ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Tuesday, March 14, 2006

Pesan Pelaut


Sejak kecil dia bermain di pantai itu
berlari di gigi air
bersorak memanggil ombak
atau memanjat batu-batu

Hari ini dia adalah anak muda
mengadap lautan dengan dada membara
sudah tiba masa
untuk meredah samudera

Dia bertanya pada pelaut yang pulang
“Bolehkah aku meminjam perahumu
Layarnya begitu teguh
Membawamu belayar jauh”

Si pelaut yang matang
menjawab dengan tenang
“silakan orang muda
samudera ini padang terbuka
untuk selamat belayar
tak cukup sekadar layar
menyusuri laut biru
bukan bergantung pada perahu”

Laut ini luas
kau perlukan layar pedoman
ombak mungkin ganas
teguhkan perahu iman
kau akan sampai ke pelabuhan
dengan izin Tuhan


ZURINAH HASSAN

Sunday, March 05, 2006

PGL MEMESONG TEKS ASAL
Oleh Zurinah Hassan

Apabila “Memoirs of The Geisha” difilemkan , maka tercetuslah pelbagai kontroversi dan bantahan terutama di Jepun dan di China. Kedua negara mengharamkan tayangannya. Jepun mengharamkannya kerana institusi Geisha yang dianggap ‘sacret’ di Jepun difilemkan sedemikian rupa dan dilakonkan oleh wanita China. China menentangnya kerana tidak sanggup melihat pelakon China memegang watak sebagai gadis geisha. Begitu hebatnya sentimen terhadap budaya yang telah dipusakai sejak turun temurun.

Sensiviti demikian tidak pernah berlaku dan mungkin tidak akan berlaku di negara kita. Kita tidak mempunyai sentimen yang kuat terhadap epik atau lagenda bangsa. Maka kita tidak pernah membantah walaupun lagenda-legenda tersebut dipentaskan atau difilemkan sepertimana pun.

Misalnya, sejak turun temurun Hang Tuah adalah simbol keperwiraan Melayu. Kita telah mengenal wataknya sebagai pahlawan yang amat setia dan sanggup berkorban apa saja kerana raja. Dia sanggup mengenepikan cintanya terhadap Tun Teja kerana kehendak Sultan lebih utama. Hang Tuah dihukum mati kerana dikatakan telah membuat perhubungan dengan dayang istana. Kita percaya itu adalah fitnah semata-mata kerana Hang Tuah tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum dan peraturan istana. Hidup dan matinya adalah untuk raja dan untuk Melaka.

Tetapi apabila Hang Tuah dipotretkan sebagai watak yang sanggup bersaing dengan rajanya untuk memadu kasih dengan seorang perempuan, kita tahu itu bertentangan dengan Hang Tuah yang kita kenal. Namun begitu kita tidak pernah peduli.

Setelah sekian lama juga kita mengenal Puteri Gunung Ledang sebagai puteri yang menjelma di dalam mimpi Sultan Mahmud, raja Melaka yang terakhir. Sultan jatuh berahi lalu mengarahkan segala hulubalang naik ke Gunung Ledang untuk meminang puteri tersebut. Segala lelaki yang bertenaga dikumpulkan, di arah merentas hutan supaya rombongan peminangan dapat sampai ke puncak gunung, Rombongan peminangan itu diketuai oleh Tun Mamat, penghulu Inderagiri yang memiliki ilmu sakti. Hang Tuah yang telah tua pun mengalah dan hanya menunggu di pertengahan jalan.Tun Mamat yang sampai di puncak gunung, hanya bertemu dengan inang tua bernama Dang Raya Rani . Inang itulah yang menyampaikan pesanan puteri iaitu syarat-syarat peminangan yang amat masyhur di dalam ingatan orang Melayu. Antara lain tujuh dulang hati nyamok dan tujuh dulang hati kuman, jambatan emas, jambatan perak, darah raja dan darah anak raja.

Raja yang mabuk berahi, pendakian ke puncak gunung dan setiap hantaran perkahwinan yang diminta oleh puteri mempunyai makna yang dalam. Itulah caranya pujangga Melayu atau pengarang dahulu menyindir pemerintah atau raja yang telah menyebabkan rakyat menderita. Setiap lelaki yang bertenaga telah dikerah mendaki gunung semata-mata untuk mencari puteri yang digilai. Segala tenaga yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan negeri telah hilang dengan sia-sia. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan musuh dan bangsa Melayu dijajah beratus-ratus tahun lamanya.

