ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, March 22, 2009

Memang kita bangsa yang cepat tergelak tetapi lambat bertindak.

Saya selalu memikirkan

1- KALAU BENAR PADI MENJADI EMAS DI BUKIT SIGUNTANG
SIAPAKAH YANG TELAH MENUAI EMAS ITU?

Kerana daulat anak-anak raja
padi pun berbuah emas
tetapi siapakah yang telah menuainya
kita tidak tahu sebab pada masa itu (hingga sekarang ini)
kita sibuk mengadakan upacara demi upacara demi upacara untuk menobatkan raja
dan kita sibuk menyusun jari sepuluh, menyusun ayat-ayat yang
indah untuk menyatakan taat setia seorang hamba.

Pendek kata, kita sibuk hendak menjadi hamba
hingga kita lupa hendak menjadi kaya.

Tidakkah anda fikirkan juga?

2. Kalau Hang Jebat tidak menderhaka
Hang Tuah tidak akan dipanggil pulang ke Melaka
mungkinkah kita telah lupa pada Hang Tuah hari ini?


3. Tidak kejamkah kita bersorak riang sewaktu Hang Tuah membunuh Taming
Sari? Mengapa kita seronok melihat mereka berdua bertikam? Bukankah lebih
baik kalau Hang Tuah dan Taming Sari bekerjasama untuk menjaga rakyat
Nusantara.


4. Ketika Pak Pandir memandikan anaknya dengan air panas kita ketawa
terbahak-bahak. Kita asyik mengutuk kebodohan Pak Pandir hingga kita lupa
menyelamatkan anaknya yang mati kepanasan.

Memang kita bangsa yang cepat tergelak
tetapi lambat bertindak.

WAHAI ANAK-ANAK MELAYU, JAWABLAH

1 comment:

  1. salam Pn Zurinah..

    Hati saya meronta-ronta untuk bertindak membantu anak bangsa saya dlam bidang dan perkara yg saya mampu. Tetapi apa kn daya saya bilamana anak bangsa saya menganggap tindakan saya sudah ketinggalan zaman. Jelas mereka tidak pernah merasa susah dan ingin terus senang.. hatta mengikut telujuk bangsa asing sekalipun.

    Anak bangsa saya boleh bekerja tetapi tidak boleh berfikir.. atau mereka enggan berfikir untuk masa depan bangsa mereka sendiri. Saya tidak melihat jauh.. anak2 saya sendiri.
    Namun saya tidak akan patah semangat untuk terus berbakti dan memastikan bangsa saya ini tidak dipermainkan oleh pihak imigran yg tidak tahu mengenang budi.

    ReplyDelete