lebih memahami kehidupan demi membina kehidupan yang lebih sempurna. Hal ini jelas pada baris:
yang kau simpan dalam perjalanan
mungkin jawapan persoalan
mencari kesempurnaan.

Mempelajari kisah-kisah lalu dan mengambil iktibar dari pengalaman makhluk-makhluk lain adalah selaras dengan ajaran Islam. Hal ini juga selaras dengan peranan sastera sebagai bahan pengajaran dan pengiktibaran seperti yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu. Penyair mengemukakan pesanan agar manusia sentiasa memerhati alam sekeliling kerana Allah tidak menjadikan setiap sesuatu dengan sia-sia. Seluruh ciptaan Allah mengandungi pengajaran atau jawapan untuk pelbagai persoalan.

Dalam puisi ”Di kepakmu Ada Lukisan”, penyair amat tertarik pada keindahan yang terdapat pada kepak serangga yang kecil. Hal ini menyedarkan penyair tentang keajaiban kejadian alam ciptaan Allah SWT. Dengan memerhatikan serangga yang kecil, penyair menyedari bahawa perkara-perkara yang kecil juga penting dan perlu diberikan perhatian kerana ia adalah tanda-tanda bahawa Allah menjadikan setiap sesuatu dengan berimbang.

Sebuah lagi puisi yang menggunakan rama-rama ialah “Bagai Rerama” oleh Mahaya Mohd. Yassin.
“Bagai Rerama”

Seorang perempuan tua
Diselubungi bebayang menara
Titis air matanya meresap ke perut bumi
Gementar silau bintang embun tidak terjejak
Luluh harapan demi harapan
Diungu igauan dan jejak kerana kasih
Bagai rerama ketagih madu
Dalam penjara membisu

Seorang perempuan tua
diliputi bebayang kubah
doanya melimpah
menyerap ke tangkai hati
sendiri-sendiri.

(Mustika Diri, 1994:553)


Rama-rama dalam puisi ”Bagai Rerama” membawa makna tersirat, iaitu seorang gadis yang ghairah mencari keseronokan dan kesenangan hidup di kota. Gadis tersebut telah terjerumus ke dalam gejala sosial. Perkara ini melukakan hati ibunya yang tua. Mahaya membandingkan gadis yang memburu keseronokan itu dengan rerama yang menagih madu. Kepak rama-rama yang cantik tetapi mudah tercarik membawa maksud kehidupan kota yang dipenuhi keseronokan atau hiburan yang sementara.

“Bagai Rerama” dapat dianalisis sebagai mengandungi kisah yang dapat memberi pengajaran atau iktibar. Puisi-puisi ini mengandungi mesej dakwah yang berupa nasihat supaya berhati-hati di dalam menjalani kehidupan dan mencari keselamatan dengan berpegang kepada ajaran agama Islam. Islam mengiktiraf seni dan hiburan sebagai sesuatu yang diperlukan oleh fitrah manusia. Islam tidak melarang seni dan hiburan tetapi meletakkan batasan agar ia tidak melalaikan dan tidak bertentangan dengan aqidah, syariah, dan akhlak Islam.

Daripada puisi-puisi di atas dapat dibuktikan bahawa pemikiran dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah adalah dibentuk oleh alam dan dipengaruhi oleh agama Islam. Dari sini dapatlah dirumuskan:
• Penyair Melayu/Muslimah melihat alam sebagai ciptaan Allah dan bukti kewujudanNya. Alam adalah “alamat” kerana setiap kejadian termasuk manusia sebagai makhluk Allah adalah “alamat” atau dalil tentang kewujudan Penciptanya. Setiap kejadian alam daripada benih yang melata dan ilham untuk mencipta karya adalah kurniaan Allah.

• Alam (misalnya serangga yang kecil), membuat penyair insaf dan merasa dirinya kecil dan tidak berdaya. Penyair mengakui bahawa yang berkuasa hanyalah Allah.

• Alam memberi iktibar dan motivasi untuk berikhtiar. Misalnya camar di dalam sajak Kebebasan. Kekecilan dan kekerdilan burung atau serangga menyebabkan penyair Penyair insaf bahawa manusia adalah dhaif dan mengharap pertolongan Khaliqnya. Amalam meminta pertolongan dan perlindungan Allah membuktikan kepercayaan bahawa Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang.

• Alam adalah sumber untuk belajar. Misalnya puisi Kabar apa yang kaubawa. Mengintatkan kepada Muhammad Haji Salleh yang menganggap laut sebagai gurunya dalam puisi “Maafkan Aku Laut”,

• Alam sebagai sahabat, misalnya di dalam puisi “Khabar apa yang kau bawa” oleh Siti Zaleha M.Hashim Penyair berinteraksi dengan alam. Penyair bukan sahaja bercakap dengn alam tetapi menganggap alam juga bercakap dengannya seperti di dalam puisi Muhammad Haji Salleh yang berjudul, “Apakah yang kau katakan padaku lautan?”.