PGL baik filem maupun teater membawa cerita yang berbeza. Mungkin ada yang berkata, tidak semua drama, filem atau produksi semula, sama dengan cerita asal. Memang benar, tetapi itu hanya dibolehkan di dalam naskah dari aliran neo-historisime atau yang merupakan karya interteks. . Dalam drama sebegini, pengarang dan penonton sedia maklum bahawa ianya tidak sama dengan teks asal. Teks asal digunakan untuk menyampaikan pemikiran baru atau untuk mencari makna tentang isu masa kini. Tetapi PGL yang difilemkan atau diteaterkan bukan karya neo-historisme dan bukan karya interteks.Ia tidak mengemukakan sebarang pemikiran terhadap masa kini. PGL dilabelkan terang-terangan sebagai satu ‘epik’(epik cinta agung). Maka sebagai epik mestilah menonjolkan cerita sepertimana ia dikisahkan di dalam cerita asal yang diwarisi sebagai epik bangsa.

Episod Hang Tuah difitnah dan Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang mengandungi peringatan kepada kita supaya sentiasa berwaspada . Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang adalah watak-watak penting yang mempunyai siratan makna di dalam sejarah dan budaya . Semua ini memperlihatkan kebijaksanaan dan ketinggian falsafah sastera Melayu. Malangnya kita telah membenarkan segala kebijaksanaan itu dihancurkan melalui produksi yang jauh menyimpang dari makna asal. Malah kita benarkan ini terjadi di Istana Budaya yang ditunjangi oleh Kementerian yang sepatutnya memelihara budaya dan warisan.
KETERANGAN DIRI

Nama : Zurinah bt. Hassan
Tarikh /tempat lahir: 13 Jun 1949, Alor Setar Kedah.
Alamat Tetap: No.2, Jalan Pinggir, 8/1L, Seksyen 8, 40000 Shah Alam
Kelulusan Akademik:
B.A.Hons (Universiti Sains Malaysia),
M.A. (Universiti Putra Malaysia).
Calon ijazah Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Pengalaman Menulis:
Karya-karya berbentuk sajak, cerpen, rencana telah tersiar di akhbar dan majalah misalnya Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Mastika dan lain-lain sejak tahun 1967.
Karya yang telah diterbitkan di dalam bentuk buku:
1- Sesayup Jalan, Biro Penerbitan USM, 1974 (antologi sajak)
2- Di Sini Tiada Perhentian, Pen.Pewarna, Kuala Lumpur, 1977 (antologi sajak)
3- Keberangkatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1985 (antologi sajak)
4- Kuala Lumpur and Other Places, Pen. Al-Huda, 1988 (antologi sajak versi Bahasa Inggeris)
5- Meneruskan Perjalanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989 (antologi cerpen)
6- Hatimu Aishah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991 (novel)
7- Pujangga Tidak Bernama, Dewan Basa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994 (antologi sajak)
8- Sembilan Cabaran Wawasan 2020, Pen.Pewarna, Shah Alam (kajian am)
9- Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 (Kajian Sastera)
10- Nota Waktu (antologi puisi Bersama Lim Swee Tin), Citra Publishing Sdn Bhd. 2000.
11- Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Penerbit UKM, 2003(autobiography),
12- Menjelang Pemilihan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi cerpen)
13- Pesanan dari Gunung Ledang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi sajak dengan terjemahan Bahasa Inggeris)
14- Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2005 (antologi sajak)
Anugerah/Hadiah
1- Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award ),2004
2- Pemenang Pertandingan Mencipta Lirik Lagu anjuran MACP dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
3- Hadiah kategori buku,
i- Pujangga Tidak Bernama, Hadiah Sastera Perdana(1994/1995)
ii- Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Hadiah Buku Perpustakaan Negara 2002/2004)
iii- Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi , Hadiah Sastera Perdana 2002/2003.
iv- Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah Sastera Perdana.
Pengalaman Kerja:
Berkhidmat sebagai Pengarang/Penyunting buku-buku terbitan Kerajaan termasuk menjadi editor majalah Sinar Zaman selama lima belas tahun di Jabatan Penerangan Malaysia.
Pernah dilantik menjadi Karyawan Tamu ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia 1998/99 dan telah menghasilkan buku Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi yang memenangi hadiah untuk kategori buku untuk Hadiah Sastera Perdana 2002/2003 dan Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia.