ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, March 28, 2009

BENAR PAK PANDIR, YANG BERJANGGUT TIDAK SEMESTINYA LEBAI

Cerita rakyat terutama cerita-cerita jenaka Melayu mengandungi sindiran yang sangat tajam. Cerita-cerita ini juga memberi idea yang membenihkan karya-karya saya. Setakat ini saya telah menulis puisi (dan satu dua cerpen) dari pemikiran yang tercetus drpd kisah-kisah ini.


Kita semua tahu kisah Pak Pandir. Pak Pandir dikatakan manusia yang paling bodoh di dunia ini. Sudah sekian lama kita mentertawakan kebodohannya.

Ah, bodohnya Pak Pandir. Pada suatu hari mereka hendak membuat kenduri doa selamat. Isterinya Mak Andeh menyuruhnya menjemput Pak Lebai untuk membaca doa. Maklumlah Pak Lebai orang alim, warak,doanya cepat dimakbulkan oleh Allah SWT. Pak Lebai akan membawa keberkatan kepada kenduri dan kehidupan mereka.

Pak Pandir tidak kenal yang mana satu pak lebai. Mak Andeh memberi panduan yang pak lebai itu berjanggut. Pak Pandir terjumpa seekor kambing. Kambing juga berjanggut lalu Pak Pandir menyangka kambing itulah pak lebai.

Inilah kebodohan tahap maksima. Sampaikan tidak tahu membezakan orang
warak dengan kambing. Tetapi itulah saja yang diberitahu kepada Pak Pandir.
Dia berpegang kepada gambaran fizikal semata-mata.

Pendekkata yang berjanggut itu mestilah alim atau warak.
Alim dan warak itu terletak pada janggutnya.

Sudah lama kita ketawa akan kebodohan ini.
Saya juga ketawa Kemudian terfikir: Begitulah jadinya jika sifat warak dan alim itu diukur dari gambaran fizikal iaitu janggutnya semata-mata.

Pada zaman ini berapa ramai lagikah yang terkeliru dengan gambaran fizikal? Kita juga mudah terpedaya dengan cara dan gaya. Setiap hari menonton bermacam-macam iklan tidak tahu yang mana satu produk yang baik dan diperlukan.

Setiap hari mendengar pemimpin berpidato dan membaca akhbar. Sukar hendak menentukan yang mana benar yang mana palsu, yang mana jujur yang mana penipu.

Maka tidak berbezalah kita dengan Pak Pandir.

Bila terfikir begini, saya pun menulis sajak yang berjudul "Jangan Risau Pak Pandir". Sajak ini dimuatkan di dalam antologi Salasilah
(dbp.2005 hlm 101).


Jangan Risau Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu
Menjemput Pak Lebai
mencari alim yang pandai
untuk berdoa mintakan berkat
pada kenduri doa selamat
kau yang dungu
membawa pulang seekor kambing
kerana ia berjanggut di dagu
seperti gambaran isterimu.

Ah, Pak Pandir jangan tak tahu
kesilapan seperti itu
memang mudah berlaku
seumpamanya kami tak arif membezakan
yang tulen dengan yang palsu
yang warak dengan yang tamak
kerana ramai yang pandai menyamar
di sebalik pakaian dan ucapan
mentafsir ayat suci
mengikut agenda peribadi.

Kami pun mudah terpedaya
dalam seni retorika
kreativiti pengiklan
dan putar belit media
yang membingungkan dunia.

Kau tidak keseorangan
sesiapun mudah menjadi keliru
sepertimu.

-----------------------------------------------------
Ingat kah anda kepada satu lagi episod dari kisah Pak Pandir ini?
Satu hari dia pergi ke sungai hendak mengail ikan. Dia menangkap
seekor rusa dan dijadikan umpan. Bukankah bodoh namanya kerana
lebih baik dia bawa pulang rusa itu untuk dimasak. Sudah tentu
mereka boleh makan berhari-hari.

Di dalam hal ini apakah Pak Pandir sahaja yang bodoh?Jangan ketawa
padanya kerana kadang-kadang kita sendiri pun tidak menyedari
bahawa kita telah mengorbankan sesuatu yang lebih berharga demi
mengejar apa yang kononnya dipanggil kemajuan.

Pemikiran ini menghasilkan sajak
"Modal Pak Pandir", (Salasilah hlm. 100)

Modal Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu mencari makan
pergilah ke sungai memancing ikan
tangkap belalang jadikan umpan.

Kau yang keliru
berjumpa rusa tanduk bercabang
menyangkanya seekor belalang
mengheretnya ke sungai
tanpa menyedari
rusa itu sebesar-besar rezeki
dan kau telah membuang
sebaik-baik peluang.

Ya, Pak Pandir
kau tentu tak menyangka
kami pun begitu juga
tak pasti mana yang lebih besar
antara harga yang dibayar
dengan untung yang dikejar.

Mengharap seuncang untung
terbuang modal sekarung
seperti rusa yang terbuang ke sungai
yang terkorban mungkin lebih bernilai
daripada matlamat yang dicapai.

Saya juga mengambil iktibar daripada kisah Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin. Kalau sudi bacalah dalam Salasilah. Insya Allah saya akan perkatakan tentang sajak-sajak ini dalam entry yang akan datang.

1 comment:

  1. Puan Zurinah,

    Saya seorang pelajar di Amerika Syarikat dan saya telah memilih sajak "Duhai Pentafsir" untuk dibaca di hadapan khalayak ramai sempena Minggu Islam universiti. Pihak penganjur memerlukan sajak itu diterjemahkan dalam bahasa inggeris. Saya ingin tanya pendapat puan tentang penterjemahan itu. Tolong hubungi saya: jhlee.write@gmail.com secepat mungkin kalau boleh. Pembacaan itu adalah hari Jumaat ini.

    Terima kasih.

    jh

    ReplyDelete