• Alam mengajak mereka berfikir atau menggunakan akal yang dikurniakan dan percaya bahawa kelebihan makhluk manusia ialah penganugerahan akal. Hal ini adalah selaras dengan ayat-ayat Al-Quran yang meminta manusia berfikir dan merenung kejadian alam.

• Alam yang perkasa (seperti laut dan gelombangnya dalam puisi “Kapal”, Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi,:67 “Pelayaran”, Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi, 1999:73 adalah tanda keperkasaan Allah dan kelemahan manusia. Selaras dengan hasil sastera Melayu misalnya sajak Dialog” oleh Kassim Ahmad), penyair masih menganggap hujan yang mencurah-curah dan munkin membawa banjir itu sebagai satu rahmat. Walau pun sebuah puisi protes tetapi protes itu bukanlah terhadap alam tetapi terhadap manusia atau system social yang tidak adil terhadap kaum bawahan.

Ini adalah berbeza dari karya-karya dari luar terutama dari Barat yang sering mencetuskan perasaan marah dan memberontak terhadap alam. Michael Webster (htm. Microsoft Internet Explorer, 2000) menulis bahawa Wallace Stevens, Marianne Moore, Robert Frost, and D. H. Lawrence dalam karya-karya mereka memberi penekanan kepada “the mindlessness of nature, its nonhuman otherness" dengan maksud alam yang tidak berakal atau tidak bertimbang rasa terhadap manusia.
Kemarahan terhadap alam dapat dikesan dari karya-karya Barat yang tersohor. Misalnya, salah seorang penyair yang digolongkan sebagai Penyair Romantis (The Romantic Poets) William Blake (1906-1989) menulis puisi yang terkenal “The Sick Rose” (Mawar yang Sakit) yang memperlihatkan pandangan terhadap alam yang digambarkan sebagai sakit.
T.S.Eliot menulis tentang peredaran waktu yang dianggap kejam dalam puisinya “The Waste Land”, contohnya baris yang berbunyi April is the cruelest month (April adalah bulan paling kejam) (Faber Edition,1972:51). Arthur Miller melalui dramanya “The Death of A Salesman” menganggap manusia adalah jurujual yang tua dan keletihan.
Drama “A Streetcar named Desire” oleh Tenesse William menceritakan perjalanan manusia tanpa destinasi yang pasti, “Waiting For Godot” oleh Samuel Beckett merumuskan bahawa hidup adalah penantian yang sia-sia. Bagi mereka alam sentiasa menentang manusia menyebabkan seluruh hidup satu perjuangan yang meletihkan. Segala ini menyebabkan mereka selalu resah dan karya-karya mereka lahir daripada keresahan ini.
Dengan kesedaran akan peranan mereka sebagai penulis dan khalifah Allah. Dengan berkarya, menyebarkan kebaikan dan pengetahuannya.
Dengan ini, puisi menepati peranan sastera di dalam menyalurkan mesej keagamaan dan kemasyarakatannya sebagai media penyebaran ilmu, demi kesejahteraan masyarakat.
Pengarang Melayu/Muslimah memiliki pandangan yang berbeza dari pengarang Barat. Ketenangan adalah landasan kepada proses kreatif penyair-penyair Melayu/Islam yang unik dan signifikan.
Beberapa hari ini saya teringat kpd Sh.Amani yg pernah berkata "I sound stupid when I speak in Malay". Dah lama juga saya nak tulis pasal ni tapi asyik tertangguh. Kata orang Bahasa Melayu ini mudah dipelajari. Ya memang mudah tapi bila dah tahu, tahulah pula bahawa ada kerumitan dlm menggunakannya.

Kita boleh berkata "I want to see you " dengan sesiapa sahaja bila bercakap bahasa mad salleh. Tetapi awas dlm B.Melayu tak boleh sembarangan ya. Nak kata awak ke, kamu ke, saudara ke. Di setengah negeri awak tu ok, di setengah wilayah pula dikira kurang ajar.

Kalau anda perempuan muda bercakap dgn lelaki dlm lingkongan empat puluhan. Nak panggil nama saja dikatakan tak hormat. Nak panggil pak cik nanti dia bidas "Ingat awak tu muda ke nak panggil saya pak cik". Nak panggil abang nanti isteri dia pula marah.

Lihat pula penggunaan penambahan. Kalau silap letak penambahan akan dan lari terus dari maksud yang dimaksudkan dan jadi kacau bilau.

Mari kita lihat beberapa contoh. Apa fikiran anda:
1- olahragawan itu melarikan diri di tengah padang
2- apa kabar sekarang? saya dengan awak sudah meninggal di Ipoh (yg dimaksudkan awak tinggal di Ipoh).
3- Ayah saya telah koma dan tidak sedar diri (di sini kena tambah kan jdi tidak sedarkan diri)
4- dia dan saya berkesedudukan di tempat itu
(padahal cuma nak kata bersama duduk-duduk bercakap-cakap.

Ya banyak lagi contohnya.....